PENGHARGAAN

Assalamualaikum..
Salam sayang untuk semua kerana sudi2 mengintai di ruangan laman saya yg baru nak bernafas ni.
Sblm jemari sya terus menari,ribuan terima kasih pada adik sya iaitu bloger Senyum-Senyum Diana Rashid sbb tanpa dia, blog sya ni kompem x ujud. Thnk n lebiyu..
Almaklumlah..kakak dia ni slow sikit tentang IT-IT ni..hehehe..
Yg ke 2 plk adalah insan terchenta sya. Tak lain tak bukan dh tentulah Encik sya. Klu tak kerana dia, sampai sekarang karya sya ni dok dlm pendrive jelah..
Utk adik beradik sya yg sering beri semangat..kakyung, Ani, azam, ain, Rina, Ya n abg Jeri.. terima kasih byk2.
Khas untuk mak, terima kasih yg x terhingga. Wlupun bidang ni kurang digemari, sya anggap itu sebagai cabaran untuk berkarya.
Pada sahabat2 Ding Dong..thnk 4ever n ever. Kata2 semangat dan sokongan kalian amat sya hargai dan sanjungi. Kalian mmg best..edea korang adalah yg terbaik!!
Buat kwn2 yg lain, kata2 dan penghargaan korang mmg tersemat dalam hati. Kompem sya x lupa.
Dari itu..sudi2lah mengintai dan membaca krya sya ni. Jgn lupa mengkritik dan mengomen.
Klu nk memuji, sya mohon jgn tinggi2 sgt. Takut sya terperasan hebat. hehehehe...
Risau jgk..bila dah rasa hebat, kompem senang lupa diri dan jatuh ..
Okey...Selamat Membaca..


Thursday, 2 April 2015

BAB 1:::Pasrah Dalam Redha

Bab 1

Panjang lamunan dan khayalannya. Sesekali tangan kanannya bergerak ke arah tangan kirinya yang sedang memegang mangkuk plastik yang berisi gandum. Dijemput sedikit lalu ditabur ke tanah untuk menjamu ayam-ayamnya makan. Namun matanya sedikit pun tidak berkelip malah tidak bergerak ke arah lain. Asyik benar Wan Razak memerhatikan gelagat sekumpulan ayam peliharaannya makan. Melihat tengkuk kepala ayam terangguk-angguk menjamah gandum, dirasa seperti mendengar rentak muzik bollywood. Sesekali dia akan tersenyum nipis. Dia mengeluh berat bila tersedar beberapa saat kemudian bila ingatannya kembali pada apa yang dikhayalkan awal tadi.

Begitulah aktiviti sehariannya setiap jam enam petang sebelum diarahkan ayam-ayamnya masuk reban. Akan dipastikan semuanya dalam kekenyangan. Dia tidak mahu binatang ternakannya kelaparan sepanjang malam. Begitu juga dengan sepasang itik angsanya yang kini sudah mula bertelur. Sayang sungguh Wan Razak pada binatang peliharaannya hingga sanggup meluangkan sedikit masa walaupun sibuk mengajar di waktu pagi hingga ke petang. Sayangnya seperti dia sayangkan anak-anaknya sendiri. Tanpa disedari gelagatnya sedang diperhatikan oleh isterinya. Sedar-sedar isterinya sudah melabuhkan punggung di sebelahnya sambil tersenyum manis.

“Abang fikirkan apa ni? Panjang sungguh melamun, sampai saya datang pun tak sedar.”
Wan Razak tersenyum malu. Berkhayal memang mengasyikkan dan melalaikan. Sambil menaburkan gandum ke tanah, dia menggeleng kepala.

Takde apa. Abang seronok tengok ayam-ayam ni makan.” Wan Razak cuba beralasan. Renungan mata tajam dari isterinya langsung tidak dibalas kerana yakin isterinya itu pasti sedang membaca sesuatu dari air mukanya.

“Kita dah sebumbung dekat dua puluh tahun bang! Dah banyak yang saya tahu tentang abang. Kalau setakat muka abang macam ni, tak payahlah abang nak selindung. Di balik satu wajah ada terselit sejuta wajah yang tersirat. Walaupun sukar dirungkai, dimengertikan dan ditafsirkan, saya tahu abang sedang sembunyikan sesuatu.”

Wan Razak tersenyum nipis mendengar bait kata indah tersirat dari milik isterinya. Hatinya sedikit terhibur. Faham benar dengan ilmu isterinya yang juga merupakan seorang guru sastera di sekolah tempatnya mengajar. Tak hairanlah kalau isterinya selalu menyampaikan apa-apa nasihat dengan ayat yang berbunga-bunga. Perlahan-lahan ditoleh kepalanya memandang wajah Wan Napisah yang sedang menguntum senyuman manis. Kalah dengan senyuman itu, cepat-cepat pandangannya dilarikan semula ke arah binatang peliharaannya.

“Entahlah! Abang pun tak tahu apa yang abang fikirkan sebenarnya.” Ujar Wan Razak lalu mengeluh lagi.

“Berat sangat ke bang?”

Wan Razak berpaling. Wajah isterinya dipandang sekilas dan kemudian pandangannya kembali pada ayam-ayamnya yang kalut memagut gandum di tanah.

“Kadang-kadang abang rasa abang ni seorang bapa yang gagal.”

Wan Napisah tersenyum hambar. Sudah dapat diagak, apa maksud suaminya hingga suaminya berkeadaan begitu.

“Kenapa abang fikir macam tu? Abang risaukan Am ke?”

Wan Razak terdiam. Kalah dengan isterinya kerana andaian Wan Napisah amat tepat sekali.

“Abang! Anak kita tu budak lagi. Baru dua belas tahun. Biasalah budak-budak.! Nakal tu memang dah biasa. Kalau tak, taklah dinamakan budak-budak. Dulu anak-anak kita yang lain pun lasak dan nakal juga.” Kecewa sedikit hati Wan Napisah mendengar luahan hati Wan Razak. Selama ini baginya Wan Razak adalah seorang suami dan ayah yang amat dibanggakan. Sejak awal perkahwinannya dengan Wan Razak, dia bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang bertanggungjawab.

Wan Razak mengeluh lagi. Dia mengaku anak-anaknya yang lain pun lasak dan nakal juga. Tapi tidaklah selasak dan senakal Wan Hamka. Kalau dulu, kelasakan dan kenakalan anak-anaknya tidak pernah menjadi bahan untuk orang datang buat aduan. Tapi kali ini dia menjadi segan bila sudah acapkali telinganya mendengar orang mengadu yang bukan-bukan tentang anak bongsunya itu.

“Dua belas tahun tu budak lagi ke? Kalau zaman abang dulu, umur dua belas tahun dah tahu pergi cari kerja cari rezeki sendiri.”

“Tu zaman abang. Zaman sekarang lain bang oii..!”

Wan Razak tersenyum hambar dan kemudian dia melepaskan keluhan hingga Wan Napisah turut hambar melihat wajah kelat suaminya.

“Abang malu dengan orang kampung. Dulu abang dihormati dan sering menjadi contoh kepada orang kampung kerana berjaya mendidik anak-anak yang berakhlak. Dulu pun tak ada yang nak datang buat aduan. Tapi semenjak Am mula sekolah dari darjah satu sampailah sekarang nak habis sekolah rendah , macam-macam yang abang terima. Hinggakan sekarang abang sering disindir dan dimaki kerana sikap Am. Mereka seolah-olah hilang hormat pada abang. Kadang-kadang abang rasa macam nak keluar dan lari dari kampung ni.”

Wan Napisah tersentak mendengar luahan hati Wan Razak. Tak sangka sampai begitu sekali suaminya merasa kecewa.

“Abang nak pergi mana?” Tanya Wan Napisah lemah. Dalam hati berharap agar suaminya tidak membuat keputusan untuk pulang ke pangkuan keluarganya yang kini telah menetap di negeri Sabah. Terkilannya masih terasa bila hajadnya untuk bersuamikan Wan Razak mendapat tentangan dari ibunya sedangkan mereka dari keturunan yang sama. Nasib baiklah ayahnya merestui. Jika tidak sampai sekarang dia masih menanti Wan Razak.

“Entah! Abang pun tak tahu. Dari mula kita kawin, inilah tempat kita mulakan kehidupan baru. Inilah tempat anak-anak kita dilahirkan dan dibesarkan. Walaupun kita tidak mewah di kota bandar besar, kita tetap bahagia dan selesa di sini. Abang tambah selesa bila abang Zin turut ada hati beli tanah dekat sebelah rumah kita ni. Walaupun kita bukan berasal dari kampung ni, abang rasa seronok sebab abang ada saudara terdekat di sini.”

