PENGHARGAAN

Assalamualaikum..
Salam sayang untuk semua kerana sudi2 mengintai di ruangan laman saya yg baru nak bernafas ni.
Sblm jemari sya terus menari,ribuan terima kasih pada adik sya iaitu bloger Senyum-Senyum Diana Rashid sbb tanpa dia, blog sya ni kompem x ujud. Thnk n lebiyu..
Almaklumlah..kakak dia ni slow sikit tentang IT-IT ni..hehehe..
Yg ke 2 plk adalah insan terchenta sya. Tak lain tak bukan dh tentulah Encik sya. Klu tak kerana dia, sampai sekarang karya sya ni dok dlm pendrive jelah..
Utk adik beradik sya yg sering beri semangat..kakyung, Ani, azam, ain, Rina, Ya n abg Jeri.. terima kasih byk2.
Khas untuk mak, terima kasih yg x terhingga. Wlupun bidang ni kurang digemari, sya anggap itu sebagai cabaran untuk berkarya.
Pada sahabat2 Ding Dong..thnk 4ever n ever. Kata2 semangat dan sokongan kalian amat sya hargai dan sanjungi. Kalian mmg best..edea korang adalah yg terbaik!!
Buat kwn2 yg lain, kata2 dan penghargaan korang mmg tersemat dalam hati. Kompem sya x lupa.
Dari itu..sudi2lah mengintai dan membaca krya sya ni. Jgn lupa mengkritik dan mengomen.
Klu nk memuji, sya mohon jgn tinggi2 sgt. Takut sya terperasan hebat. hehehehe...
Risau jgk..bila dah rasa hebat, kompem senang lupa diri dan jatuh ..
Okey...Selamat Membaca..


Thursday, 18 December 2014

BAB 4 Bila Hati Dah Say I Love U

BAB4
“ABANG dah cari belum benda yang Mala nak tu?” Tanya Nirmala sambil meletakkan nescafe panas atas meja bersebelahan dengan meja yang Fazhan gunakan untuk membuat kerja pejabat.

Fazhan tersentak lantas wajah kekasihnya itu dipandang sayu.

“Belumlah sayang! Abang sibuk sekarang ni. Tapi abang ada tanya pada budak-budak dekat pejabat. Dia orang kata kalau dia orang balik kampung, nanti dia orang tolong dapatkan. Sabarlah..!” Pujuk Fazhan lembut. Semenjak Nirmala disahkan hamil, banyak kerja-kerja pejabat terpaksa diambil alih kerana Nirmala mengalami alahan yang teruk. Jadi dia menyuruh agar Nirmala bercuti buat sementara waktu sehingga alahannya  tiada.

Mengenai apa yang dipinta oleh isterinya, memang dia ada tanyakan pada budak pejabatnya. Menurut mereka, sekarang bukan musim buah asam gelugur berbuah. Jadi orang tak beri perhatian sangat pada pokok itu. Namun dia boleh tersenyum bila ada yang mengatakan bahawa pucuk daun pokok itu sentiasa ada walaupun buahnya tiada. Melihatkan wajah muram Nirmala, dia yakin jawapan itu amat mengecewakan hati isterinya.

“Dah dekat empat bulan Mala tunggu.” Bentak Nirmala sayu sambil menjeling geram.

“Kalau benda lain, macam mana?” Pujuk Fazhan sambil tersenyum. Jiwanya tak senang bila menerima jelingan seperti itu. Hatinya cepat tersentuh. Bila melihat mulut isterinya muncung panjang, dia tahan ketawa.

“Taknaklah..! Tekak Mala ni hanya nak daun tu saja.”

“Abang peliklah! Dalam banyak-banyak daun, kenapa daun tu yang Mala nak? Mintalah daun raja ke..daun sallom ke..atau daun gajus. Kan sedap! Kalau makan dengan sambal belacan, mm..mesti terbuka selera nak makan nasi.”

“Abang ni banyak soallah. Cari sajalah! Bukan Mala yang nak makan. Ni! Anak abang yang nak makan sangat. Kalau dia keluar nanti, mesti meleleh air liur sebab kempunan tak dapat apa yang dia nak.”

“Ye ke anak abang yang nak makan? Bukan isteri abang?” Fazhan semakin seronok menyakat isterinya yang semakin berang. Dapat diperhatikan wajah Nirmala sepanjang tempoh kehamilan. Wajah Nirmala semakin berseri walaupun sedang marah.

“Abang jangan nak naikkan darah Mala..!” Ugut Nirmala sambil menjeling geram.

Okey-okey..abang minta maaf. Yelah, nanti abang ajak kawan abang cari.” Sebenarnya esok dia sudah berjanji dengan Jefri untuk mengikut kawannya itu pulang ke kampung. Kata Jefri lagi, keluarganya banyak menanam pokok itu dan tak hairanlah kalau keluarga Jefri mempunyai sebuah kilang pembuatan asam keping yang berasaskan dari buah asam gelugur. Hanya kerana Jefri mempunyai kelulusan tinggi, dia bercadang mahu mencari rezeki di luar dan tidak mahu terperuk membuat kerja-kerja di kampung.  Sebab usaha dan azam yang tinggi, kini Jefri mampu mempunyai syarikat perkapalan sendiri. Walaupun begitu Fazhan pelik kerana keluarga Jefri  masih menguruskan kilang asam keping yang sudah bertahun beroperasi walaupun Jefri mampu menanggung semua ahli keluarganya.

“Abang nak cari dekat mana?” Tanya Nirmala kalut berminat nak tahu.

“Ada la..!” Ujar Fazhan tersenyum sinis.

“Mala ikut ek?”

Ish! Tak payahlah. Lagipun tempat tu tak sesuai untuk Mala yang sedang alah teruk ni. Abang takut nanti Mala cepat penat.” Bantah Fazhan pantas bila isterinya menyuarakan hasrat untuk turut serta. Bila ingat kembali apa yang Jefri ceritakan padanya. Dia risau. Macam-macam yang dia fikirkan jika mengikut kehendak isterinya itu. Jiwanya kacau dan mula rasa tak tenteram. Pada mulanya ingin dibatalkan saja ke kampung Jefri. Tapi bila mengenangkan tiada lagi tempat yang boleh dituju, dia terpaksa mengalah. Tambah pula keinginan Nirmala harus diutamakan dulu. Bila melihatkan perubahan pada perut isterinya, dia cepat rasa bersalah kerana melambatkan usaha mencari apa yang isterinya idamkan.

“Alah..! Kalau dapat makan yang fresh kan lagi best..!” Nirmala mula beralasan logic. Melihatkan Fazhan hanya menggeleng laju, dia mengeluh kesal.

“Tempat tu hutan rimbalah sayang..! Dengan keadaan Mala sekarang, tak sesuai pergi tempat macam tu. Abang janji lepas Mala selamat bersalin, abang bawa Mala pergi situ.” Janji Fazhan buat Nirmala tersenyum. Fazhan  lega bila usaha memujuk berjaya.

“Siapa kawan abang tu?” Tanya Nirmala. Fazhan tersentak.

Err..Jefri.” Fazhan jawab juga walaupun tak pasti apa riaksi yang datang dari Nirmala.

“Jefri? Mala tak tahu pun staf kita ada nama Jefri. Rasa Mala abang tak ada kawan nama tu. Kawan baru kenal ek?” Tanya Nirmala sambil berfikir.

Err..haah! Baru kenal. Budak pejabat yang kenalkan. Budak tu kata keluarga Jefri menguruskan perusahaan asam keping. Bila abang jumpa Jefri, dia kata kat rumah dia banyak pokok tu.” Ulas Fazhan lega kerana isterinya tidak mengenali Jefri lalu cepat-cepat mengalihkan perhatiannya semula pada kertas kerja yang dibawa pulang petang tadi dari tepat kerja. Bercakap mengenai hal itu berdepan dengan isterinya buat Fazhan rasa serba salah. Rasanya  sudah banyak pembohongan yang dia lakukan pada Nirmala.

Nirmala tersenyum lebar mendengar cerita suaminya. Dia mula terbayang-bayang suasana persekitaran kebun sambil memetik daun pucuk asam gelugur yang segar. Kerana sedar akan keadaan dirinya, dia mengalah. Mungkin ada benarnya apa yang suaminya katakan tadi. Pernah juga dia terbaca dalam satu artikel dalam majalah wanita tentang pantang larang wanita semasa hamil. Bila ingat tentang kesan tidak mengikut pantang, dia jadi cuak. Harapannya hanyalah untuk melihat anak yang bakal dilahirkan nanti sihat seperti yang suaminya harapkan.


TENGAHARI esoknya Fazhan keluar awal sebelum waktu pulang pejabat. Tujuannya hanya satu iaitu mendapatkan apa yang isterinya idamkan. Seperti yang dijanjikan, Jefri tepati masa menanti Fazhan di ruang lobi pejabat. Dari jauh Fazhan sudah nampak Jefri tersengeh-sengeh sambil angkat tangan.

“Sorry bro! aku lambat sikit.” Kata Fazhan ramah setibanya dia di hadapan Jefri.

No hal lah..! aku pun baru sampai je. Nak bertolak sekarang atau nak pergi minum dulu?” Tanya Jefri.

“Kita terus pergilah. Lambat-lambat nanti sampai lambat pulak. Kampung kau tu bukan dekat. Paling kurang pun mahu dua jam baru sampai.”

Jefri terangguk-angguk setuju. Dia pun tidak biasa pulang ke kampung waktu begitu. Biasanya seawal pagi. Tapi bila mengenangkan masalah kawannya itu, Jefri terpaksa setuju. Tambah-tambah lagi yang melibatkan Nirmala. Jefri begitu sedih selepas mendapat berita tentang kemalangan yang menimpa Nirmala. Paling menyedihkan apabila mendapat tahu Nirmala langsung tidak ingat padanya sedangkan mereka amat rapat sejak zaman universiti. Kerana rasa kasih dan sayang pada adik angkatnya itu, dia terpaksa akur untuk tidak perkenalkan diri demi tidak memberi tekanan pada Nirmala.

“Mala macam mana? Sihat?”

“Alhamdulillah..! Sakit telinga aku dengar dia membebel hari-hari fasal nak makan daun pucuk gelugur tu. Apa yang sedap sangat pun aku tak tahu.” Rungut Fazhan pada Jefri sambil berlalu beriringan menuju ketempat kereta. Jefri ketawa mengekek mendengar rungukan Fazhan.

“Sampai sana nanti, kau rasa sendiri. Aku tak jamin kau suka atau tidak. Tapi bagi aku pucuk daun tu memang sedap kalau cicah dengan garam. Mala tu dulu tiap kali cuti, dia mesti datang rumah aku. Pertama kali dia datang, adik aku ajar dia makan pucuk asam gelugur. Mula-mula mak aku bising jugak sebab takut dia tak tahan perut. Almaklumlah..diakan anak orang bandar, mana pernah alami semua tu. Tapi bila tengok dia macam tak kisah, mak aku tak kata apa-apa dah. Beruntung kau dapat dia.”

Panjang berjela Jefri bercerita mengenai Nirmala hingga buat Fazhan sedikit cemburu kerana sahabatnya itu memiliki kenangan bersama Nirmala yang sebenar sedangkan dia umpama kenal klon Nirmala sahaja.

“Kadang-kadang aku takut dia sedar semula. Aku takut dia tak kenal aku. Aku takut kalau dia tak dapat terima aku.” Sayu suara Fazhan berkata sambil menghidupkan enjin keretanya.

“Kan dokter dah cakap, dia alami hilang ingatan kekal. Apa yang kau nak risaukan? Lagipun dia yang nakkan kau. Bukan kau yang terhegeh-hegeh dekat dia!” Yakin Jefri.

“Tu aku tahu. Tapi sebelum kemalangan aku pun syok kat dia. Cuma dia saja yang tak tahu. Kita kena sedar, dokter bukan tuhan. Ditakdirkan lepas ni dia ingat balik, apa aku nak buat?”

Rilaxlah bro..! aku tahu kau serba salah. Ditakdirkan dia ingat balik, aku harap kau teruslah bahagiakan dia. Niat kau murni. Aku tahu kau dah lama sukakan dia. Dan aku yakin arwah pun restu apa yang kau buat pada Mala.”

“Aku takut, Jefri. Aku takut kehilangan dia. Aku terlalu sayangkan dia. Dulu aku ingat, bila dapat dia, aku boleh bahagia. Tapi semakin lama aku berhadapan dengan dia tiap-tiap hari, aku mula sedar, aku dah buat satu kesalahan besar.”

“Semua tu bukan salah kau, An. Kau jangan ikutkan sangat perasaan kau tu. Tak lama lagi Mala akan lahirkan anak kau. Aku yakin dengan kehadiran anak korang tu, akan mengikat terus ikatan korang berdua.” Jefri terus meyakinkan Fazhan.

“Entahkah Jef! Aku buntu. Semakin hari bila aku tengok Mala, aku terbayangkan dia. Aku ingat kata-kata akhirnya. Nafas terakhirnya masih aku rasa hingga kini. Dia pergi atas pangkuan aku. Aku seperti merampas hak dia.”

“Kan dia dah beri amanah pada kau. Sepatutnya kau bersyukur sebab dia lepaskan Mala pada kau. Buatnya dia lepas pada orang lain, putih mata kau!” Seloroh Jefri.

“Dia cuma suruh aku jaga, bukan ambil jadi isteri. Kau faham tak? Lagipun ada sesuatu yang kau belum tahu fasal aku, Mala dan dia. Nantilah, bila-bila nanti aku ceritakan pada kau. Aku belum kuat nak bercerita semuanya. Aku yakin lepas kau dengar cerita aku, kau pasti akan salahkan aku sebab merampas Mala dari dia.” Ujar Fazhan lantas melontarkan pandangannya ke luar tingkap kereta. Tak tahu apa pandangan sahabatnya jika tahu punca kemalangan Nirmala adalah berpunca dari dirinya sendiri. Pasti Jefri akan turut salahkannya.

Kata-kata Fazhan buat Jefri tergamam seketika. Jefri termanggu sendiri. Dalam fikirannya, asyik tertanya-tanya apakah yang disembunyikan oleh sahabatnya itu. Mengapa dia harus salahkan Fazhan sedangkan selama ini yang dia tahu sahabatnya itu tidak melakukan apa-apa kesalahan. Sejak tahu Fazhan dan Nirmala menjalin kasih, dialah orang pertama yang beri kata sokongan dan galakan agar hubungan suci itu diteruskan hingga ke jinjang pelamin walaupun hatinya terluka.


PERJALANAN yang memakan masa hampir dua jam itu akhirnya berakhir tepat pukul tiga petang. Riuh suara Mak Biah dan Pak Jamil  menyambut ketibaan mereka. Tersenyum-senyum Fazhan ketika emak Jefri sempat mengucapkan selamat pengatin baru dan meminta maaf sebab tak hadir di majlis mereka.

“Dah basilah mak..! orang tu dah nak jadi bapak orang dah..!” Sampuk Jefri mengusik. Fazhan tersengeh malu.

“Belum sampai setahun lagikan? Baru lagilah tu..! Betul tak?” Ujar Mak Biah ramah sambil tersenyum. Fazhan hanya mengangguk sambil tersenyum malu.

“Mak buyung tu dah berapa bulan?” Tanya Mak Biah selepas mengarahkan Jefri menjemput Fazhan naik ke atas rumah. Ketawa kecil Fazhan bila gelaran Mak Buyung diberikan pada Nirmala. Kalau isterinya tahu, pasti dia dapat jelingan tajam menusuk kalbu.

“Nak masuk empat bulan. Dia alah teruk. Sampai sekarang tak okey lagi.” Cerita Fazhan pada emak Jefri.

“Tak dapat apa yang dia nak. Memanglah alah teruk.” Balas emak Jefri.

“Sebab tu saya datang sini. Mula-mula tu saya berat hati juga nak datang takut dia sibuk nak ikut.”

“Kenapa tak bawak dia sekali. Teringin mak nak jumpa dia. Rindu betul dekat dia.” Luahan hati Mak Biah mula buat Fazhan serba salah.

“Mak! Mala sekarang bukan Mala yang kita kenal dulu. Fazhan risau kalau beri tekanan pada daya ingatannya jika dia datang sini.” Terang Jefri lembut pada Mak Biah. Jelas di wajah tua itu mengharap untuk bertemu lagi dengan Nirmala yang sudah dianggap anak sendiri.

“Yelah..! mak faham. Mungkin sudah begitu nasib dia. Kita doa-doakanlah agar Mala sihat selalu. Mak tak sangka begitu nasib Mala. Dia budak baik. Hormat orang tua. Peramah. Pandai. Cantik pulak tu. Suka betul makcik tengok dia dengan..”

“Dahlah mak..! Benda dah lepas. Tak elok kita kenang-kenang. Lagipun dia bahagia dengan kehidupan baru dia sekarang. Jef redha dia tak ingat Jef. Apa yang Jef harapkan dia bahagia.” Pantas Jefri memangkah kata-kata Mak Biah. Yang sebanarnya dia tak senang emaknya berkata begitu. Tambah-tambah lagi di hadapan Fazhan. .

“Kita solat dulu sebelum pergi kebun kau. Boleh?” Fazhan pantas menukar tajuk perbualan. Hatinya tak senang dengan perbualan tadi. Namun dia harus faham dan sedar, mengapa harus cemburu pada yang sudah tiada.


HAMPIR ke pukul sembilan malam barulah kereta perdana silver Fazhan menampakkan bayang di halaman rumah. Tersenyum lega bila Nirmala nampak wajah suaminya yang sedang keluar dari perut kereta.

“Kenapa lambat? Risau Mala tau!”

Sorry sayang! Kan abang dah cakap hari ni abang balik lewat. Nah! Ni untuk Mala.” Pantas Fazhan menghulurkan sebungkus beg plastik berwarna biru kepada Nirmala.

“Apa ni bang?” Tanya Nirmala pelik sambil membelek-belek bungkusan tadi.

“Bukalah! Penat abang ambil tau. Nasib baik abang tak jatuh pokok.” Kata Fazhan cuba meraih simpati. Yang sebenarnya memang dia sudah jatuh pokok. Salahnya sendiri juga. Bukan tak ada pucuk daun yang rendah, cuma dia saja yang kononya nak dapatkan daun terbaik untuk isterinya. Sedangkan pucuk rendah atau tinggi semuanya sama saja.

“Pucuk asam gelugur?” Teka Nirmala ceria. Melihatkan suaminya tersenyum lebar, hampir-hampir dia mahu melompat. Tangan Fazhan ditarik pantas lalu dicium berkali-kali tanda berterima kasih.

“Yang ni pulak dari emak kawan abang tu untuk Mala. Dia kirim salam kat Mala.” Ujar Fazhan sambil menghulurkan dua buah bekas plastik yang agak berat.

Nirmala membelek-belek bekas itu dan menciumnya. Mata dan mulutnya terlopong. Cepat-cepat Nirmala berlalu ke dapur. Terkejut Fazhan, Amil Zaquan dan Dato Hamdan dengan tingkah laku Nirmala. Dua minit kemudian dia keluar dengan semangkuk laksa pineng. Di dalam mangkuk tersebut terdapat pucuk asam gelugur yang sudah dihiris halus. Tanpa mempelawa sesiapa yang ada di siti, Nirmala rakus menghirup kuah laksa yang pekat berwarna coklat itu.

Deheman Amil Zaquan buat Nirmala terhenti makan. Melihatkan semua yang ada begitu asyik memandangnya, Nirmala termalu sendiri.

“Mama dah lupa ke pada anak mama ni..?” Soal Amil Zaquan bersahaja.

Sorry..! Mama teruja sangat bila tengok benda ni. Dah lama mama tak rasa. Amil, abang dengan ayah nak cuba?” Tanya Nirmala kalut. Melihatkan semua yang ada hanya menggeleng kepala, Nirmala menyambung semula santapannya.

“Mama makanlah. Mil dah kenyang tengok mama makan.” Kata Amil Zaquan.

“Yelah Mala. Sebelum ni ayah tak pernah tengok Mala makan macam ni. Risau ayah dengan anak kamu dekat dalam tu. Apalah yang dia makan kalau kamu tak makan?”

“Mala tak ada selera nak makan nasi. Tapi bila tengok laksa ni, baru terbuka selera Mala nak makan. Terima kasih bang. Sebab bawa ni untuk Mala. Betul abang tak nak ni? Sedap tau! Pekat kuah dia.”

“Abang dah makan dekat rumah Jefri tadi.” Jawab Fazhan ceria sambil tersenyum lega. Memang sebelum ini dia pun cukup risau dengan keadaan Nirmala yang tidak berselera makan. Sudah bermacam-macam vitamin yang dia dapatkan untuk menaikkan selera makan isterinya, namun semuanya tak ada apa-apa kesan. Masalah itu akhirnya disuarakan pada emak Jefri di kampong tadi. Emak Jefri cuba memberi cadangan agar beri makanan kegemaran Nirmala iaitu laksa pineng. Akhirnya emak Jefri yang memasakkan untuk Nirmala. Dan sebab itu jugalah dia sampai lambat kerana menanti masakan emak Jefri selesai. Sambil-sambil itu, Fazhan turut belajar sama bagaimana untuk membuat masakan itu. Agak kekok pada mulanya ketika pertama kali turun ke dapur. Namun Fazhan yakin, dia boleh lakukan. Demi isteri tercinta, dia akan lakukan sehabis baik. Biar dia rasa susah tak mengapa, asalkan orang yang disayangi dapat apa yang dihajati. Dapat menjadikan Nirmala miliknya sudah dia rasa seperti mendapat intan bertimbun-timbun.

No comments: