BAB 11
TERTOLEH kepala Wan
Husna bila telefon bimbitnya yang diletak di sebelah kirinya mengalunkan lagu Selimut Tertangga. Cepat-cepat dicapai
alat komunikasi itu. Melihat nama dan nombor yang tertera, buat jantungnya
bagai nak terkeluar. Walaupun mulutnya terukir senyuman, hatinya tetap tidak
keruan.
“Assalamualaikum.” Ucap Wan Husna cuba melunakkan suaranya.
Bibirnya diketap kuat menahan malu seolah-olah si pemanggil sedang berdiri di
hadapannya.
“Wa’alaikumsalam. Saya Hisham. Saya ganggu awak ke?” Tanya
Hisham gugup. Dua hari dia bercuti pulang ke kampung, sudah cukup dia menahan
rindu pada wajah ayu Wan Husna.
“Tak adalah! Saya free
sekarang ni. Awak dekat mana? Masih dekat kampung ke?” Tanya Wan Husna. Dua
hari tanpa kehadiran Hisham di tempat kerja, sudah cukup buat dia resah
gelisah.
“Saya baru sampai dari kampung. Awak sihat?” Tanya Hisham
yang sudah mula rasa selesa setelah mendengar suara ceria Wan Husna. Sejak dari
kampung, dia cuba menghubungi Wan Husna, tapi hatinya masih ragu-ragu. Setelah dua
bulan berkerja dengan gadis itu, dapat dirasa keserasian mereka bersama.
Walaupun hati meronta-ronta mahu meluahkan perasaan, dia masih was-was. Risau
kalau-kalau bunga yang dipuja adalah milik orang. Disamping pula dengan
kekurangan dirinya, dia yakin sudah pasti Wan Husna tidak mahu memandangnya.
Namun bila difikirkan balik layanan Wan Husna pada dirinya, hatinya makin kuat
mahu mendekati hati si gadis dengan lebih mendalam.
“Alhamdulillah. Masih boleh bernafas dengan nikmat Allah.
Awak macam mana? Sihat? Happy je
suara tu. Majlis dekat kampung macam mana?” Tanya Wan Husna cuba menyembunyikan
rasa cemburu. Sehari sebelum Hisham bercuti pulang ke kampung, lelaki itu menyatakan
mahu bercuti sebab bertunang. Hatinya sedih namun dia cuba memujuk hatinya yang
mula melara. Mungkin sudah tertulis dia dengan lelaki itu hanya ditakdirkan sebagai kawan sahaja.
“Alhamdulillah..semua berjalan lancar. Awak buat apa tadi?”
“Takde buat apa. Duduk sorang-sorang depan tv..termenung ..berfikir..” Jawab Wan Husna berserta dengan tawa kecil.
“Termenung? Ingatkan saya ek?” Hisham sekadar mengusik.
Dalam pada itu, dia cuba mahu menduga hati Wan Husna.
Wan Husna cuba mengawal perasaannya.
“Tak ada maknanya saya nak rindu dekat awak. Dari saya
rindukan awak, baik saya rindukan pesakit-pesakit saya.”
“Yelah..siapalah saya ni nak menagih rindu dan kasih pada
orang sana tu..”
Wan Husna ketawa mengekek mendengar suara menjauh Hisham.
“Mak saya kirim salam dekat awak. Dia ada kirimkan barang
untuk awak.” Sambung Hisham setelah mendengar suara Wan Husna ketawa tanpa
apa-apa kata.
Wan Husna tersentak dan seketika kemudian dia tersenyum
nipis. Selama mengenali Hisham, sudah
banyak cerita tentang wanita yang bergelar ibu itu didengarinya. Walupun tidak
pernah bersua, hatinya kuat menyatakan dia selesa dengan watak wanita itu.
“Terima kasih. Awak cerita apa dekat mak awak fasal saya.?
Buat malu jelah!” Bentak Wan Husna lembut walaupun hatinya bagai kembang
setaman. Lupa sejenak tentang tujuan lelaki itu pulang ke kampung.
