BAB 4
20 tahun berlalu….
WAN HAMKA melangkah
malas keluar dari biliknya. Melihat suasana sepi persekitaran rumah, dia mula
tercari-cari wajah ayah dan ibunya. Kepulangannya malam semalam disambut dengan
deraian air mata oleh ibunya Wan Napisah di lapangan terbang Sultan Azlan
semalam. Dia yang turut sebak menahan rindu, turut mengalirkan air mata. Selama
dua puluh tahun wajah ibu dan ayahnya tidak dipandang sudah cukup buat hidupnya
terasing.
Selepas tamat SPM, Wan Hamka ditawarkan melanjutkan
pelajaran di luar negara. Pada mulanya dia mahu pulang ke kampung tapi ditegah
oleh Wan Razak kerana ayahnya dan ibunya akan pergi menemuinya di Johor Baharu
di mana tempat Wan Hamka menetap bersama ibu saudaranya yang juga merupakan
kakak kepada Wan Razak. Walaupun sedikit kecewa kerana tidak dapat berjumpa
dengan Wan Husna, dia terpaksa pendamkan hasratnya.
Selepas tamat belajar, Wan Hamka terus berkerja. Dari
pengalaman mengenal negara orang hinggalah kepada rakyat yang dirasa asing
sejak menjejaki kakinya bertahun yang lalu, bermacam-macam yang yang ditimba.
Kini negara-negara asing yang pernah dijejakinya telah menjadi seperti
negaranya sendiri sehingga dia sendiri mampu menguasai beberapa bahasa
termasuklah bahasa spanyol dan jerman serta arab.
Di balik pengalamannya itu, Wan Hamka tidak boleh lari dari
perasaan. Sedikit sebanyak perasaan ingin berpasangan seperti orang lain terbit
jua dalam dirinya. Namun setiap kali hatinya cuba menerima seseorang, entah
kenapa perasaannya cepat berubah. Bukan seorang dua yang telah berjaya mengetuk
pintu hatinya menerima sebuah cinta, malah lebih dari itu pun ada. Apa yang
disedari, dalam banyak-banyak orang yang ditemui, tiada satu pun yang
menyerupai Wan Husnanya. Gambar zaman remaja Wan Husna yang disampaikan oleh
ibunya ketika melawatnya di johor dulu masih disimpan elok. Buat pertama kali
memandang wajah Wan Husna, hatinya kuat berkata, gadis itu bakal menyerikan
hidupnya.
Sampai di rumah lewat malam semalam, rindunya sedikit
terhapus bila melihat rumah Wan Husna yang masih kekal seperti dua puluh tahun
dulu. Namun bila mengenangkan kisah hidupnya di perantauan, dia mula rasa
kekurangan. Lantas hasratnya untuk mendekati gadis itu terpaksalah diabaikan
saja.
“Dah bangun anak ibu?” Tegur Wan Napisah sambil tersenyum
ketika masuk ke dalam rumah selepas selesai menjemurkan kain di ampaian. Wajah
mamai Wan Hamka ditatap lama. Terhakis rindu pada anak bongsunya selepas menyambut
anaknya semalam tanpa menyedari hal sebenar.
“Ayah mana bu?” Tanya Wan Hamka sambil tersenyum.
“Mana lagi..sekolahlah..!” Jawab Wan Napisah bersahaja.
Semenjak suaminya menjadi pengetua, suaminya dah seperti seorang wakil rakyat.
Masa untuknya pun kadang-kadang terbatas hingga menimbulkan rasa bosan dalam
dirinya. Namun bila memikirkan tempoh bertugas hampir ke penghujungnya, dia
cuba bersabar. Dan dari itu Wan Napisah sudah mula merancang mahu bercuti
bersama Wan Razak bila tiba masa mereka pencen nanti.
“Ibu?”
“Ibu mengajar petang sekarang ni.”
