JAM sudah menunjukkan ke angka 6 petang. Syarikat catering yang ditempah khas oleh Faridz sudah menampakkan bayang. Para -para pekerja sudah mulakan tugas mereka menyusun meja dan kerusi serta pinggan di atas meja. Jadi, bagi tuan rumah tidak perlu bersusah payah memasak atau mengidang, semuanya sudah tersedia.
Solat Maghrib malam itu mereka sekeluarga berjemaah. Huda dan Huzir sibuk membentangkan sejadah sementara menanti Encik Marzuki dan yang lain turun. Melihatkan Encik Marzuki yang sedang turun beriringan dengan Faridz, jantung Huda berdebar-debar melihat penampilan ringkas Faridz yang hanya berbaju melayu putih dan berkain pelekat. Pelik benar dengan matanya, lelaki berbaju teluk belanga dan berkain pelekat pun nampak kacak. Huda begitu asyik menajamkan penglihatannya. Bibirnya mahu sedekahkan seulas senyuman ketika lelaki itu sedang berbicara dengan orang tuanya. Tapi entah kenapa cepat-cepat Huda mengalihkan pandangan apabila Faridz menyedari tenungannya. Malunya tuhan saja yang tahu bila merenung anak teruna orang macam tu.
“Riz..! Pakcik nak Riz yang imamkan, boleh? Riz kan tuan rumah..” Kata Encik Marzuki sambil menepuk lembut bahu Faridz yang sedang berdiri di hadapannya memberi semangat.
Faridz terpaku sejenak sambil berfikir-fikir. Akhirnya Faridz tersenyum dan mengangguk setuju. Tidak disangka Encik Marzuki memberi tanggungjawab itu padanya. Walaupun rasa masih tidak layak, Faridz terima dengan senang hati kerana rasa lebih dihargai.
“Yakin boleh buat..?” Tanya Encik Marzuki pinta kepastian.
“Insyaallah pakcik..saya dah dekat tiga puluh tahun, takkan tak boleh kot..!” Balas Faridz sambil tersenyum manis.
“Bagus..bagus..! Dah boleh buat menantu ni!” Balas Encik Marzuki sambil tersenyum mengusik.
Faridz tergamam lalu tersenyum lebar. Bila mengingatkan renungan mata Huda tadi, jiwanya berbunga.
Mendengar sahaja suara Huzir sedang melaungkan azan, menandakan waktu maghrib sudah tiba, semua penghuni rumah diam menghayati. Suara lantang Huzir memang mendamaikan. Suara budak-budaklah katakan.. Orang kata belum pecah suara lelakinya. Tidak lama kemudian Encik Marzuki mulakan iqamat.
Matanya Huda kaku di hadapan setelah melihat Faridz berada di hadapan sekali tempat imam. Baru disedarinya imam akan diambil alih oleh Faridz dan bukan abahnya yang disangka. Hati Huda tersenyum bangga. Tidak disangka orang muda seperti Faridz mampu memikul tanggungjawab sebagai imam sedangkan yang tua masih ada.
SEUSAI majlis Huda terintai-intai ke arah luar rumah dari dalam. Masih ada lagi tetamu yang sedang berbual kosong dengan Encik Marzuki dan Faridz. Mungkin itu adalah rakan sepejabat Faridz yang kebetulan mengenali Encik Marzuki. Huda meninjai-ninjau ruang tempat kosong dalam rumah untuk dia melepaskan penat. Pinggan mangkuk sudah siap dibasuh dengan Afini tadi. Lebihan lauk pauk yang diserahkan oleh pekerja catering tadi pun sudah habis dibungkus oleh Puan Rohayu dan Affini untuk disedekahkan kepada tetamu yang masih belum pulang. Rasa membazir pula kalau disimpan dalam peti sejuk. Pasti tiada siapa lagi yang mahu makan. Jadi ada baiknya disedekahkan saja pada tetamu yang hadir.
Perutnya terasa lapar namun kurang berselera untuk menjamah walaupun fikirannya hanya terbayang laksa pineng tengahari tadi. Oleh kerana badan sudah mula terasa penat, dilupakan sahaja niatnya itu. Sejak pulang dari econsave tadi, dia belum lagi ada peluang untuk merehatkan badan. Hidungnya yang baru sembuh tiba-tiba terasa berdenyut hingga ke kepala. Dipaling memandang Puan Rohayu yang asyik benar berbual dengan Mak Miah dan tetamu wanita yang hadir. Tiada tanda-tanda perbualan di situ akan berakhir dalam jangka masa yang terdekat. Di matanya sekarang hanya terbayang katil dan bantal.
Huda duduk merehatkan badannya yang letih di sudut ruang tamu yang sedikit terselindung dari pandangan ramai. Sesekali jemarinya memicit lembut batang hidungnya yang baru sembuh bila dia menguap. Rasa nyilu sekali bila mulutnya dibuka luas-luas. Ingin segera ke bilik tapi takut dianggap tidak menghormati tetamu pulak walaupun sudah ramai tetamu yang pulang, lantas dia mengambil keputusan untuk berehat di situ sahaja. Matanya asyik memandang suasana persekitaran ruang di hadapannya. Menurut Mak Miah ruang itu hanya tempat untuk saudara mara berkumpul, berbual dan membaca kerana di situ terdapat lima buah rak buku yang tinggi. Teringin juga Huda membaca buku-buku di situ ,tapi memandangkan keadaannya yang tak mengizinkan, niatnya terpaksa dibatalkan. Jiwanya tersenyum tenang bila melihat buku yang tersusun kemas di depan matanya.
Huda melangkah ke arah sebuah kabinet antik yang berwarna putih di hadapannya. Kabinet yang setinggi hanya paras dadanya didekati. Di atasnya tersusun kemas beberapa frame gambar lama. Huda tekun meneliti satu persatu wajah-wajah dalam gambar yang diframekan. Wajah arwah papa Faridz semasa zaman muda tak ubah seperti Faridz manakala senyuman faridz banyak diikut dari senyuman arwah mamanya. Afini pulak senyumannya seakan-akan seperti papanya. Afini memang cantik, mukanya yang ada iras-iras Erra Fazira dan bertubuh tinggi lampai. Badannya yang kurus ramping seperti pelakun Eja menampakkan dia seperti model bila berjalan. Huda tersenyum-senyum memandang gambar Faridz dan Afini semasa kecil. Keasyikan Huda merenung gambar-gambar di hadapannya di ganggu dek satu suara yang amat dikenalinya.
“Ehem..! senyum sorang-sorang, mengumpat lah tu..!” Sapa Faridz sambil berdiri di belakang Huda.
Perlahan-lahan Huda memalingkan wajahnya mengadap Faridz sambil tersenyum malu. Untuk menutup rasa malu, Huda mengalihkan pandangannya kembali pada deretan gambar-gambar yang tersusun kemas depan matanya.
“Tak ada lah..! tengok-tengok je..! suka tengok gambar budak ni, cute sangat..!” Balas Huda sambil menunjukkan gambar seorang bayi yang sedang duduk dalam kereta sorong sambil tersengeh. Walaupun sudah dapat mengagak siapa yang dimaksudkan, Huda cuba buat-buat tidak kenal.
“Suka tengok je..? Tak teringin milikinya ke..?”
“Buat apa..? Dah sah-sah tu anak orang, bukan anak patung yang boleh dapat kat kedai..!”
“Tanya buat apa? Buat teman hidup la..! Masa ni, budak yang cute ni berumur setahun dua bulan, comelkan? Sekarang dia dah terlajak dewasa, dah boleh jadi suami atau bapak orang. Kacak pulak tu. Huda tak teringin jadi suri hati budak ni.? Kompem anak Huda nanti comel macam dia.” Kata Faridz sambil tersenyum simpul.
Huda tersenyum sambil menahan tawanya terburai.
“Bila tengok gambar arwah papa abang faridz ni, Huda rasa macam tengok abang Faridz pulak. Arwah papa abang Faridz ni handsome, mesti ramai peminat yang gilakan dia masa zaman bujang, padan sangat dengan arwah mama abang Faridz..” Kata Huda ingin lari dari menjawab soalan Faridz tadi.
“Ye ke macam muka abang? Ke..Huda nak bagitahu yang abang ni handsome? Handsome ek? Tapi masa belajar dulu sampailah sekarang tak ada yang kata dia orang minat pada abang sebab abang handsome.”
Faridz cuba mengumpan Huda sambil menatap gambar yang dimaksudkan oleh Huda tadi. Diletakkan semula lalu mengekori Huda yang sudah keluar dari ruang itu. Melihatkan Huda selesa di kerusi panjang yang terletak di tepi dinding berhampiran dengan tangga yang menuju ke bilik atas, Faridz turut mengekori.
“Handsome tak bererti ramai peminat..! Dan peminat tak semestinya minat sebab orang yang dia minat tu handsome..! Mungkin ada sebab lain kenapa orang tu jatuh minat. Mungkin sebab abang Faridz ni baik, pandai, mm..mungkin manis mulut, pandai mengayat power. ” Balas Huda sinis yang selesa di sofa.
Faridz tersenyum malu. Dirasakan sindiran Huda itu sengaja mahu mengujinya.
“Huda minat kat abang tak..?” Jujur Faridz beranikan bertanya.
“Minat macam mana..?” Tanya Huda sambil memerhatikan Faridz dengan ekor matanya.
“Minat macam orang perempuan tengok orang lelaki..”
“Susah Huda nak cakap. Huda tak tau apa yang Huda rasa. Rasa-rasa macam biasa je..!” Bohong Huda tanpa memandang ke wajah Faridz yang sedang merenungnya. Takkan nak mengaku kot apa yang dirasa sejak pertama kali bersua muka dengan Faridz..
Faridz membisu tanpa membalas kata-kata Huda tadi. Wajahnya sedikit kelat namun dicuba memaniskan juga. Mungkin terlalu awal untuk dia mengharap pada si gadis. Pasti Huda akan terkejut jika dia berterus terang. Namun, hati yang lara sejak pertama kali bertemu, mana boleh ditahan. Tambah pula bunga sudah terang-terang berada di depan mata. Takut dipetik orang, baik dia cepat bertindak sebelum putih mata.
“Abang Faridz tak teringin ke Mekkah melawat pusara arwah orang tua abang Faridz?” Tanya Huda tiba-tiba setelah jawapannya tadi hanya dibalas dengan wajah kurang gula Faridz.
Faridz tersentak lalu melabuhkan punggungnya di sebelah Huda yang sedang memandangnya. Huda menjarakkan sedikit apabila merasakan Faridz agak dekat dengannya.
“Teringin jugak..! tapi, nantilah.! Abang nak pergi masa bulan madu dengan isteri abang nanti. Buat masa ni abang sibuk sikit sebab syarikat papa abang yang dijaga oleh peguam papa abang dulu baru beroperasi. Abang tak mahu terlalu mengharap dengan keluarga angkat abang. Abang rasa abang dah boleh berdiri di kaki sendiri tanpa ehsan dari orang lain. Lagi pun sampai bila abang nak jaga syarikat orang kalau syarikat sendiri ada.” Jawab Faridz sambil matanya tepat ke arah Huda.
“Huda teringin nak ke sana..” Balas Huda tanpa malu-malu.
“Sabarlah..! nanti kita pergi, bawak anak-anak kita, mesti seronokkan?” Jawab Faridz bersahaja. Walaupun jawapannya agak keterlaluan, diharap Huda faham maksud hatinya. Huda terpaku lalu menjegilkan matanya. Berdekah-dekah Faridz ketawa melihat riaksi wajah Huda yang menahan geram.
“Perasan..! Bila Huda cakap nak pergi dengan abang Faridz dan anak-anak abang Faridz?” Tanya Huda geram.
“Eh..bukan tadi Huda maksudkan macam tu ke.?” Usik Faridz cuba bergurau.
“Jangan nak memandai-mandai buat cerita..nanti jadi gosip pulak..!”
“Apa salahnya..abang lagi suka..”
“Sekarang bukan masanya lagi..” Ujar Huda sambil menjeling.
“Kalau bukan sekarang, bila..?”
“Sampai Huda habis belajar, baru Huda fikirkan..” Kata Huda terangguk-angguk yakin sambil tersenyum.
“Tapi abang nak Huda fikir hal kita sekarang..” Kata Faridz berterus terang.
Melihatkan wajah Faridz yang serius, senyuman Huda hilang di wajah. Sangkanya tadi Faridz hanya niat untuk mengusik, tapi melihatkan wajah Faridz begitu, Huda serba salah lalu menunduk memandang ke lantai mozek putih di kakinya. Jarinya dimain-mainkan.
“Huda ingat abang main-main ye? Selama ni apa yang abang cakap adalah lahir dari hati abang yang ikhlas. Tak terlintas pun nak main-mainkan apa yang abang cakap. Bila pertama kali abang lihat Huda di sekolah hari tu, hati abang kuat mengatakan yang Huda adalah milik abang dunia akhirat. Abang tak akan paksa Huda untuk terima abang cuma abang mengharap satu hari nanti apa yang abang harapkan jadi kenyataan dalam hidup abang.” Terang Faridz tanpa rasa malu. Sudah dinekad dalam hati untuk meluahkan apa yang dirasa selama ini sebelum Huda pulang. Walaupun balasan yang diterima nanti mengecewakannya.
“Apa abang Faridz cakap ni? Kenapa abang Faridz cakap semua ni pada Huda? Apa yang abang Faridz nampak pada Huda sampai abang Faridz tak teragak-agak nak meluahkan semua ni? Huda belum bersedia nak tempoh benda-benda macam ni, apatah lagi yang melibatkan perasaan. Huda masih belajar, masih banyak yang Huda tak tahu yang perlu Huda tahu..” Balas Huda dengan nada yang sedikit tunggi, namun di surutkan sedikit nadanya bila sedar dia dalam keadaan tertekan. Huda beristigfar banyak kali dalam hati agar hatinya kuat.
“Sebab abang yakin Huda diciptakan untuk abang. Abang sukakan Huda dan abang dah mula sayangkan Huda. Pertama kali abang jumpa Huda abang dah mula jatuh hati pada Huda. Bila tengok keperibadian Huda, abang semakin yakin hati abang tak silap kalau memilih Huda.”
“Huda masih belajar. Huda nak belajar tinggi-tinggi sampai apa yang Huda hajatkan tercapai. Huda nak banggakan abah, nak bahagiakan abah. Dalam hati Huda sekarang hanya abah yang Huda sayang, tak ada lagi insan lain yang bernama lelaki selain abah..”
“Abang Faham perasaan Huda, Abang tak kisah semua tu. Abang sanggup tunggu. Ambillah sebanyak mana masa yang Huda perlukan, abang sanggup tunggu, asalkan Huda terima abang.”
Huda terdiam kaku sambil matanya merenung tajam ke wajah Faridz mencari kejujuran dan keikhlasan.
“Bagaimana kalau nanti penantian abang Faridz tu hanya sia-sia.?” Tanya Huda sambil menundukkan Kepalanya.
“Abang redha dan abang pasrah andai itu memang dah tertulis untuk abang,.”
“Kalau Huda kata sekarang Huda tak boleh terima abang..?”
“Abang tetap akan tunggu sampai Huda terima..”
“Kalau Huda kata sekarang Huda dah ada yang istimewa..?”
Faridz terdiam sejenak, namun bibirnya tetap mengukir senyuman yang Huda sendiri kurang mengerti.
“Abang tetap akan tunggu. Yang berkahwin pun boleh bercerai, inikan pulak bercinta..!”
“Eii..jahatnya abang Faridz ni..! doakan yang buruk pulak untuk kebahagiaan orang, tak baik tau.!”
“Abang tak mendoakan yang buruk cuma abang mengharapkan yang terbaik..!”
Huda menggeleng kepala mendengar alasan yang berbelit-belit dari mulut Faridz itu. Bibirnya terukir senyuman manis. Walaupun dalam hatinya turut rasa berbunga, namun dia harus berwaspada. Takut kalau tersilap langkah akan memakan dirinya sendiri.
“Buat masa ni Huda tak nak fikirkan lagi hal ni. Huda nak tumpukan dulu pada pelajaran. Insyaallah..satu masa nanti, Huda sendiri yang akan berterus terang dengan abang Faridz sama ada Huda dah bersedia untuk menerima atau menolak. Buat masa ni Huda nak abang Faridz cuba buka mata tu luas-luas dekat luar sana tu. Ramai yang cantik-cantik, yang cun-cun, lawa, berpelajaran, cute miut, dan seksi. Huda nak abang Faridz cuba buka pintu tu untuk dia orang dulu. Mana lah tahu ada yang berkenan.”
Huda menarik nafas dalam sebelum meneruskan bicara.
“Semasa Huda terima nota dari abang Faridz dulu, Huda dah dapat rasa sesuatu apa yang tersirat dalam diri abang Faridz. Sebab tulah Huda cuba mengelak dari berjumpa. Tapi Allah tetap nak Huda jumpa jugak dengan abang Faridz. Paling mengejutkan kita jumpa di sini bersama dengan ahli keluarga kita. Kadang-kadang Huda terfikir, adakah ini yang Allah mahukan dalam hidup Huda. Andai dah tertulis, Huda terima. Tapi buat masa ni, Huda minta maaf. Huda tak boleh terima abang Faridz memandangkan Huda masih ada tanggungjawab sebagai anak dan masih bergelar pelajar.”
Faridz tersenyum manis mendengar jawapan Huda. Baginya peluang masih ada..
“Maksud Huda abang masih ada peluang..?”Tanya Faridz mengharap.
“Insyaallah..! Huda tak janji.Tapi Huda nak abang Faridz cuba bagi peluang pada orang lain dulu, sebab kalau Huda dah terima abang Faridz nanti, Abang Faridz dah tak berpeluang nak tengok orang lain tau!”
“Cemburu jugak Huda ni ye..?” Usik Faridz selepas Huda menghabiskan pesanannya.
“Mm..buat masa ni perasaan tu tak wujud lagi. Insyaallah..bila tiba masanya perasaan tu akan wujud sendiri..” Jawab Huda termalu-malu.
“Huda, abang nak tau, kenapa dulu Huda dengan abang, bersaya awak. Tapi..sekarang panggil abang Faridz pulak?” Tanya Faridz mengubah tajuk perbualan.
“Sebab dulu Huda tak tau yang abang Faridz ni ada kaitan kekeluargaan dengan Huda. Tapi sekarang bila dah tau, apa salahnya Huda panggil dengan gelaran abang Faridz, kan lebih baik..baru nampak macam saudara sepupu..”
“Tapi abang lebih suka kalau Huda panggil abang sahaja. Kan lebih mesra. Nanti bila dah kawin kan senang..”
“Ke situ pulak! tak nak lah Huda panggil macam tu. Abang Faridz bukan abang Huda!" Bentak Huda perlahan.
“Sebab bukanlah abang nak Huda panggil abang macam tu..”
“Seganlah Huda..nanti semua cakap apa pulak..!”
“Nak cakap apa..?”
“Cakap apa-apalah..!Fini pun cuma panggil along, takkanlah Huda nak panggil abang. Baik Huda panggil along, kan lebih mesra macam adik beradik..” Bentak Huda lagi.
“Masalahnya Huda bukan adik abang, tapi kekasih abang.! Takkanlah kekasih abang panggil abang, along!”
Huda menggeleng kepala tanpa memandang Faridz. Dia sudah mula terasa sedikit rimas dengan sikap Faridz.
“Abang Faridz ni cepat perasanlah..! bila masa Huda jadi kekasih abang Faridz..?”
“Sebenarnya panggilan abang tu adalah syarat yang terakhir yang abang nak bagi kat Huda. Tolong patuhi ye.. no objection..! Kalau tak…” Faridz mula mengugut.
Huda terdiam sambil mengetap bibir menahan geram. Tidak sangka Faridz menjeratnya. Faridz pula kelihatan sedang menahan tawa dari terburai.
“Sebelum ni, abang Faridz pernah ada kekasih..?” Tanya Huda tiba-tiba setelah masing-masing membisu seribu bahasa.
“Pernah..!” Jawab Faridz jujur tanpa memandang Huda. Geram dengan kedegilan Huda walaupun syarat ketiga sudah dijelaskan.
“Sekarang?”
“Sekarang kekasih abang Huda sorang. Tak ada yang lain..!”
Huda terdiam sambil menggeleng kepala. Namun senyuman sinis dihujung bibirnya terukir walaupun sedikit.
“Janganlah main-main..! Maksud Huda kekasih abang Fraidz yang sebelum ni macam mana sekarang?”
“Dah tak ada apa-apa..! Dah 2 tahun abang tak tahu berita dari dia. Eloklah macam tu. Cukuplah sekali abang terluka. Abang harap Huda tak macam tu..!”
“Eh.-eh abang Faridz ni, Huda tak cakap pun terima abang Faridz sekarang, macam mana Huda nak setia!”
“Abang cuma harap-harap je.!” Ujar Faridz lalu tersengeh malu.
“Jangan terlalu mengharap, Huda takut abang Faridz kecewa lagi.”
“Sanggup Huda lukakan perasaan abang.?”
“Sebab tu Huda cakap jangan mengharap pada sesuatu yang tak pasti..!”
Faridz terdiam sambil menghela nafas perlahan.
“Kenapa putus? boleh Huda tau.” Huda kembali bertanya.
“Kenapa nak tau? “
“Saja -saja nak tau...! Manalah taukan masa-masa akan datang Huda nak terima abang Faridz. Jadi bolehlah Huda buat homework sikit..!”
“Tak payah lah tau. Bukan penting pun..”
“Ye ke tak penting? Orang kata cinta pertama sukar nak dilupakan walaupun perjalanan kisah cinta tu amat menyakitkan kerana dari situ dia mendapat mengenali erti cinta, kasih dan sayang. Kadang-kadang Huda rasa pelik, cinta sejati tu wujud ke? Tapi bila lihat abah, Huda pasti kerana walaupun arwah ibu dah lama pergi, kasih abah tetap pada ibu walaupun dah ada umi. Tapi bila ada sejarah cinta separuh jalan, Huda jadi keliru. Masih wujudkah cinta sejati?”
“Sebab terlalu sakitlah, ada baiknya jangan dipersoalkan lagi. Lagipun bukan semua orang tak boleh lupakan pada sejarah cinta pertama. Cinta sejati wujud hanya pada orang yang benar-benar menghargai cinta. Tapi kalau cinta separuh jalan tu, abang rasa bukan cinta sejati. Macam yang jadi pada abang beberapa tahun yang lalu, itu bukan cinta sejati. Ada baiknya kita bercakap soal kita sekarang. Kisah dulu dah jadi sejarah. Tak perlu nak ambil kisah lagi.”
“Kalau Huda nak tau jugak..?”
“Insyaallah..suatu hari nanti abang bagi tau..!”
“Tapi Huda nak tau sekarang..!” Desak Huda lembut.
“Tak penting pun..!” Jawab Faridz perlahan.
“Ha..ni mesti ada apa-apa yang abang Faridz rahsiakan.! Huda tak kira, Huda nak tahu jugak.!”
“Tak payah..!” Faridz dah mula sedikit kurang selesa dengan paksaan Huda.
“Kenapa..?”
“Boleh tak kalau Huda tak terus mendesak abang.? Kalau abang kata tak payah, tak payah lah..! susah sangat ke nak faham?!” Tempelak Faridz kasar lalu bangun dari duduknya lantas melangkah laju keluar dari rumah meninggalkan Huda terpinga-pinga di situ sendirian.
Huda mengeluh serba salah menyesal kerana terlalu mendesak. Yang sebenarnya niatnya hanya untuk berbual sementara menanti umi dan abahnya siap mengemas sebelum berangkat pulang. Tak disangka Faridz akan bersikap begitu. Hatinya cukup terasa dengan layanan kasar Faridz tadi.
PENGHARGAAN
Assalamualaikum..
Salam sayang untuk semua kerana sudi2 mengintai di ruangan laman saya yg baru nak bernafas ni.
Sblm jemari sya terus menari,ribuan terima kasih pada adik sya iaitu bloger Senyum-Senyum Diana Rashid sbb tanpa dia, blog sya ni kompem x ujud. Thnk n lebiyu..
Almaklumlah..kakak dia ni slow sikit tentang IT-IT ni..hehehe..
Yg ke 2 plk adalah insan terchenta sya. Tak lain tak bukan dh tentulah Encik sya. Klu tak kerana dia, sampai sekarang karya sya ni dok dlm pendrive jelah..
Utk adik beradik sya yg sering beri semangat..kakyung, Ani, azam, ain, Rina, Ya n abg Jeri.. terima kasih byk2.
Khas untuk mak, terima kasih yg x terhingga. Wlupun bidang ni kurang digemari, sya anggap itu sebagai cabaran untuk berkarya.
Pada sahabat2 Ding Dong..thnk 4ever n ever. Kata2 semangat dan sokongan kalian amat sya hargai dan sanjungi. Kalian mmg best..edea korang adalah yg terbaik!!
Buat kwn2 yg lain, kata2 dan penghargaan korang mmg tersemat dalam hati. Kompem sya x lupa.
Dari itu..sudi2lah mengintai dan membaca krya sya ni. Jgn lupa mengkritik dan mengomen.
Klu nk memuji, sya mohon jgn tinggi2 sgt. Takut sya terperasan hebat. hehehehe...
Risau jgk..bila dah rasa hebat, kompem senang lupa diri dan jatuh ..
Okey...Selamat Membaca..
Sunday, 30 November 2014
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment