BAB 13
WAN HUSNA
tersenyum-senyum selepas berbual dengan Hisham di talian sebentar tadi.
Mengingati jejaka itu buat Wan Husna seperti sedang berdepan dengan tuan empunya
diri. Walaupun Wan Husna cuba berlagak seperti tiada apa yang berlaku,
kadang-kadang hatinya boleh cair dek panahan mata liar Hisham. Dia sendiri
tidak menyangka boleh tebalkan muka demi mendapatkan cinta Hisham. Jika
diperhatikan, lelaki itu bukanlah setampan pelakun pujaan hatinya Danial Hanny
atau Tom Cruse, tapi ada sesuatu yang menggalakkan dirinya untuk terus
berdamping dengan lelaki yang lebih berusia darinya itu. Baginya faktor usia
bukan penghalang untuk dia mencipta bahagia. Apa yang penting adalah keikhlasan
dalam perhubungan. Dan dia yakin kebahagiaan yang dia cari selama ini ada pada
lelaki yang sedang bertahta dalam hatinya kini.
Wan Husna cuba bandingkan Hisham dengan Wan Hamka. Jika dinilai
dari segi rupa, Hisham bukanlah dikategorikan sebagai lelaki kacak tapi tetap
nampak menarik kerana raut wajahnya ada iras-iras seperti hero malaya Rosham Nor walaupun
bentuk badan sedikit melidi. Sementara Wan Hamka segak tubuh badan serta sasa
dan sudah tentu abang sepupunya itu kacak orangnya. Namun masing-masing ada
kelebihan dan kekurangan tersendiri. Yang pasti, dia akur Hisham lebih menarik
perhatiannya. Bukan kerana cinta sudah beralih arah dan bukan juga kerana rasa
marah pada Wan Hamka, tapi yang sebenarnya kerana hati sudah terpaut. Pertama
kali memandang raut wajah Hisham, hatinya bagai terpanggil mahu mendekati
lelaki itu. Mungkin sesetengah pendapat akan kata dia buta mata dan hati kerana
memilih lelaki berusia seperti Hisham. Baginya biarlah apa orang nak kata,
janji dia bahagia dengan pilihannya.
Hubungan yang sudah berlarutan bulan keenam, buat dia
sentiasa rasa bahagia. Namun sejak kepulangan Wan Hamka, hatinya sedikit
mendung. Entah kenapa perasaan rasa bersalah pada Wan Hamka tiba-tiba menular
dalam dirinya. Walaupun sedar perpisahan mereka itu bukan berpunca darinya, Wan
Husna tetap rasa bersalah. Ucapan perpisahan yang diungkapkan dalam hati tanpa
pengetahuan Wan Hamka itulah yang buat dia rasa bersalah sedangkan selama
pemergian Wan Hamka, sudah disimpulkan dalam hati bahawa hanya Wan Hamka yang
berada dalam hati. Paling buat dia rasa bersalah adalah bila Wan Hamka menyatakan rasa sayang dan cinta pada dirinya. Tidak disangka apa yang dirasa pada abang sepupunya sejak dulu turut dirasa oleh lelaki itu.
Perbualan dengan Hisham semalam ketika di café hospital benar-benar
menyesakkan hatinya. Hisham seolah-olah kurang mempercayai kejujuran cintanya
walaupun sudah berulangkali ditegaskan bahawa hatinya milik lelaki itu.
Sudahnya, Wan Husna terpaksa bersungguh-sungguh memujuk untuk menghilangkan
rasa rawan Hisham. Paling buat dia tersenyum geli hati ialah bila dirinya yang
balik harus dipujuk oleh Hisham. Lapang hatinya selepas berbual dengan Hisham
tadi. Kata pujuk yang diluahkan Hisham tadi benar-benar buat hatinya berbunga
kembang. Tak sabar rasanya menanti hari bahagia seperti yang dijanjikan oleh
Hisham tadi. Wan Husna yakin, jika tidak kerana rajuknya semalam, pasti Hisham
tidak nyatakan rancangan yang sememangnya sudah lama diimpikan sejak mengenali
lelaki itu.
Wan Husna ketawa sendiri bila ingat balik perbualannya
dengan Hisham semalam. Lucu bertamu dalam hati dengan sikap keanak-anakkan
Hisham. “Hurmmm…umur dah empat puluh, tapi perangai macam budak empat tahun.”
Kata hati Wan Husna sambil tersenyum dan menggeleng kepala.
“Awak masih sayangkan abang awak tu?” Tanya Hisham serius
selepas Wan Husna memberitahu mahu ke bandar bersama dengan Wan Hamka. Nyilu
rasa hatinya dengan cerita dan permintaan Wan Husna sebentar tadi. Rajuknya yang dulu pun masih lagi berbaki.