Wan Hamka terangguk-angguk faham. Kerusi meja makan ditarik
lalu melabuhkan punggungnya untuk sarapan pagi. Dari meja makan Wan Hamka
terintai-intai memandang bucu dapur rumah Wan Husna. Harapannya agar dapat melihat
Wan Husna walaupun sekilas. Rindunya pada gadis itu sukar diucap dengan
kata-kata. Dia tahu Wan Husna masih marah kerana janjinya untuk pulang berjumpa
dengan gadis itu langsung tidak ditunaikan walaupun sekali. Apa daya yang dia
ada ketika itu, untuk pulang dia perlu memberitahu keluarganya di kampung untuk
menjemputnya. Untuk naik bas atau keretapi, dia tidak arif. Lagipula jarak
selatan ke utara agak jauh. Kerana tidak mahu menyusahkan orang tuanya,
diabaikan saja hasratnya itu.
“Tak payahlah nak terjenguk-jenguk macam tu. Buruk sangat
nampaknya! Dia tak ada pagi-pagi macam ni.”
Wan Hamka tersenyum malu. Tak sangka riaksinya menjadi
tontonan ibunya. Belum bertanya lebih lanjut, Wan Napisah sudah membuka mulut.
“Cuti Am sampai bila?”
“Tak tau lagi ibu. Kalau dipanggil balik, Am balik la. Kenapa
bu?”
“Hurmm..elok jugak
tu. Paklong nak kenduri sambut menantu hujung bulan ni. Kalau Am ada, bolehlah
tolong sikit-sikit.”
Wan Hamka yang baru meneguk air milo suam terus tersedak
lalu terbatuk-batuk. Kata-kata yang keluar dari mulut ibunya dirasa seperti merentap
tangkai hatinya.
“Kenapa Am ni? Cuba minum elok-elok.!” Tegur Wan Napisah
lembut. Tuala kecil yang tersedia dihulurkan kepada Wan Hamka.
“Betul ke Una nak kawin bu?” Tanya Wan Hamka sejurus selepas
mengelap mulutnya.
“Lah..masa bila
pulak ibu kata Una nak kawin?” Ujar Wan Napisah hairan.
“Tadi ibu yang cakap paklong nak kenduri sambut menantu.
Habis, siapa yang nak kawin?” Tanya Wan Hamka dengan nada pelik. Sedikit lega
hatinya yang dirasa.
“Anak paklong tu Una sorang saja ke? Abang Shah yang nak
kawin. Kalau Una yang kawin, kenapa?” Tanya Wan Napisah sambil ketawa kecil
selepas menyedari perasaan sebenar anak terunanya yang kini sudah menginjak ke
umur tiga puluh tiga tahun.
Wan Hamka tersenyum malu. Baru tersedar bapa saudaranya ada
anak-anak yang lain.. Tak sanggup rasanya jika Wan Husna yang kahwin. berdepan dengan
situasi itu pasti hatinya merana.
“Dengan orang mana bu?” Tanya Wan Hamka menutup rasa
malunya.
“Dengan orang Kuala Kangsar.”
“Una bila pulak?” Wan Hamka cuba serakap jarang.
“Una kata nak tunggu Am.” Balas Wan Napisah sambil tersenyum
simpul.
“Hah!! Betul ke
bu?” Senyuman di bibir tak mampu lagi terukir kerana hatinya sudah dahulu
senyum lebar. Dirasa ada rama-rama sedang menari-nari di dadanya.
Wan Napisah tersenyum semakin lebar lalu ketawa mengekek.
“Ibu gurau jelah..! Tapi dengar-dengar cerita maklong, macam
tulah. Una cakap dekat maklong sendiri yang dia nak tunggu Am. Tapi baru-baru
ni maklong cerita, Una dah jumpa dengan seseorang. Yelah..dia pun dah dua puluh
tujuh tahu. Tunggu Am lama sangat. Dia carilah yang lain.” Wan Napisah berkata
lalu ketawa. Niatnya sekadar mahu berseloroh tanpa menyedari hakikat yang
sebenar apa yang bermain dalam fikiran Wan Hamka.
