BAB
1
SUASANA majlis perkahwinan di
rumah Dato Hamdan yang sedang berlangsung
memang meriah. Walaupun begitu semua yang bertukus lumus tarik nafas lega dan
bersyukur kerana majlis yang diusahakan berjalan dengan lancar dan teratur
walaupun memenatkan. Begitu juga Dato Hamdan selaku tuan rumah yang kelihatan
ceria sepanjang majlis tak henti-henti menerima tetamu. Wajah tuanya yang ceria
dan teruja membuktikan bahawa perkahwinan satu-satu anak gadisnya itu dengan
lelaki pilihan mendapat restu darinya.
Dalam bilik utama bersedianya pengantin anggun menanti
kehadiran pengantin lelaki merangkap suaminya yang dinikahi malam semalam. Masih
terbayang-bayang saat-saat dahinya dikucup lembut oleh suami tercinta. Nirmala
tersenyum sendiri bila mengingatkan kembali sejarah semalam. Akan disimpan rapi
kenangan itu kerana yakin sejarah semalam hanya berlaku sekali dalam hidupnya
dan tak mungkin kembali lagi.
Kain sutera merah
yang terukir dengan jahitan sulaman benang hitam emas cantik terhias di tubuh
Nirmala. Walaupun hanya fesyen kebaya labuh dan tidaklah dari pereka fesyen
terkenal, dia tetap kelihatan anggun. Nirmala duduk selesa sambil menanti
kepalanya dihias oleh andam yang dipilih selepas tudung merah dikenakan atas
kepalanya. Dengan kulitnya yang putih merah, warna pakaian yang menjadi
pilihannya itu menyerlahkan lagi kejelitaannya.
“Amboi..merahnya
makngah..!” Tegur Maklong Hasmah, kakak kepada Dato Hamdan sambil melangkah
masuk ke dalam bilik Nirmala.
Kehadiran Maklong
Hasmah memang Nirmala nanti-nantikan kerana ibu saudaranya itu tinggal jauh
dari Malaysia. Sejak kecil dengan ibu saudaranya itu sajalah tempat dia
bermanja selepas kematian ibunya selepas seminggu melahirkannya. Namun selepas
Nirmala dapat melanjutkan pelajaran ke UiTM Kelantan, Maklong Hasmah ambil
keputusan untuk pulang ke Amerika untuk menguruskan syarikat arwah suaminya
yang sedang diusahakan oleh satu-satunya anak lelaki yang dia ada.
Pemergiannya ke
Amerika Syarikat pada mulanya mendapat tentangan dari Nirmala. Namun apabila
dipujuk rayu, Nirmala terpaksa akur. Keputusannya itu juga bertujuan agar
Nirmala dapat uruskan diri sendiri tanpanya. Sebelum ini segala keperluan
Nirmala Maklong Hasmah yang uruskan. Namun begitu Nirmala bukanlah gadis
cengeng yang suka mengharap atas usaha orang lain. Walaupun sebelum ini
keperluannya diuruskan oleh ibu saudaranya, Nirmala pandai mengatur hidupnya
sendiri. Sebab itulah Maklong Hasmah yakin dengan keputusannya untuk pulang ke
Amerika Syarikat. Dia tahu Nirmala bijak menguruskan diri sendiri termasuklah
hal-hal dapur.
Itu adalah sebahagian
kecil kisah Nirmala sejak kecil hingga tamat belajar. Tapi ada sesuatu yang
Nirmala sendiri tidak tahu cerita dia sebenarnya. Hanya pada mereka yang
terdekat saja harapannya untuk tahu cerita itu. Tapi mampukah mereka-mereka
bercerita termasuklah suaminya sendiri?
“Maklong..!” Jerit
Nirmala selepas mendengar suara yang amat ditunggu sejak malam semalam. Semalam
Nirmala buat keputusan mogok lapar selepas ayahnya memberitahu bahawa Maklong
Hasmahnya tidak dapat hadir di majlis akad nikah kerana masa penerbangan
terpaksa ditunda atas sebab-sebab yang tak dapat nak dielakkan. Tapi bila
saat-saat makan beradap selepas majlis nikah, Nirmala lupa akan mogok laparnya
itu. Bila Dato Hamdan menegurnya ketika makan, barulah dia teringat. Nirmala
termalu sendiri dan akhirnya terpaksa melupakan saja. Tambahan lagi perutnya
memang lapar sangat.
“Sorry sayang..! Maklong lewat sampai. Nasib baik sempat. Kalau
tidak, pasti maklong kempunan tak dapat tengok anak maklong bersanding.”
“Teruk maklong ni
tau! Hari tu janji nak datang awal. Nak tolong hias pelamin lah..nak buat bunga
telur lah..Sekarang, apa kes? Nasib baik datang. Kalau maklong tak datang, Mala
merajuk setahun.”
Terkekeh-kekeh Maklong
Hasmah ketawa mendengar rungukan Nirmala. Namun hatinya sedikit terasa sayu
kerana di hari bahagia anak saudara kesayangannya ini, adik iparnya tiada..
“Setahun je? Alah..maklong
tak hairan. Merajuklah lima tahun pun..!” Usik maklong Hasmah lagi. Nirmala
sudah mula buat muka.
“Buatlah muka macam
tu. Nanti laki kamu tak mau pandang, baru padan muka. Masa tu jangan kamu harap
maklong nak bagi petua kecantikan pada kamu.” Sekali lagi Maklong Hasmah
menyakat. Tersengeh-sengeh Nirmala malu.
“Maklong datang
dengan siapa?” Tanya Nirmala lalu bangun selepas kepalanya siap dihias lalu
melangkah mendekati ibu saudaranya yang duduk di birai katil. Tangan ibu
saudaranya dicium lembut dan kedua pipi tua itu sempat dikucup.
“Dengan siapa lagi.
Dengan abang Husni kamulah..! Bodyguard
maklong tu..!”
Nirmala ketawa kecil
dengar kata-kata ibu saudaranya. Diruangan matanya kini terlayar wajah abang
sepupunya yang mengidap Sindrom Down. Walaupun begitu, abang sepupunya itu
bijak orangnya. Berkat dari kesungguhan, dia mampu menguruskan syarikat dengan
baik.
“Mala sihat?”
“Sihat maklong..”
“Maklong risau
sungguh lepas kemalangan tu. Walaupun Mala masih tak ingat apa-apa, maklong
bersyukur sebab Mala masih ada di sini.”
“Mala okey maklong. Lagipun Mala ada maklong.
Terima kasih sebab banyak beri sokongan pada Mala. Nampaknya Allah memang nak
Mala nikmati dulu keindahan dunia. Maklong jangan risaulah!”
Maklong Hasmah
merenung jauh wajah manis di hadapannya itu. Dalam hati tak henti-henti ucap
kesyukuran kerana anak saudaranya itu panjang umurnya. Mendapat perkhabaran
tentang anak saudara kesayangannya itu kemalangan, dia sudah tak tentu arah. Namun
siapa yang tahu Allah memang masih beri Nirmala peluang mengecap keindahan
dunia.
“Yelah! Bila tengok
Mala senyum macam ni, Maklong lega. Harap-harap lepas ni janganlah ada apa-apa
lagi dugaan macam tahun-tahun dulu tu. Tak sanggup dah maklong nak terima.”
Mala ketawa kecil
mendengar rungukan Maklong Hasmah. Selepas kemalangan, Maklong Hasmahlah yang
bersusah payah menjaganya hingga sembuh. Walaupun terpaksa ambil masa mengenali
orang-orang dalam rumah kerana masalah hilang ingatan kekal, Nirmala cuba
perlahan-lahan menerima sesiapa saja kerana baginya tiada yang lebih penting
melainkan ahli keluarga. Dia bersyukur kerana berada dalam keluarga Dato Hamdan
yang baru dikenalinya lima tahun lalu. Berkat dari kesungguhan Maklong Hasmah,
akhirnya Nirmala dapat menerima keluarga itu dengan rela hati. Tambahan lagi
dia dijaga dan diberi sepenuh kasih sayang walaupun terasa asing.
“Mala pun tak dapat
nak bayangkan kalau Mala jadi teruk. Buatnya Mala tak boleh berjalan, tak boleh
bercakap atau gila, teruklah Mala..! Nasib baik ada maklong dengan ayah. Paling
mengembirakan bila ada Amil dalam keluarga kita. Walaupun sampai sekarang Mala
masih belum kenal diri Mala sendiri dan susah nak terima keadaan sekeliling,
Mala bersyukur kerana mendapat ahli keluarga seperti maklong dan ayah.