Wan Husna tersentak dengan soalan Hisham. Melihat riak wajah
lelaki itu, dia faham Hisham tidak boleh terima kehadiran Wan Hamka. Niatnya
yang sebenar bukanlah untuk menyakiti Hisham, tapi sebagai pasangan kekasih
yang bercinta, dia patut bersikap jujur. Sebab itulah dia menyatakan hasrat
sekali gus meminta izin dari Hisham uintuk keluar bersama dengan Wan Hamka. Dia
tahu dia berhak untuk keluar dengan sesiapa saja kerana antaranya dengan Hisham
masih belum ada apa-apa ikatan pun. Tapi demi kejujuran pada Hisham, dia rasa
dia patut memberitahu hal itu pada Hisham.
“Awak tak percayakan saya ye?” Tanya Wan Husna sayu.
“Bukan saya tak percaya dekat awak, tapi dekat abang sepupu
awak tu. Cara dia pandang awak seolah-olah dia masih mengharapkan awak mengisi
ruang hidup dia.”
“Apa masalahnya dengan abang saya tu? Dia ada ganggu hidup
awak ke? Kalau betul dia masih mengharapkan saya, apa masalahnya pada awak? Hati saya, saya yang kawal. Yang awak fikir yang bukan-bukan tu kenapa?”
Tanya Wan Husna agak kasar. Walaupun Wan Hamka pernah menyakiti hatinya, tak
sepatutnya Hisham berkata begitu tentang satu-satu abang sepupu yang paling dia
sayang.
“Maknanya awak tak kisahlah kalau dia masih mengharapkan
awak? Tu tandanya awak pun masih sayangkan dia.” Balas Hisham perlahan. Laju
degup jantungnya mendengar kata-kata Wan Husna tadi. Hatinya sedikit terguris. Tertanya-tanya dia dalam
hati, apakah Wan Husna juga turut sama seperti Wan Hamka.
“Dah tentulah saya masih sayangkan dia...! Itukan abang
saya. Selama-lamanya dia tetap saya sayang.” Balas Wan Husna geram. Sedikit
kecewa kerana Hisham meragui kejujurannya.
Sekali lagi Hisham terpana dengan jawapan Wan Husna. Dicuba
sabarkan hati agar barannya tidak tercetus ketika itu.
“Cinta pertama bagi seseorang adalah sesuatu yang boleh
dianggap sejarah hati yang tak boleh dibuang macam tu saja. Tak mustahil kalau
cinta lama akan berputik kembali jika seringkali berjumpa.”
Wan Husna tersentak. Wajah Hisham dipandang tepat.
“Awak nak kata saya masih harapkan dia? Awak fikir saya
masih cintakan dia? Kenapa awak masih meragui keikhlasan hati saya?” Lemah
hatinya bila lelaki yang dicinta meragui keikhlasan hatinya sedangkan selama
ini dia sanggup tebalkan muka demi mendapatkan kasih dari lelaki itu.
“Bukan meragui tapi hakikat sebenar apa yang dirasa setiap
hati yang pernah bercinta. Dah tentu banyak kenangan yang disimpan.”
“Memang banyak kenangan yang kami cipta bersama. Sampai
bila-bila pun takkan hilang dan siapa pun tak boleh nak kikis buang dari memori
saya. Tapi satu saya nak awak tahu,
kenangan yang dicipta itu hanya di zaman kanak-kanak dan saya dengan dia tak
pernah ungkapkan rasa cinta. Orang pertama yang saya ucap kata cinta hanya pada
awak.” Tekan Wan Husna perlahan walaupun ada ketegasan dalam nada pertuturannya.
Pandangannya tajam menikam ke mata Hisham.
Hisham tergamam seketika. Namun dia masih tidak berpuas
hati.
“Ungkapan cinta lahir dari hati, bukan bibir.” Balas Hisham
seperti mahu menguji hati Wan Husna.
“Ungkapan yang lahir dari hati tu ikhlas. Tapi jika
keikhlasan tu dibalas dengan khianat, maka keikhlasan itu dah tentu tak ada
lagi dalam hati. Saya kecewa dengan
awak, Hisham. Baru saya sedar selama ini awak tak pernah nampak keikhlasan saya
pada awak.” Ulas Wan Husna kesal.
“Awak jangan salah faham. Itu bukan maksud saya.” Kalut
Hisham mahu membetulkan keadaan. Risau kalau-kalau Wan Husna salah faham.
Tempat duduknya yang tadi berhadapan dengan Wan Husna, kini sudah berubah ke
sebelah gadis itu. Dia tidak mahu Wan Husna terus berfikir yang bukan-bukan.
“Saya risau, bimbang, takut.” Lemah Hisham berkata sambil
tepat memandang wajah Wan Husna yang menunduk. Dari wajah muram itu dia dapat
rasa gadis itu sedang kecewa dengan
sikapnya.
“Apa yang awak bimbangkan.? Takut saya berubah hati? Risau
saya kembali semula pada kenangan lama?” Tanya Wan Husna sambil mengeluh berat.
Sebenarnya hatinya turut rasa seperti yang apa Hisham rasakan ketika itu.
Kata-kata Hisham tentang cinta pertama tadi buat dia berfikir andainya Hisham
sama seperti apa yang dia ucapkan. Wan Husna bimbang andai Hisham memilihnya
kerana wajahnya yang seiras dengan bekas kekasih Hisham dulu. Andainya benar,
dialah pecinta yang paling kecewa. Ketika mula-mula bertapak sebagai kakitangan
di hospital tempatnya bertugas, ramai kakitangan di hospital beranggapan dia
adalah klon dokter Arleyana. Bila dia bersoal selidik dengan Kak Bibah siapakah
sebenarnya Dokter Arleyana, barulah dia tahu cerita sebenar. Wan Husna sedar,
tak sepatutnya dia cemburu pada orang yang sudah tiada. Namun apakan daya, dia
insan yang lemah. Mainan perasaan kadang-kadang buat dia tewas.
Hisham diam membisu. Keluhan yang lahir dari deruan nafas dimengertikan
oleh Wan Husna.
“Awak! Saya nak tahu sesuatu dari awak. Jujur dan ikhlas.” Kata Wan Husna tiba-tiba.
Hisham masih diam membisu namun pandangan matanya yang menikam ke
anak mata bundar gadis di sebelahnya, menyatakan dia sedia dengan apa yang akan
ditanya oleh Wan Husna nanti.
“Awak kata…Cinta pertama bagi seseorang dianggap sejarah
perasaan yang sukar dilupakan. Itu yang apa awak ucapkan tadi. Soalan saya,
adakah awak masih tak boleh lupakan sejarah perasaan awak tu?”
Hisham tersentak. Tidak disangka kata-katanya tadi memakan
dirinya sendiri. Di ruangan matanya kini terbias wajah seseorang. Dadanya
sesak, jiwanya sebak. Lidahnya kelu namun dia usaha juga mahu menegakkan benang
yang basah.
“Situasi kita berbeza. Awak kena faham tu.” Niatnya mula-mula
tadi mahu dipujuk. Apakan daya dia pulak yang terpaksa memujuk Wan Husna. Baru
rasa menyesal kerana meragui keiklasan Wan Husna. Yang sebenarnya bukan dia
tidak percaya, tapi bila mengenangkan kembali apa yang diceritakan oleh Wan
Razin dulu, hatinya tidak boleh lari dari perasaan syak wasangka dan cemburu
buta.
“Apa yang berbeza? Bagi saya sama saja. Hati masing-masing
yang rasa dan sendiri yang tahu. Atau awak sengaja nak mengelak tentang
perasaan awak sedangkan awak tahu perasaan tu memang sejak dulu sampai sekarang
tak boleh nak dibuang?” Bentak Wan Husna tidak puas hati. Melalui cerita yang
dia dengar dari mulut Kak Bibah, dia dapat rasa cinta Hisham pada Arleyana
masih kukuh tersemat di jiwa hingga kini dan selamanya.
“Awak perempuan saya lelaki. Sejarah saya adalah seseorang
wanita yang dah lama pergi dan pasti takkan kembali lagi. Sementara sejarah
awak adalah lelaki yang masih sendiri
dan saya yakin dia masih menanti awak. Apatah lagi hidup awak pun masih belum
terisi dengan ikatan yang sah.”
Wan Husna tergelak kecil sambil geleng kepala. Kata-kata
Hisham sukar diterima pakai. “Errmm..kalau
belum terikat, kenapa tak ikat?” Bisik hati kecil Wan Husna. “Saya nak
tanya awak.”
Hisham memandang wajah serius Wan Husna. Keningnya terangkat
tanda sedia menati soalan dari gadisnya.
“Kenapa awak terima saya?” Tanya Wan Husna bersahaja. Tangannya
menopang dagu menanti jawapan Hisham.
Hisham terdiam. Jawapan pada soalan Wan Husna nyata tiada.
Dia kelu lidah. Tidak mampu nak bersuara lagi. Mampukah dia memberi jawapan
kerana senyuman dan wajah Wan Husna sama seperti arwah Arleyana? Sebab cinta?
Tapi betul ke itu jawapannya? Entah..! dia sendiri tidak pasti. Apa yang dia
sedar, hatinya terpaut pada Wan Husna kerana wajah gadis itu seiras dengan
Arleyana. Untuk dia berterus terang, hatinya tidak sanggup kerana takutkan
kehilangan. Kehilangan Wan Husna akan melukakan hatinya seperti dia pernah
kehilangan Arleyana satu masa dulu.
“Awak..” Hanya itu saja yang mampu terluah dari kotak
suaranya. Harapannya agar dengan suaranya yang merintih sayu itu boleh
mengembalikan kesejukan dalam diri Wan Husna.
“Sudahlah! Saya tak mahu cakap lagi hal ni.” Ujar Wan Husna
lalu mengangkat punggungnya mahu berlalu dari situ. Berbual mengenai perkara
begitu, dia yakin tak akan ada jalan penamatnya. Sejak tahu wajahnya sama
seperti arwah Arleyana, dia sedikit terkilan. Dia yakin sangat cinta Hisham
masih pada arwah. Namun dipujuk juga hatinya agar terima semua sebagai satu suratan
takdir.
Hisham mengeluh kesal. Langkah Wan Husna hanya dipandang
sepi tanpa menghalang gadis itu pergi. Sudahnya sampai tamat waktu bertugas, hatinya
dihambat rasa bersalah setelah Wan Husna mengambil keputusan untuk berdiam
tanpa sebarang teguran dan mengisytiharkan perang dingin.
HISHAM mengetap
bibir menahan senyuman malu yang hampir melebar. Tak sangka kata pujukan yang
diluahkan pada Wan Husna sebentar tadi terluah juga akhirnya. Setelah sekian
lama menyusun ayat yang paling baik untuk melamar gadis itu, akhirnya dia
sendiri yang tercengang bila dengan senang hati Wan Husna terus bersetuju tanpa
sebarang alasan, keluhan dan bantahan. Jika dia tahu sebegini mudah melamar Wan
Husna, sudah pasti langkah itu diambil sewaktu pertama kali mengenali gadis
itu.
“Saya minta maaf fasal semalam tu. Awak masih marahkan
saya?” Lemah sekali suaranya mula memujuk. Sejak semalam hatinya sesak bila
sebarang panggilan atau teguran hanya dipandang seperti air lalu oleh Wan
Husna. Dia yakin Wan Husna benar-benar terasa dengan sikapnya yang suka syak
wasangka.
Hisham semakin tertekan bila soalannya tidak langsung Wan
Husna jawab. Hanya deruan nafas lembus saja yang kedengaran di hujung talian.
“Janganlah macam ni. Saya tak pandai memujuk perempuan.
Kalau pujuk mak saya, saya pandailah.!” Hisham cuba berseloroh. Bila mendengar
ketawa kecil suara Wan Husna, barulah dia boleh tarik nafas lega.
“Tak baik tau awak buat saya macam ni. Saya sedih sangat
sebab awak meragui saya. Tak terlintas pun di fikiran saya nak tinggalkan awak hanya
untuk kenangan saya yang dah lama pergi tu.” Luah Wan Husna sayu.
“Saya minta maaf. Saya janji lepas ni saya tak curiga lagi
dekat awak malah pada abang sepupu awak juga.”
“Janji?”
“Ye..saya janji.”
Sepi sedetik.
“Errmm..Macam mana
awak pujuk mak awak? Boleh saya tahu?” Tiba-tiba Wan Husna mulakan tajuk
perbualan yang baru. Sepi seketika tadi bermakna topik tadi tidak mahu
dibualkan lagi.
Hisham sudah mula rasa lega kerana Wan Husna sudah mula mahu
berbual panjang dengannya.
“Ermm..saya
cakaplah yang saya nak bawa balik bilalali
saya untuk dia.”
Wan Husna ketawa lagi walaupun sedikit pelik.
“Dah berapa kali awak pujuk mak awak macam tu.?”
“Banyak kalilah jugak.” Jawab Hisham lembut sambil tersengeh
malu. Terbayang-bayang wajah Puan Bariah yang ceria setiap kali dia menyatakan
hasrat mahu membawa bakal menantu.
“Maknanya lepas arwah kekasih awak, dah banyaklah bilalali yang awak tunjuk dekat mak awak
ek?”
Hisham menepuk dahi sambil terkemik-kemik muka kerana
ketelanjurannya berbicara. Diharapkan agar Wan Husna tidak terus bersangka
buruk terhadapnya.
“Sorang pun belum pernah lagi.” Jawab Hisham jujur.
“Tak baik tau awak buat macam tu dekat mak awak. Entah-entah
mak awak tu berharap tinggi nak tengok bilalali
awak tu.” Balas Wan Husna sambil tersenyum malu. Sedari awal lagi dia tahu
dialah bidadari yang dimaksudkan oleh Hisham tadi.
“Saya tahu tu. Sebab tu saya cadang nak ajak bidadari saya
jumpa dengan mak saya hujung bulan ni. Rasa berdosa pulak sebab mainkan perasaan
mak saya tu.”
“Hujung bulan ni?” Tanya Wan Husna teruja.
“Haah!”
“Alah.. hujung
bulan ni ada kenduri dekat rumah saya. Kan abang saya nak kawin hujung bulan
ni.” Rungut Wan Husna manja.
“Eh! Yang awak susah hati kenapa? Awak nak kenduri, kenduri
sajalah. Saya nak bawak bilalali saya.”
Panas serta merta wajah Wan Husna. Diikutkan hati mahu saja
dia menghempas telefon bimbitnya itu. Sakit hatinya kerana Hisham masih mahu
main-main dengannya.
“Awak!” Panggil Hisham lembut. Dari kebisuan Wan Husna, dia
tahu gadis itu sedang memendam rasa. “Manalah agaknya bidadari saya ni pergi?”
Keluh Hisham lembut setelah suara Wan Husna masih belum kedengaran di hujung
talian. Lama menanti akhirnya Hisham terpaksa tebalkan juga mukanya menyatakan
hasrat terpendam. “Sudikah bidadari dekat hujung talian ni berjumpa dengan
bonda hamba? Sebagai pelengkap hidup pada anakanda bonda saya yang dah lama
memendam rasa pada bidadari tu.”
Wan Husna sudah tidak boleh menahan lagi bibirnya agar
tersenyum lebar. Makin lama lebarnya semakin lebar dan tercetuslah hilai tawa
yang kuat.
Mendengar suara ketawa kecil Wan Husna, Hisham melebarkan
senyuman.
“Bidadari yang hina dan buruk rupa ni sedar diri. Tak mampu
nak berganding dengan orang yang kemaruk tu.” Balas Wan Husna cuba berseloroh.
“Buruk dan hina langsung tidak menjadi halangan untuk hamba
teruskan impian hamba ni. Bidadari hanya perlu kata yes or no saja.”
“Yes! Yes! Yes!”
Pantas Wan Husna terus menjawab. Dia tidak mahu bertangguh-tangguh lagi kerana
memang itu yang menjadi impiannya sejak mengenali lelaki itu.
Hisham tergamam. “Thank
awak.! Lepas majlis abang Shah, nanti saya datang bincang dengan keluarga
awak.”
“Awak tak tipukan?” Tanya Wan Husna lembut. Dia mahukan
keyakinan dari lelaki itu.
“Sepanjang awak kenal saya, pernah ke saya tipu awak?”
Wan Husna tersenyum dan terkedu. Diakui Hisham tidak pernah
berbohong atau menipu. Cuma bila ingat balik tentang arwah Arleyana, hatinya
sedikit kecewa. Tertanya-tanya dia sendiri, mengapa Hisham tidak pernah
berterus terang tentang Arleyana padanya. Wan Husna cuba memujuk hatinya
sendiri. Dia andaikan mungkin Hisham terpaksa berbuat demikian kerana tidak
mahu mengingati sejarah lama. Wan Husna akan cuba terima seadanya.
“Terima kasih awak..”
“Saya yang patut terima kasih pada awak sebab sudi terima
saya yang dah hampir kertu ni.” Balas Hisham cuba berseloroh. Yang sebenarnya
kata-kata itu dia akui sendiri. Dengan umurnya yang sudah masuk 40an, dia yakin, pasti rugi kalau melambat-lambatkan
impiannya.
“Dah nak kertu ke? Saya tengok memang dah kertu pun..!”
Balas Wan Husna berselang dengan hilai tawa yang jarang sekali diluahkan pada
sesiapa.
“Amboi..! sukanya..! Tak apa. Kertu-kertu pun siapa punya?”
Tanya Hisham bangga.
Wan Husna meredakan tawanya. Tenang dan riang hatinya bila
Hisham berkata begitu. Ditabir hatinya kini adalah untuk merialisasikan impian
untuk menjadi milik mutlak lelaki yang bernama Hisham. Dia yakin bahagianya ada
pada lelaki bernama Hisham.
No comments:
Post a Comment