Wan Hamka mengeluh berat selepas tersentak dengan cerita Wan
Napisah. Dia tahu Wan Husna menantinya. Tapi bila tahu Wan Husna sudah berjumpa
dengan seseorang, hatinya bagai dihiris belati tajam. Mungkin inilah balasan
yang dia terima kerana mungkir janji. Janjinya dulu pada gadis itu masih ingat
terpatri dalam hati, namun kerana bersikap tidak setia, dibuat-buat lupa. Ditambah
pula dengan dosa-dosanya sepanjang berada di perantauan. Kini rasa menyesal
tiada guna lagi.
Jika dia tahu Wan Husna lama menantinya, awal-awal lagi dia
pulang. Sebenarnya dia sudah lama di Malaysia. Kerana rasa bersalah tidak
menghubungi Wan Husna, dia bertapa di kondominiumnya di Kuala Lumpur selama
sebulan. Setelah yakin untuk berhadapan dengan Wan Husna, barulah dia nekad
pulang.
BERGEGAS Wan
Husna keluar dari biliknya sambil mengepit fail kerja yang ditinggalkan tadi.
Kerana kecuaiannya semasa keluar rumah pagi tadi, dia tertinggal fail itu.
Sudahnya dia terpaksa pulang nntuk dapatkan semula fail itu. Nasib baiklah fail
itu harus diserahkan jam sebelas pagi. Adalah masa untuk dia pulang.
“Una pergi dulu mi..!” Jerit Wan Husna sambil menyarungkan
kasutnya.
“Tengahari nanti balik makan tak?” Tanya Fatimah Az-Zahra lantang
dari dalam rumah.
“Tak kot! Una makan dengan Sham nanti.”
“Okey..hati-hati..!”
Balas Fatimah Az-Zahra lembut sambil berjalan menuju kearah Wan Husna yang
sedang kalut melangkah ke kereta yang dipakir di luar laman. Langkahnya diatur pantas menuju ke keretanya. Kerana
tergesa-gesa tidak sedar dia terlanggar seseorang yang sedang berdiri di
hadapannya.
“Opts sorry..! Saya
tak sengaja.” Ucap Wan Husna sambil mengetap bibir menahan malu. “Umi..ada
orang datang ni..!” Laung Wan Husna sambil matanya merenung pada orang yang
berdiri terpacak di hadapannya tanpa berkelip mata. Bagai dia mengenali insan
itu.
“Saya nak cepat ni. Masuklah! Umi dengan abi ada dekat
dalam.” Gugup Wan Husna bersuara lalu segera mahu melangkah ke keretanya. Walaupun
kalut dengan langkah yang diatur, hati dan mindanya keras berfikir. Siapa dia?
Macam pernah dilihat wajah itu. Tapi di mana…?
“Una!”
Langkah Wan Husna terhenti. Dia kenal nada suara yang
memanggilnya itu walaupun suara yang kedengaran garau. Perlahan-lahan
tubuhnya dipusing untuk menatap wajah itu. Ada perubahan pada wajah itu jika
nak dibandingkan dengan wajah yang ditemui ketika di kota London dulu. Lama
dipandang. Sambil mengetap bibir nipisnya, air mata sudah mula bertakung. Tanpa
sedar gugur juga air mata yang sudah lama tidak terbit keluar. Hatinya
tiba-tiba rasa sakit.
“Ab..abang..!” Lemah suara yang dari kotak suaranya.
Walaupun perlahan dia yakin lelaki yang sedang berdiri di hadapannya boleh
mendengar dengan gerak bibirnya.
“Una sihat?”
Wan Husna tidak dapat menahan diri. Kakinya terasa lemah
berdiri. Dengan perasaan yang bercampur baur, dia gagahkan jua melangkah pergi
meninggalkan Wan Hamka sendiri di situ tanpa menjawab soalan abang sepupunya.
Marahnya bukan kerana pemergian Wan Hamka dua puluh tahun dahulu. Tetapi kerana
janji yang ditaburkan oleh Wan Hamka untuk balik menjenguknya, dipandang sepi
oleh lelaki itu. Paling menyakitkan hati, Wan Hamka terus ke luar negara tanpa
bertemu dengannya terlebih dahulu. Dan sebalik itu juga ada yang lebih
menyakitkan hatinya.
Dua tahun dia berada di negara barat menuntut ilmu tanpa
diketahui oleh Wan Hamka. Sakit hatinya bila melihat sendiri sikap dan perangai
Wan Hamka di tempat orang sehingga dia sendiri tidak kenal Wan Hamka yang
sebenar. Jika dulu, Wan Hamka umpama idola baginya. Walaupun abang sepupunya
itu nakal, itu tidak membataskan dirinya untuk menyanjungi lelaki itu.
Di sana dirasakan dirinya seperti “Melukut di tepi Gantang”,
tak memberi apa-apa kepentingan pada orang yang diagungkan. Akhirnya dengan
rasa kesal di jiwa, penantiannya ditamatkan dengan menerima Hisham sebagai
teman bagi menggantikan tempat Wan Hamka. Walaupun dia menerima Hisham, jauh di
sudut hatinya masih ada rasa kasih dan sayang pada Wan Hamka.
“Okey tak ni?” Tanya
Hisham hairan. Melihat mata basah Wan Husna, hatinya tersentuh. Dari dalam
kereta tadi dia dapat melihat jelas Wan Husna sedang berdiri kaku depan seorang
lelaki yang boleh dianggap menarik. Walaupun agak jauh memandang dia dapat
mengagak lelaki itu berada dalam kelompok lelaki kacak, wajah itu dirasa mampu
mencairkan hati si gadis yang memandang. Macho
sebenarnya jika nak dibandingkan dengan dirinya memang dia akan kalah.
“Okey.” Sepatah
saja jawapan yang keluar dari mulut Wan Husna tanpa memandang wajah lelaki di
sebelahnya. Tergesa-gesa tali pinggang keledar ditarik lalu dikemaskan di
pinggangnya. Malu sebenarnya jika Hisham melihat wajahnya begitu. Sepanjang
perkenalan mereka, lelaki itu belum pernah lagi melihatnya berduka lara.
“Siapa tu?”
“Hah!!” Wan Husna
terkejut bila Hisham mengarahkan matanya ke laman rumah Wan Husna.
“Lelaki tu siapa?” Sekali lagi soalan itu ditanya. Kali ini
berserta dengan jari telunjuknya diarahkan ke halaman rumah.
“Ohh! Erm..abang sepupu. Anak Paklang Razak.
Awak kenalkan dengan bapa saudara saya yang jadi cikgu tu?”
“Yang awak cerita dulu tu?”
Wan Husna hanya mengangguk laju.
“Cepatlah! Jom balik hospital. Lambat-lambat nanti, teruk
saya.!” Wan Husna mula merengek selepas rimas dengan soalan Hisham. Sebelum
lelaki itu bertanya lanjut, ada baiknya dia buka cerita lain.
“Yelah! Yelah..! Saya nikan driver awak.” Ujar Hisham selamba sambil menyembunyikan perasaannya.
Dapat dirasa ada sesuatu yang dirahsiakan oleh gadisnya tentang lelaki yang
masih tercegat berdiri di laman tadi. Sebelum ini memang Wan Husna ada
ceritakan tentang abang sepupu yang rapat dangan Wan Husna, tetapi ceritanya
tidaklah terlalu detel. Bila melihat
mata basah Wan Husna tadi, dia dapat rasa sesuatu yang kurang menyenangkan
walaupun dia sendiri susah untuk mentafsirkannya.
“Awak marah saya ek?”
Tanya Wan Husna sebaik saja melihat wajah jejaka sebelahnya beriaksi kelat.
“Tak ada apa yang nak dimarahkan..” Jawab Hisham menjauh.
“Habis tu, yang buat muka macam tu kenapa?” Wan Husna dapat
merasa kelainan dalam nada suara Hisham.
“Muka macam mana?” Hisham soal ringkas. Wajah Wan Husna
ditatap sekilas.
“Macam singa tersengkang tulang je?” Ujar Wan Husna geram
sambil menjeling.
“Ha?? Mana datang
peribahasa tu?” Tercengan Hisham mendengar perumpamaan Wan Husna.
“Baru je kejap tadi..” Mengekek-ngekek Wan Husna menghamburkan
tawa.
“Meoww..!” Nakal
sekali Hisham bersuara sambil menunjukkan jari kukunya seperti gaya catwomen. Mendengar tawa Wan Husna,
hatinya kembali ceria.
“Kenapa bunyi macam tu?” Tanya Husna setelah melihat teman
lelakinya kembali sediakala.
“Singa kalau tersengkang tulang, macam tulah bunyinya.”
Jawab Hisham tersengeh-sengeh.
“Tapi saya rasa, kalau bunyi macam tu bukan sebab
tersengkang. Tapi sebab dah tertelan terus.”
Sekali lagi suasana dalam kereta itu berderai dengan tawa
mereka berdua. Namun di balik tawa itu ada hati yang sedang terluka dan kecewa.
WAN HAMKA
melangkah malas menuju kearah Fatimah Az-Zahra yang tercegat menantinya di mula
pintu. Melihat wajah bapa saudaranya Wan Razin turut berada di situ, dia
tersenyum lebar. Rindu sungguh pada wajah-wajah itu.
“Bila sampai?”
“Malam semalam maklong..paklong..!” Ujar Wan Hamka sambil
menghulurkan tangannya untuk bersalaman.
“Sihat?”
“Alhamdulillah..! Paklong dengan maklong?”
“Sihat.” Jawab kedua-duanya serentak.
“Berapa lama cuti?” Tanya Wan Razin selepas berpelukan
dengan Wan Hamka.
“Tak pasti paklong. Kalau dipanggil baru saya balik.”
“Lama betul tak jumpa kamu. Dapat tengok gambar je. Tau-tau dah terbang jauh ke serata dunia. Dengar cerita kamu kerja di sana sekarang.”
“Haah Paklong.
Rezeki saya di sana sekarang. Terima jelah. Berpindah randah tu dah biasa.
Lepas ni tak tahulah kena sepak kat mana pulak.” Ujar Wan Hamka sambil
tersenyum.
“Yelah..kerja orang minyak ni memang rumit pun. Tak boleh
nak kekal tempat tinggal. Sekarang projek dekat mana?”
“Sekarang dekat Russia. Tapi projek tu dah siap dah. Tu yang
boleh balik cuti tu.” Balas Wan Hamka lalu menceritakan serba sedikit tentang
projek pemasangan terowong minyak sebesar bas ekspres di negara itu.
Wan Razin
yang begitu berminat dengan kerja-kerja mencabar begitu turut teruja mendengar.
Sesekali Fatimah Az-Zahra dan Wan Razin menggeleng kepala dan melopong mata dan
mulut mendengar cerita tentang kerja Wan Hamka yang mencabar dan merbahaya.
Panjang perbualan mereka pagi itu. Almaklumlah dua puluh
tahun tidak bersua muka. Bagi Wan Razin, dia sendiri tidak menyangka dengan
penampilan Wan Hamka. Jika dulu Wan Hamka hanya kanak-kanak kecil.
Namun bila berdepan sekarang, dia rasa sedikit kekok. Kanak-kanak yang dikenali
dulu benar-benar sudah berubah.
Bermacam-macam yang dibualkan hari itu. Bila nama Wan Husna
dibangkitkan, hatinya bagai dihiris kerana bayangan lelaki dalam kereta bersama
Wan Husna tadi masih segar di matanya. Kacak! Itulah yang terlayar di pandangan
matanya umtuk lelaki itu. Hati lelakinya mula cemburu.
“Paklong tahu kamu kecewa tengok Una dengan kawannya tadi. Bukan
paklong dengan maklong tak cakap dekat dia. Nak paklong salahkan dia pun tak
boleh juga. Sebab kamu pun salah jugak. Dua puluh tahun dia tunggu kamu balik,
apa berita pun dia tak terima. Paklong bukan nak menangkan anak paklong, tapi
bila kenangkan umur dia yang meningkat, paklong rasa ada baiknya juga dia buat
macam tu. Bagi dia menanti kamu macam menanti buah yang tak gugur.” Ujar Wan Razin kesal. Sejak Wan Husna mengaku sendiri untuk terus menunggu Wan Hamka, dari situ dia tahu anak gadisnya benar-benar mengharapkan Wan Hamka mengisi hatinya. Dia yang tak banyak kerenah hanya menurut sahaja.
“Memang salah saya paklong. Saya yang tak pandai hargai dia.
Saya lupa dengan keseronokan dunia hingga tak fikir perasaan dia. Saya yang
berjanji nak jaga dia. Saya yang berjanji nak balik jumpa dia. Tapi saya
mungkiri. Memang patut dia lupakan saya.”
“Mula-mula tu kami terkejut jugak dengan keputusan dia.
Sebab selama ni dia dah nekad nak tunggu kamu sampai bila-bila. Tapi lepas
balik dari US dua tahun lepas, terus dia cakap dah tak mahu tunggu kamu.”
“Dua tahun lepas Una dekat US? Buat apa?” Tanya Wan Hamka
hairan.
“Dia belajar dekat sana. Takkan Am tak tahu?” Balas Fatimah
Az-Zahra.
“Una belajar dekat US? Saya tak tahu pun!” Ujar Wan Hamka
semakin terkejut.
“Pelik! Betul Am tak tahu?” Tanya Wan Razin hairan lalu berpandangan dengan isterinya. Kelihatan wajah Fatimah Az-Zahra turut mengundang rasa pelik.
“Betul paklong..maklong. Saya memang tak tahu.”
“Tapi dia kata dia ada jumpa Am dekat sana.”
“Hah!! Una cakap macam tu?” Wan Hamka semakin tergamam.
Wan Razin dan Fatimah Az-Zahra laju mengangguk.
“Ibu dengan ayah tak cakap apa-apa pun dalam email. Dalam
telefon pun tak cerita hal Una.”
“Memang dia pesan dekat ibu ayah kamu jangan cerita hal dia
pada kamu. Dia kata nak buat kejutan jumpa kamu sendiri dekat sana. Bila tamat
pengajian, dia balik sini tapi dia tak cerita langsung fasal kamu. Bila kami tanya,
dia cakap dia ada jumpa kamu dan dia dah tak mahu lagi tunggu kamu. Mula-mula
tu paklong terkejut juga. Tapi bila dia berkeras ambil keputusan macam tu, kami
ikut sajalah. Nak tanya lebih-lebih nanti dia marah pulak.” Jelas Wan Razin
lalu melepaskan keluhan lemah.
Wan Hamka terdiam sambil berfikir. Apa semua ini? Bila masa
Wan Husna datang berjumpa dengannya? Apa niat Wan Husna berbohong dengan
keluarganya?
“Keputusanya tu sebab lelaki tadi tu ke?”
“Ish! Taklah..!
Dengan Hisham tu dia orang kenal masa
dah kerja. Tak silap maklong baru saja lagi. Tak sampai setahun pun..”
Wan Hamka terfikir-fikir. Apakah sebab Wan Husna berubah
hingga sanggup buat keputusan begitu? Jika sebab janjinya yang tak ditunaikan,
dia boleh terima. Namun ada rasa pelik di situ. Seandainya Wan Husna marah,
kenapa Wan Husna masih ada hati bertemu dengannya dia US? Dan jika benar Wan
Husna ke kota London, kenapa Wan Husna tidak datang berjumpa dengannya? Kenapa
dia langsung tidak pernah berjumpa dengan Wan Husna sedangkan dua tahun lepas,
dia masih berada di London walaupun kerap berulang alik ke Rusia. Wan Hamka
dapat rasa ada sesuatu yang disembunyikan oleh Wan Husna dan dia nekad mahu
mengetahui sebab-sebab yang tersirat itu.
No comments:
Post a Comment