“Nak malu kenapa? Saya bukan cerita buruk awak. Mak saya
siap nak sedia cincin pergi meminang awak kalau awak sudi jadi suri hidup
saya.” Kata Hisham malu-malu walaupun hatinya berat mahu menyatakan begitu.
Risau juga kalau-kalau Wan Husna tidak suka cara penyampaiannya. Rasanya sudah
sampai masa dia menyatakan hasrat hati yang sudah lama terpendam. Desakan
emaknya buat dia nekad mahu berterus terang pada Wan Husna.
Wan Husna menggigit bibirnya menahan senyum. Sudah tidak
dapat ditahan lagi senyuman yang mula terukir lebar. Tiba-tiba dia teringat
sesuatu.
“Mana boleh macam tu. Awakkan dah ada tunang.”
“Tunang? Tunang siapa?” Tanya Hisham serius. Tergamam dia
seketika mendengan jawapan Wan Husna.
“Tunang awaklah..!”
“Err..siapa cakap
saya dah ada tunang? Fitnah ni..! tak baik tau..!” Tanya Hisham gugup.
“Eh eh..! bukan
awak yang cakap dekat saya hari tu awak balik kampung sebab majlis tunang?”
Hisham sudah mula mengerti. Keluhan lega dilepaskan sambil
mengusap dada. Tawa besar diluahkan sekuat hati hingga Wan Husna terpaksa
menjarakkan telefon bimbitnya dari telinga.
“Siapa yang cakap saya nak bertunang sayang oii!!? Saya
balik kampung memanglah sebab majlis tunang. Tapi bukan saya yang bertunang.
Anak maklong saya yang bertunang.”
Wan Husna mengetap bibir menahan malu. Mahu saja dia
melompat waktu itu juga. Pipinya yang mula terasa panas, ditekup dengan telapak
tangannya. Seperti tidak percaya dengan apa yang didengarinya sebentar tadi.
Paling buat dia merona wajah bila perkataan sayang keluar dari suara Hisham
sendiri.
“Ohh! Ye ke…Saya
ingat awak yang bertunang.” Ujar Wan Husna malu-malu mengaku kesilapannya.
“Tulah..lain kali tanya habis-habis dulu. Tak fasal-fasal
nanti ada yang gigit jari sebab kecewa dengan saya.” Balas Hisham angkuh lalu
ketawa lucu dengan lawaknya sendiri.
Wan Husna tersenyum. Malu bila disindir begitu kerana
sindiran itu benar-benar terkena di batang hidungnya sendiri.
“Err..awak free
tak hari ni?” Tanya Hisham gugup setelah beberapa detik mereka membisu.
“Kenapa?” Tanya Wan Husna lembut. Ada debaran yang kembali
terasa di jantungnya selepas membisu.
“Saya nak ajak awak keluar makan. Dua hari saya tak tengok
awak, rasa rindu pula.” Hisham menggigit bibir menahan malu. Walau macam mana
sekali pun, ketebalan di wajahnya harus ditahan.
“Awak tak makan lagi ke?” Tanya Wan Husna sambil membelek
jam di tangannya yang sudah menunjukkan ke pukul empat petang.
“Sebelum bertolak dari kampung tengahari tadi, saya dah makan. Sampai
sini rasa lapar pulak.”
“Errmm..”
“Kalau awak tak sudi tak apalah. Barang yang emak saya
kirimkan pada awak ni, saya serahkan esok sajalah.” Suara Hisham mula menjauh.
“Bukan saya tak sudi.!!” Cepat-cepat Wan Husna menjawab.
Peluang yang dinantikan sejak mengenali lelaki itu tidak mahu dilepaskan. Selepas kali pertama Hisham mengajaknya makan dua bulan yang lalu, Hisham tidak lagi cuba memperlawanya keluar makan. Semuanya kerana Kak Bibah. Tapi kini peluang yang sering diharapkan agar datang lagi sudah tiba dan dia yakin tidak akan lepaskan walaupun dia masih ragu-ragu.
Hisham tersenyum lebar mendengar balasan Wan Husna. Semenjak
dirinya dan Wan Husna sering menjadi bahan usikan Kak Bibah, wajahnya sentiasa
berseri-seri. Jika dulu senyuman memang payah terukir di bibir, tapi kini
tidak lagi hingga sering menjadi tanda tanya pada semua yang mengenalinya. Dia
seperti dapat merasa apa yang Wan Husna rasakan. Cuma hatinya saja yang tidak
yakin. Namun bak kata pepatah, ‘belum
cuba belum tahu’ menguatkan azamnya untuk terus mencuba nasib walaupun pada hakikatnya dia cuba untuk mengelak dari menagih kasih. Tapi, apakan daya, kerana kuasa cinta dia tunduk jua akhirnya. Melihat
keperibadian Wan Husna dia yakin gadis itu sudah tentu malu-malu untuk meluahkan
perasan. Memanglah zaman sekarang sudah ada ramai gadis seperti perigi cari timba, namun di yakin Wan
Husna bukanlah begitu.
“Awak setuju temankan saya makan?”
“Awak nak saya pergi sendiri atau awak jemput saya?” Soalan Hisham dijawab dengan soalan.
Hisham sudah bagai cicak tertelan kapur. Tidak disangka Wan
Husna akan berkata begitu menandakan Wan Husna bersetuju. Peluang yang dinantikan tak akan disia-siakan begitu saja.
“Selepas asar, saya datang jemput awak.” Ujar Hisham yang
sudah mengetahui lokasi rumah Wan Husna kerana pernah menghadiri majlis tahlil
dan kesyukuran sempena Wan Husna mula bertugas sebagai seorang dokter.
Wan Husna melompat riang selepas menamatkan perbualan dengan
Hisham. Bibirnya sudah tidak boleh dikembalikan lagi ke bentuk asal. Bila
dirinya disergah oleh Wan Razin, barulah Wan Husna bagai tersedar dari mimpi.
Hampir-hampir terlepas telefon bimbitnya dari pegangan.
“Tersenyum-senyum, tergedik-gedik ni kenapa?” Sergah Wan
Razin. Sejak tadi diperhatikan anak gadisnya tersenyum-senyum hingga merona
wajah sambil berbual dengan seseorang di talian. Tergerak juga hatinya untuk
mengetahui siapa gerangan di talian, namun disabarkan hati kerana yakin dia
akan tahu juga nanti. Selama ini pun anak gadisnya akan bercerita apa saja
padanya dan Fatimah Az-Zahra. Jika tidak diketahui dari mulut Wan Husna, dia
akan tahu kemudian dari mulut isterinya.
“Abi! Una nak minta izin keluar sekejap. Dengan kawan. Mmm..lelaki.”
Wan Husna bersuara lambat-lambat meminta izin.”
Wan Razin tersentak. Agak pelik dalam tutur anak gadisnya.
Selama ini anak perempuannya yang satu itu tidak pernah berkelakuan begitu.
“Hurmm..sejak bila
dah berani nak keluar dengan lelaki ni? Siapa?” Tanya Wan Razin serius. Wajah
anak gadisnya ditatap tepat hingga Wan Husna tertunduk resah. Risau juga kalau-kalau
Wan Husna berkawan dengan orang sebarangan.
“Mmm..Hisham! Yang Una cerita dulu tu. Dia pernah datang
sini masa majlis kesyukuran hari tu. Abi ada berbual dengan dia.”
Wan Razin mula berfikir. Tiba-tiba dia teringatkan
seseorang. Masih terbayang-bayang wajah tenang Hisham ketika berbual.
Walaupun malam itu topik perbualan tidak menjurus kepada soal perasaan, dia
dapat merasa pemuda itu dari kalangan yang baik-baik.
“Una serius ke dengan dia?”
“Kawan sajalah abi..!” Wan Husna cuba meyakinkan.
“Selama ni pun Una mana pernah keluar dengan kawan-kawan
lelaki Una. Kalau ada yang mengajak, tak pernah Una setuju pun nak join. Nampak sangat yang ni istimewa.”
Sindir Wan Razin sambil menjeling sinis.
Wan Husna mengetap bibir. Merona wajahnya bila disindir
begitu. Ungkapan istimewa yang diucapkan oleh Wan Razin tadi buat dia mengaku
dalam hati.
“Dia baru balik kampung. Ada barang yang emak dia kirimkan
untuk Una.” Wan Husna cuba memberi alasan berasas agar Wan Razin tidak mula
berfikir yang bukan-bukan.
“Hurmm..bunyi
macam menarik tu. Siap dapat kiriman dari bakal mertua pulak. Tak lama lagi
rumah abi ni mesti ada orang datang bawa
utusan.”
Wan Husna tergamam. Melihat wajah Wan Razin tersenyum simpul
penuh makna, wajahnya sudah mula tebal beganda.
“Abi..!” Rengek Wan Husna malu hingga Wan Razin ketawa
berdekah-dekah.
HISHAM masih
duduk termenung di atas katil. Masih tidak percaya pelawaannya terhadap Wan Husna
disambut baik. Dikalih memandang jam di dinding. Masih terlalu awal untuk dia
bersiap menjemput Wan Husna. Penat memandu dari perlis tadi masih terasa. Namun
kerana hati sedang melonjak riang kerana pelawaannya diterima, penatnya hilang
entah kemana. Dia yakin perasaan yang pernah
dibuang bertahun yang lalu, kini sudah mula menjengah datang. Paling
menyesakkan bila perasaan itu sukar untuk dia tepis buang. Bukan dia tidak cuba,
tetapi tiap kali dia ingin mencuba, perasaannya seakan berlawan agar rasa
berbunga yang mula bertapak dalam hati harus dikekalkan.
Kakinya dilunjur selesa. Dia mengeluh berat bila melihat
keadaan kaki kanannya. Sengal yang tiba-tiba terasa di bahagian peha, dipicit-picit
perlahan. Kadang-kadang dia hiba mengenangkan nasib dirinya yang tidak
sempurna. Tertanya-tanya dalam diri sendiri, apakah ada insan yang sudi
berkongsi hati dengannya andai insan itu tahu nasibnya yang sebenar?
Bagaimanakah peneriman si gadis kalau tahu dia tidak sempurna seperti yang
orang lain? Pelbagai persoalan yang sering datang tiap kali hatinya memikirkan
tentang jodohnya yang hingga sekarang terpaksa ditepis buang. Sebenarnya bukan tak ada yang
sedang menanti tapi hatinya pulak yang tidak berkenan.
Jika difikirkan balik, gadis yang sedang menantinya itu
bukanlah ada cacat cela seperti dirinya. Tapi hatinya saja yang tidak boleh
terima. Mengapa? Jawapannya biarlah dia sahaja yang tahu. Bila mengingati wajah
itu, hatinya menjadi sakit. Kerana gadis itu hatinya masih sendiri hingga kini.
Dan kerana gadis itu juga, dia masih tidak faham dengan perasaannya, apakah
rasa dendam yang disimpan sekian lama mampu dibuang dari dalam dirinya.
Ingatan Hisham kembali pada Wan Husna. Dia tersenyum malu.
Dia sedar gadis itu telah berjaya membuka pintu hatinya untuk menerima sebuah
cinta walaupun seringkali dia cuba nak menepis. Pada pengamatannya, ada sesuatu
yang terdapat pada diri gadis itu hingga hatinya tidak mampu menoleh ke wajah
lain. Apa yang dia sedar, senyumannya itu mengingatkan dirinya pada seseorang.
Seseorang yang amat dirindui walaupun sedar insan yang dirinduinya itu tak
mungkin kembali lagi dalam dakapannya.
Hisham memandang lagi ke jam dinding. Azan sayup kedengaran
dari masjid berhampiran menandakan waktu solat asar sudah datang. Segera dia
mencapai tongkat lalu beegerak ke bilik air untuk membersihkan diri dan
berwuduk.
No comments:
Post a Comment