Wan Napisah tersenyum. Sebenarnya dia turut setuju dengan apa yang suaminya katakan tadi. Semenjak abang iparnya Wan Razin membeli tanah dan membina rumah bersebelahan dengan rumahnya dua tahun lalu, hatinya benar-benar rasa gembira. Jika sebelum ini saudara mara memang tinggal berjauhan. Tapi semenjak adanya Wan Razin dan Fatimah Az-Zahra berpindah di situ, hidupnya lebih ceria. Tidaklah terasa sangat berjauhan dengan saudara mara. Almaklumlah..keluarganya jauh di Sabah dan Singapura sementara Wan Razak pula asalnya dari negeri Kedah namun orang tuanya dan saudara mara banyak di tinggal di England.

“Abang terlalu banyak berfikir. Tak elok untuk kesihatan abang. Abang tu muda lagi tapi dah nampak macam umur lima puluh tahun.”

Wan Razak ketawa kecil dengan bebelan isterinya. Terhibur seketika bila usianya yang sudah menjangkau empat puluh tahun masih dianggap muda oleh Wan Napisah. Namun hatinya kembali risau dengan apa yang terjadi di depan kedai Hj. Samad petang tadi ketika pertemuannya dengan Leman.

“Cikgu Wan! Saya ni dah habis sabar dengan perangai anak cikgu tu. Cuba cikgu ajar sikit anak cikgu tu supaya tak menyusahkan orang.”

“Anak saya buat apa pulak kali ni abang Man?” Tanya Wan Razak lemah. Masuk ini dia sendiri tak terbilang berapa kali orang mengadu tentang Wan Hamka. Jika dilihat kelakuan Wan Hamka di rumah, anaknya itu bukanlah dalam ketegori nakal sebab Wan Hamka memang jenis tidak banyak bercakap. Dalam erti kata lain, anak bongsunya itu seorang yang pemalu.

“Semalam anak saya mengadu, dia nampak anak cikgu dengan kawan-kawan masuk kebun saya. Kalau nak makan tu saya tak kisah. Makanlah banyak mana nak makan. Saya tak marah. Yang saya marah sangat tu sebab dia tetak-tetak dahan pokok saya. Rosaklah pokok tu nanti. Habis buah rambutan yang muda pun ditetak buang. Memanglah pokok tu tak mati, tapi tak eloklah buat macam tu. Lagi satu. Lepas makan dibiarkan saja kulit bersepah bawah pokok. Penatlah saya kalau macam ni..!”

“Anak saya tu budak lagi abang Man. Masih tak berakal.” Lembut jawapan yang Wan Razak beri. Untuk bertegang urat perkara seperti itu, dirasakan tidak perlu kerana itu bukan cara dia bercakap dengan orang. Tambah-tambah lagi orang itu lebih berusia darinya. Cara didikan orang tuanya sejak kecil masih terpahat elok dalam dirinya hingga kini. Akan digunakan sebaik mungkin dan sudah pasti akan dilakukan perkara yang sama pada anak-anaknya pula.

“Sebab tak berakallah kena ajar!” Tegas Leman hingga terbeliak biji matanya memandang Wan Razak.

“Macam nilah abang Man. Saya sebenarnya bukan nak menangkan anak saya. Tapi tak patutlah abang Man salahkan anak saya sorang. Abang Man sendiri cakap tadi dia pergi dengan kawan-kawan dia. Tak mustahil kalau kawan-kawan dia yang buat.”

Leman tersentak. Rasa tercabar bila mendengar Wan Razak berkata begitu.

“Oh..maknanya cikgu nak kata anak cikgu tu baiklah..macam tu?” Tanya Leman tidak puas hati.

“Saya tak maksudkan macam tu.” Balas Wan Razak lembut.

Huh! Dahlah cikgu. Saya malas nak bertekak dengan cikgu. Cakap dengan orang tinggi ilmu ni bukan boleh lebih-lebih sangat. Silap-silap saya yang malu. Saya ni orang kampung saja cikgu..! Cakap apa pun semua tak betul.!” Balas Leman lalu melangkah dan meninggalkan Wan Razak terpinga-pinga di situ. 


"KALAU sebab macam tu abang nak berjauh hati, saya nasihatkan abang diam saja. Budak-budak bang! Tengah buas. Macam tulah…” Balas Wan Napisah selepas mendengar cerita dari mulut Wan Razak sendiri tentang apa yang menjadi pergolakan dalam diri Wan Razak.

“Tapi abang tak senang hati kalau kita hanya berdiam. Abang tak tahu lepas ni apa pula yang dia orang nak adukan. Abang malu dengan orang kampung. Abang rasa tertekan!.” Bentak Wan Razak perlahan.

“Abang ada cadangan?” Tanya Wan Napisah setelah beberapa detik membisu. Dia pun kadang-kadang runsing dengan suara-suara yang menyakitkan hati dan telinga tentang anak bogsunya. Sebenarnya bukan Wan Razak sahaja yang selalu mendapat aduan, malah telinganya juga sering ditebalkan tiap kali mendapat tahu tentang berita-berita tidak bagus tentang Wan Hamka.

“Abang rasa nak hantar dia duduk dengan ayah.” Jawab Wan Razak selepas beberapa detik berdiam diri. Tahu yang rancangannya pasti mendapat tentangan hebat dari Wan Napisah, namun dia harus suarakan juga.
Wan Napisah tergamam. Bulat mata dan mulutnya melopong kerana terkejut.

“Saya tak setuju! Anak kita tu masih budak. Dia perlukan kita untuk membesar. Abang sanggup jauhkan anak kita dari kita?” Wan Napisah sudah tidak senang duduk. Di ruangan matanya kini adalah wajah anak bonsunya Wan Hamka sedang menangis merayu agar jangan dipisahkan dengannya.

“Itu saja cara yang abang nampak untuk elak dia terus dihina dan dicerca.” Ujar Wan Razak cuba memujuk.

“Abang kejam! Abang sedar tak ayah abang tu duduk mana? Kalau dekat saya tak kisah. Tapi kalau dah keluar dari negara, saya tak sanggup!” Bentak Wan Napisah marah walaupun nada suaranya masih boleh direndahkan.

“Untuk sementara saja. Bila dia dah remaja, kita ambil balik.” Wan Razak masih cuba memujuk.

“Saya tetap tak setuju.! Kalau abang teruskan juga, biar saya bawa Am balik rumah keluarga saya. Nak jadi apa, jadilah!” Bantah Wan Napisah berang lalu bangun dari duduknya dan terus berlalu dari situ.

Wan Razak mengeluh berat sambil perhatikan isterinya bangun lalu meninggalkannya sendiri di situ. Bukan dia tidak berfikir seperti yang isterinya fikirkan. Cuma fikirannya semakin berserabut bila pelbagai kata hinaan dan kutukan dilontarkan di atas kepalanya saja. Dia yakin, jika menghantar Wan Hamka tinggal dengan ayahnya, anaknya itu pasti akan berubah. Memandangkan ayahnya seorang imam, dia yakin anaknya akan menjadi orang yang disegani. Namun bila melihat riaksi isterinya tadi, nampaknya dia terpaksalah mencari jalan lain.


WAN HAMKA terduduk lesu selepas mendengar perbualan kedua orang tuanya. Sayu hatinya dan rasa bersalah bila melihat wajah ibunya muram selepas ayahnya membuat cadangan yang dia sendiri tidak dapat terima. Tak dapat bayangkan bagaimana kehidupannya bila berjauhan dengan ibu yang selalu memanjakan dirinya.

Wan Hamka termenung panjang. Dia mengaku memang selama ini dia nakal. Tapi tidaklah sampai merosakkan harta benda orang. Kisah semalam datang kembali. Jika nak kata dia bersalah, memang tak patut sebab kesalahan yang berlaku bukan dia sendiri yang melakukan.

“Korang nak pergi, pergilah! Aku tak mau. Tau dekat ayah aku, habis aku nanti..!” Kata Wan Hamka pada sahabat baiknya Firash dan Luqman.

“Una! Jom ikut abang balik.!” Sambung Wan Hamka lagi sambil menarik tangan Wan Husna. Namun dia tersentak bila Wan Husna merentap dan menarik kembali tangannya dari genggaman Wan Hamka.

“Una teringin nak makan rambutan. Abang tolonglah ambilkan untuk Una.” Kata Wan Husna perlahan cuba meraih simpati.

“Tu orang punya. Kalau Una nak, kena minta dulu dekat tuan punya pokok.” Balas Wan Hamka tenang.

Alah..! Bukan kita ambil banyak pun. Ambil sorang lima biji, cukuplah. Lagipun Pak Man tu bapak saudara aku. Dia tak kisah kalau kita nak makan banyak mana pun.” Kata Luqman angkuh.

“Tak boleh macam tu. Berdosa! Tu tetap juga dikatakan mencuri.” Bentak Wan Hamka lalu mengisyaratkan dengan mata dan kepalanya agar Wan Husna mengikutnya pulang. Namun selepas melihat Wan Husna seperti mahu menangis, dia jadi lemah semangat untuk memaksa adik sepupunya pulang.