Alhamdulillah sekarang Mala yakin dan boleh sesuaikan diri.” Kata Mala lalu melentokkan
kepalanya di bahu Maklong Hasmah.
Tersenyum Maklong
Hasmah melihat tingkah Nirmala. Sepanjang proses pemulihan Nirmala dulu,
Maklong Hasmah yang bersusah payah bercerita tentang kehidupan Nirmala dari
kecil hinggalah dewasa. Walaupun Nirmala masih tidak ingat apa-apa, dia cuba
juga agar ingatan anak saudaranya itu pulih walaupun sudah dipesan dan ditegah
oleh dokter agar jangan beri tekanan pada Nirmala. Harapannya bukanlah banyak,
dapat ingat dan kenal ahli keluarga, itu sudah cukup. Namun ada sesuatu yang
tak dapat diceritakan pada anak saudaranya itu. Baginya biarlah begitu sahaja. Melihat
anak saudaranya sihat, gembira dan bahagia begitu, itu sudah cukup walaupun
kadang-kadang hatinya curiga dan tak senang.
“Puan Mala, Puan Mala
udah siap? Nak Amil ni merengek-rengek cari Puan Mala.” Ujar satu suara dari
balik pintu bilik. Serta merta Nirmala dan Maklong Hasmah berpaling pandang
kearah suara berkenaan. Tersenyum lebar Nirmala ketika memandang arah itu. Begitu
juga dengan Maklong Hasmah.
“Tak apalah Bik! Bagi
dia masuk.” Arah Nirmala lembut.
“Dia rindukan mama
dia rupanya..!” Sampuk Maklong Hasmah ceria. Mengekek-ngekek Maklong Hasmah
ketawa melihat Amil Zaquan yang berusia lima tahun melangkah masuk menuju
mendapatkan Nirmala sambil mengesat pipinya yang basah. Sejak kehadiran Amil
Zaquan dalam rumah itu, Maklong Hasmah perasan keceriaan dan keriuhan dalam
rumah sepi itu seakan kembali selepas adik iparnya meninggal dunia selepas
melahirkan Nirmala dua puluh lapan tahun yang lalu.
“Kenapa mama
tinggalkan Amil dekat bibik? Amil nak mama..!” Rengek Amil Zaquan teresak-esak.
“Ala..kasihannya anak
mama..! Sorry la sayang. Tadi mama
tengah bersiap.” Jelas Nirmala lembut sambil memangku Amil Zaquan. Dahi anak
kecil itu dikucup penuh kasih. Hampir mengalir air mata Maklong Hasmah melihat
adengan itu.
“Bila maklong tengok
Amil, teringat maklong pada arwah ayah dia.” Kata Maklong Hasmah sayu. Tangan
tuanya sempat membelai dan mengusap kepala anak kecil yang berada atas riba
Nirmala.
“Kenapa? Maklong
kenal ke bapak dia?” Nirmala pantas bertanya. Sebelum ini ayahnya cuma beritahu
yang Amil Zaquan diambil dari pusat asuhan anak yatim kerana kedua orang tua
Amil Zaquan meninggal selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya empat tahun
lalu. Atas rasa kasih dan ihsan, ayahnya mengambil anak kecil itu sebagai teman
kerana sunyi selepas Nirmala kemalangan dan tidak sedar selama dua minggu.
“Err..maksud maklong,
maklong terbayangkan kemalangan yang meragut nyawa orang tua Amil. Kasihan..!
Muda lagi orang tua Amil ni. Dengar cerita masa kemalangan, usia perkahwinan
mereka baru setahun tujuh bulan kot! Tak silap maklong, umur Amil baru lima
bulan.” Cepat-cepat Maklong Hasmah perbetulkan keterangannya. Nirmala khusyuk mendengar
cerita Maklong Hasmah.
“Mm..ayah pun cerita
macam tu. Lepas Mala sedar, benda yang Mala dengar dulu ialah suara Amil ni.
Tak tahu kenapa, Mala rasa dia serasi dengan Mala. Pertama kali Mala sentuh
dia, dia diam senyum lebar. Cute
sangat! Sebab tu Mala ambil keputusan nak jaga dia. Bila Mala cakap nak ambil
Amil jadi anak Mala, ayah terus setuju.”
Terangguk-angguk
Maklong Hasmah sambil tersenyum mendengar cerita Nirmala. Bukan dia tidak tahu
tentang semua itu. Dia ada bersama sewaktu Nirmala pertama kali mendengar suara
Amil Zaquan. Dalam hati dia bersyukur kerana adiknya Dato Hamdan buat keputusan
begitu. Pada ketika Nirmala sedang terlantar di hospital, dia tidak memikirkan
masalah anak saudaranya yang terlantar kerana cedera parah tetapi kalut
memikirkan masa depan Amil Zaquan. Dia sudah nekad, seandainya Nirmala tidak
mahu menerima Amil Zaquan, dia sudi menggalas tanggungjawab dan membawa pulang
ke Amerika.
“Maklong harap lepas
Mala kawin ni, janganlah pinggirkan Amil. Maklong nak Mala curahkan kasih
sayang sama rata walaupun Mala dah ada anak dengan suami Mala nanti. Sebenarnya
maklong risau kalau-kalau Mala lupa dekat dia bila dah ada suami dan anak
sendiri.” Sememangnya dia amat takut jika perkara itu benar-benar terjadi.
“Maklong janganlah
risau. Amil Zaquankan anak Mala jugak. Suami Mala pun dari awal memang terima
dia macam anak sendiri. Awal-awal lagi dah panggil papa.” Terang Nirmala.
Maklong Hasmah lepas
nafas lega. Memang itulah yang diharapkan. Mula-mula dapat berita dari adiknya
tentang majlis perkahwinan Nirmala, hatinya tidak senang. Bila perbincangan
demi perbincangan dengan Dato Hamdan bermula, dia rasa boleh bernafas sedikit
bila dapat tahu bakal suami Nirmala boleh terima Amik Zaquan.
“Mama cantik hari
ni!” Suara Amil Zaquan buat Nirmala dan Maklong Hasmah ketawa.
“Sebelum ni tak
cantik ke?” Tanya Maklong Hasmah.
“Cantik! Sebelum ni
mama macam Erra Fazira. Tapi hari ni dah tukar jadi macam Siti Saleha pulak.”
Berdekah-dekah Nirmala ketawa bersama Maklong Hasmah.
Berdekah-dekah Nirmala ketawa bersama Maklong Hasmah.
“Ye ke? Maklong
tengok, mama Amil ni tak cantik pun. Maklong lagi cantik!” Maklong Hasmah cuba
mengusik Amil Zaquan.
“Maklong memang
cantik. Tapi tak boleh lawan mama Amil.” Balas Amil Zaquan ceria. Nirmala
semakin kuat menghamburkan tawanya. Sempat dikucup kepala Amil Zaquan tanda
sayang dan sayu bila mendengar pujian dari anak angkatnya itu.
“Baiknya cucu
toklong. Manis mulut dia. Pandai jaga hati orang. Mesti dia ikut perangai arwah
ayah dan ibu dia ni..! Untung Mala dapat anak sebaik Amil.” Kata Maklong Hasmah
penuh tersirat. Dalam hati turut menyatakan sikap Amil Zaquan sama dengan sikap
Nirmala yng pada asalnya seorang anak yang mendengar kata, bersopan dan lemah
lembut. Tapi semuanya berubah selepas kemalangan. Nirmala sedikit kasar dan
seperti kurang rasa malu.
“Betul maklong. Setiap
hari bila balik dari pejabat, Mala hanya nak pandang dia dulu bila sampai
rumah. Tanpa dia Mala rasa kosong. Tak tahu kenapa. Bagi Mala dia adalah
segalanya dalam hidup Mala.”
Luahan rasa hati
Nirmala buat Maklong Hasmah terseyum lega. Sempat dikucup kepala Amil Zaquan
sepenuh kasih. Tak dapat dibayangkan kehidupan Amil Zaquan jika dia tidak
membawa cucunya itu pulang ke rumah lima tahun yang lalu.
“ABI harap lepas perkahwinan ni, kamu lebih
bersikap matang. Setiap perkara yang kamu nak buat, berbincanglah elok-elok. Jangan
suka bertindak melulu jika nak buat keputusan. Kamu tu dah jadi laki orang..!”
Kata Hj. Bakhtiar pada anaknya Fazhan.
“Insyaallah abi..! An
ingat semua tu.” Jawab Fazhan sambil mengangguk mengharapkan bapanya tidak
gusar dengan keputusannya memilih Nirmala sebagai isterinya. Sejak kali pertama
dia mengambil keputusan untuk mendirikan rumahtangga dengan Nirmala, bapanya
kurang bersetuju. Namun setelah didesak, akhirnya orang tuanya itu terpaksa
mengalah memandangkan niatnya yang sebenar adalah kerana mahu menebus kesalahan
sekaligus mahu membahagiakan gadis yang dia puja dan cinta sejak tujuh tahun
yang lalu..
“Sebenarnya abi masih
was-was tentang perkahwinan ni. Abi takut separuh jalan saja. An kena faham
situasi isteri An sekarang ni. Dia bukan macam yang An kenal mula-mula dulu. Abi
takut bila dia sedar, dia kecewa. Masa tu abi yakin kamu sah-sah macam orang
tak betul.”
“An tau semua tu abi.
Tapi menurut dokter kecederaan Mala tu bersifat kekal. Jadi An yakin dia akan
kekal macam tu sampai bila-bila. Sekarang pun dah masuk tahun ke empat. Mala
tetap macam tu.!”
“Ingat An..! Dokter
bukan tuhan yang boleh menentukan masa depan seseorang.” Cepat saja Haji
Bakhtiar mencelah. Dia tak mahu anaknya terlalu yakin.
“Ya abi..! An tau tu.
Tapi tak salahkan kalau kita mencuba. Abi tahukan macam mana sayangnya An dekat
Mala. Sebab tu An ambil keputusan ini untuk bahagiakan dia.” Yakini Fazhan pada
Haji Bakhtiar. Jauh disudut hatinya turut rasa apa yang abinya rasa. Tapi bila
hati dah say I love you, dia terpaksa
jua menurut kata hatinya.
Haji Bakhtiar lepas
keluhan lemah. Jauh di sidut hatinya, masih tak senang. Bukan niatnya untuk
menghalang, cuma dia tidak mahu perkara buruk berlaku di masa akan datang.
Tambah-tambah pula anaknya ada kena mengena dengan kejadian yang menimpa
Nirmala empat tahun lalu.
Hampir setengah jam
perjalanan ke rumah Nirmala, akhirnya mereka selamat tiba. Dalam debar, Fazhan
menanti penuh sabar ketibaan isterinya yang dinikahi semalam menyambutnya di
pintu gerbang yang disediakan di hadapan pintu masuk rumah Dato Hamdan. Pada
mulanya dia berniat mahu membuat majlis gemilang itu di hotel, tetapi ditolak
oleh Nirmala. Faham sangat dengan sikap isterinya yang suka berpandangan
ringkas, lalu diturutkan saja walaupun cadangannya itu mendapat persetujuan
dari mertuanya sendiri.
Apabila terpandangkan
wajah Nirmala datang menghampirinya, Fazhan sedikit tergamam. Tak dapat nak
diucapkan dengan kata-kata bila terpandangkan kejelitaan Nirmala setelah
disolek begitu. Sebelum ini Nirmala memang jarang bersolek. Di tempat kerja pun
Nirmala hanya bersolek ringkas. Tapi yang sebenarnya dia lebih sukakan Nirmala
yang dia kenal tujuh tahun dulu.
Fazhan tersedar bila
tangan Amil Zaquan menyentuh tangannya. Tersenyum Fazhan bila sedar dari
khayalan. Cepat-cepat dia menunduk lalu mencium anak isterinya itu.
“Jangan pandang lama-lama,
papa. Tak lari gunung dikejar..!” Bisik Amil Zaquan nakal. Mengekek-ngekek Fazhan
ketawa dengan usikan Amil Zaquan. Pipi Amil Zaquan dicubit lembut.
“Papa teruja
sebenarnya. Hari ni mama Amil cantik sangat!” Balas Fazhan di telinga Amil
Zaquan.
“Sebelum ni tak
cantik ke?” Tanya Amil Zaquan juga dengan nada perlahan.
Nirmala hanya pandang
sambil geleng kepala dengan telatah suami dan anaknya itu. Dia yakin topik dia
yang menjadi bualan mereka kerana mereka berdua asyik pandang-pandang ke
arahnya.
“Cantik! Tapi hari ni
cantiknya lain sikit.” Balas Fazhan berbisik.
“Ada iras-iras Siti
Saleha tak?”
“Papa tengok macam
Emma Maimbong.” Usik Fazhan. Sedari awal lagi dia tahu, Amil Zaquan kurang
berminat dengan pelakun itu. Dia sendiri tidak tahu kenapa. Pernah dia tanya
tapi Amil Zaquan tidak beri jawapan. Sejak itu dia selalu mengusik Amil Zaquan
tentang Emma Maimbong.
“Tak cantiklah Emma
Maimbong. Mama Amil lagi cantik.” Tegas Amil Zaquan. Mengekek-ngekek Fazhan
ketawa dengan jawapan Amil Zaquan.
“MALA fikirkan apa tu?” Fazhan mula bertanya
bila sedar selepas majlis potong kek tadi, Nirmala seakan kurang ceria. Wajah
manis kesayangannya ditatap penuh minat.
Nirmala yang sedang
duduk malas atas kerusi meja solek hanya mengeluh berat. Sesekali wajah Fazhan
dipandang sekilas.
“Mala ada masalah ke?
Cuba cerita pada abang. Manalah tahu, abang boleh tolong.” Pujuk Fazhan lembut.
Risau juga dia kalau-kalau isterinya itu tiba-tiba jatuh sakit.
“Fasal honeymoon kita tu, abang nak teruskan
juga ke?” Nirmala mula bersuara.
Terangkat kening
Fazhan dengan soalan Nirmala. Ada rasa pelik dengan nada suara isterinya. Terfikir
di fikiran, apakah isterinya kurang bersetuju dengan hadiah yang baru mereka terima
semasa majlis potong kek tadi?
“Kenapa? Mala tak
mahu pergi?”
“Bukan macam tu..!”
“Habis, apa
masalahnya? Abang tak kisah kalau Mala tak mahu pergi. Tapi apa kata ayah
nanti. Itukan hadiah dari dia. Kalau kita tak terima, nanti kecil pulak hati dia.”
Balas Fazhan lalu duduk berhadapan mengadap Nirmala.
“Mala risaukan Amil
sebenarnya..! Takkan kita nak tinggalkan dia. Selama ni Mala tak pernah berenggang
jauh tinggalkan dia selain masa pergi kerja saja. Mala takut dia merajuk.”
Jawapan Nirmala buat
Fazhan tersenyum lebar. Ingatkan apalah yang buat isterinya bermuram di hari
pertama perkahwinan mereka. Fazhan mengeluh lega.
“Kita bawak dia
sekali.” Ujar Fazhan pantas.
Berkerut wajah
Nirmala mendengar cadangan pelik Fazhan.
“Ish abang ni..! Mana
ada orang pergi honeymoon bawak anak!
Merepek betul abang ni!” Rungut Nirmala lalu menjeling geram.
Berdekah-dekah Fazhan
ketawa melihat wajah cemerut Nirmala. Tangan Nirmala dicapai lalu dielus
lembut. Jika dulu tangan itu tidak sesekali pernah disentuh kerana Nirmala
tidak pernah mengizinkannya. Namun selepas majlis akad nikah malam semalam,
dia sudah mendapat permit dan sudah
pasti rasa tak mahu melepaskan.
“Mala! Abang tahu
Mala risaukan Amil sebab Mala terlalu sayangkan dia. Abang pun sayangkan dia. Sejak
dulu lagi abang dah anggap dia macam anak abang. Tak salahkan kalau kita bawak
dia sekali?”
“Abang faham tak
istilah honeymoon?” Tanya Nirmala tak
puas hati. Terangkat kening Fazhan dengan pertanyaan isterinya.
“Honeymoon tu maknanya aktiviti untuk dua orang selepas berkahwin.”
Jawab Nirmala geram. Melihat suaminya tersenyum penuh makna, hatinya semakin
membengkak. Memang kalau boleh dia tak mahu ke mana-mana kerana risaukan Amil
Zaquan.
“Aktiviti untuk dua
orang selepas berkahwin? Hmm..aktiviti
apa tu?” Tanya Fazhan tersenyum-senyum hingga menerbitkan tompok merah di wajah
Nirmala.
Lantas Nirmala segera
bangun mahu meninggalkan Fazhan di situ. Namun langkahnya terhenti bila Fazhan
terlebih dahulu menariknya hingga Nirmala terduduk atas pangkuan Fazhan. Deruan
nafas Fazhan yang menyinggah di telinga dan lehernya benar-benar buat dia tak
keruan.
“Abang terima Mala
bila abang dah sayang Mala macam abang sayang diri abang sendiri. Bila abang
mula terima Mala, bermakna abang terima saja apa yang ada di sekeliling Mala
termasuk anak Mala. Ini bermaksud, Amil Zaquan pun milik abang. Abang tahu Mala
was-was dengan abang dengan kehadiran Amil dalam hidup kita, tapi terus terang
abang cakap, abang tak kisah. Bagi abang, tanpa Amil, tak mungkin kita sampai
tahap macam ni. Kalau Mala ada anak sepuluh orang pun, abang tetap akan terima.”
Kata-kata yang Fazhan
ucapkan buat Nirmala terdiam sejenak. Dalam hati dia ucap syukur kerana
dianugerahkan seorang suami yang penyayang seperti Fazhan.
“Mala takut abang tak
selesa. Kita kan baru kawin. Mala takut abang anggap anak Mala tu pengganggu
pulak.” Kata Nirmala sayu menunduk. Wajah Fazhan tidak sesekali dia toleh
pandang.
“Tapi abang tak rasa
macam tu pun. Tengok sekarang. Ada dia ganggu kita? Tak ada kan! Anak kita tu bijak.
Beruntung abang dapat anak sebaik Amil. Abang yakin dia boleh jadi seorang
abang yang baik seandainya kita bagi dia adik cepat.”
Tersentak Nirmala
bila Fazhan mula buka topic anak. Dapat
dirasa degupan jantungnya semakin pantas berkerja.
“Bertenang! Abang
belum buat apa-apa, Mala dah macam lari pecut seratus meter.” Kata Fazhan
perlahan. Pelukan dipinggang Nirmala semakin erat.
Sindiran Fazhan itu
buat Nirmala semakin rasa macam nak menyorok bawah katil. Kalau sebelum ini dia
jarang rasa perasaan macam ni bila berdua dengan Fazhan. Mungkin sebab ada Amil
Zaquan kerana tiap kali mereka keluar, Amil Zaquan akan dibawa bersama.
Dia tahu Fazhan dapat
merasa degupan jantungnya yang berdenyut kencang. Dengan keadaan dia berada
atas pangkuan Fazhan, Nirmala yakin Fazhan rasa apa yang dia rasa.
“Dahlah bang! Mala
nak tidur.” Kata Nirmala sambil cuba melepaskan diri dari pelukan Fazhan.
“Tak nak ajak abang
sekali.?” Tanya Fazhan mengusik. Pelukan semakin dieratkan.
“Kalau abang taknak
lepas Mala, malam ni Mala pergi tidur dalam bilik Amil.” Ugut Nirmala geram.
“Pergilah! Abang tak
hairan. Malam esok, Mala pulak tidur sorang, abang tidur dengan Amil.” Jawab
Fazhan selamba. Serta merta ketam batu Mala hinggap di tangan Fazhan. Menyeringai
Fazhan kerana buat pertama kali dia terima hadiah seperti itu.
“Mala rasa ayah
memang harap kita pergi. Tapi Mala tak yakin ayah benarkan kita bawa Amil
sekali.” Tiba-tiba Nirmala bersuara kembali pada tajuk asal perbualan.
“Nanti kita bincang
dengan ayah. Abang yakin, ayah pasti setuju.” Cadangan Fazhan buat Nirmala
tarik nafas lega. Cepat-cepat dia bangun dari pangkuan Fazhan apabila sedar
Fazhan sudah mula melonggarkan pelukan. Tangan Fazhan ditarik lembut dan
mengarahkan agar suaminya mengikutnya hingga ke tempat peraduan. Fazhan akur
lalu melangkah mengikut langkah Nirmala dari belakang. Baginya tak salah jika
langkah dimulakan dari pihak isteri dulu kerana dia sentiasa bersedia. Lagipun
sebelum ini pun Mala yang mulakan langkah untuk berdamping dengannya.
Malam itu buat
pertama kalinya mereka melayari bahtera bersama-sama. Dalam hati masing-masing
simpulkan iltizam untuk terus bersama mengecapi kebahagiaan. Apa yang buruk
didoakan agar dijauhkan, yang baik biarlah menjadi rakan taulan demi satu
hubungan yang suci dan diberkati ilahi.
No comments:
Post a Comment