PENGHARGAAN

Assalamualaikum..
Salam sayang untuk semua kerana sudi2 mengintai di ruangan laman saya yg baru nak bernafas ni.
Sblm jemari sya terus menari,ribuan terima kasih pada adik sya iaitu bloger Senyum-Senyum Diana Rashid sbb tanpa dia, blog sya ni kompem x ujud. Thnk n lebiyu..
Almaklumlah..kakak dia ni slow sikit tentang IT-IT ni..hehehe..
Yg ke 2 plk adalah insan terchenta sya. Tak lain tak bukan dh tentulah Encik sya. Klu tak kerana dia, sampai sekarang karya sya ni dok dlm pendrive jelah..
Utk adik beradik sya yg sering beri semangat..kakyung, Ani, azam, ain, Rina, Ya n abg Jeri.. terima kasih byk2.
Khas untuk mak, terima kasih yg x terhingga. Wlupun bidang ni kurang digemari, sya anggap itu sebagai cabaran untuk berkarya.
Pada sahabat2 Ding Dong..thnk 4ever n ever. Kata2 semangat dan sokongan kalian amat sya hargai dan sanjungi. Kalian mmg best..edea korang adalah yg terbaik!!
Buat kwn2 yg lain, kata2 dan penghargaan korang mmg tersemat dalam hati. Kompem sya x lupa.
Dari itu..sudi2lah mengintai dan membaca krya sya ni. Jgn lupa mengkritik dan mengomen.
Klu nk memuji, sya mohon jgn tinggi2 sgt. Takut sya terperasan hebat. hehehehe...
Risau jgk..bila dah rasa hebat, kompem senang lupa diri dan jatuh ..
Okey...Selamat Membaca..


Showing posts with label Pasrah Dalam Redha. Show all posts
Showing posts with label Pasrah Dalam Redha. Show all posts

Tuesday, 21 April 2015

BAB 13:::Pasrah Dalam Redha

BAB 13

     WAN HUSNA tersenyum-senyum selepas berbual dengan Hisham di talian sebentar tadi. Mengingati jejaka itu buat Wan Husna seperti sedang berdepan dengan tuan empunya diri. Walaupun Wan Husna cuba berlagak seperti tiada apa yang berlaku, kadang-kadang hatinya boleh cair dek panahan mata liar Hisham. Dia sendiri tidak menyangka boleh tebalkan muka demi mendapatkan cinta Hisham. Jika diperhatikan, lelaki itu bukanlah setampan pelakun pujaan hatinya Danial Hanny atau Tom Cruse, tapi ada sesuatu yang menggalakkan dirinya untuk terus berdamping dengan lelaki yang lebih berusia darinya itu. Baginya faktor usia bukan penghalang untuk dia mencipta bahagia. Apa yang penting adalah keikhlasan dalam perhubungan. Dan dia yakin kebahagiaan yang dia cari selama ini ada pada lelaki yang sedang bertahta dalam hatinya kini.

     Wan Husna cuba bandingkan Hisham dengan Wan Hamka. Jika dinilai dari segi rupa, Hisham bukanlah dikategorikan sebagai lelaki kacak tapi tetap nampak menarik kerana raut wajahnya ada iras-iras seperti hero malaya Rosham Nor walaupun bentuk badan sedikit melidi. Sementara Wan Hamka segak tubuh badan serta sasa dan sudah tentu abang sepupunya itu kacak orangnya. Namun masing-masing ada kelebihan dan kekurangan tersendiri. Yang pasti, dia akur Hisham lebih menarik perhatiannya. Bukan kerana cinta sudah beralih arah dan bukan juga kerana rasa marah pada Wan Hamka, tapi yang sebenarnya kerana hati sudah terpaut. Pertama kali memandang raut wajah Hisham, hatinya bagai terpanggil mahu mendekati lelaki itu. Mungkin sesetengah pendapat akan kata dia buta mata dan hati kerana memilih lelaki berusia seperti Hisham. Baginya biarlah apa orang nak kata, janji dia bahagia dengan pilihannya.

    Hubungan yang sudah berlarutan bulan keenam, buat dia sentiasa rasa bahagia. Namun sejak kepulangan Wan Hamka, hatinya sedikit mendung. Entah kenapa perasaan rasa bersalah pada Wan Hamka tiba-tiba menular dalam dirinya. Walaupun sedar perpisahan mereka itu bukan berpunca darinya, Wan Husna tetap rasa bersalah. Ucapan perpisahan yang diungkapkan dalam hati tanpa pengetahuan Wan Hamka itulah yang buat dia rasa bersalah sedangkan selama pemergian Wan Hamka, sudah disimpulkan dalam hati bahawa hanya Wan Hamka yang berada dalam hati. Paling buat dia rasa bersalah adalah bila Wan Hamka menyatakan rasa sayang dan cinta pada dirinya. Tidak disangka apa yang dirasa pada abang sepupunya sejak dulu turut dirasa oleh lelaki itu.

     Perbualan dengan Hisham semalam ketika di café hospital benar-benar menyesakkan hatinya. Hisham seolah-olah kurang mempercayai kejujuran cintanya walaupun sudah berulangkali ditegaskan bahawa hatinya milik lelaki itu. Sudahnya, Wan Husna terpaksa bersungguh-sungguh memujuk untuk menghilangkan rasa rawan Hisham. Paling buat dia tersenyum geli hati ialah bila dirinya yang balik harus dipujuk oleh Hisham. Lapang hatinya selepas berbual dengan Hisham tadi. Kata pujuk yang diluahkan Hisham tadi benar-benar buat hatinya berbunga kembang. Tak sabar rasanya menanti hari bahagia seperti yang dijanjikan oleh Hisham tadi. Wan Husna yakin, jika tidak kerana rajuknya semalam, pasti Hisham tidak nyatakan rancangan yang sememangnya sudah lama diimpikan sejak mengenali lelaki itu.

     Wan Husna ketawa sendiri bila ingat balik perbualannya dengan Hisham semalam. Lucu bertamu dalam hati dengan sikap keanak-anakkan Hisham. “Hurmmm…umur dah empat puluh, tapi perangai macam budak empat tahun.” Kata hati Wan Husna sambil tersenyum dan menggeleng kepala.

     “Awak masih sayangkan abang awak tu?” Tanya Hisham serius selepas Wan Husna memberitahu mahu ke bandar bersama dengan Wan Hamka. Nyilu rasa hatinya dengan cerita dan permintaan Wan Husna sebentar tadi. Rajuknya yang dulu pun masih lagi berbaki.

     Wan Husna tersentak dengan soalan Hisham. Melihat riak wajah lelaki itu, dia faham Hisham tidak boleh terima kehadiran Wan Hamka. Niatnya yang sebenar bukanlah untuk menyakiti Hisham, tapi sebagai pasangan kekasih yang bercinta, dia patut bersikap jujur. Sebab itulah dia menyatakan hasrat sekali gus meminta izin dari Hisham uintuk keluar bersama dengan Wan Hamka. Dia tahu dia berhak untuk keluar dengan sesiapa saja kerana antaranya dengan Hisham masih belum ada apa-apa ikatan pun. Tapi demi kejujuran pada Hisham, dia rasa dia patut memberitahu hal itu pada Hisham.

     “Awak tak percayakan saya ye?” Tanya Wan Husna sayu.

     “Bukan saya tak percaya dekat awak, tapi dekat abang sepupu awak tu. Cara dia pandang awak seolah-olah dia masih mengharapkan awak mengisi ruang hidup dia.”

     “Apa masalahnya dengan abang saya tu? Dia ada ganggu hidup awak ke? Kalau betul dia masih mengharapkan saya, apa masalahnya pada awak? Hati saya, saya yang kawal. Yang awak fikir yang bukan-bukan tu kenapa?” Tanya Wan Husna agak kasar. Walaupun Wan Hamka pernah menyakiti hatinya, tak sepatutnya Hisham berkata begitu tentang satu-satu abang sepupu yang paling dia sayang.

     “Maknanya awak tak kisahlah kalau dia masih mengharapkan awak? Tu tandanya awak pun masih sayangkan dia.” Balas Hisham perlahan. Laju degup jantungnya mendengar kata-kata Wan Husna tadi. Hatinya sedikit terguris. Tertanya-tanya dia dalam hati, apakah Wan Husna juga turut sama seperti Wan Hamka.

     “Dah tentulah saya masih sayangkan dia...! Itukan abang saya. Selama-lamanya dia tetap saya sayang.” Balas Wan Husna geram. Sedikit kecewa kerana Hisham meragui kejujurannya.

     Sekali lagi Hisham terpana dengan jawapan Wan Husna. Dicuba sabarkan hati agar barannya tidak tercetus ketika itu.
     “Cinta pertama bagi seseorang adalah sesuatu yang boleh dianggap sejarah hati yang tak boleh dibuang macam tu saja. Tak mustahil kalau cinta lama akan berputik kembali jika seringkali berjumpa.”

     Wan Husna tersentak. Wajah Hisham dipandang tepat.
     “Awak nak kata saya masih harapkan dia? Awak fikir saya masih cintakan dia? Kenapa awak masih meragui keikhlasan hati saya?” Lemah hatinya bila lelaki yang dicinta meragui keikhlasan hatinya sedangkan selama ini dia sanggup tebalkan muka demi mendapatkan kasih dari lelaki itu.

     “Bukan meragui tapi hakikat sebenar apa yang dirasa setiap hati yang pernah bercinta. Dah tentu banyak kenangan yang disimpan.”

     “Memang banyak kenangan yang kami cipta bersama. Sampai bila-bila pun takkan hilang dan siapa pun tak boleh nak kikis buang dari memori saya.  Tapi satu saya nak awak tahu, kenangan yang dicipta itu hanya di zaman kanak-kanak dan saya dengan dia tak pernah ungkapkan rasa cinta. Orang pertama yang saya ucap kata cinta hanya pada awak.” Tekan Wan Husna perlahan walaupun ada ketegasan dalam nada pertuturannya. Pandangannya tajam menikam ke mata Hisham.

     Hisham tergamam seketika. Namun dia masih tidak berpuas hati.
     “Ungkapan cinta lahir dari hati, bukan bibir.” Balas Hisham seperti mahu menguji hati Wan Husna.

     “Ungkapan yang lahir dari hati tu ikhlas. Tapi jika keikhlasan tu dibalas dengan khianat, maka keikhlasan itu dah tentu tak ada lagi dalam hati.  Saya kecewa dengan awak, Hisham. Baru saya sedar selama ini awak tak pernah nampak keikhlasan saya pada awak.” Ulas Wan Husna kesal.

     “Awak jangan salah faham. Itu bukan maksud saya.” Kalut Hisham mahu membetulkan keadaan. Risau kalau-kalau Wan Husna salah faham. Tempat duduknya yang tadi berhadapan dengan Wan Husna, kini sudah berubah ke sebelah gadis itu. Dia tidak mahu Wan Husna terus berfikir yang bukan-bukan.
     “Saya risau, bimbang, takut.” Lemah Hisham berkata sambil tepat memandang wajah Wan Husna yang menunduk. Dari wajah muram itu dia dapat rasa gadis  itu sedang kecewa dengan sikapnya.

     “Apa yang awak bimbangkan.? Takut saya berubah hati? Risau saya kembali semula pada kenangan lama?” Tanya Wan Husna sambil mengeluh berat. Sebenarnya hatinya turut rasa seperti yang apa Hisham rasakan ketika itu. Kata-kata Hisham tentang cinta pertama tadi buat dia berfikir andainya Hisham sama seperti apa yang dia ucapkan. Wan Husna bimbang andai Hisham memilihnya kerana wajahnya yang seiras dengan bekas kekasih Hisham dulu. Andainya benar, dialah pecinta yang paling kecewa. Ketika mula-mula bertapak sebagai kakitangan di hospital tempatnya bertugas, ramai kakitangan di hospital beranggapan dia adalah klon dokter Arleyana. Bila dia bersoal selidik dengan Kak Bibah siapakah sebenarnya Dokter Arleyana, barulah dia tahu cerita sebenar. Wan Husna sedar, tak sepatutnya dia cemburu pada orang yang sudah tiada. Namun apakan daya, dia insan yang lemah. Mainan perasaan kadang-kadang buat dia tewas.

