BAB
17
NIRMALA
membetulkan uratnya yang semakin tegang. Hampir sejam dia mengadap kerja yang
dibawa dari pejabat. Sesekali saja matanya menjeling ke arah anak kecilnya yang
enak lena. Selepas disusukan anak kecilnya itu tadi, Anis terus tidur.
Kesempatan itu Nirmala gunakan untuk menyiapkan kerjanya di ruang yang terdapat
sebuah sofa kembar dua dan meja kopi..
Setelah dirasakan terlalu lama duduk mengadap laptop,
Nirmala bangun mahu membetulkan urat-urat pinggangnya yang dirasa semakin
mengeras. Dia cuba buat sedikit senaman ringan. Tujuannya juga mahu
menghilangkan kantuknya yang semakin memberat. Ingin dia keluar sebentar mahu
mencari kopi atau Nescafe kerana bekalan yang dibawa dari rumah tadi sudah
habis, tapi tak sanggup tinggalkan anaknya pula. Lantas ditahan saja.
“Puan Mala.! Ada orang suruh saya sampaikan ni.” Ujar
seorang jururawat sambil meletakkan sebuah termos berwarna hijau tua lalu terus
melangkah keluar tanpa sempat Nirmala bertanya.
Terpinga-pinga Nirmala melihat termos itu berada di
depannya. Tertanya-tanya dia sendiri siapa yang baik hati waktu itu. Lantas
Nirmala segera keluar dari bilik Anis Humaira untuk bertanya pada jururawat
tadi.
“Siapa yang beri termos tu.?”
“Tak tahulah puan. Saya tak kenal. Lagipun saya baru start shift malam hari ni. Suami puan kot!
Tapi kalau suami puan, kenapa dia tak masuk hantar sendiri? Entahlah! Saya
sendiri tak pasti. Dia baru keluar saja. Dia pesan kalau puan penat, nanti dia
gantikan.”
Tepi bibirnya digigit sedikit sambil berfikir. Walaupun
dalam hati sudah mula syak seseorang, dia masih belum yakin.
“Tolong tengokkan anak saya ye! Saya nak keluar sekejap.
Nanti saya datang balik.” Ujar Nirmala lalu segera keluar selepas jururawat itu
mengangguk setuju.
Nirmala mencari-cari seseorang bila sampai di luar
perkarangan hospital. Angin yang kuat buat dia segera memeluk tubuhnya yang
sejuk. Nampaknya baju tebal yang menyelimut tubuhnya tak mampu memanaskan
badannya. Sambil itu, matanya liar mencari. Tiba-tiba dia terpandangkan Fazhan
yang sedang ramah berbual dengan jaga yang bertugas di pondok kawalan. Nirmala
mengetap bibir. Dari jauh sempat dia memuji kesegakan dan ketampanan Fazhan.
Namun bila terkenangkan sejarah lalu, dia mengeluh berat.
Lama dia berdiri di situ hingga tak sedar yang sebenarnya
dia juga sedang diperhatikan oleh Fazhan.
Niat di hati Fazhan mahu mendapatkan Nirmala, tapi bila mengenangkan kata-kata
sindiran tajam dan pedih bakal menyinggah di telinganya, dirasakan ada baik
jika dia terus berbual saja dengan jaga di situ.
Pada mulanya Fazhan tidak mahu ke hospital malam ini kerana
bercadang mahu menjaga Anis Humaira di waktu pagi esoknya. Tapi bila
mengenangkan yang Nirmala tidak pulang ke rumah lagi sejak pulang dari pejabat
tadi, segera dia merajinkan tenaga menghantar bekalan untuk Nirmala.
Nirmala menanti penuh sabar di situ sambil perhatikan Fazhan
dari jauh. Dia harapkan Fazhan datang padanya. Tapi bila suaminya itu langsung
tidak beri apa-apa tanda untuk datang ke arahnya, Nirmala mula melangkah
mendekati Fazhan.
Fazhan tersenyum dalam hati kerana sedar Nirmala sedang
mendekatinya. Segera dia juga melangkah laju mendapatkan Nirmala sambil
menanggalkan jaket tebal hitamnya.
“Awak buat apa dekat sini?” Tanya Nirmala serius.
“Abang tahu Mala tak tahan mengantuk. Sebab tu abang datang
hantar kopi. Tapi kalau Mala nak tidur, mala tidurlah. Anis, biar abang yang
jaga.” Jaket tebal yang ditanggalkan dari tubuhnya tadi disarungkan ke bahu
Nirmala.
Nirmala bagai dibuai mimpi indah mendengar suara gemersik
Fazhan. Berselang pula dengan angin malam buat hati Nirmala menjadi tenang.
Cara Fazhan selimutkan tubuhnya dengan jaket tebal lagilah buat dia semakin
terkesima.
“Badan saya rasa melekit. Saya cadang nak balik mandi kejap.
Boleh awak tunggu Anis. Nanti saya datang balik.”
“Boleh! Pergilah. Tolong pesan pada Amil suruh dia tidur
dulu. Abang takut dia tertunggu-tunggu pulak.”
“Saya balik rumah saya. Pakaian saya banyak dekat sana.
Pakaian yang ada dekat rumah ayah tu saya rasa tak selesa nak pakai.”
Fazhan mengangguk faham. Memang sejak Nirmala hilang ingatan
dulu, penampilan Nirmala juga turut berubah. Walaupun berubah dia tetap
bertudung. Bezanya dari tudung labuh telah bertukar kepada tudung pendek.
Pakaian pun mengikuti perkembangan terkini. Jika dulu Nirmala hanya selesa
dengan baju kurung sahaja. Kerana penampilan sederhana itulah yang membuat
Fazhan makan tak kenyang tidur tak lena.
“Okey..! tapi
kalau rasa malas nak datang, tak payah datanglah. Biar abang saja yang tunggu.
Lagipun tadi dokter kata Anis dah tak demam. Esok petang dah boleh keluar kot.
Sama-samalah kita berdoa agar Anis tak ada apa-apa.”
Nirmala tidak terus menjawab kata-kata Fazhan, malah setiap
inci wajah Fazhan ditenung, ditatap penuh minat. Melihat bibir Fazhan yang
berbicara sambil tersenyum buat dia sendiri tidak pasti dengan hatinya yang
sedang bergetar.
Bila Fazhan sedar renungan Nirmala yang tajam itu sedang
menikam jiwanya, Fazhan tersenyum dalam hati. Jari dipetik-petik depan Nirmala.
Berkelip- kelip mata Nirmala bia tersedar dari khayalan.
“Saya pergi dulu. Bye!”
Kalut Nirmala berkata sambil terus melangkah laju meninggalkan Fazhan di situ.
Tergeleng-geleng kepela Fazhan melihat kekalutan wajah
isterinya tadi sambil tersenyum lebar. Dalam diam dia berdoa agar sinar
kebahagiaan masih ada untuknya.
NIRMALA
mengetuk-ngetuk kepalanya dengan tangannya ketika dalam kereta. Malu sungguh
dia dengan insiden tadi. Harapannya agar Fazhan tidak syak apa-apa. Dia sendiri
tidak pasti apa yang berlaku dengan dirinya. Mendengar suara dan memandang
wajah orang yang dibenci tidak terlintas di fikirannya selama ini. Namun
disedari, di balik wajah tenang itu tadi terbias wajah arwah suaminya Fir
Luqman. Terfikir-fikir juga olehnya. Apakah ini petunjuk yang dia harus
menerima lelaki itu sebagai suaminya? Andaikata firasatnya benar, bagaimana
dengan cintanya pada Fir Luqman? Adakah cinta itu harus dikuburkan saja? Dia
sendiri tidak pasti.
Jam dua pagi Nirmala tiba depan rumahnya. Bergegas dia masuk
dan terus kebiliknya. Dia mahu segera balik ke hospital kerana tidak mahu
Fazhan menunggu lama. Wajah Amil juga sedang terbayang-bayang di mata kerana
menunggunya pulang. Dalam perjalanan pulang tadi sempat di menghubungi Maklong
Hasmah bertanyakan keadaan Amil Zaquan. Bila maklong Hasmah beritahu yang Amil
Zaquan sudah tidur, hatinya rasa lega.
Semenjak dia ambil keputusan untuk tinggal di rumahnya,
masanya agak terbatas dengan Amil Zaquan hingga seringkali dia mendengar cerita
rungukan dari Maklong Hasmah. Pernah juga terfikir di fikiran mahu membawa Amil
Zaquan tinggal dengannya, tapi dia yakin pasti ramai yang membantah. Dan akhirnya
dia buat keputusan untuk pulang ke rumahnya hanya waktu siang sahaja. Bila
malam dia terpaksa balik ke rumah Dato Hamdan. Semuanya dilakukan hanya kerana
Amil Zaquan dan Anis Humaira.
Jaket tebal hitam milik Fazhan dicapai selepas siap sedia
mahu ke hospital semula. Haruman yang terlekat di jaket itu buat dia selesa.
Sambil tersenyum dia berjalan dan mula kenakan jaket itu ditubuhnya. Nirmala
tersentak ketika memasukkan tangannya ke dalam poket jaket itu. Telefon bimbit
milik Fazhan dikeluarkan perlahan-lahan.
Nirmala cuba menghidupkan telefon bimbit itu tapi tidak
boleh kerana memerlukan kata kunci. Terfikir-fikir apakah kata kunci yang
Fazhan gunakan untuk membuka telefon bimbit itu. Bermacam-macam perkataan yang
dia cuba gunakan, namun tiada satu pun yang betul. Akhirnya Nirmala cuba
menggunakan namanya, jelas berjaya. Nirmala tersenyum dalam diam bila namanya
menjadi kata kunci untuk telefon bimbit Fazhan.
Bila dapat dibuka, mata Nirmala menjadi besar berganda dari
size asal. Gambarnya dikucup oleh Fazhan berlatar belakangkan sebuah tasik buat
dia terpempan. Dicuba ingat kenangan itu, tapi tidak berjaya.
Nirmala buka pula bahagian imej yang disimpan oleh Fazhan.
Hampir-hampir terlepas telefon bimbit yang dipegang. Nasib baik dia sempat
menahan. Gambar-gambarnya bersama Fazhan di Pulau Langkawi memang banyak
disimpan hingga ada yang tak sempat di lihat.
Dicuba pula mengorek bahan dalam video. Agak banyak rakaman
video yang tersimpan. Hatinya bagai tercuit mahu melihat sebuah rakaman yang
dirakam berlatar belakangkan sebuah restoran mewah. Nirmala mula memainkan
semula salah satu video yang ada. Berkerut-kerut wajahnya cuba melihat dan
mendengar apa yang tersiar. Hampir-hampir gugur air matanya bila mendengar
sendiri dari mulutnya mengaku yang dia cintakan setulus hati pada Fazhan.
Hampir sejam Nirmala berada dalam keretanya yang tak
bergerak. Bila tersedar, barulah telefon bimbit itu ditutup semula dan
memulakan pemanduan ke hospital semula. Sepanjang perjalananya ke hospital,
bermacam-macam yang difikirkan. Dia sendiri tak pasti, mampukah dia berhadapan
dengan Fazhan setelah mengetahui cerita sebenar. Nirmala menjadi malu sendiri.
Sejak dari rumah tadi, senyumannya asyik terukir walaupun puas dia cuba
membetulkan semula. Harapannya agar dia tidak berkeadaan begitu ketika
berhadapan dengan Fazhan nanti.
“PUAN
MALA! Tadi suami puan pesan, kalau puan datang dia suruh puan
kejutkan dia.” Kata seorang jururawat yang bertugas.
Nirmala tidak berkata apa-apa lantas hanya mengangguk dan
berlalu masuk ke dalam bilik di mana Anis Humaira ditempatkan.
Nirmala melangkah perlahan. Harap-harap Fazhan tidak sedar
akan kehadirannya. Sayu pula rasanya bila melihat Fazhan hanya tidur atas sofa
sambil memeluk tubuh tanpa berselimut. Jaket milik Fazhan tadi ditanggalkan lalu
diselimutkan ke tubuh Fazhan. Bila Fazhan mula bergerak-gerak, Nirmala
cepat-cepat berundur ke belakang.
Hatinya lega bila Fazhan meneruskan lenanya. Pada firasatnya, Fazhan
terlalu penat hingga tak sedar kedatangannya. Selimut yang tersedia atas katil
diambil lalu diselimutkan seluruh tubuh Fazhan yang sedang merekot kesejukan.
Memandangkan tiada tempat untuk dia duduk sambil membuat
kerja, Nirmala hanya duduk atas lantai beralaskan kusyen sambil membelakangkan
Fazhan yang sedang enak lena. Dia yakin boleh berjaga hingga ke pagi kerana
badannya sudah segar selepas mandi tadi.
Hampir sejam mahu menyiapkan laporan kerja, akhirnya matanya
dirasa semakin memberat. Sesekali dia akan bersandar ke kaki sofa bagi menghilangkan
sengal di pinggang kerana terlalu lama duduk bersila atas kusyen yang agak
nipis. Nirmala cuba meletakkan sekejap kepalanya di sebelah Fazhan.
Sambil-sambil itu dia pastikan kepalanya tidak tersentuh dengan badan Fazhan.
Namun siapa menyangka, Nirmala akhirnya terlelap jua di sisi Fazhan sambil
tangannya erat memeluk lengan Fazhan.
FAZHAN
tersedar bila mendapati tangannya kebas kerana tidur terlalu lama atas sofa.
Perlahan-lahan matanya dibuka bila sedar ada sesuatu sedang memeluk
tangannya. Bagai tersembur biji matanya
bila melihat Nirmala sedang enak tidur beralaskan lengannya. Fazhan cuba
menahan walaupun kebas ditangan semakin nyilu terasa. Nak segera digerakkan
takut Nirmala terkejut jadi dia cuba menahan walaupun hajat untuk ke bilik air
sudah mula terasa.
Fazhan tersenyum sendiri. Sudah lama mahu dirasa suasana
begitu. Kepala Nirmala yang masih tertutup dengan tudung labuhnya diusap
lembut. Pipi lembut Nirmala disentuh
penuh kelembutan agar tidak mengganggu lena isterinya. Jika dulu, Nirmala
selalu jadikan lengannya sebagai tempat melepaskan penat. Sudah banyak kali
ditegah, namun Nirmala dengan selamba buat muka degil.
“Ingat tangan abang ni mesin urut!” Bentak Fazhan lembut
sambil tersenyum bila Nirmala melentokkan kepalanya di bahu Fazhan.
“Haah! Mesin urut.
Dekat mesin urut ni tertulis nama Mala. Maknanya hanya Mala yang boleh guna
mesin urut ni.”
Fazhan tersenyum sendiri bila mengimbas kembali detik-detik
itu. Dia rindukan Nirmalanya yang nakal dan banyak mulut. Namun di sebalik itu
juga dia mahukan Nirmala yang sopan, lemah lembut dan pemalu seperti pertama
kali bertemu wanita itu.
Bila Fazhan sudah tidak boleh menahan lagi, dia cuba
kejutkan Nirmala. Bahu Nirmala ditepuk-tepuk lembut sambil memanggil nama
isterinya.
“Mala! Bangun sayang! Tangan abang kebaslah..” Bisik Fazhan
ke telinga Nirmala berkali-kali. Takut juga kalau-kalau Anis Humaira terjaga
dari tidur.
Nirmala tersedar dari lena. Terkejut dengan suara yang
menggerakkannya sebentar tadi. Namun dia tidak segera mengangkat kepalanya
kerana wajahnya sudah menjadi merah saga. Panggilan sayang itu lebih buat
wajahnya menjadi tebal. Malunya hanya tuhan saja yang tahu setelah sedar
kepalanya elok terletak atas sofa sambil memeluk erat tangan Fazhan. Dalam
kepalanya sekarang ialah mahu terus berlakon. Lantas dia pura-pura menguap
sambil menarik tangannya dari lengan Fazhan lalu menutup mulutnya. Sambil
matanya dipejamkan, dia meneruskan lena sambil meletakkan kepalanya atas meja
pula. Sekurang-kurangnya dia terlepas dari rasa malu selepas memeluk lengan suaminya
tadi. Harapnya biarlah Fazhan menyangka dia tidak sedar semua yang berlaku
sebentar tadi.
Fazhan tersenyum-senyum melihat gelagat Nirmala. Bukan dia
tidak tahu isterinya itu sudah terjaga dari lena. Tapi kerana ego, dia yakin
Nirmala berpura-pura menyambung lena.
Fazhan bangun perlahan dari sofa lalu melangkah ke bilik
air. Hajatnya yang ditahan tadi harus disegerakan. Keluar dari bilik air, dia
lihat Nirmala masih lena sambil duduk bersila atas kusyen. Rasa belas kasihan
dan sayang pada satu-satu isterinya buat Fazhan nekad mahu mengangkat Nirmala
agar tidur atas sofa.
Nirmala sedar bila Fazhan mengangkatnya lalu diletakkan atas
sofa. Dalam diam Nirmala terharu. Bila mengingatkan kembali apa yang terakam
dalam video telefon bimbit suaminya, Nirmala rasa berbunga-bunga. Namun bila
wajah Fir Luqman datang bertamu diruangan mata, hatinya mula serba salah.
Rengekan perlahan Anis Humaira buat Nirmala segera meluaskan
mata dan segera bangun mendapatkan bayi kecil itu. Begitu juga dengan Fazhan
yang kalut bergegas sama.
“Mala angkat anak. Abang buat susu.” Arah Fazhan pantas
mencapai botol susu Anis Humaira.
“Biar saya yang buat susu, awak tengok anak. Cuba chek entah-entah pampers dia basah.” Bantah Nirmala tegas sambil merampas botol susu
di tangan Fazhan.
“Malakan ibunya. Malalah yang buat tu. Biar abang buat
susu.” Fazhan masih berdegil.
“Awak bukan ayahnya? Dah! Dengar cakap saya, biar saya saja
yang buat. Lagipun awak baru keluar dari bilik air. Tangan tu basuh ke tidak?”
Fazhan menahan senyum sambil mengetap bibir. Nirmala yang
banyak mulut sudah kembali.
“Abang dah basuh tangan. Mala yang tak basuh lagi. Air liur
basi pun masih ada dekat pipi tu. Dah! Pergi cuci muka tu. Biar abang saja yang
buat semua.” Ulas Fazhan sambil merampas semula botol susu di tangan Nirmala.
“Apa yang kecoh-kecoh ni?” Sergah dari seorang jururawat
yang sedang berdiri depan pintu bilik.
“Err..tak ada
apa-apa. Sorry nurse! Isteri saya ni ada
masalah suka mengingau bila tidur malam.” Jawab Fazhan sambil tersengeh pada
jururawat itu.
Nirmala terkedu. Hatinya membengkak dalam malu kerana
dimalukan begitu. Sambil tersengeh-sengeh pada jururawat tadi, diraba-raba
seluruh wajahnya, jelas apa yang dikatakan oleh Fazhan hanya sekadar mahu
mengusiknya.
Jam tangan di tangan kirinya dikilas pandang. Baru pukul empat
pagi. Dengan rasa geram dia duduk semula atas sofa dan mahu menyambung semula
lenanya bila tangisan Anis Humaira tidak lagi kedengaran.
Fazhan menepuk-nepuk lembut belakang Anis Humaira selepas
habis sebotol susu diteguk. Lima minit menanti akhirnya Anis Humaira terlelap
semula. Kesempatan itu Fazhan gunakan untuk menukar pampers Anis Humaira bila dirasakan pampers itu patut ditukar.
Nirmala buka matanya sedikit. Melalui mata yang kecil itu
dia hanya memandang dalam diam apa yang Fazhan lakukan. Dalam hati sempat
memuji sikap Fazhan. Dengan Fir Luqman dulu pun tak pernah Fir Luqman buat
semua tu.
“Abang keluar sekejap. Mala tidurlah!” Tiba-tiba Fazhan
mengejutkan khayalannya.
“Awak nak pergi mana?” Tanya Nirmala pantas lalu bengun dari
pembaringan.
“Abang nak halau nyamuk kejap.” Ujar Fazhan tersengeh-sengeh
sambil tunjukkan isyarat merokok.
“Dah tahu ada anak kecil, tak reti-reti nak berhenti buat
kerja tak berfaedah tu.?” Tempelak Nirmala geram.
Fazhan hanya tersengeh mendengar bebelan isterinya lantas
segera mahu melangkah.
“Jangan lama sangat!” Tegas Nirmala sambil menjeling.
“Hah?” Fazhan
bagai bermimpi mendengar arahan Nirmala.
“Saya cakap jangan lama sangat. Saya..” Nirmala tidak dapat
teruskan kata.
“Rindu?” Pantas Fazhan menyambung sambil tersengeh nakal.
“Boleh jalanlah nak rindu dekat awak.!” Bentak Nirmala lalu
selimut putih yang meleret di kakinya di tarik hingga menutup seluruh tubuh
hingga kepalanya. Mendengar suara Fazhan ketawa mengekek, dia mengetap bibir
menahan malu. Diraba-raba mukanya yang semakin panas mengembang.
“Abang pergi sekejap saja. Memang abang dah janji dengan
Mala dulu yang abang takkan tinggalkan Mala sampai bila-bila. Sampai di sana
nanti pun abang tetap tunggu Mala.”
Nirmala diam dalam selimutnya. Dalam tak sedar bibirnya
tersenyum malu. Hatinya berbunga. Entah kenapa dirasa seperti baru jatuh cinta.
Pertama kali bertemu dengan Fir Luqman dulu pun dia tak rasa malu begitu.
No comments:
Post a Comment