BAB 2
“LAMA kau tak
main dengan kita orang. Kau dah taknak kawan dengan kita orang ek?” Tanya Luqman pada Wan Hamka ketika
berjalan keluar dari perkarangan sekolah bersama dengan Firash.
“Haahlah Am..!Kau takde
tak bestla. Dari kau berkepit dengan
Una tu, baik kau kawan dengan kita orang. Berkawan dengan budak perempuan, apa
yang kau dapat? Menyusahkan je!”
“Jangan cakap macam tu dekat abang Una, boleh tak? Sebab
koranglah abang Am kena tukar sekolah lain. Korang yang salah, tapi abang Am
yang kena. Korang berdua memang jahat!” Jerkah Wan Husna pada Luqman dan
Firash. Sakit hatinya bila dapat tahu, abang sepupunya itu
bakal meninggalkan dirinya.
Tergamam Luqman dan Firash mendengar jerkahan Wan Husna.
Wajah sayu Wan Hamka mereka tatap penuh hiba.
“Betul ke Am?” Tanya Luqman sayu.
Wan Hamka hanya
membisu. Tak sanggup dia mahu memberitahu tentang pertukaran sekolah barunya selepas tamat UPSR nanti.
“Betul ke sebab kita orang kau kena tukar?” Tanya Firash
pula.
Wan Hamka masih membisu. Akhirnya dengan selamba, tangan Wan
Husna diraih lembut lalu pergi meninggalkan dua sahabatnya itu tanpa sebarang pesan.
Wan Husna masih membisu sepanjang perjalanan pulang. Ajakan
Wan Hamka untuk singgah di gerai ais
blended juga tidak dihiraukan. Makin buat Wan Hamka tergamam bila melihat
Wan Husna berjalan sambil mengesat pipinya yang basah. Wan Hamka tahu apa yang bergolak
dalam hati Wan Husna. Kerana tidak mahu membebankan lagi fikiran Wan Husna, Wan
Hamka ambil langkah berdiam diri sahaja.
Wan Hamka sedar, sejak berita tentang pertukaran sekolahnya tersebar ke telinga adik sepupunya itu, Wan Husna seakan menjauhkan diri darinya. Setiap petang adik
sepupunya itu lebih banyak habiskan masa di rumah. Gadis kecil itu bukan lagi
Wan Husna yang periang dan nakal ceria. Setiap kali diajak bermain, Wan Husna
sering mengelak dan beralasan.
“Jomlah main dengan abang. Abang takde kawan nak main.” Ajak Wan Hamka selepas lama memanggil Wan
Husna dari luar rumah.
“Una sibuk nak buat kerja sekolah. Abang pergilah balik!”
Jawab Wan Husna acuh tak acuh.
“Okey! Apa kata
kalau abang tolong Una buat kerja sekolah? Lepas tu kita main sama-sama.” Tawar
Wan Hamka tanpa menyedari maksud tersirat Wan Husna.
“Tak payahlah bang. Bukan susah pun. Lagipun lepas ni Una
nak ikut umi pergi pekan.” Wan Husna masih beralasan.
“Una macam dah taknak kawan dengan abang je. Abang ada buat
salah ke dekat Una?” Wajah adik sepupunya yang berusia tujuh tahun itu ditatap
hiba. Mungkin kerana jarak usia yang agak jauh buat dia rasa lebih
bertanggungjawab terhadap Wan Husna.
“Lepas ni abang nak tinggalkan Una. Una rasa baik Una
biasakan diri sebelum abang pergi. Una tak mahu nanti Una sedih sebab abang takde.”
Wan Hamka baru tersedar dan faham kini mengapa adik
sepupunya itu berubah. Melihat Wan Husna seperti mahu menangis, dia melangkah
mahu mendekti Wan Husna. Namun langkahnya terhenti bila melihat Wan Husna
sudahpun melangkah masuk ke dalam rumah.
“Am pergilah balik dulu. Maklong rasa Una tu merajuk. Marah
sangat semalam bila ibu Am bagitahu yang Am kena tukar sekolah. Am bukan tak
tahu, selama ni dia cuma kawan dengan Am je.” Kata Fatimah Az-Zahra umi kepada
Wan Husna pada Wan Hamka.
Dengan lemah, Wan Hamka mula menghayun kaki pulang ke rumah.
Dalam tak sedar, dia menangis kerana adik kesayangannya sudah mula menjauhkan
diri darinya.
Kasihnya pada Wan Husna tak dapat dibayangkan dengan
kata-kata. Walaupun mereka hanya sepupu, dia tetap anggap Wan Husna seperti
adiknya sendiri yang paling istimewa. Mungkin juga kerana dia tidak ada adik
untuk dijadikan teman sepermainan. Pertama kali bersua muka dengan Wan Husna
selepas Wan Razin berpindah di situ, hatinya melonjak riang. Setelah mengetahui
Wan Husna pangkat adik padanya, dalam diam disimpulkan azam untuk menjaga Wan
Husna hingga ke akhir hayatnya.
“Mari abang bawakan beg sekolah Una.” Kata Wan Hamka perlahan. Niat di hati mahu memujuk Wan Husna. Bila melihat Wan Husna masih membisu, dia mula rasa bosan.
“Una boleh bawak sendiri.” Balas Wan Husna sayu.
“Selalukan abang yang bawak beg. Una pegang botol air
abang.”
“Lepas ni pun Una kena buat sendiri jugakkan?”
Wan Hamka mati kata-kata. Tak tahu lagi bagaimana mahu
dipujuk adik kesayangannya itu. Dia yakin, jika di pujuk dengan seribu kata
lawak pun Wan Husna tetap akan begitu melainkan dia ambil keputusan untuk
membatalkan niatnya untuk menukar sekolah.
Sampai di halaman rumah, tanpa mengucapkan apa-apa, Wan
Husna terus berlari meninggalkan Wan Hamka sendirian. Biasanya Wan Hamka akan
menghantar Wan Husna hingga sampai ke pintu rumah dan ucapan bye bye akan terbit dari mulut Wan Husna
berserta dengan flyingkiss. Namun
hari ini, ucapan dan riaksi manja Wan Husna hilang bagai ditiup angin. Sebelum
melangkah pulang ke rumahnya yang terletak di belakang rumah Wan Husna, sekali
lagi Wan Hamka menoleh pandang ke pintu rumah Wan Husna, mengharapkan agar Wan
Husna ada di situ. Tapi dia hampa kerana bayang Wan Husna langsung tidak
kelihatan. Wan Hamka tertunduk lemah sambil melangkah pulang. Sedih hatinya
bila melihat Wan Husna begitu.
WAN HUSNA
menghempaskan beg sekolahnya di atas katil. Sakit hatinya masih terasa dengan
keputusan Wan Hamka belum surut lagi, hari ini ditambah pula dengan panas telinganya
dengan kata-kata sinis Luqman dan Firash.
“Kenapa ni Una? Habis bersepah buku-buku ni. Siapa yang buat
anak umi jadi macam ni?” Tanya Fatimah Az-Zahra lembut pada satu-satunya anak
perempuannya. Faham sangat dengan perangai anak perempuannya yang sedikit
kasar. Mungkin kerana sudah terikut-ikut dengan perangai dua lagi anak lelakinya
yang kini sedang melanjutkan pelajaran ke MRSM.
“Tak ada siapa.” Balas Wan Husna lemah. Air matanya ditahan
semampu yang boleh.
“Umi tahu kenapa Una jadi macam ni. Sebab abang Amkan?”
Wan Husna tidak dapat menahan sebak. Mendengar nama itu buat
hatinya cepat terasa sayu. Tanpa sempat diseka, air matanya gugur juga
membasahi pipi comelnya.
“Una! Abang Am bukan pergi berperang. Dia pergi belajar.
Cuti nanti dia baliklah..! Yang Una nak sedih sangat ni kenapa?” Tanya Fatimah
Az-Zahra sambil tersenyum manis.
“Una tak mau abang pergi. Una takde kawan. Nanti siapa nak temankan Una pergi balik sekolah.? Siapa
nak temankan Una pergi mengaji waktu malam? Siapa nak bawak beg sekolah Una.?
Siapa nak bela Una kalau ada yang buli Una? Siapa yang nak tolong ambilkan
jambu batu untuk Una? Siapa yang nak ajarkan Una buat kerja sekolah kalau Una
tak tahu buat?” Bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut kecil Wan Husna
diiringi dengan juraian air mata yang deras.
Fatimah Az- Zahra tersenyum nipis. Fahamlah dia sekarang
kenapa anak perempuannya sayang sangat dengan Wan Hamka. Bukan dia tidak tahu,
selama ini memang Wan Hamka yang banyak masa bersama anaknya. Jadi tak
hairanlah kalau anaknya jadikan Wan Hamka sebagai tempat bergantung.
“Tahun depan abang Am masuk tingkatan satu. Dah tentulah dia
tak pergi sekolah lagi dengan Una. Jadi mulai sekarang Una kena belajar uruskan
semua sendiri.” Fatimah Az-Zahra cuba memberi alasan agar anak gadisnya boleh
menerima kenyataan.
Wan Husna terus terdiam. Akur dengan alasan uminya. Namun
dia tetap tidak boleh terima kenyataan.
Fatimah Az-Zahra mengusap lembut rambut Wan Husna. Dulu masa
mula-mula berpindah ke tanah kampung milik suaminya itu, dia sering melarang agar
anak perempuannya tidak rapat dengan Wan Hamka Semuanya demi menjaga sifat dan tatasusila
Wan Husna sebagai seorang kanak-kanak perempuan yang bakal bergelar gadis.
Namun kerana kedegilan Wan Husna, akhirnya dia terpaksa mengalah. Tambah-tambah
lagi Wan Razak adalah adik kepada suaminya Wan Razin dan dia yakin Wan Hamka
seorang yang bertanggungjawab. Jarak usia lima tahun antara Wan Husna dan Wan
Hamka meyakinkan Fatimah Az-Zahra yang Wan Hamka pasti akan menjaga Wan Husna
dengan baik. Tak salah jika berkawan kerana pangkat sepupu. Lagipun hanya Wan
Hamka saja yang mahu berkawan dengan anaknya. Dia juga tahu, kenapa kanak-kanak
perempuan di kampung itu tidak suka berkawan dengan Wan Husna. Semuanya
gara-gara kerana Wan Husna anak kepada seorang yang berpangkat besar. Dengan
jawatan suaminya seorang kontraktor berjaya, ramai yang menyifatkan anak
perempuannya sombong sedangkan Wan Husna bersifat sederhana.
No comments:
Post a Comment