     Hisham diam membisu. Keluhan yang lahir dari deruan nafas dimengertikan oleh Wan Husna.

     “Awak! Saya nak tahu sesuatu dari awak. Jujur dan ikhlas.” Kata Wan Husna tiba-tiba.

     Hisham masih diam membisu namun pandangan matanya yang menikam ke anak mata bundar gadis di            sebelahnya, menyatakan dia sedia dengan apa yang akan ditanya oleh Wan Husna nanti.

     “Awak kata…Cinta pertama bagi seseorang dianggap sejarah perasaan yang sukar dilupakan. Itu yang apa awak ucapkan tadi. Soalan saya, adakah awak masih tak boleh lupakan sejarah perasaan awak tu?”

     Hisham tersentak. Tidak disangka kata-katanya tadi memakan dirinya sendiri. Di ruangan matanya kini terbias wajah seseorang. Dadanya sesak, jiwanya sebak. Lidahnya kelu namun dia usaha juga mahu menegakkan benang yang basah.

     “Situasi kita berbeza. Awak kena faham tu.” Niatnya mula-mula tadi mahu dipujuk. Apakan daya dia pulak yang terpaksa memujuk Wan Husna. Baru rasa menyesal kerana meragui keiklasan Wan Husna. Yang sebenarnya bukan dia tidak percaya, tapi bila mengenangkan kembali apa yang diceritakan oleh Wan Razin dulu, hatinya tidak boleh lari dari perasaan syak wasangka dan cemburu buta.

     “Apa yang berbeza? Bagi saya sama saja. Hati masing-masing yang rasa dan sendiri yang tahu. Atau awak sengaja nak mengelak tentang perasaan awak sedangkan awak tahu perasaan tu memang sejak dulu sampai sekarang tak boleh nak dibuang?” Bentak Wan Husna tidak puas hati. Melalui cerita yang dia dengar dari mulut Kak Bibah, dia dapat rasa cinta Hisham pada Arleyana masih kukuh tersemat di jiwa hingga kini dan selamanya.

     “Awak perempuan saya lelaki. Sejarah saya adalah seseorang wanita yang dah lama pergi dan pasti takkan kembali lagi. Sementara sejarah awak adalah  lelaki yang masih sendiri dan saya yakin dia masih menanti awak. Apatah lagi hidup awak pun masih belum terisi dengan ikatan yang sah.”

     Wan Husna tergelak kecil sambil geleng kepala. Kata-kata Hisham sukar diterima pakai. “Errmm..kalau belum terikat, kenapa tak ikat?” Bisik hati kecil Wan Husna. “Saya nak tanya awak.”

     Hisham memandang wajah serius Wan Husna. Keningnya terangkat tanda sedia menati soalan dari gadisnya.

     “Kenapa awak terima saya?” Tanya Wan Husna bersahaja. Tangannya menopang dagu menanti jawapan Hisham.

     Hisham terdiam. Jawapan pada soalan Wan Husna nyata tiada. Dia kelu lidah. Tidak mampu nak bersuara lagi. Mampukah dia memberi jawapan kerana senyuman dan wajah Wan Husna sama seperti arwah Arleyana? Sebab cinta? Tapi betul ke itu jawapannya? Entah..! dia sendiri tidak pasti. Apa yang dia sedar, hatinya terpaut pada Wan Husna kerana wajah gadis itu seiras dengan Arleyana. Untuk dia berterus terang, hatinya tidak sanggup kerana takutkan kehilangan. Kehilangan Wan Husna akan melukakan hatinya seperti dia pernah kehilangan Arleyana satu masa dulu.

     “Awak..” Hanya itu saja yang mampu terluah dari kotak suaranya. Harapannya agar dengan suaranya yang merintih sayu itu boleh mengembalikan kesejukan dalam diri Wan Husna.

     “Sudahlah! Saya tak mahu cakap lagi hal ni.” Ujar Wan Husna lalu mengangkat punggungnya mahu berlalu dari situ. Berbual mengenai perkara begitu, dia yakin tak akan ada jalan penamatnya. Sejak tahu wajahnya sama seperti arwah Arleyana, dia sedikit terkilan. Dia yakin sangat cinta Hisham masih pada arwah. Namun dipujuk juga hatinya agar terima semua sebagai satu suratan takdir.

     Hisham mengeluh kesal. Langkah Wan Husna hanya dipandang sepi tanpa menghalang gadis itu pergi. Sudahnya sampai tamat waktu bertugas, hatinya dihambat rasa bersalah setelah Wan Husna mengambil keputusan untuk berdiam tanpa sebarang teguran dan mengisytiharkan perang dingin.


     HISHAM mengetap bibir menahan senyuman malu yang hampir melebar. Tak sangka kata pujukan yang diluahkan pada Wan Husna sebentar tadi terluah juga akhirnya. Setelah sekian lama menyusun ayat yang paling baik untuk melamar gadis itu, akhirnya dia sendiri yang tercengang bila dengan senang hati Wan Husna terus bersetuju tanpa sebarang alasan, keluhan dan bantahan. Jika dia tahu sebegini mudah melamar Wan Husna, sudah pasti langkah itu diambil sewaktu pertama kali mengenali gadis itu.

     “Saya minta maaf fasal semalam tu. Awak masih marahkan saya?” Lemah sekali suaranya mula memujuk. Sejak semalam hatinya sesak bila sebarang panggilan atau teguran hanya dipandang seperti air lalu oleh Wan Husna. Dia yakin Wan Husna benar-benar terasa dengan sikapnya yang suka syak wasangka.
Hisham semakin tertekan bila soalannya tidak langsung Wan Husna jawab. Hanya deruan nafas lembus saja yang kedengaran di hujung talian.

     “Janganlah macam ni. Saya tak pandai memujuk perempuan. Kalau pujuk mak saya, saya pandailah.!” Hisham cuba berseloroh. Bila mendengar ketawa kecil suara Wan Husna, barulah dia boleh tarik nafas lega.

     “Tak baik tau awak buat saya macam ni. Saya sedih sangat sebab awak meragui saya. Tak terlintas pun di fikiran saya nak tinggalkan awak hanya untuk kenangan saya yang dah lama pergi tu.” Luah Wan Husna sayu.

     “Saya minta maaf. Saya janji lepas ni saya tak curiga lagi dekat awak malah pada abang sepupu awak juga.”

     “Janji?”

     “Ye..saya janji.”

     Sepi sedetik.

     “Errmm..Macam mana awak pujuk mak awak? Boleh saya tahu?” Tiba-tiba Wan Husna mulakan tajuk perbualan yang baru. Sepi seketika tadi bermakna topik tadi tidak mahu dibualkan lagi.

     Hisham sudah mula rasa lega kerana Wan Husna sudah mula mahu berbual panjang dengannya.
Ermm..saya cakaplah yang saya nak bawa balik bilalali saya untuk dia.”

     Wan Husna ketawa lagi walaupun sedikit pelik.
“Dah berapa kali awak pujuk mak awak macam tu.?”

     “Banyak kalilah jugak.” Jawab Hisham lembut sambil tersengeh malu. Terbayang-bayang wajah Puan Bariah yang ceria setiap kali dia menyatakan hasrat mahu membawa bakal menantu.

     “Maknanya lepas arwah kekasih awak, dah banyaklah bilalali yang awak tunjuk dekat mak awak ek?”

     Hisham menepuk dahi sambil terkemik-kemik muka kerana ketelanjurannya berbicara. Diharapkan agar Wan Husna tidak terus bersangka buruk terhadapnya.

     “Sorang pun belum pernah lagi.” Jawab Hisham jujur.

     “Tak baik tau awak buat macam tu dekat mak awak. Entah-entah mak awak tu berharap tinggi nak tengok bilalali awak tu.” Balas Wan Husna sambil tersenyum malu. Sedari awal lagi dia tahu dialah bidadari yang dimaksudkan oleh Hisham tadi.

     “Saya tahu tu. Sebab tu saya cadang nak ajak bidadari saya jumpa dengan mak saya hujung bulan ni. Rasa berdosa pulak sebab mainkan perasaan mak saya tu.”

     “Hujung bulan ni?” Tanya Wan Husna teruja.

     “Haah!”

     “Alah.. hujung bulan ni ada kenduri dekat rumah saya. Kan abang saya nak kawin hujung bulan ni.” Rungut Wan Husna manja.

     “Eh! Yang awak susah hati kenapa? Awak nak kenduri, kenduri sajalah. Saya nak bawak bilalali saya.”

     Panas serta merta wajah Wan Husna. Diikutkan hati mahu saja dia menghempas telefon bimbitnya itu. Sakit hatinya kerana Hisham masih mahu main-main dengannya.

     “Awak!” Panggil Hisham lembut. Dari kebisuan Wan Husna, dia tahu gadis itu sedang memendam rasa. “Manalah agaknya bidadari saya ni pergi?” Keluh Hisham lembut setelah suara Wan Husna masih belum kedengaran di hujung talian. Lama menanti akhirnya Hisham terpaksa tebalkan juga mukanya menyatakan hasrat terpendam. “Sudikah bidadari dekat hujung talian ni berjumpa dengan bonda hamba? Sebagai pelengkap hidup pada anakanda bonda saya yang dah lama memendam rasa pada bidadari tu.”

     Wan Husna sudah tidak boleh menahan lagi bibirnya agar tersenyum lebar. Makin lama lebarnya semakin lebar dan tercetuslah hilai tawa yang kuat.

      Mendengar suara ketawa kecil Wan Husna, Hisham melebarkan senyuman.

     “Bidadari yang hina dan buruk rupa ni sedar diri. Tak mampu nak berganding dengan orang yang kemaruk tu.” Balas Wan Husna cuba berseloroh.

     “Buruk dan hina langsung tidak menjadi halangan untuk hamba teruskan impian hamba ni. Bidadari hanya perlu kata yes or no saja.”

     “Yes! Yes! Yes!” Pantas Wan Husna terus menjawab. Dia tidak mahu bertangguh-tangguh lagi kerana memang itu yang menjadi impiannya sejak mengenali  lelaki itu.

     Hisham tergamam. “Thank awak.! Lepas majlis abang Shah, nanti saya datang bincang dengan keluarga awak.”

     “Awak tak tipukan?” Tanya Wan Husna lembut. Dia mahukan keyakinan dari lelaki itu.

     “Sepanjang awak kenal saya, pernah ke saya tipu awak?”

     Wan Husna tersenyum dan terkedu. Diakui Hisham tidak pernah berbohong atau menipu. Cuma bila ingat balik tentang arwah Arleyana, hatinya sedikit kecewa. Tertanya-tanya dia sendiri, mengapa Hisham tidak pernah berterus terang tentang Arleyana padanya. Wan Husna cuba memujuk hatinya sendiri. Dia andaikan mungkin Hisham terpaksa berbuat demikian kerana tidak mahu mengingati sejarah lama. Wan Husna akan cuba terima seadanya.

     “Terima kasih awak..”

     “Saya yang patut terima kasih pada awak sebab sudi terima saya yang dah hampir kertu ni.” Balas Hisham cuba berseloroh. Yang sebenarnya kata-kata itu dia akui sendiri. Dengan umurnya yang sudah  masuk  40an, dia yakin, pasti rugi kalau melambat-lambatkan impiannya.

     “Dah nak kertu ke? Saya tengok memang dah kertu pun..!” Balas Wan Husna berselang dengan hilai tawa yang jarang sekali diluahkan pada sesiapa.

     “Amboi..! sukanya..! Tak apa. Kertu-kertu pun siapa punya?” Tanya Hisham bangga.


     Wan Husna meredakan tawanya. Tenang dan riang hatinya bila Hisham berkata begitu. Ditabir hatinya kini adalah untuk merialisasikan impian untuk menjadi milik mutlak lelaki yang bernama Hisham. Dia yakin bahagianya ada pada lelaki bernama Hisham.

Wednesday, 15 April 2015

BAB 12:::Pasrah Dalam Redha

BAB 12

     WAN HUSNA melangkah tenang ketika keluar dari biliknya. Sejak kehadiran Hisham ke rumahnya sebentar tadi, hatinya jadi resah gelisah. Tak tahu apa yang dibualkan oleh Hisham dan kedua orang tuanya sementara menantinya bersiap. Bila kedengaran suara riuh bergelak ketawa, hatinya sedikit tenang. Namun bila perbualan kembali tenang dan serius, hatinya kembali resah. Takut juga kalau-kalau ada sesuatu yang dibualkan adalah berkisahkan tentang perkara yang boleh menegangkan perasaan orang tuanya mahupun perasaan Hisham sendiri. 

     Di dalam kereta Wan Husna tidak banyak bercakap. Sepatah yang ditanya Hisham, sepatah juga yang dijawab. Dua hari bermula dari hari jumaat wajah itu tidak dipandang, sudah cukup buat dia malu untuk menatap.

     “Awak ada cerita apa-apa ke dekat keluarga awak fasal saya?” Tanya Hisham selepas lama berdiam diri.

     “Hah!!!” Wan Husna tersentak. Wajah Hisham yang tenang ketika memandu, dipandang sekilas sebelum menunduk kembali.

     “Saya tanya, awak ada cerita apa-apa ke fasal saya dekat kelaurga awak?” Sekali lagi Hisham mengutarakan soalan yang sama seperti tadi. Dia yakin Wan Husna sudah mula tidak selesa dengan soalannya tadi. Melihat riak wajah Wan Husna, hatinya ketawa riang. Ikutkan hati mahu saja dihamburkan tawa yang kuat.

     “Mana ada!!” Nafi Wan Husna pantas.

     “Saya tengok keluarga awak macam tak kisah je saya bawak anak dia orang keluar.” Hisham cuba menduga fikiran Wan Husna.

     “Ermm.. mungkin keluarga saya sukakan awak kot.!” Wan Husna jawab bersahaja. Malu kalau tahu diri lelaki itu sering menjadi tajuk perbualan antaranya dengan uminya Fatimah Az-Zahra.

     Hisham sekadar tersenyum nipis. Dia sedar kehadirannya tadi memang menyenangkan hati. Paling mengejutkan dia disambut penuh mesra bagai menyambut tetamu terhormat yang amat penting.

     “Berbual apa dengan keluarga saya tadi. Ha..ngumpat saya ek?” Wan Husna cuba mengelak agar hal itu tidak lagi disuarakan.

     “Adalah ngumpat sikit-sikit.” Ujar Hisham berserta dengan tawa kecil.

     “What?? Cakap lekas! Apa yang korang umpatkan?” Bentak Wan Husna sambil bercekak pinggang. Malu kini yang sedang dirasakan.

     “Saya tak mengumpat pun. Saya dengar saja.” Jelas Hisham sambil ketawa. Makin galak dia ketawa bila melihat Wan Husna menjeling geram padanya.

     “Saya suka keluarga awak. Ramah macam mak saya.” Kata Hisham bersahaja. Di hujung bibirnya terhias sedikit senyuman ikhlas. Terbias sejenak di ruang mata wajah Puan Bariah yang sentiasa riuh dan ceria.

     “Really?” Tanya Wan Husna teruja. Melihat Hisham sekadar mengangguk sambil tersenyum, Wan Husna tersenyum lebar. Mahu saja diluahkan perasaannya ketika itu pada Hisham. Baginya tidak salah kalau pengakuan dibuat terlebih dahulu sebelum lelaki itu berkata apa-apa. Baginya lelaki itu ada keistimewaannya. Bukan kerana pangkat dan harta, dan bukan juga kerana simpati atas apa yang berlaku pada lelaki itu, tetapi kerana keperibadian lelaki itu yang membuatkan hatinya dipagut rasa sayang dan rindu.

     “Awak rasa-rasa keluarga awak boleh terima saya tak?” Hisham cuba memberanikan diri bertanya. Langkah pertama harus diambil segera agar bunga di taman tidak dipetik orang.

     “Terima awak?” Tanya Wan Husna pelik walaupun hatinya sudah kembang setaman mendengar soalan itu.

     “Hm.! Sebagai saudara, anak atau apa saja.” Jawab Hisham selamba.

     “InsyaAllah..tu pun kalau awak pandai ambil hati mereka.” Jawab Wan Husna tanpa memikirkan maksud tersirat Hisham.

     Hisham tersenyum malu mendengar jawapan Wan Husna. Melalui layanan baik keluarga Wan Husna tadi pun dia dapat merasa dirinya dapat diterima. Walaupun layanan  serta persoalan tentang hubungannya dengan gadis itu buat dia rasa selesa, namun dia jadi tidak tenang selepas dijelaskan oleh Wan Razin tentang satu perkara. Kini bermacam-macam persoalan yang bersarang dalam benaknya. Ingin ditanya segera pada gadis di sebelahnya itu, namun dirasa sekarang bukanlah masa yang sesuai.

     Masih terdengar-dengar baik kata yang dituturkan oleh Wan Razin tadi hingga dirinya tidak mampu nak bernafas.

     “Una ada cerita serba sedikit tentang Hisham. Tapi dia tak cakap pun siapa Hisham pada diri dia. Dia kata kawan. Abi dengan umi  terima saja siapa kawan Una. Tapi bila dia berani minta izin nak keluar dengan Hisham, abi dengan umi rasa Hisham ni bukan kawan biasa pada Una. Walaupun dia tak cakap terus terang, kami sebagai orang tua, tahu apa yang tersirat dalam hati dia tu. Abi dan umi tak melarang kalau Hisham ada niat baik pada Una. Baik pada Hishan dan Una, baik jugalah pada abi dan umi. Kalau dah Hisham yang menjadi pilihan dia, kami sebulat hati terima. Cuma abi dengan umi nak Hisham kenal dulu hati budi anak kami tu macam mana. Tanya habis-habis sama ada dia dah ada pilihan lain atau tidak.”

     “Dia dah ada yang lain ke abi, umi?” Tanya Hisham teragak-agak. Kekok lidahnya mahu memanggil pasangan suami isteri itu dengan panggilan abi dan umi. Tapi setelah didesak oleh pasangan itu, dia akur.

     Wan Razin mengeluh berat. Tak mampu diceritakan kisah sebenar. Sepatutnya kisah itu harus diceritakan sendiri oleh Wan Husna pada Hisham. Namun dia yakin Wan Husna pasti tidak akan berbuat demikian. Dan ada baiknya dia jelaskan sedikit agar kisah itu tidak menjadi hal serius kemudian hari.

     “Selama ni yang abi tahu, dia memang sedang menanti seseorang. Dah lama dia tunggu. Dari umur tujuh tahun. Tapi sampai sekarang kami tak pasti kenapa, tiba-tiba dia cakap dia dah tak mahu menanti orang tu.” Kata Wan Razin perlahan.

     “Siapa yang dimaksudkan tu?” Tanya Hisham perlahan ingin tahu. Rasanya sebelum dia meluahkan perasannya pada Wan Husna, perkara itu harus diketahui terlebih dahulu. Dia tidak mahu dianggap perampas hak orang.

     “Wan Hamka. Anak adik abi. Belakang ni saja rumahnya. Tapi Wan Hamka dah lama tak balik. Abi rasa Una merajuk sebab Wan Hamka tak pernah hantar berita selepas dia pergi.” Jelas Wan Razin lalu menceritakan serba sedikit tentang kewujudan Wan Hamka dalam hidup Wan Husna.

     Hisham mengangguk-angguk sambil mendengar cerita dari Wan Razin. Walaupun sedikit rasa terkilan dan kecewa, akan diusahakan untuk mendapatkan cinta Wan Husna. Namun andai dirinya tidak menjadi pilihan si gadis, dia  redha.


     “KITA nak makan dekat mana?”

     Soalan Wan Husna menyedarkan Hisham dari mengingatkan kembali perbualannya dengan keluarga Wan Husna tadi.

     “Dekat mulut.” Balas Hisham berserta dengan tawa nakal.

     Wan Husna berdesit geram sambil menjeling. Hisham hanya ketawa mengekek.

     “Nantilah. Sampai nanti, saya yakin awak mesti suka. Restoran kawan baik saya. Dia baru mulakan perniagaannya bulan lepas. Tempatnya tersorok sikit di hujung kampung.” Jelas Hisham teruja. Terbayang-bayang di ruang mata persekitaran restoran yang dia sendiri turut menjadi tetamu terhormat. Paling buat dia rasa bangga bila dia sendiri bersusah payah mendapatkan tapak restoran itu.

     “Saya tak biasalah makan dekat luar.”

     “Ye saya tahu tu dan saya faham. Awak jangan bimbang okey. Restoran kawan saya ni memang buat masakan kampung, tapi tetap ada menu yang sesuai untuk awak. Awak takkan menyesal.”

     Sampai di hadapan tempat dituju, Wan Husna sudah berubah pelik. Melihat Hisham yang tergaru-garu kepala sambil tersengeh-sengeh di hadapan restoran yang bertutup dan sunyi sepi memahamkan dia bahawa kedai makan yang menjadi igauan Hisham tidak beroperasi hari itu.

     “Awak kata ni kedai makan kawan baik awak. Takkanlah hari dia cuti awak tak tahu!” Tempelak Wan Husna lembut sambil matanya memandang pintu kedai makan yang bertutup. Kedai makan yang tertera dengan nama Canteq Canteq D’Coner itu benar-benar menarik perhatiannya lalu melangkah keluar dari kereta sambil menggalas beg tangan. Dalam fikirannya sudah pasti tuan punya restoran itu perempuan.

     “Tak ada rezeki kita hari ni. Kita cari tempat lainlah.” Ujar Hisham hampa.

     “Awak lapar sangat ke?” Tanya Wan Husna sayu. Melihat wajah terkilan Hisham, dia rasa simpati.

     “Mestilah..!!”

     “Kasihan pula saya tengok awak ni. Apa kata kalau saya…”

     Ucapan Wan Husna terganggu bila mendengar bunyi enjin motosikal yang kuat tiba-tiba menerjah ke gegendang telinganya yang kini semakin mendekat dengannya. Sebaik saja dia dan Hisham menoleh, dia terkejut bila beg tangannya direntap kuat. Nasib baik tali beg tangan yang dipegang berada kuat dalam genggamannya. Hisham yamg sendiri tidak menyangka peritiwa itu berlaku di hadapannya terus saja berlari mendapatkan Wan Husna yang sudah tersungkur jatuh.

     “Awak okey!” Kalut dan gelabah Hisham melihat Wan Husna berkerut wajah menahan sakit.

     “Okey..luka sikit tangan saya ni.” Bisik Wan Husna sambil menunjukkan telapak tangannya yang luka kerana tersagat di jalan.

     “Kurang ajar punya peragut.! Mentang-mentanglah tempat ni sunyi. Suka hati dia orang je nak buat apa!” Rungut Hisham lalu menolong Wan Husna agar bangun dan mengarahkan agar Wan Husna duduk dalam kereta. 

     Wan Husna hanya mengangguk. Masih terasa debar di dada selepas insiden tadi. Inilah kali pertama dia diragut. Jika selama ini, dia hanya mendengar cerita dan berita saja tentang kejadian ragut yang kadang-kadang membawa kepada kematian. Wan Husna seakan trauma.

     “Awak tunggu kejap. Saya ambil kotak ubat.” Pesan Hisham lembut. Melihat wajah Wan Husna berkerut menahan sakit, dia rasa sayu.

     Ketika Hisham sedang membuka bonet keretanya, sekali lagi telinganya disentak dengan bunyi  enjin motosikal tadi. Tidak disangka peragut tadi tidak berputus asa. Cepat-cepat Hisham mahu melangkah ke arah Wan Husna yang seperti ketakutan. Takut kalau-kalau gadis itu diapa-apakan. Namun, malang tidak berbau. Kali ini nasibnya yang malang. Dek kerana ingin selamatkan Wan Husna, dia terjatuh ketika bergelut dengan peragut tadi. Teruk muka dan tubuhnya dikerjakan hingga Wan Husna tergamam terkejut.

     “Beg tangan awak.” Bisik Hisham yang tersandar di pintu kereta sambil terduduk. Kecewa hatinya kerana tidak dapat menyelamatkan beg tangan Wan Husna.

     “Biarlah dia orang ambil. Bukan ada apa pun. Tisu dengan barang makeup saya je. Barang-barang penting saya dah keluarkan tadi.” Jawab Wan Husna sayu. Melihat keadaan Hisham, jiwanya diruntun sebak dan sayu. Mengalir juga air matanya tatkala melihat keadaan Hisham yang cedera parah. Pilu hatinya kerana tidak dapat berbuat apa-apa. Tadi puas juga dijerit meminta tolong namun tempat yang sunyi itu  tidak kelihatan walau seorang pun untuk dia meminta bantuan.

     Ketika memapah Hisham masuk ke dalam kereta, langkah Hisham terhenti hingga mendorong Wan Husna agar berhenti sama. Matanya menyorot sama ke arah apa yang Hisham pandang.

     “Kaki saya.” Bisik Hisham perlahan.

     “Takpe, biar saya betulkan.” Ujar Wan Husna lalu mengarahkan Hisham duduk dan mula melakukan kerjanya membetulkan keadaan kaki Hisham. Tiba-tiba Hisham menahan. Wan Husna hairan lalu wajah Hisham ditatap sambil menjungkitkan kening.

     “Kaki saya bukan...”

     “Syyy..saya faham. Awak jangan risau okey.”

     “Apa yang awak faham?” Tanya Hisham hairan.

     “Kak Bibah dah cerita semuanya dekat saya. Saya harap lepas ni awak jangan segan-segan dengan saya.”

     Hisham tergamam lantas pegangan di tangan Husna dilepaskan dan menyerahkan  tugas itu bulat-bulat pada Wan Husna walaupun masih terasa segan silu.

     Selesai membetulkan keadaan kaki Hisham, Wan Husna beralih pula merawat luka di muka dan tangan Hisham yang cedera. Renungan mata Hisham ke wajahnya tidak dipedulikan kerana dia suka begitu. Walaupun hatinya masih malu direnung begitu, Wan Husna cuba menahan agar rasa kekoknya tidak disedari Hisham hinggalah kerja merawat selesai. Entah kenapa rasa trauma tadi hilang serta merta.

     “Awak tak malu kawan dengan orang cacat macam saya?” Tanya Hisham sambil memicit-micit tengkuknya. Bisa di tengkuknya selepas diketuk dengan benda keras masih terasa.

     “Kenapa saya nak malu? Saya bukan tak pakai baju.” Ujar Wan Husna lalu ketawa kecil. Keadaan tengkuk Hisham dibelek-belek setelah menyedari Hisham seakan tidak selesa dengan tengkuknya.

     “Saya cacat. Saya lemah. ” Jawab Hisham lemah.

     “Awak manusia jugakan..? Makhluk Allah yang dicipta indah. Walaupun keadaan awak tak sempurna, Allah meletakkan awak memiliki hati yang baik, jujur dan ikhlas. Saya bangga kenal dengan awak. Terima kasih kerana berusaha selamatkan saya tadi. Kalau awak tak ada tadi, agaknya dengan saya sekali dia orang heret.”

     “Tapi saya gagal selamatkan beg awak dan rasa saya tak layak berganding dengan awak.”

     Wan Husna tersenyum hambar sambil menggeleng kepala. Baginya semua itu tak penting. Apa yang buat dia rasa bangga adalah semangat Hisham menyelamatkan dan melindunginya.

     “Kalau awak cakap macam tu, bermakna saya pun ada kekurangan. Pada pandangan awak, saya ni cacat ke hingga tak layak berkawan dengan awak?”

     Hisham tergaman. Wajah Wan Husna ditatap tajam.

     “Kalau boleh dua puluh empat jam saya nak berada dekat dengan awak. Saya nak jaga awak. Fahami diri awak..dengar setiap masalah awak..berkongsi cerita suka duka dengan awak. Bolehkan?” Ujar Wan Husna bersahaja. Walaupun bahang sudah mula terasa menyapa wajah, akan ditahan agar segala impiannya untuk menakluk hati lelaki itu tercapai. Baginya Hisham lelaki yang benar-benar sesuai dengannya walaupun lelaki itu sedikit berumur darinya.

     Hisham hilang kata-kata. Bak pepatah mengantuk disorongkan bantal, mahu saja dia melompat riang. Bibirnya diketap menahan senyum yang mula terukir. Wajah Wan Husna dipandang tidak berkelip mencari keikhlasan dan kejujuran di balik kata-kata tadi.

     “Awak tak menyesal?”

     “Kenapa harus saya menyesal? Sebelum ni saya jatuh cinta pada yang sempurna. Tapi saya kecewa dan terluka. Mungkin kerana dia sempurna dan saya tidak. Saya mula mencari kekurangan saya dan saya nekad mahu mencari seseorang yang sama kurang sempurna seperti saya.”

     “Tapi saya tak nampak kecacatan awak.”

     “Kecacatan saya terletak pada hati saya. Hati saya terlalu menganggungkan sesuatu yang terlalu sempurna hingga saya dah tak pandang pada yang lain. Bila saya mula kenal dengan awak, baru saya tahu siapa yang cacat dan siapa yang sempurna.”

     “Awak terlalu merendah diri.”

     “Sebab saya dah lama memandang tinggi. Bila jatuh, saya rasa sakit sangat. Sakitnya di hati tanpa ada yang sedar, luka tu terlalu dalam dan parah. Dalam hati ini, hanya tuhan saja yang tahu.”

     “Awak memilih saya kerana kecacatan saya?” Tanya Hisham hairan.

     “Awak nak saya beri jawapan jujur?” Wan Husna balik bertanya.

     Hisham mengangguk.

     “Errmm..nanti-nantilah saya cakap.” Balas Wan Husna sambil tersenyum nakal.

     “Mana boleh macam tu. Saya nak dengar jawapan awak sekarang jugak.”

     “Kalau saya tak nak kasi tahu juga, awak nak buat apa?”

     Hisham tersenyum nakal.

     “Kita stay dekat sini sampai bila-bila.”

     Wan Husna ketawa mengekek. Baginya itu satu ugutan budak-budak yang tak dapat gula-gula.

     “Okey! Kita tunggu sini. Saya tak kisah asalkan dekat dengan awak.” Balas Wan Husna nakal.

     “Peliklah awak ni.”

     “Tak ada yang peliknya. Sebenarnya..saya pun tak kisah kalau lama-lama dengan awak dekat sini.” Ujar Wan Husna lalu ketawa mengekek.

     Hisham mengeluh lemah sambil mengetap bibir. Walaupun riang kerana dirinya dipilih gadis idaman, jauh di sudut hatinya sedikit was-was seandainya simpati yang dijadikan sebab dirinya dipilih.

     “Nak balik atau nak pergi hospital?” Wan Husna mengubah tajuk perbulan.

     “Saya lapar.” Balas Hisham sayu.

     “Stay dekat hospital, nak? Saya siapkan makan.”

     “Lambatlah. Silap-silap mati kelaparan saya sebab tak makan. Teruk sangat ke luka saya ni?”

     “Tak teruklah. Luka sikit je. Tapi saya risau tengkuk awak tu. Sejak tadi saya tengok awak macam tak selesa. Kalau awak rasa masih sakit, saya bawa awak pergi hospital jelah.”

     “Tak payahlah. Sikit je ni. Apa guna awak dalam hidup saya kalau saya tak menghargai awak. Layanan dokter dekat hospital tak sama dengan layanan dokter cinta saya.”

     “Hurmm..tau pun.! Tapi saya risau tengkuk awak tu. Dekat hospital, ada alat untuk mengesan. Saya tak ada alat untuk kesan tengkuk awak tu.” Ujar Wan Husna pula. Risau kalau-kalau kesakitan itu menjadi masalah besar.

     “Esok saya suruh kawan saya periksa. Sekarang ni saya nak makan dulu. Lapar sangat ni.”

     “Yelah..yelah..yelah..!” Balas Wan Husna lega mendengar jawapan Hisham. Melihat jam sudah menunjukan hampir ke pukul tujuh malam, cepat-cepat enjin kereta dihidupkan. Sebenarnya dia sudah mula rasa tidak selesa berlama-lama di situ. Dia yakin tidak lama lagi pasti ada orang kampung yang lalu lalang di situ memndangkan waktu maghrib semakin hampir.

     “Awak nak bawa saya pergi mana?”

     “Hantar awak baliklah.”

     “Kan saya cakap saya lapar. Berhentilah mana-mana dulu beli makanan.”

     Wan Husna tidak pedulikan kata-kata Hisham lantas terus memandu dengan senyuman sinis.

     “ASTAGFIRULLAHHALAZIM..! Kenapa ni Una?” Sergah Wan Razin kalut menyambut kehadiran Hisham di muka pintu. Kedatangan anak muda itu petang tadi buat dia tenang. Tapi bila melihat wajah anak muda itu penuh dengan luka, hatinya menjadi kalut.

     “Una kena ragut depan kedai makan tadi. Hisham nak tunjuk hero, dia jadi mangsalah..! Lagipun tak ada siapa yang tolong. Terima sajalah.” Balas Wan Husna seperti tidak ada apa terjadi. Sedangkan ketika kejadian dia seperti orang tak siuman menjerit minta bantuan. Namun apakan daya, suasana sepi di kawasan itu tiada siapa yang tampil membantu.

     “Kenapa tak bawa pergi hospital? Teruk luka ni.!” Tanya Wan Razin lagi sambil membelek-belek wajah Hisham.

     “Tak teruk pun abi. Sikit saja ni. Lagipun Dokter Husna dah rawat saya tadi.” Hisham cuba berseloroh sambil melabuhkan punggungnya di sofa.

     Wan Husna hanya menjeling dan tersenyum sinis dengan kata-kata Hisham. Dalam hati turut bangga bila bapanya turut dipanggil abi. Hatinya kembang setaman. Rasa seperti satu keluarga pula dengan Hisham.

     “Pergi bersihkan diri dulu dalam bilik abang Iman. Lepas solat kita makan malam.” Arah Wan Razin pada Wan Husna.

     Hisham mengangkat-angkat kening sambil tersenyum bila Wan Razin menyebut makan. Perutnya yang lapar terpaksa ditahan sejak tadi bagai menari-nari untuk diisi.

     “Terserlah rupa Beast yang kelaparan. Nasib baik saya yang tak dimakannya. Kalau tak, habislah saya..” Kata Wan Husna sambil ketawa kecil.

     Hisham tersenyum lebar. Kepalanya digaru-garu tanda malu. Dalam hati tak henti-henti ucap rasa syukur kerana impiannya untuk menjadikan Wan Husna sebagai orang istimewa dalam hidupnya tercapai. Paling buat dia tidak sangka, ialah Wan Husna menyatakan terlebih dahulu impian itu walaupun tidak secara terang. Itu sudah cukup buat dia merasa bahagia.

     Hisham mengikut Wan Husna menuju ke bilik. Dengan keadaan kakinya yang kurang selesa, Hisham perlukan tempat yang selesa dan terlindung. Malunya masih menebal bila ingat kembali peristiwa tadi. Kakinya hampir tercabut bila peragut tadi memijak kaki palsunya bertubi-tubi. Malunya makin menebal bila dengan selamba Wan Husna menyelak kaki seluarnya untuk betulkan kaki palsunya yang hampir tercabut.

     Namun dibalik kejadian itu, dia bersyukur kerana dia tidak perlu lagi berahsia tentang kekurangan dirinya terhadap gadis yang dicintai. Di sebalik itu juga hatinya kurang senang. Apalah agaknya yang diceritakan oleh Kak Bibah tentang dirinya pada Wan Husna. Mengingatkan kembali peristiwa malang itu, hatiya menjadi sakit. Kehilangan sebelah kakinya dapat diterima, namun kehilangan orang yang disayang payah sekali diterima setelah menyulam kasih dari zaman bangku sekolah lagi. Dia yakin Arleyana sedang bahagia bersemadi di sana. Kerana kebahagiaan itulah, Hisham merana.


     Hatinya sakit bila mengingati peristiwa itu. Jika tidak kerana sikapnya sudah pasti Arleyana tidak pergi meninggalkannya dan sudah pasti juga dia tidak merana hingga kini.

BAB 11::: Pasrah Dalam Redha

BAB 11

     TERTOLEH kepala Wan Husna bila telefon bimbitnya yang diletak di sebelah kirinya mengalunkan lagu Selimut Tertangga. Cepat-cepat dicapai alat komunikasi itu. Melihat nama dan nombor yang tertera, buat jantungnya bagai nak terkeluar. Walaupun mulutnya terukir senyuman, hatinya tetap tidak keruan.

     “Assalamualaikum.” Ucap Wan Husna cuba melunakkan suaranya. Bibirnya diketap kuat menahan malu seolah-olah si pemanggil sedang berdiri di hadapannya.

     “Wa’alaikumsalam. Saya Hisham. Saya ganggu awak ke?” Tanya Hisham gugup. Dua hari dia bercuti pulang ke kampung, sudah cukup dia menahan rindu pada wajah ayu Wan Husna.

     “Tak adalah! Saya free sekarang ni. Awak dekat mana? Masih dekat kampung ke?” Tanya Wan Husna. Dua hari tanpa kehadiran Hisham di tempat kerja, sudah cukup buat dia resah gelisah.

     “Saya baru sampai dari kampung. Awak sihat?” Tanya Hisham yang sudah mula rasa selesa setelah mendengar suara ceria Wan Husna. Sejak dari kampung, dia cuba menghubungi Wan Husna, tapi hatinya masih ragu-ragu. Setelah dua bulan berkerja dengan gadis itu, dapat dirasa keserasian mereka bersama. Walaupun hati meronta-ronta mahu meluahkan perasaan, dia masih was-was. Risau kalau-kalau bunga yang dipuja adalah milik orang. Disamping pula dengan kekurangan dirinya, dia yakin sudah pasti Wan Husna tidak mahu memandangnya. Namun bila difikirkan balik layanan Wan Husna pada dirinya, hatinya makin kuat mahu mendekati hati si gadis dengan lebih mendalam.

     “Alhamdulillah. Masih boleh bernafas dengan nikmat Allah. Awak macam mana? Sihat? Happy je suara tu. Majlis dekat kampung macam mana?” Tanya Wan Husna cuba menyembunyikan rasa cemburu. Sehari sebelum Hisham bercuti pulang ke kampung, lelaki itu menyatakan mahu bercuti sebab bertunang. Hatinya sedih namun dia cuba memujuk hatinya yang mula melara. Mungkin sudah tertulis dia dengan lelaki itu hanya ditakdirkan sebagai kawan sahaja.

     “Alhamdulillah..semua berjalan lancar. Awak buat apa tadi?”

     “Takde buat apa. Duduk sorang-sorang depan tv..termenung ..berfikir..” Jawab Wan Husna berserta dengan tawa kecil.

     “Termenung? Ingatkan saya ek?” Hisham sekadar mengusik. Dalam pada itu, dia cuba mahu menduga hati Wan Husna.

     Wan Husna cuba mengawal perasaannya.
“Tak ada maknanya saya nak rindu dekat awak. Dari saya rindukan awak, baik saya rindukan pesakit-pesakit saya.”

     “Yelah..siapalah saya ni nak menagih rindu dan kasih pada orang sana tu..”

     Wan Husna ketawa mengekek mendengar suara menjauh Hisham.

     “Mak saya kirim salam dekat awak. Dia ada kirimkan barang untuk awak.” Sambung Hisham setelah mendengar suara Wan Husna ketawa tanpa apa-apa kata.

     Wan Husna tersentak dan seketika kemudian dia tersenyum nipis. Selama  mengenali Hisham, sudah banyak cerita tentang wanita yang bergelar ibu itu didengarinya. Walupun tidak pernah bersua, hatinya kuat menyatakan dia selesa dengan watak wanita itu.

     “Terima kasih. Awak cerita apa dekat mak awak fasal saya.? Buat malu jelah!” Bentak Wan Husna lembut walaupun hatinya bagai kembang setaman. Lupa sejenak tentang tujuan lelaki itu pulang ke kampung.

     “Nak malu kenapa? Saya bukan cerita buruk awak. Mak saya siap nak sedia cincin pergi meminang awak kalau awak sudi jadi suri hidup saya.” Kata Hisham malu-malu walaupun hatinya berat mahu menyatakan begitu. Risau juga kalau-kalau Wan Husna tidak suka cara penyampaiannya. Rasanya sudah sampai masa dia menyatakan hasrat hati yang sudah lama terpendam. Desakan emaknya buat dia nekad mahu berterus terang pada Wan Husna.

     Wan Husna menggigit bibirnya menahan senyum. Sudah tidak dapat ditahan lagi senyuman yang mula terukir lebar. Tiba-tiba dia teringat sesuatu.
     “Mana boleh macam tu. Awakkan dah ada tunang.”

     “Tunang? Tunang siapa?” Tanya Hisham serius. Tergamam dia seketika mendengan jawapan Wan Husna.

     “Tunang awaklah..!”

     “Err..siapa cakap saya dah ada tunang? Fitnah ni..! tak baik tau..!” Tanya Hisham gugup.

     “Eh eh..! bukan awak yang cakap dekat saya hari tu awak balik kampung  sebab majlis tunang?”

     Hisham sudah mula mengerti. Keluhan lega dilepaskan sambil mengusap dada. Tawa besar diluahkan sekuat hati hingga Wan Husna terpaksa menjarakkan telefon bimbitnya dari telinga.

     “Siapa yang cakap saya nak bertunang sayang oii!!? Saya balik kampung memanglah sebab majlis tunang. Tapi bukan saya yang bertunang. Anak maklong saya yang bertunang.”

     Wan Husna mengetap bibir menahan malu. Mahu saja dia melompat waktu itu juga. Pipinya yang mula terasa panas, ditekup dengan telapak tangannya. Seperti tidak percaya dengan apa yang didengarinya sebentar tadi. Paling buat dia merona wajah bila perkataan sayang keluar dari suara Hisham sendiri.

     “Ohh! Ye ke…Saya ingat awak yang bertunang.” Ujar Wan Husna malu-malu mengaku kesilapannya.

     “Tulah..lain kali tanya habis-habis dulu. Tak fasal-fasal nanti ada yang gigit jari sebab kecewa dengan saya.” Balas Hisham angkuh lalu ketawa lucu dengan lawaknya sendiri.

     Wan Husna tersenyum. Malu bila disindir begitu kerana sindiran itu benar-benar terkena di batang hidungnya sendiri.

     “Err..awak free tak hari ni?” Tanya Hisham gugup setelah beberapa detik mereka membisu.

     “Kenapa?” Tanya Wan Husna lembut. Ada debaran yang kembali terasa di jantungnya selepas membisu.

     “Saya nak ajak awak keluar makan. Dua hari saya tak tengok awak, rasa rindu pula.” Hisham menggigit bibir menahan malu. Walau macam mana sekali pun, ketebalan di wajahnya harus ditahan.

     “Awak tak makan lagi ke?” Tanya Wan Husna sambil membelek jam di tangannya yang sudah menunjukkan ke pukul empat petang.

     “Sebelum bertolak dari kampung tengahari tadi, saya dah makan. Sampai sini rasa lapar pulak.”

     “Errmm..”

     “Kalau awak tak sudi tak apalah. Barang yang emak saya kirimkan pada awak ni, saya serahkan esok sajalah.” Suara Hisham mula menjauh.

     “Bukan saya tak sudi.!!” Cepat-cepat Wan Husna menjawab. Peluang yang dinantikan sejak mengenali lelaki itu tidak mahu dilepaskan. Selepas kali  pertama Hisham mengajaknya  makan dua bulan yang lalu, Hisham tidak lagi cuba memperlawanya keluar makan. Semuanya kerana Kak Bibah. Tapi kini peluang yang sering diharapkan agar datang lagi sudah tiba dan dia yakin tidak akan lepaskan walaupun dia masih ragu-ragu.

     Hisham tersenyum lebar mendengar balasan Wan Husna. Semenjak dirinya dan Wan Husna sering menjadi bahan usikan Kak Bibah, wajahnya sentiasa berseri-seri. Jika dulu senyuman memang payah terukir di bibir, tapi kini tidak lagi hingga sering menjadi tanda tanya pada semua yang mengenalinya. Dia seperti dapat merasa apa yang Wan Husna rasakan. Cuma hatinya saja yang tidak yakin. Namun bak kata pepatah, ‘belum cuba belum tahu’ menguatkan azamnya untuk terus mencuba nasib walaupun pada hakikatnya dia cuba untuk mengelak dari menagih kasih. Tapi, apakan daya, kerana kuasa cinta dia tunduk jua akhirnya.  Melihat keperibadian Wan Husna dia yakin gadis itu sudah tentu malu-malu untuk meluahkan perasan. Memanglah zaman sekarang sudah ada ramai gadis seperti perigi cari timba, namun di yakin Wan Husna bukanlah begitu.

     “Awak setuju temankan saya makan?”

     “Awak nak saya pergi sendiri atau awak jemput saya?” Soalan Hisham dijawab dengan soalan.

     Hisham sudah bagai cicak tertelan kapur. Tidak disangka Wan Husna akan berkata begitu menandakan Wan Husna bersetuju. Peluang yang dinantikan tak akan disia-siakan begitu saja.

     “Selepas asar, saya datang jemput awak.” Ujar Hisham yang sudah mengetahui lokasi rumah Wan Husna kerana pernah menghadiri majlis tahlil dan kesyukuran sempena Wan Husna mula bertugas sebagai seorang dokter.

     Wan Husna melompat riang selepas menamatkan perbualan dengan Hisham. Bibirnya sudah tidak boleh dikembalikan lagi ke bentuk asal. Bila dirinya disergah oleh Wan Razin, barulah Wan Husna bagai tersedar dari mimpi. Hampir-hampir terlepas telefon bimbitnya dari pegangan.

     “Tersenyum-senyum, tergedik-gedik ni kenapa?” Sergah Wan Razin. Sejak tadi diperhatikan anak gadisnya tersenyum-senyum hingga merona wajah sambil berbual dengan seseorang di talian. Tergerak juga hatinya untuk mengetahui siapa gerangan di talian, namun disabarkan hati kerana yakin dia akan tahu juga nanti. Selama ini pun anak gadisnya akan bercerita apa saja padanya dan Fatimah Az-Zahra. Jika tidak diketahui dari mulut Wan Husna, dia akan tahu kemudian dari mulut isterinya.

     “Abi! Una nak minta izin keluar sekejap. Dengan kawan. Mmm..lelaki.” Wan Husna bersuara lambat-lambat meminta izin.”

     Wan Razin tersentak. Agak pelik dalam tutur anak gadisnya. Selama ini anak perempuannya yang satu itu tidak pernah berkelakuan begitu.

     “Hurmm..sejak bila dah berani nak keluar dengan lelaki ni? Siapa?” Tanya Wan Razin serius. Wajah anak gadisnya ditatap tepat hingga Wan Husna tertunduk resah. Risau juga kalau-kalau Wan Husna berkawan dengan orang sebarangan.

     “Mmm..Hisham! Yang Una cerita dulu tu. Dia pernah datang sini masa majlis kesyukuran hari tu. Abi ada berbual dengan dia.”

     Wan Razin mula berfikir. Tiba-tiba dia teringatkan seseorang. Masih terbayang-bayang wajah tenang Hisham ketika berbual. Walaupun malam itu topik perbualan tidak menjurus kepada soal perasaan, dia dapat merasa pemuda itu dari kalangan yang baik-baik.

     “Una serius ke dengan dia?”

     “Kawan sajalah abi..!” Wan Husna cuba meyakinkan.

     “Selama ni pun Una mana pernah keluar dengan kawan-kawan lelaki Una. Kalau ada yang mengajak, tak pernah Una setuju pun nak join. Nampak sangat yang ni istimewa.” Sindir Wan Razin sambil menjeling sinis.

     Wan Husna mengetap bibir. Merona wajahnya bila disindir begitu. Ungkapan istimewa yang diucapkan oleh Wan Razin tadi buat dia mengaku dalam hati.

     “Dia baru balik kampung. Ada barang yang emak dia kirimkan untuk Una.” Wan Husna cuba memberi alasan berasas agar Wan Razin tidak mula berfikir yang bukan-bukan.

     “Hurmm..bunyi macam menarik tu. Siap dapat kiriman dari bakal mertua pulak. Tak lama lagi rumah abi ni  mesti ada orang datang bawa utusan.”

     Wan Husna tergamam. Melihat wajah Wan Razin tersenyum simpul penuh makna, wajahnya sudah mula tebal beganda.


“Abi..!” Rengek Wan Husna malu hingga Wan Razin ketawa berdekah-dekah.


     HISHAM masih duduk termenung di atas katil. Masih tidak percaya pelawaannya terhadap Wan Husna disambut baik. Dikalih memandang jam di dinding. Masih terlalu awal untuk dia bersiap menjemput Wan Husna. Penat memandu dari perlis tadi masih terasa. Namun kerana hati sedang melonjak riang kerana pelawaannya diterima, penatnya hilang entah kemana. Dia yakin perasaan  yang pernah dibuang bertahun yang lalu, kini sudah mula menjengah datang. Paling menyesakkan bila perasaan itu sukar untuk dia tepis buang. Bukan dia tidak cuba, tetapi tiap kali dia ingin mencuba, perasaannya seakan berlawan agar rasa berbunga yang mula bertapak dalam hati harus dikekalkan.

     Kakinya dilunjur selesa. Dia mengeluh berat bila melihat keadaan kaki kanannya. Sengal yang tiba-tiba terasa di bahagian peha, dipicit-picit perlahan. Kadang-kadang dia hiba mengenangkan nasib dirinya yang tidak sempurna. Tertanya-tanya dalam diri sendiri, apakah ada insan yang sudi berkongsi hati dengannya andai insan itu tahu nasibnya yang sebenar? Bagaimanakah peneriman si gadis kalau tahu dia tidak sempurna seperti yang orang lain? Pelbagai persoalan yang sering datang tiap kali hatinya memikirkan tentang jodohnya yang hingga sekarang terpaksa  ditepis buang. Sebenarnya bukan tak ada yang sedang menanti tapi hatinya pulak yang tidak berkenan.

     Jika difikirkan balik, gadis yang sedang menantinya itu bukanlah ada cacat cela seperti dirinya. Tapi hatinya saja yang tidak boleh terima. Mengapa? Jawapannya biarlah dia sahaja yang tahu. Bila mengingati wajah itu, hatinya menjadi sakit. Kerana gadis itu hatinya masih sendiri hingga kini. Dan kerana gadis itu juga, dia masih tidak faham dengan perasaannya, apakah rasa dendam yang disimpan sekian lama mampu dibuang dari dalam dirinya.

     Ingatan Hisham kembali pada Wan Husna. Dia tersenyum malu. Dia sedar gadis itu telah berjaya membuka pintu hatinya untuk menerima sebuah cinta walaupun seringkali dia cuba nak menepis. Pada pengamatannya, ada sesuatu yang terdapat pada diri gadis itu hingga hatinya tidak mampu menoleh ke wajah lain. Apa yang dia sedar, senyumannya itu mengingatkan dirinya pada seseorang. Seseorang yang amat dirindui walaupun sedar insan yang dirinduinya itu tak mungkin kembali lagi dalam dakapannya.


     Hisham memandang lagi ke jam dinding. Azan sayup kedengaran dari masjid berhampiran menandakan waktu solat asar sudah datang. Segera dia mencapai tongkat lalu beegerak ke bilik air untuk membersihkan diri dan berwuduk.

Friday, 3 April 2015

BAB 10:::Pasrah Dalam Redha

BAB 10

“TEMANKAN saya makan hari ni, boleh?”

Hah!!” Wan Husna terkejut sambil memanggung kepalanya bila suara Hisham menyinggah di gegendang telinganya. Tergamam seketika melihat Hisham sedang berdiri di hadapannya yang sedang menulis sambil tersengeh-sengeh. Memang sejak tiba di hospital pagi tadi, wajah lelaki itu yang ingin dipandang dahulu. Namun dia hampa bila mendapati kereta milik Hisham masih belum kelihatan di tempat pakir yang biasa Hisham letakkan.

“Tengahari ni awak temankan saya makan. Boleh?” Ulang Hisham berserta dengan senyuman nipis. Agak lucu dia melihat riaksi Wan Husna tadi. Sampai di tempat kereta pagi tadi dia tersenyum lebar melihat kereta milik Wan Husna sudah tersedia. Dia mula buat rancangan mahu mendekati gadis itu.

“Awak tak ada kawan nak temankan awak makan ke?” Tanya Wan Husna ragu-ragu. Walaupun permintaan itu buat dia kembang setaman, dia harus berwaspada. Takut kalau-kalau misi mengusik dari lelaki itu belum selesai. Ikutkan hati mahu saja dia bersetuju menerima perlawaan itu. Perbualan dengan orang tuanya semalam terbias sejenak. Takut juga kalau-kalau lelaki itu sudah berkeluarga. Jika dilihat dari rupa, memang sepatutnya lelaki itu sudah ada anak empat atau lima orang.

Terangkat kening Hisham sambil tersenyum riang bila mendengar panggilan dokter yang selalu Wan Husna gelarkan padanya sudah bertukar kepada awak sahaja.

“Ada. Tapi saya nak makan dengan awak hari ni. Saya nak belanja. Anggap saja tanda maaf saya pada awak fasal semalam. Rasa macam tak lengkap pula maaf saya tu.” Terang Hisham ikhlas. Sejujurnya itulah yang ingin dilakukan hari ini.

Wan Husna mengetap bibir menahan senyum walaupun sedar senyumannya sudah mula terukir lebar. Wajah lelaki di hadapannya ditenung tepat. Bila Hisham membalas renungannya, dia tertunduk malu.

“Tak payahlah kot! Kan saya dah maafkan awak semalam. Jangan risau. Saya ikhlas maafkan awak.” Ujar Wan Husna lalu meneruskan kerjanya yang tergendala tadi. Kepalanya tak mampu lagi mahu mengangkat memandang Hisham.

“Saya ikhlas nak belanja awak makan hari ni. Boleh la..!” Rayu Hisham lalu melabuhkan punggungnya di kerusi hadapan meja Wan Husna. Sempat lagi dia merenung wajah Wan Husna yang sedang memandang tarian mata pena sambil menopang dagu. Hatinya bagai bersorak riang melihat Wan Husna malu-malu selepas merenungnya tadi.

“Saya bawa bekal dari rumah.” Jawab Wan Husna yang masih menunduk.

“Rajin awak masak pagi-pagi.”

“Umi saya yang masak. Dari zaman sekolah rendah lagi, saya tak biasa makan dekat kantin. Umi dengan abi saya takut saya keracunan. Lagipun perut saya tak boleh makan sebarangan.”

“Manja sangat!” Jawab Hisham sinis lalu tersenyum nakal.

“Bukan sebab manja. Tapi sebab saya memang ada masalah perut. Lagipun memang dari awal saya dah diasuh macam tu. Jadi saya kena ikut untuk kepentingan dan kebaikan diri saya juga. Betul tak?”

Hisham terangguk-angguk setuju dengan penjelasan Wan Husna. Sedikit rasa malu bila ingat kembali kata sinisnya pada gadis itu tadi.

“Boleh saya tahu fasal perut awak tu.?” Hisham cuba ambil berat.

Apendiks. Dah lama dah.. Dah sembuh pun. Tapi saya kena berjaga-jaga jugaklah..” Jawab Wan Husna tanpa berselindung. Baginya berbual dengan Hisham hari ini buat dia senyum sepanjang masa. Salah satu faktor ialah kerana hatinya sedang berbicara soal perasaan. Wan Husna termalu sendiri.

Hisham mengangguk faham dengan wajah serius.

“Oh! Kalau macam tu, saya beli bungkus makan dengan awak sajalah.” Cadang Hisham enggan mengalah.

“Boleh aje.! Kalau awak nak share dengan saya pun okey..” Sepontan jawapan yang keluar dari mulut Wan Husna. Dia sendiri tidak menyangka dia akan berkata begitu. Melihat senyuman Hisham semakin lebar, dia jadi tak tentu arah.

“Cukup ke?”

“Kebetulan saya bawa lebih. Semalam saya makan dengan Kak Bibah. Tak sangka hari ni dia pun bawa bekal lebih.”

“Makan dengan Kak Bibah???” Tanya Hisham terkejut. Membutang matanya mendengar nama wanita itu.

Mm.! Kenapa?” Wan Husna pelik melihat riaksi Hisham yang sedikit kalut.

Mm..kalau macam tu tak apalah. Saya makan dekat luar sajalah dengan kawan-kawan saya!” Jawab Hisham kalut lalu berlalu dari situ. Mendengar nama jururawat itu buat dia rasa tak tentu hala. Masakan tidak jika jururawat itu tak henti-henti merayu bagai seperti mahu dia menerima sebuah cinta yang kononnya ikhlas lagi murni dan suci bersih dari wanita itu.

Wan Husna mengeluh lemah. Sedikit kecewa bila Hisham membatalkan rancangan untuk makan tengahari bersamanya. Tertanya-tanya juga dia sendiri mengapa Hisham berkeadaan pelik bila nama Kak Bibah terkeluar. Akan diajukan persoalan itu pada Kak Bibah nanti.

Hisham melangkah laju meninggalkan Wan Husna. Dalam fikirannya sekarang adalah melarikan diri dari wanita yang bernama Kak Bibah. Bukan dia benci pada wanita itu, cuma dia rasa rimas. Wanita itu sering mengganggunya tak kira tempat atau waktu. Kadang-kadang depan tandas pun dijadikan tempat untuk mengenakannya. Pernah sekali terjadi ketika dia baru keluar dari tandas. Terkejut yang amat sangat bila tiba-tiba Kak Bibah meraih lengannya dan memaksa dia ikut wanita itu masuk ke dalam tandas perempuan. Ketika itu tak dapat dibayangkan betapa malunya dia bila ramai orang awam dan jururawat ketawakannya bila melihat wajahnya yang sudah mula pucat lesi. Dia tahu niat Kak Bibah sekadar mahu mengusik, namun jika usikannya itu sudah di tahap yang melampau, berangnya pasti tercetus juga. Namun dia pelik dengan sikap Kak Bibah. Walaupun ditegur dan dimarahi, wanita itu tetap berdegil. Akhirnya dia mengambil langkah menjauhkan dan melarikan diri dari wanita itu tiap kali bertembung. Dia sendiri tidak tahu sampai bila dia harus berkeadaan begitu. Sering kali dia berdoa agar ada insan yang sudi membantunya tiap kali berdepan dengan Kak Bibah.


SEMALAM sup ayam hari ni sup daging. Esok sup apa pulak.?” Tanya Kak Bibah pada Wan Husna yang sedang memasukkan nasi ke dalam pinggan.

“Esok sup ketam. Kak Bibah makan ketam tak?” Jawab Wan Husna tanpa sedar soalan Kak Bibah tadi berbaur sinis.

Kak Bibah tersenyum sambil geleng kepala. Lambat rupanya anak dara ni…!

Apabila Wan Husna mendongak kepala memandang wajah Kak Bibah yang sedang tersenyum meleret, baru dia sedar kelembapan otaknya dengan sindiran Kak Bibah tadi.

“Ini saja yang saya boleh makan Kak Bibah. Yang ada cili memang saya tak berani. Bukan tak suka tapi dah memang tak boleh makan.” Lantas diceritakan kejadian bagaimana mula-mula dia kena penyakit perut yang bahaya itu.

Hurmm..susahlah kalau macam tu. Kak Bibah kalau tak ada cili memang tak boleh nak makan. Sambal belacan tu memang dah jadi menu wajib Kak Bibah seisi keluarga. Anak-anak Kak Bibah yang kecik sekali pun suka sambal belacan. Kalau tak buat, semua mogok tak nak makan.”

Wan Husna tersenyum dan ketawa kecil mendengar cerita Kak Bibah. Jika dulu dia pun sukakan makanan yang pedas-pedas. Selepas disahkan apendiks di usia sepuluh tahun, dia sedikit kecewa. Hampir sebulan juga dia tiada selera makan. Akhirnya setelah sekian lama diasuh tekaknya menerima makanan ala-ala kanak-kanak tadika, dia dapat juga menerima.

“Esok kita makan dekat kantin nak? Tak best la makan dalam bilik dokter ni. Tak ada benda menarik yang boleh dipandang. Pandang depan pintu nampak poster ibu menyusu baby. Toleh kanan nampak poster rokok. Pandang kiri gambar artikel tentang najis. Siap dengan gambar najis lagi.! Nasib baik Kak Bibah dah biasa. Kalau orang lain dah tentu muntah monggek dekat sini.”

“Saya dah biasa berdepan dengan benda-benda macam tu. Mula-mula dulu rasa nak muntah jugak. Tapi bila dah lama-lama, dah tak rasa apa-apa dah. Kak Bibah nak tengok apa dekat kantin tu.? Saya tengok biasa je suasana kantin tu.” Balas Wan Husna perlahan.

“Sambil makan boleh juga cuci mata tengok dokter-dokter yang hensem-hensem.”

Wan Husna ketawa mengekek. Ada-ada saja wanita di depannya itu mahu buat dia ketawa.

“Kak Bibah nak tengok siapa.?” Wan Husna sekadar bertanya.

“Ramai..! Salah seorang darinya ialah rakan sekerja dokter tu. Dokter Hisham.! Ha..ada lagi kat bahagian lain. Dokter Zikri, Dokter Syamsul dan ramai lagilah!” Ujar Kak Bibah sambil tersenyum nakal.

Hampir tersedak Wan Husna bila nama Hisham terbit dari mulut Kak Bibah. Terfikir-fikir dia sendiri di mana letaknya ketampanan Hisham. Sambil tersenyum sendiri dia menggeleng kepala. Baginya Hisham bukan lelaki kacak tapi manis orangnya. Kulitnya tidak dalam kategori putih atau gelap.  Tiba-tiba dia teringat sesuatu tentang lelaki itu.

“Saya nak tanya Kak Bibah sikit. Kenapa Dokter hensem Kak Bibah tu takut sangat bila saya sebut nama Kak bibah?”

“Siapa? Dokter hensem akak banyak dalam hospital ni. Yang mana satu?”

Sekali lagi Wan Husna ketawa. Baru kini dia faham sikap Kak Bibah yang sentiasa ceria.

“Dokter Hisham.” Jawab Wan Husna perlahan seolah-olah berbisik.

Serta merta Kak Bibah berdekah-dekah ketawa. Wan Husna merasa pelik hingga berkerut di wajah.

“Yang sebenarnya akak suka nyakat dia. Muka brutel ala-ala serigala jadian nak mengawan tapi dalam hati ada taman. Hampeh!!” Seiring dengan itu, berderai tawa Wan Husna dan Kak Bibah.

“Dia tak marah akak ke?”

“Mula-mula dulu dia marah jugak. Tapi bila dah lama-lama dia terpaksa akur. Kadang-kadang tu sengaja akak nyakat dia depan orang ramai. Bila tengok muka pucat lesi dia tu, akak rasa macam nak gelak guling-guling.” Jelas Kak Bibah sambil mengesat tubir matanya yang basah dek kerana terlalu banyak ketawa.

“Dia okey tak kak?” Tanaya Wan Husna malu-malu. Rasanya dia perlu tahu sesuatu tentang lelaki itu.

“Dia okey. Dalam kerja memang serius. Jangan ada yang main-main. Tapi dengan akak dia takut.” Sekali lagi Kak Bibah menderaikan tawanya. Wan Husna hanya tersenyum lucu.

“Mula-mula saya kenal dia, saya fikir dia sombong.” Wan Husna kembali bersuara setelah beberapa detik membisu.

“Kalau orang tak kenal, memang akan fikir macam tu. Yang sebenarnya dia baik hati. Muka je nampak garang tapi dia tetap hensem di mata akak.”

Wan Husna tersenyum dalam diam. Dia setuju dengan pendapat Kak Bibah.

Hensem ke? Bagi saya dia bukan hensem. Tapi manis. Nampak berumur sikit. Akak agak-agak berapa umur dia.?”

Hai Dokter Wan Husna! Sudah mula terpikat ke pada encemman akak tu ..?” Tanya Kak Bibah sinis dengan nada nakal. Jelingan sinisnya sudah cukup buat Wan Husna tersenyum malu.

“Pandai jelah akak ni. Saya tanya je!”

“Yelah..mula-mula tanya. Lepas tu risik khabar. Tup-tup tau-tau dah serah kad kawin je dekat akak nanti.” Usik Kak Bibah nakal.

Wan Husna menggeleng kepala.

Ish akak ni. Buatnya dia tu suami orang, tak ke naya je saya nanti.” Ujar Wan Husna. Serkap jarang sebenarnya tu..

“Siapa cakap dia tu suami orang?” Pantas Kak Bibah bertanya dengan nada serius. Wajah Wan Husna ditatap hairan.

Wan Husna tersentak. Terhenti seketika kunyahan nasi di mulutnya. Terasa lapang dadanya mendengar jawapan Kak Bibah tadi.

“Setahu akak, dia mana ada isteri.”

“Dia tak kawin lagi?” Wan Husna bertanya pelik.

Hurm..kalau akak cerita, dokter diam-diam sajalah ek. Jangan kecoh-kecoh pulak.” Ujar Kak Bibah selepas beberapa detik berdiam diri.

Wan Husna diam tanpa beri apa-apa jawapan. Dalam diam dia turut setuju dengan permintaan Kak Bibah.

“Masa tu akak kerja sini dah dekat dua tahun. Akak kenal dengan Dokter Hisham tu pada hari pertama dia bertugas dekat sini. Sebelum tu dia bertugas dekat hospital Sungai Petani selama dua tahun setengah. Bila tahu dia sebaya dengan akak, akak jadi berani nak tegur dia. Bila dah lama kenal, yang bersangkut paut dengan dia dekat luar pun akak jadi tahu.”

“Apa yang akak tahu?”

“Masa tu dengar cerita dia dah bertunang. Tunang dia pun pernah berkhidmat dekat sini. Dengar cerita mereka kenal dari zaman sekolah rendah lagi. Belajar dekat luar negara pun sama-sama. Dengar ceritanya mereka bertunang  sebelum berangkat ke luar negara. Kedua pihak keluarga nak mereka nikah sebelum berangkat sebab takut perkara lain yang jadi dekat sana. Almaklumlah..darah muda tengah menggelegak. Takut lain yang diharap lain pulak yang jadi.”

“Habis tu dia orang nikah tak?”

“Tak berani akak nak cakap. Ada yang kata mereka dah nikah sebelum berangkat ke luar negara dan ada juga yang cakap tak jadi nikah sebab tunangnya tak mahu terburu-buru. Ada pula yang cakap dia orang dah nikah dekat Australia. Entahlah! Akak pun tak tahu mana satu yang betul. Tapi bila akak tanya Dokter Hisham sendiri, dia senyum je.”

Wan Husna sedikit terkilan dan kecewa. Rasanya peluang untuk dia mendekati lelaki itu hanya tingal impian sahaja.

“Siapa tunang dia.? Sekarang ada lagi kerja dekat sini.?” Wan Husna kalut bertanya. Teringin juga dia mahu melihat wajah kekasih lelaki yang kini menjadi impiannya. Bila melihat wajah serius Kak Bibah bertukar murung dan mengeluh panjang, Wan Husna jadi pelik.

“Tak payahlah dokter tahu siapa tunangnya tu. Bukan dokter kenal pun. Orangnya pun dah tak ada dekat sini. Sehari sebelum menyambut tahun baru, mereka kemalangan teruk. Tunang Dokter Hisham cedera parah. Meninggal dekat hospital selepas menerima rawatan. Dokter Hisham pulak patah kaki. Hampir setengah tahun juga, baru dia boleh terima kenyataan.”

Wan Husna kelu. Sedih dan sayu bila mendengar kisah Hisham walaupun hatinya sedikit lega. Rasanya tak perlulah dia memendam lagi perasaannya.

“Akak tengok dia dengan dokter padan sangat. Senyuman dokter tu ingatkan saya pada wajah seseorang. Kalau dokter setuju, akak boleh tolong.” Tiba-tiba Kak Bibah bersuara setelah lama mereka berdiam.

Ish akak ni! Malu saya akak cakap macam tu.” Ujar Wan Husna malu-malu walaupun dalam hati rasa macam nak terus terima saja tawaran Kak Bibah tadi.

“Apa salahnya? Zaman sekarang orang dah tak fikir pun siapa jadi perigi siapa jadi timba. Yang penting, siapa cepat dia punya.”

Wan Husna sekali lagi mengekek ketawa.

“Jangan merepeklah akak. Siapalah saya ni nak dia pandang.”

“Belum cuba belum tahub dik oii..! Akak tolong ek?”

“Jangan mengada-ngadalah akak. Tak nak saya dekat dia tu. Muka macam serigala nak terkam orang je!” Bohong Wan Husna dalam gugup.

Hurmm..tau takpe..! Ingatkan akak je yang rasa macam tu.” Balas Kak Bibah lalu ketawa besar tanpa menyedari apa yang bersarang dalam benak Wan Husna ketika itu.


Wan Husna menyambung kembali suapan. Rasa menyesal pula bila menolak perlawaan Kak Bibah tadi. Namun dia harus bersabar dahulu. Dia yakin kalau dah jodoh, pasti takkan kemana.

BAB 9:::Pasrah Dalam Redha

BAB 9
“MACAM mana kerja hari ni. Boleh?” Tanya Fatimah Az-Zahra tidak sabar. Memandangkan anak gadisnya baru memulakan tugas di hospital, dia sedikit bimbang kerana jarak rumah dengan hospital agak jauh.

“Boleh la..! Tapi hari pertama biasalah..penat sikit. Sikit hari lagi okeylah..” Balas Wan Husna menenangkan hati uminya.

“Baguslah kalau macam tu. Abi cakap kalau Una tak tahan kerja dekat situ, abi suruh Una buka klinik sendiri saja dekat pekan tu.”

Wan Husna sudah tersenyum-senyum. Maklum sangat dengan keperihatinan Wan Razin terhadapnya. Memang dari dulu dia ada suarakan keinginannya untuk membuka klinik sendiri pada Wan Razin. Tapi bukanlah dalam masa terdekat. Padanya, biarlah dia mencipta pengalaman di hospital dulu.

“Tak apalah mi. Rasanya tak payah lagi kot! Biarlah Una merasa kerja dekat hospital dulu. Nak pegang klinik sendiri ni payah sikit kalau tak ada yang membantu. Harap Una seorang, memang tak jalanlah..” Jelas Wan Husna.

Hurmm..Kenapa Una? Una tak yakin kemampuan sendiri ke?”

“Ermm..lebih kurang macam tu la..”

“Bertahun-tahun belajar, takkan tak yakin lagi?” Tanya Fatimah Az-Zahra hairan berserta jelingan sinis.

“Entahlah. Tak tahu Una nak cakap macam mana. Una rasa masih banyak yang Una kena belajar. Kadang-kadang Una rasa macam nak sambung belajar lagi. Rasa macam tak cukup pulak ilmu yang Una belajar dulu.”

“Habis SPM Una ambil STPM. Lepas tu sambung lagi ke UKM. Tak cukup dengan tu sambung pulak dekat US. Una tak jemu ke belajar? Hah! Lepas ni nak kemana pulak?” Tanya Fatimah Az-Zahra tidak puas hati. Tak sanggup rasanya mahu berpisah lagi dengan satu-satunya anak perempuan yang dia ada.

“Una cadang nak ke Australia.”

Membutang mata Fatimah Az-Zahra mendengar jawapan Wan Husna.

“Baru cadangan je, mi..!” Ujar Wan Husna sambil ketawa mengekek bila melihat wajah uminya tergamam. Faham sangat dengan sikap uminya yang tidak mahu berenggang dengan anak-anak. Kalau boleh semua anak-anak kena duduk bawah ketiak dia walaupun dah berkahwin.

Fatimah Az-Zahra menjeling geram. Lega sikit hatinya mendengar komen Wan Husna.

“Memanglah Una bercita-cita nak ada klinik sendiri. Tapi..nanti-nantilah dulu. Kalau nak buka klinik sendiri, sekurang-kurangnya kena ada sorang rakan kongsi. Harap Una sorang, takut tak menang tangan nanti. Silap-silap Una langsung tak boleh balik rumah. Kena berkampung dekat klinik. Nak cari rakan kongsi pulak, bukan boleh tangkap muat je. Sekurng-kurangnya biarlah dengan orang yang kita kenal. Macam adik beradik ke..dengan kawan baik ke..!” Terang Wan Husna tersenyum-senyum.

Fatimah Az-Zahra terangguk-angguk setuju dengan pendapat Wan Husna. Tiba-tiba terlintas di fikirannya untuk mengusik anak daranya.

“Kalau macam tu kena cari suami dokter jugaklah. Kompem ada yang membantu.”

Ish umi ni..! Una tak fikir pun fasal nak kawin dengan dokter. Lagipun siapalah yang nakkan Una ni.?”

“Ada..! Tapi Una pulak yang dah putus harap.”

“Kalau yang tu tak payahlah mi. Una saja yang mengharap, dia tak ada apa pun. Nampak sangat dia memang tak harapkan Una.”

“Jodoh, ajal maut di tangan tuhan. Kita hanya merancang. Dia yang tentukan. Apa saja yang dah dia atur, kita ikut saja. Pasti ada hikmahnya.”

Wan Husna tersenyum nipis tanpa menjawab. Melihat uminya beredar dari situ, hatinya mula rasa lega. Tak perlulah lagi dia bualkan tentang orang yang sememangnya sudah jauh dari hatinya.

Sakit hatinya masih bersisa walaupun peristiwa itu sudah bertahun berlalu. Keputusan yang diambil untuk melupakan terus lelaki yang bernama Wan Hamka dirasa amat tepat sekali. Bukan kerana tidak sayang atau cinta, tapi kerana rasa sakit di jiwa yang terpaksa ditanggung hingga kini yang membuatkan dia tidak was-was untuk memilih jalan itu.

Tiba-tiba ingatannya terbias pada Hisham. Lelaki yang baru ditemui di hospital tadi buat dia tersenyum sepanjang pemanduan. Sedangkan sepanjang hari dia di hospital, hatinya sakit dengan layanan lelaki itu.

“Ha..apa yang senyum-senyum tu?”

Sergahan Wan Razin buat Wan Husna terkejut. Rasa debar di dada buat dia cepat-cepat mengurut dadanya. Geram hatinya melihat abinya ketawa mengekek.

“Abi tak sayang Una ek?” Tanya Wn Husna geram.

Sorry! Abi tak sangka anak abi terkejut sampai macam tu. Una tu, yang senyum sorang-sorang kenapa? Dah berjaya dapatkan calon menantu untuk abi ke?” Tanya Wan Razin cuba berseloroh. Makin gamat dia ketawa bila melihat mulut Wan Husna semakin panjang memuncung.

“Siapalah nak dekat Una ni, abi.” Wan Husna seakan menjauh. Walaupun sayang masih ada pada Wan Hamka, untuk menerima lelaki itu tidak sama sekali.

“Nanti adalah tu.”

“Malas Una nak fikir. Hidup sendiri macam ni lagi baik. Una tetap bahagia sebab Una masih ada abi dan umi.”

“Sementara ada. Tapi sampai bila.? Lambat laun abi dengan umi kena pergi juga tinggalkan Una.”

Wan Husna tersentak. Wajah Wan Razin dipandang tepat. Hatinya sayu dan sebak. Lantas dia bangun dari duduknya lantas melabuhkan punggungnya di sisi Wana Razin. Lengan Wan Razin dirangkul erat sambil meletakkan kepalanya di bahu Wan Razin. Ada esakan halus di situ.

“Abi bukan sengaja nak buat Una sedih. Abi nak Una ingat masa depan Una. Una perlu fikirkan tentang kebahagiaan Una akan datang. Hidup sendiri masa muda memang kita tak rasa apa-apa. Bila dah usia meningkat tua, masa tu Una akan rasa menyesal dan akan mula terfikir betapa pentingnya hidup berkeluarga. Una perlukan suami dan anak-anak. Mereka nilah yang akan menjaga Una bila abi dengan umi dah tak ada nanti.”

“Bukan Una tak fikir semua tu, abi. Sebenarnya Una takut nak beri harapan pada orang. Una tak mahu kecewa lagi.”

“Abang Am belum balik lagi, Una dah terus buat keputusan. Mana boleh macam tu. Nanti bila dia balik, kita tanya dia baik-baik.”

“Una tak nak dekat abang. Una dah buat keputusan yang Una takkan tunggu lagi dia.”

“Tapi kenapa? Apa yang abang Am dah buat pada Una.? Kalau setakat dia tak pernah balik jumpa Una, takkan tu pun Una nak marah. Una sendiri tahukan, abang Am susah balik sini. Una kena faham semua tu. Salah Una juga. Waktu abi ajak melawat abang Am dekat johor dulu, Una menolak.”

“Bukan sebab tu..” Berat mulutnya mahu membuka aib orang. Tambah-tambah lagi aib orang yang dia sayang.

“Habis sebab apa? Una tak ceritakan sebab-sebabnya, manalah abi nak tahu.”

“Tak payahlah abi tahu. Keputusan Una dah buat takkan tunggu lagi abang.”

“Habis, Una nak tunggu siapa?”

“Adalah.!” Balas Wan Husna tersenyum simpul. Diruangan matanya kini terbias wajah Hisham. Dia sendiri tidak faham kenapa wajah bengis itu yang terbayang. Sepanjang pemanduan tadi pun fikirannya asyik memikirkan tentang lelaki itu.

“Macam ada good news nampak!” Sergah Wan Zubaidah sambil membawa sedulang kopi.

“Baru nak susun strategi pikat memikat.” Jawab Wan Husna tanpa rasa malu-malu.

“Siapa yang pikat siapa?” Tanya Wan Razin hairan.

“Una lah nak pikat orang.” Jawab Wan Husna bersahaja.

“Tak malu!” Gerutu Wan Razin berserta dengan ketawa lucu. Muka tembok juga anak aku ni rupanya..

“Cinta itu buta abi. Una nak jadi macam Siti Khatijah. Tapi Una tak mahulah lelaki muda macam Rasulullah tu. Yang Una nak kejar ni agak berumur sikit.” Ujar Wan Husna lalu ketawa mengekek.

Melopong mata dan mulut Wan Razin dan Wan Zubaidah mendengar penjelasan Wan Husna. Walaupun ada rasa sedikit terkilan, bila melihat wajah ceria anak gadis mereka, hati mereka sedikit tenang.

“Berumur macam abi ke?” Tanya Fatimah Az-Zahra berselang dengan rasa yang sedikit kurang selesa.

“Taklah macam abi ni..! Muda sikit. Hensem banyak. Ermm..Una rasa dalam lingkungan empat puluhan kot. Lagipun Una bukan muda lagi. Lagi berapa tahun je nak masuk tiga puluh.”

Wan Razin dan Fatimah Az-Zahra saling berpandangan. Hairan juga dengan sikap anak perempuan mereka. Sepatutnya dengan umur Wan Husna yang masih dalam lingkungan 20an, gadis itu sepatutnya mencari calon suami yang sesuai dengan dirinya yang muda. Paling kurang pun yang berumur lingkungan 30an. Jika usia 40an itu sudah dianggap kertu. Namun apakan daya walaupun mereka merasa sedikit terkilan, selaku orang tua yang sentiasa peka dan menyokong setiap keputusan anak mereka, keputusan itu mereka terima dengan sebulat suara asalkan anak perempuan mereka bahagia dunia akhirat.

Hurmm..kira okeylah tu. Abi dengan umi tak kisah sebenarnya, janji Una bahagia. Bahagia Una, bahagialah abi dan umi.”

Wan Husna tersenyum lebar sambil melepaskan keluhan lega. Restu sudah diperolehi. Tinggal usahanya saja yang tinggal untuk meraih cinta si jejaka. Walaupun rasa malu-malu, dia akan berusaha sehingga Hisham menjadi miliknya kerana dia dapat rasa ada sesuatu yang menjadi tarikan pada lelaki berusia itu. Kini dia yakin usaha untuk melupakan Wan Hamka pasti berhasil. Kalau boleh setiap saatnya bersama Wan Hamka tidak ingin diingatkan kembali.

“Una dah selidik ke? Entah-entah suami orang.” Pantas saja suara Fatimah Az-Zahra kedengaran. Risau juga kalau-kalau anaknya tersalah pilih.


Wan Husna tersentak. Seperti baru tersedar dari mimpi wajah kedua orang tuanya dipandang sepi. Serta merta wajah manisnya bertukar kelat. Tiba-tiba hatinya jadi kurang ceria. Resah jiwanya seketika andai itu adalah kenyatan yang harus ditelan. Namun dia berharap agar andaian uminya tadi bukan seperti yang difikirkan. Melalui perbualan dan cadangan Rania di hospital tadi, dia yakin Hisham masih sendiri.