BAB 8
WAJAH Maklong Hasmah yang sedang menanti di depan muka pintu
dipandang sebak ketika melangkah keluar dari kereta. Tak dapat digambarkan bila
melihat wanita itu terkedek-kedek berlari mendapatkannya. Seluruh pelusuk
wajahnya habis dijadikan tempat ciuman Maklong Hasmah.
“Maklong memang
yakin, anak maklong akan sedar juga satu hari nanti. Nampaknya doa maklong
dimakburkan tuhan.” Ujar Maklong Hasmah sebak. Sejak berita itu diketahui, dia
terus menunaikan solat sujud syukur.
“Mala minta maaf
sebab susahkan maklong.”
“Mala tak salah. Dah
takdir tuhan begini, kita kena terima.”
“Tapi Mala tak boleh
terima abang Luqman..”
“Dah-dah..! yang
lepas jangan dikenang lagi. Dia tenang dekat sana. Maklong yakin dia mesti
gembira tengok Mala dah sembuh. Tak baik kita menolak takdir.” Pantas Maklong
Hasmah memangkah kata-kata Nirmala lantas mengajak Nirmala masuk ke dalam
rumah.
Fazhan hanya
mendengar perbualan Nirmala dan Maklong Hasmah. Ada rasa sedikit cemburu bila
nama Fir Luqman terkeluar dari mulut Nirmala. Namun dia harus sedar dan harus
beri Nirmala masa agar dapat menerima dirinya.
Nirmala rasa sebak
ketika melangkah masuk ke dalam rumahnya. Dia tersenyum bila terpandangkan
gambar orang tuanya terhias megah di dinding. Masih di tempat yang sama. Dia
masih ingat, gambar itu dia yang lukis sendiri berpandukan pada foto lama yang
masih tersimpan. Ketika itu dia gemar melukis. Pantang ada jumpa apa saja benda
yang menarik, pasti akan dilakar hingga puas hati.
“Mama! Jom naik atas.
Kita tengok adik Anis. Adik Anis dah lapar susu.” Ajakan Amil Zaquan
menghentikan lamunan Nirmala.
“Mala nak naik atas
atau tunggu dekat bawah? Biar abang yang bawak Anis turun.”
Soalan Fazhan itu
Nirmala biarkan tanpa apa-apa jawapan. Pandang wajah Fazhan pun dia tidak rasa
teringin. Sejak dari hospital tadi, sebarang soalan yang keluar dari mulut
Fazhan, dibiarkan seperti air lalu. Bukan dia tidak dengar Fazhan mengeluh
panjang, Cuma dia yang rasa masih kekok untuk berbual dengan suami yang baru
dikenalinya itu walaupun sebelum ini dia tahu Fazhan merupakan sahabat pada Fir
Luqman.
Nirmala melangkah
lambat menuju ke bilik atas di mana biliknya berada. Masuk dalam bilik itu buat
dia tersentak. Gambar perkahwinannya dengan Fazhan megah terhias di kepala
katil. Gambar itu dia pandang lama. Wajahnya yang sedang tersenyum lebar ketika
berada dalam pelukan Fazhan, buat dia rasa seperti tidak percaya. Senyuman itu
jelas membuktikan yang dia sedang bahagia ketika itu.
“Sini mama!” Jerit
Amil Zaquan sambil menarik tangannya. Nirmala tersenyum lalu melangkah ke arah
yang anaknya tunjukkan.
Nirmala terpegun
melihat bayi comel berada dalam katil bayi. Wajah comel itu mengingtkan dia
pada gambar-gambarnya semasa kecil. Ingin disentuh bayi itu tapi dia tiada
kekuatan. Rasa bersalah pada Fir Luqman semakin terasa. Dia sendiri tidak tahu
bagaimana dia boleh menerima Fazhan sedangkan cintanya kuat hanya pada Fir
Luqman.
“Comelkan mama? Muka
dia macam mama. Cantik sangat!”
Nirmala tersenyum
mendengar Amil Zaquan memujinya. Tubuh Amil Zaquan dipeluk erat. Kepala Amil
Zaquan dikucup penuh kasih.
“Anak ibu ni pandai
bercakaplah.! Siapa yang ajar?”
“Siapa
lagi..mamalah!” Jawab Amil Zaquan yang sedikit pelik bila Nirmala tidak lagi
mengaku diri mama.
“Dah berapa lama Amil
duduk dalam rumah ibu ni?”
“Dari baby lagi.”
Ujar Amil Zaquan sambil menyuakan botol susu ke mulut Anis Humaira. Hairan rasa
dalam hati kecilnya bila perkataan ibu keluar dari mulut mamanya.
Tersenyum Nirmala
melihat kecekapan Amil Zaquan melayan adiknya.
“Siapa yang jaga
Amil?”
“Mamalah..!”
Nirmala sebak. Tidak
disangka selama ini dia dekat dengan Amil Zaquan. Dalam diam dia berterima
kasih pada ayahnya kerana mengambil Amil Zaquan tinggal di situ selepas
kemalangan.
“Amil suka tinggal
dekat sini?”
“Suka.! Ada tokwan,
toklong, papa..sekarang Amil dah ada adik. Lagilah Amil suka.”
“Papa baik tak?”
Timbul niat ingin tahu sikap suami barunya.
“Best
in the world..! papa sporting. Dia tak pernah marah Amil. Dia jaga Amil kalau Amil
sakit. Tiap-tiap hari papa hantar Amil
sekolah. Tengahari papa datang jemput Amil dekat sekolah. Papa tak benarkan driver hantar atau ambil Amil sebab papa
kata mama tak percaya pada orang luar.”
“Ibu tak percaya pada
orang luar? Papa cakap macam tu?” Nirmala bertanya hairan. Amil Zaquan angguk
sahaja.
“Mama pun pernah cakap
macam tu pada Amil. Satu hari tu, papa tak sempat ambil Amil dekat sekolah
sebab papa ada meeting. Jadi papa
suruh driver tokwan yang jemput Amil.
Kasihan papa sebab lepas tu mama marah-marah papa. Dekat seminggu mama tak mahu
cakap dengan papa. Papa sabar je..!”
Sekali lagi Nirmala
tersentak. Baru dia sedar sikapnya teruk sekali sepanjang lima tahun lalu. Tak
dapat dibayangkan jika berdepan dengan Fazhan nanti. Dalam hati dia
terfikir-fikir, mampukah dia menerima Fazhan sebagai suaminya dan bolehkah dia
menjadi isteri pada lelaki itu.
“Amil sayang papa?”
“Sayang!”
“Ibu?”
“Mestilah sayang..”
“Ayah Luqman?”
Soalan Nirmala itu
buat Amil Zaquan terfikir-fikir.
“Emm..Papa cakap bapa sebenar Amil nama Fir Luqman. Papa Fazhan tu
cuma papa tiri Amil. Papa cakap lagi ayah Luqman tu baik. Jadi Amil kena sayang
dia jugak sebab kalau ayah Luqman tak ada, Amil pun tak ada dalam dunia ni.”
Nirmala tersenyum
dalam diam. Dalam hati sempat memuji dengan sikap Fazhan. Jika dulu dia tidak
suka dengan perangai Fazhan yang sedikit liar. Paling buat dia benci pada
lelaki itu bila dapat tahu Fazhan seorang peminum dan kaki judi. Melihat wajah
itu seperti melihat seorang penagih dadah yang meloyakan. Pernah juga
disarankan pada Fir Luqman agar jangan terlalu rapat dengan Fazhan, namun Fir
Luqman berdegil. Katanya, Fazhan sahabatnya yang pertama sebelum Jefri ketika
melangkah ke university. Akhirnya Nirmala terpaksa akur dengan keputusan Fir
Luqman.
“Papa selalu bawak
Amil pergi ziarah kubur ayah Luqman?”
“Selalu. Boleh
dikatakan tiap-tiap minggu lepas sembahyang jumaat.”
Nirmala sebak. Dalam
diam dia berterima kasih pada Fazhan. Yakinlah dia kini, Fazhan sekarang bukan
Fazhan yang dulu. Wajah bersih Fazhan yang dilihat pertama kali semalam, ada
dirasa sedikit degupan kencang dijantungnya.
“Anak ibu ni handsomelah!” Sakat Nirmala sambil
mencuit pipi Amil Zaquan.
“Baru tahu? Tengoklah
anak siapa..?” Balas Amil Zaquan cuba berseloroh. Mengekek-ngekek Nirmala
ketawa.
“Mama! Adik Anis ni
dah kenyang. Sekarang mama angkat dia, lepas tu tepuk-tepuk belakang dia.” Kata
Amil Zaquan tiba-tiba sambil meletakkan botol susu kosong tepi katil Anis
Humaira.
Nirmala tersentak.
Walaupun dia masih belum bersedia untuk menyentuh Anis Humaira, kerana desakan
Amil Zaquan, dia gagahkan juga. Perlahan-lahan dia cuba mengangkat Anis Humaira
dan merapatkan bayinya ke dada kirinya lalu menepuk-nepuk perlahan belakang Anis
Humaira sehingga bayi itu sendawa.
Teringat dia dulu
pernah lakukan perkara yang sama pada Amil Zaquan. Pada masa itu tiada siapa
yang mengajarnya menjaga anak yang baru lahir. Selepas berkahwin dengan Fir
Luqman, mereka berpindah ke rumah yang Fir Luqman beli tidak jauh dari rumah
Dato Hamdan. Hanya Maklong Hasmah saja yang menjadi gurunya. Itupun maklong
Hasmah mengajarnya sambil berbual dalam telefon. Seminggu selepas itu barulah
maklong Hasah datang. Berkat dari ajaran Maklong Hasmahlah, dia dapat menjaga
Amil Zaquan bersama Fir Luqman hingga umur Amil Zaquan lima bulan. Namun siapa
sangka, setakat itu saja jodohnya dengan Fir Luqman. Dalam diam dia berdoa agar
Fir Luqman dapat maafkan dia kerana memilih Fazhan sebagai pengganti walaupun
hakikat yang sebenar, bukan dengan kemahuannya sendiri.
FAZHAN tersenyum sendiri mendengar perbualan
Nirmala dan Amil Zaquan. Dia yang sejak tadi berada di luar pintu bilik hanya
berdiri di situ. Kakinya tak mampu lagi untuk melangkah untuk bersama-sama
dengan anak-anak dan isterinya. Baginya biarlah masa itu diberikan pada Nirmala
yang ingin merasa berbual dengan Amil Zaquan. Mungkin banyak yang ingin ditanya
dan banyak yang ingin dia tahu sepanjang lima tahun yang lalu. Akhirnya beg
pakaian Nirmala yang dibawa dari hospital tadi diletakkan saja di depan pintu
bilik. Dengan langkah bersemangat, Fazhan turun semula ke bawah. Dengan hati
yang riang, dia melangkah keluar. Enjin kereta dihidupkan untuk ke tempat kerja
semula.
JAM dah menunjukkan hampir ke pukul
sembilan malam. Namun kereta Fazhan masih belum menampakkan bayang.
Tertanya-tanya juga Nirmala dalam hati, apakah Fazhan selalu pulang lewat?
Sebenarnya dia rasa tidak selesa bila berdepan dengan Fazhan. Renungan mata
Fazhan benar-benar boleh membunuhnya.
Satu ketika dulu
ketika bersama Fir Luqman, Nirmala pernah menyatakan ketidak selesaannya bila
berdepan dengan Fazhan. Namun bila Fir Luqman mengatakan yang itu hanyalah
mainan perasaannya sahaja, dia terpaksa mengalah akhirnya. Risau juga
kalau-kalau Fir Luqman terasa hati jika asyik syak wasangka pada sahabatnya
itu. Tetapi bila Fir Luqman akhirnya berterus terang tentang perasaan sebenar
Fazhan, Nirmala tak tahu nak kata apa.
Nirmala masih resah
dalam bilik menanti kepulangan Fazhan. Sebenarnya dia tidak bersedia lagi tinggal sebilik dengan Fazhan. Dia
perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan lelaki itu. Namun kata-kata
Maklong Hasmah petang tadi buat dia terfikir akan dosa pahala.
“Tak baik layan suami
macam tu..! Dia pilihan kamu. Kamu kena terima. Lagipun Maklong tak nampak
apa-apa kekurangan pada suami kamu tu.”
“Memanglah dia tak
ada apa-apa kurang. Tapi Mala seganlah dengan dia. Mala malu..! Sebelum ni pun
Mala tak pernah berbual dengan dia.”
“Diakan kawan arwah
Luqman. Takkan kamu tak pernah bertegur dengan dia.”
“Tak rasa nak
bertegur sapa pun dengan dia, maklong..! Kalau boleh, muka dia pun Mala taknak
pandang. Tengok orang macam nak telan.”
Maklong Hasmah ketawa
mengekek mendengar rungukan Nirmala. Yakin bahawa Nirmala yang dia kenal sejak
dua puluh sembilan tahun yang lalu adalah Nirmala yang sama dengan yang
sekarang.
“Biarlah dia pandang
macam tu. Tu tandanya dia memang sukakan kamu. Orang cantik mestilah orang nak
pandang selalu..!” Usik Maklong Hasmah lalu ketawa mengekek.
“Mala takutlah maklong..!
Mala bukan kenal dia.”
“Tak kenallah kena
kenal-kenal. Bila dah kenal, lama-lama nanti okeylah..!” Pujuk Maklong Hasmah. Nirmala berdesit geram.
“Apa pendapat Maklong
tentang dia.?” Tanya Nirmala selepas mengeluh berat.
Maklong Hasmas
tersenyum sebelum menjawab. Dirasakan soalan Nirmala itu seperti ada petanda
baik.
“Bagi maklong dia
baik, sopan, hormat orang tua, bertanggungjawab. Dalam erti kata lain, dia
lelaki yang sempurna. Padan dengan Mala.”
Nirmala mengeluh lagi.
“Antara dia dengan abang
Luqman, siapa lebih sempurna?”
Maklong Hasmah
mengeluh berat sambil geleng kepala.
“Mala..! tak baik
banding-banding macam tu. Maklong mengaku Luqman memang baik, sopan, hormat
orang tua. Macam mana sempurna pada mata Mala, macam tulah sempurna pada mata
maklong. Bagi maklong dia dengan Fazhan tak ada beza. Mungkin pada Mala ada
perbezaan. Tapi pada maklong, sama saja. Bila maklong tengok susuk tubuh dia,
pertuturan dia, cara dia berjalan, gaya dia makan, cara dia melayan anak-anak,
tak jauh beza pun dengan arwah. Sekarang Mala dah jadi isteri pada Fazhan. Jadi
Mala kena hormat dia. Tambah-tambah lagi kamu dah ada anak dengan dia.
Takkanlah kamu nak abaikan tanggungjawab kamu semata-mata kerana orang yang dah
tak ada.”
Nirmala tersentak.
Hatinya sayu. Jiwanya sebak bila Maklong Hasmah berkata begitu.
“Tapi Mala tak boleh
lupakan Abang Luqman, maklong!” Ujar Nirmala sebak. Serta merta air mata yang
ditahan sejak tadi meluncur laju mengalir di pipinya. Cepat-cepat Maklong
Hasmah mendekatinya dan memeluk Nirmala agar Nirmala tidak terus ikutkan
perasaan. Jiwanya cepat tersentuh bila melihat Nirmala menangis.
“Maklong tahu Mala
tak dapat lupakan dia. Tambahan lagi, Mala dapat hidup dengan dia dalam masa
yang singkat saja. Maklong dapat rasa apa yang Mala rasa sebab Maklong pernah
rasa bagaimana ditinggalkan. Bezanya, maklong tiada pengganti dan Mala
sepatutnya bersyukur sebab dapat pengganti yang baik seperti Fazhan.”
“Mala rindukan abang
Luqman. Mala tak boleh terima dia sebab hati Mala masih pada abang Luqman.” Ucap
Nirmala teresak-esak.
“Berdosa kalau Mala
masih berfikir macam tu. Lepas ni, Mala masuk bilik, ambil wuduk. Cuba buat
solat istikharah. Mungkin ada petunjuk dari Dia.”
Ngauman kereta Fazhan
yang baru tiba menyentak lamunan Nirmala. Cepat-cepat dia keluar dari biliknya
dan melangkah masuk ke dalam bilik Amil Zaquan. Melihat Amil Zaquan sedang
nyenyak tidur, Nirmala melabuhkan pembaringannya di sisi Amil Zaquan. Anis
Humaira ditinggalkan saja dalam biliknya. Padanya biarlah bapa kepada Anis
Humaira yang menjaga anak kecil itu. Hatinya masih belum boleh terima anak itu
menjadi anaknya walaupun berkali-kali Maklong Hasmah beritahu yang anak itu dia
yang kandungkan.
Badan Amil Zaquan
dipeluk erat. Ubun kepala anaknya itu dikucup berkali-kali. Nirmala tersenyum sendiri
melihat Amil Zaquan lena. Dalam hati mengharapkan mimpi yang indah-indah
menjelma dalam tidurnya. Begitu juga harapannya ketika tidur nanti. Kalau boleh
dia mahu bertemu Fir Luqman dalam mimpinya. Ingin ditanya kenapa cepat benar
dia ditinggalkan, sedangkan dia masih belum jemu menagih kasih dari Fir Luqman.
Sedang asyik melayan
mata yang sudah hampir lelap, kedengaran pintu bilik Amil Zaquan dibuka.
Nirmala tersentak. Sudah dapat diagak siapa gerangan yang berani membuka pintu
bilik anaknya itu. Rasa menyesal kerana lupa kuncikan pintu bilik selepas masuk
tadi.
Nirmala membatukan
diri. Matanya dipejam seperti sudah lena. Namun dia masih boleh merasa
seseorang sedang duduk di sisinya. Sentuhan tangan Fazhan di kepala lalu turun
ke pipinya, buat dia rasa nak menjerit. Ikutkan hati, mahu saja dia menolak
Fazhan agar jauh darinya. Tapi bila teringatkan dia sedang pura-pura tidur,
dibiarkan saja.
“Abang tahu Mala
susah nak terima abang. Abang redha dan abang terima. Tapi untuk lepaskan Mala,
abang tak sanggup. Abang sayangkan Mala setulus hati abang. Satu abang pinta,
jangan siksa jiwa anak kita. Abang boleh terima jika Mala tak melayan abang
sebagai suami, tapi jangan lakukan begitu pada anak kita. Dia masih kecil.”
Sebelum keluar,
sempat Fazhan hadiahkan kucupan lembut di dahi Nirmala. Sentuhan yang agak lama
itu buat Nirmala tersentuh. Kata-kata Fazhan tadi juga buat Nirmala terbangun
dari pembaringan. Dahinya disentuh lama. Dapat dirasa getaran semasa dikucup
tadi masih bersisa di dada. Tertanya-tanya dia sendiri, apakah kasihnya sudah
beralih arah pada suami barunya? Nirmala keliru. Namun jauh disudut hatinya
masih mengharapkan kehadiran Fir Luqman walaupun pasti Fir Luqman tak akan
kembali lagi ke sisinya. Apa yang mampu dilakukan ketika itu adalah berdoa agar
arwah Fir Luqman ditempatkan di sisi orang-orang beriman..
No comments:
Post a Comment