Okey..tapi kejap saja tau! Abang takut nanti ayah abang marah pulak.” Ujar Wan Hamka sambil mencapai tangan Wan Husna agar mengikutnya beriringan dengan Firash dan Luqman.

Sampai di dalam kebun itu, mereka rambang mata melihat banyak pohon-pohon rambutan yang rendang sudah dipenuhi dengan buah rambutan yang masak ranum. Memandangkan pokok rambutan itu rendah, dengan mudah mereka memetik buah rambutan yang berjuntai dan meleret ke tanah.

Woi Luqman..! Kenapa kau patah-patahkan dahan tu.? Ambil buah saja sudahlah. Tengok! Buah yang muda pun habis berterabur. Sayanglah..! Tau dekat Pak Man, mati kita nanti. Yang kau pulak Firash, mana kau dapat golok tu? Rosaklah dahan-dahan pokok ni” Bebel Wan Hamka tidak puas hati dengan sikap kawan-kawannya.

Alahh..kau jangan risaulah Am. Bapak saudara aku tu takkan marahnya. Lagipun banyak lagi pokok rambutan dalam kebun ni. Tak habisnya kalau keturunan dia makan anak beranak.”

Wan Hamka mengeluh geram lalu menarik tangan Wan Husna agar mengikutnya pulang. Dia yakin Wan Husna sudah kekenyangan. Lagipun dia tidak mahu berlama di situ kerana takut ada mata yang memandang. Memandangkan hari sudah lewat petang, dia yakin ibunya sedang menantinya pulang. Lagi pula dia tidak mahu ibu saudaranya bising kerana membawa Wan Husna sekali. Niat permualaannya tidak mahu membabitkan Wan Husna. Tapi kerana Wan Husna sudah mula merengek mahu mengikut, dia terpaksa mengalah. Tambah-tambah lagi adik sepupunya itulah satu-satunya adik yang dia ada. Wan Husna adalah segala-gala baginya. Wan Hamka tersedar dari lamunan bila pintu biliknya diketuk dari luar. Mendengar suara lembut ibunya, Wan Hamka tarik nafas lega. Risau juga dia tadi kalau-kalau ayahnya yang memanggil. Dia yakin pasti telinganya berasap dengar bebelan yang bakal keluar dari mulut ayahnya jika berdepan dengan ayahnya nanti. Paling dia takutkan ialah rotan panjang yang selalu digunakan oleh ayahnya untuk menjamah punggungnya jika dia melakukan kesalahan.

“Am dah mandi?” Tanya Wan Napisah lembut.

“Dah!”

“Solat?”

Wan Hamka terdiam. Rasa bersalah kerana tidak menunaikan tuntutan yang satu tu. Baru sedar masa yang patut digunakan untuk mengadap yang esa digunakan untuk berkhayal.

“Kenapa tak solat lagi? Dah dekat pukul lapan ni. Cepat! Lepas solat nanti nak pergi mengaji pulak.” Pesan Wan Napisah sambil mengusap rambut Wan Hamka. Sebelum berlalu pergi, sempat dikucup kepala Wan Hamka penuh kasih.

“Ibu!” Panggil Wan Hamka sayu sebelum ibunya berpaling memandang ke arahnya.

“Betul ke ayah nak hantar Am ke rumah Tokki?”

Wan Napisah tersentak. Lantas dipeluk tubuh kecil Wan Hamka untuk memujuk setelah melihat tubir mata Wan Hamka sudah mula berlinangan air mata.

“Selagi ibu masih hidup, tak ada siapa boleh pisahkan ibu dengan anak ibu.”

“Tapi ayah nak Am duduk dengan Tokki.”

“Ibu takkan benarkan!”

“Sebenarnya Am tak kisah kalau ayah nak Am pergi dari rumah ni, tapi Am tak mahu tinggal dengan Tokki. Am tahu ayah buat semua ni sebab tak mahu Am kena hina. Am mengaku Am nakal, tapi Am tak pernah rosakkan barang orang. Semalam tu bukan Am yang buat. Luqman dengan Firash yang rosakkan pokok Pakcik Man. Kalau ibu tak percaya, ibu boleh tanya Una. Una pun ada sekali.”

Jawapan Wan Hamka buat Wan Napisah tergamam. Tidak disangka anaknya yang sekecil sanggup difitnah oleh orang kampung. Apalah salah anaknya hingga orang pandang serong? Sebelum ini selain suaminya, dia turut diherdik gara-gara kerana kononnya Wan Hamka memecahkan cermin kereta orang. Kerana tidak mahu panjangkan cerita, dia sanggup habiskan dua ratus lima puluh ringgit membayar semula harga cermin itu. Dan yang paling dia tidak boleh terima bila Wan Hamka dikata mencuri duit tabung masjid. Kadang-kadang tuduhan yang dilemparkan pada anaknya tidak berasas langsung.

“Am jangan risau. Ibu takkan benarkan ayah hantar anak ibu pergi mana-mana. Tempat Am adalah di sisi ibu. Selagi ibu ada, Am hanya layak tinggal dengan ibu saja.”

“Apa kata ibu izinkan Am pergi? Am janji Am akan belajar bersungguh-sungguh hingga jadi orang yang berguna.”

“Am cakap apa ni?” Tergamam Wan Napisah mendengar luahan rasa hati Wan Hamka.

“Ibu janganlah salah sangka. Am rasa ini saja jalan yang terbaik agar Am tidak lagi dituduh macam-macam. Sebenarnya Am malu dengan ayah. Am kasihankan ayah. Sebabkan Am, ayah jadi malu dengan orang kampung.”

Wan Napisah tidak dapat menahan sebak. Tubuh kecil Wan Hamka dipeluk erat. Dalam hati sempat bersyukur kerana dikurniakan anak sebijak Wan Hamka.

Di balik pintu bilik, Wan Razak turut merasa sebak. Cepat-cepat diseka air matanya yang sudah membasahi pipinya. Rasa kesal pula bila menyuarakan hasratnya itu pada isterinya tadi. Tidak disangka perbualan itu didengari oleh empuya diri. Selama ini pun dia sedar, anak bongsunya itu bukanlah senakal seperti yang orang kampung katakan. Cuma bila tuduhan demi tuduhan yang dia terima semakin melampau, sedikit sebanyak dia termakan juga hasutan.


PULANG  dari mengaji al-quran, Wan Hamka singgah sebentar di rumah Wan Husna. Sudah menjadi kebiasaan tiap kali Wan Husna ada kerja sekolah, pasti Wan Hamka yang dipaksa menjadi gurunya.
Kadang-kadang tingkahlaku Wan Husna amat memeningkan kepala Wan Razin dan Fatimah Az-Zahra. Mereka kasihan melihat Wan Hamka sanggup menahan kantuk mata semata-mata mahu memuaskan hati anak mereka.  Kadang-kadang Wan Hamka menunggu Wan Husna selesaikan kerjanya sehingga terlelap di ruang tamu. Nasib baiklah kerja sekolahnya seawal-awal lagi Wan Hamka sudah membawa dari rumahnya. Jadi sambil dia mengajar adiknya, sempat lagi dia siapkan kerja sekolahnya.

Bagi mereka satu peluang yang baik Wan Husna belajar dengan Wan Hamka walaupun pada mulanya mereka agak keberatan. Anak saudara mereka itu mempunyai otak dan fikiran yang bijak. Setiap pelajaran yang disampaikan pada Wan Husna, dengan mudah anak perempuan mereka itu mengikutnya. Pada Ujian pertengahan tahun, Wan Husna mendapat tempat pertama dengan markah penuh setiap mata pelajaran. Kebanggaan itu turut dikongsi bukan saja dari guru-guru malah Wan Razak dan Wan Napisah. Dan sudah tentulah Wan Hamka orang yang pertama yang paling gembira.

Malam itu sedikit saja nasi yang luak dari pinggannya. Wan Hamka kurang berselera bila mengingati kejadian petang tadi. Patah seleranya walaupun makanan yang dihidangkan oleh ibu saudaranya itu merupakan makanan kegemarannya.

“Kenapa makan sikit sangat Am? Tak sedap ke maklong masak ni?” Tanya Fatimah Az-Zahra setelah melihat Wan Hamka seperti kurang bermaya. Sudah menjadi kebiasaan selepas pulang dari mengaji Quran, dia akan menjamu Wan Hamka dan Wan Husna makan terlebih dahulu sebelum Wan Hamka dan Wan Husna mengulangkaji pelajaran atau membuat kerja sekolah.

Takdelah maklong. Maklong masak memang sedap. Sebenarnya Am dah kenyang. Sebelum pergi mengaji tadi Am dah makan sikit dekat rumah.” Bohong Wan Hamka perlahan.

“Am demam ke? Paklong tengok Am macam tak sihat saja.”

“Am sihat, paklong.” Jawab Wan Hamka ringkas lalu cepat-cepat dipaksa juga habiskan makanannya.

“Dari tadi Una tengok abang diam je. Abang ada apa-apa nak cerita dekat Una ke?”

“Tak ada apalah. Abang cuma mengantuk je. Abang cadang malam ni lepas makan abang nak balik terus. Una tengok tv dengan umi dan abi Una jelah ek. Esok ajelah kita buat klerja sekolah. Abang penatlah.”

Alahh..tak bestlah macam tu..” Wan Husna sudah mula merengek manja.

“Una..! Abang Am penat tu. Biarlah abang Am balik awal malam ni. Lagipun esokkan cuti sekolah. Bila-bila pun boleh buat kerja sekolah tu.” Pujuk Wan Razin.

“Yelah Una. Una tak kesian ke dekat abang Una tu.?” Ujar Fatimah Az-Zahra pula setelah melihat Wan Husna sudah mencuka.

Hah..! Apa kata malam ni abang tidur dekat sini. Katil Una besar. Boleh je share dengan Una.”

Cadangan Wan Husna yang tiba-tiba muncul itu menyebabkan mata dan mulut Fatimah Az-Zahra dan Wan Razin melopong.

Ish! Mana boleh macam tu.” UjarWan Razin kurang puas hati.

“Kenapa tak boleh pulak?”

“Una tu perempuan, abang Am tu lelaki. Tak elok tidur sekali.”

“Abang Amkan abang Una.”

“Memanglah abang Una. Tapi abang Am bukan macam abang Shah, abang Huzir atau abang Mizi. Abang Am ni cuma abang sepupu saja. Kalau abang betul pun abi takkan benarkan tidur sekatil dengan Una.” Tegas Wan Razin bersuara hingga muncung mulut Wan Husna jelas kelihatan.

Wan Hamka tersenyum mendengar penjelasan Wan Razin. Tidak tahu apa yang harus  disampukkan melainkan diam sahaja. Agak malu bila tajuk itu yang menjadi bualan ketika itu. Walaupun dia baru berusia dua belas tahun, dia masih boleh faham apa yang ingin disampaikan oleh bapa saudaranya itu.

“Habis tu abi boleh pulak tidur dengan umi? Hari-hari Una dengar umi panggil abi abang. Una panggil abang Am, abang, tapi tak boleh tidur sekali. Mana aci macam tu!” Tempelak Wan Husna kurang puas hati.

“Una..Una.! Abi dengan umi lain. Abi dengan Umi dah kawin. Memanglah boleh tidur sekali.”

“Ohh..maknanya kalau Una kawin dengan abang, baru kami boleh tidur sekali? Macam tu?” Tanya Wan Husna teruja. Wajah kedua orang tuanya dipandang silih berganti.

Hmm..macam tulah. Tapi kena tunggu besar macam abi dan umilah.” Jawab Wan Razin setelah berdiam. Berat lidahnya mahu menjawab. Dalam pada itu dipaksa juga lidahnya menjawab. Gelas yang berisi air putih diambil lalu diteguk perlahan.

Terangguk-angguk Wan Husna selepas mendengar penjelasan Wan Razin seolah-olah dia memahami apa yang telah disampaikan oleh abinya tadi.

“Abang! Bila dah besar nanti kita kawin ek.”

Tersedak Wan Razin mendengar kata-kata Wan Husna. Fatimah Az-Zahra yang sedang mengunyah nasi turut tersedak hingga hampir-hampir menyemburkan nasi dari mulutnya. Nasib baik sempat ditutup mulutnya yang sedang mengunyah. Jika tidak pasti Wan Hamka yang berada di hadapannya menjadi mangsa semburan.

Wan Hamka hanya tersengeh malu. Melihat keadaan kedua ibu dan bapa saudaranya, dia serba salah.
“Kenapa Una cakap macam tu dekat abang Am? Tak malulah Una ni.” Bentak Fatimah Az-Zahra geram sambil menggeleng kepala. 

“Kalau Una kawin dengan abang, sampai bila-bila abang boleh jaga Una.” Balas Wan Husna serius.
“Macam mana Am? Am nak ke kawin dengan Una yang tak malu ni?” Tanya Wan Razin dengan niat mahu mengusik. Baginya kata-kata anaknya itu sekadar kata-kata dari kanak-kanak yang tidak memahami apa-apa. Akhirnya terluah juga tawa kecil dari bibirnya.

Wan Hamka tidak menjawab malah hanya tersengeh malu.

“Abang mesti kawin dengan Una tau!”

“Kalau abang Am tak mahu?” Tanya Fatimah Az-Zahra tiba-tiba dengan niat mahu mengusik anak gadisnya.

“Una tak kira. Abang mesti kawin jugak dengan Una!”

Tercengang Wan Hamka, Wan Razin dan Fatimah Az-Zahra lalu sama-sama ketawa mengekek.

“Susahlah Am kalau macam ni. Nampaknya Am tak berpeluanglah nak mengurat perempuan lain. Kasihan Am. Kecil-kecil lagi dah kena paksa kawin.” Ujar Wan Razin.

“Abang janji dengan Una tau! Abang mesti kawin dengan Una.” Bisik Wan Husna di sisi Wan Hamka. 
Walaupun perlahan, bisikan itu masih boleh jelas didengari oleh kedua orang tuanya.

Akhirnya nak taknak Wan Hamka terpaksa juga mengangguk tanda mengalah dengan desakan Wan Husna. Jika tidak dilayan, sampai bila-bila Wan Husna akan terus mendesak.

“Una…Una…” Bisik Fatimah Az-Zahra sambil menggeleng kepala.

Akhirnya malam itu Wan Husna terpaksa juga mengalah. Dengan wajah yang kelat diiringi juga Wan Hamka keluar dari pintu rumahnya sejurus selepas makan malam.

“Esok abang datang lagi kita buat kerja sekolah sama-sama ok.” Pesan Wan Hamka lembut sebelum melangkah pulang ke rumah.

Malam itu Wan Husna awal masuk tidur. Dia tiada mood mahu menonton.

“Risau betul saya dengan permintaan anak dara abang tadi. Macam bersungguh-sungguh nampaknya.” Fatimah Az-Zahra menyuarakan pendapatnya selepas Wan Husna beredar masuk ke bilik.

“Main-main je tu. Budak-budak bila bercakap bukan betul sangat.” Tempelak Wan Razin. Matanya tepat ke kaca tv.

“Tapi dari air mukanya tadi macam serius.”

“Tak mungkinlah! Anak kita tu baru umur tujuh tahun. Tak mungkin ada fikiran macam orang dewasa.”

“Ditakdirkan dia serius, abang nak kata apa? Dibuatnya sampai besar dia tunggu si Am tu, apa pendapat abang?”

“Nak kata apa lagi. Terima sajalah. Lagipun budak Am tu bagus, pandai, bijak dan pandai ambil hati. 
InsyaAllah dia boleh jaga anak kita tu.”

Fatimah Az-Zahra tersenyum lega kerana dia juga turut merasa yang sama.



WAN HAMKA melangkah lemah masuk ke dalam rumahnya. Kelihatan ibu dan ayahnya sedang asyik menonton.

“Awal balik malam ni Am. Dah siap kerja sekolah?” Tanya Wan Napisah lembut.

“Tak buat pun mi. Am ngantuk sangat. Cadangnya nak tidur awal malam ni.” Ujar Wan Hamka lantas terus menuju ke biliknya.

Wan Napisah dan Wan Razak berpandangan. Tidak pernah anak bongsu mereka berkeelakuan seperti itu sebelum ini. Jika dinilai sifat Wan Hamka, anak mereka itu memang sukar tidur awal. Paling awal pun pukul sebelas malam. Mereka yakin, kelakuan Wan Hamka itu pasti ada kena mengena dengan perkara petang tadi.

“Serba salah pulak abang dengan keputusan abang petang tadi.” Kata Wan Razak perlahan.

“Tulah abang! Pandai-pandai sangat buat rancangan. Sekarang apa dah jadi?” Bentak Wan Napisah yang masih geram dengan suaminya.

“Abang tak sangka pulak dia bersetuju.”

Wan Napisah hanya diam mencuka. Sudah malas dia mahu melayan bual dengan suaminya. Sakit hatinya masih terasa hingga kini. Mana mungkin dia sanggup berpisah dengan anak bongsunya. Bukan dia tidak biasa berpisah dengan anak-anak. Malah dua lagi anaknya iaitu Mirul dan Haikal sudah lama berjauhan darinya. Tapi perpisahan itu terjadi setelah anak-anaknya berumur tujuh belas tahun selepas tamat SPM. 

No comments: