PENGHARGAAN

Assalamualaikum..
Salam sayang untuk semua kerana sudi2 mengintai di ruangan laman saya yg baru nak bernafas ni.
Sblm jemari sya terus menari,ribuan terima kasih pada adik sya iaitu bloger Senyum-Senyum Diana Rashid sbb tanpa dia, blog sya ni kompem x ujud. Thnk n lebiyu..
Almaklumlah..kakak dia ni slow sikit tentang IT-IT ni..hehehe..
Yg ke 2 plk adalah insan terchenta sya. Tak lain tak bukan dh tentulah Encik sya. Klu tak kerana dia, sampai sekarang karya sya ni dok dlm pendrive jelah..
Utk adik beradik sya yg sering beri semangat..kakyung, Ani, azam, ain, Rina, Ya n abg Jeri.. terima kasih byk2.
Khas untuk mak, terima kasih yg x terhingga. Wlupun bidang ni kurang digemari, sya anggap itu sebagai cabaran untuk berkarya.
Pada sahabat2 Ding Dong..thnk 4ever n ever. Kata2 semangat dan sokongan kalian amat sya hargai dan sanjungi. Kalian mmg best..edea korang adalah yg terbaik!!
Buat kwn2 yg lain, kata2 dan penghargaan korang mmg tersemat dalam hati. Kompem sya x lupa.
Dari itu..sudi2lah mengintai dan membaca krya sya ni. Jgn lupa mengkritik dan mengomen.
Klu nk memuji, sya mohon jgn tinggi2 sgt. Takut sya terperasan hebat. hehehehe...
Risau jgk..bila dah rasa hebat, kompem senang lupa diri dan jatuh ..
Okey...Selamat Membaca..


Thursday, 18 December 2014

BAB 6 Bila Hati Dah Say I Love U

BAB 6

WAJAH Nirmala yang sedang tenang ditatap penuh kasih. Sejak tiba di bilik itu tadi, tak berkelip matanya memandang ke raut wajah Nirmala. Terlalu suci dan bersihnya kasih Nirmala hingga dia sendiri tak mampu nak mengelak ketika Nirmala merayu agar menerimanya beberapa tahun lalu. Namun bila terbayangkan wajah kesakitan Fir Luqman empat tahun lalu, Fazhan semakin rasa berdosa yang teramat sangat. Lalu peristiwa ngeri itu tersingkap kembali.

“Kau ni macam pondanlah. Cinta tak berbalas pun nak frust menonggeng. Macamlah dah tak ada awek lain yang kau boleh buat bini. Bini orang jugak yang kau kejar. Pelik betullah kau ni!”.

“Kau nak tolong aku taknak? Kalau taknak, janganlah sindir-sindir aku pulak.!” Tempelak Fazhan sambil menjeling geram.

“Sikit-sikit tersentap. Perangai tak ubah-ubah.!” Kata Syarine lalu ketawa mengekek.

“Aku terlalu sukakan dia..” Kata Fazhan lemah.

Ermm..Macam nilah bro..!” Tiba-tiba Syarine bersuara setelah lama berfikir. Kasihan juga dia lihat sepupunya yang macam orang kurang siuman. Syarine mula membuka bicara. Umpama berada dalam dewan parlimen, perbincangan hangat diperkata hingga sama-sama ambil kata sepakat.

“Aku tak yakin boleh berjaya. Tapi tak salah kalau cuba. Tambah-tambah lagi aku tengok laki dia boleh tahan encemnya. Tergugat sikit iman aku.” Kata Syarine nakal selepas melihat gambit Fir Luqman dalam telefon bimbit Fazhan.

“Banyak sangatlah iman kau! Ingat sikit bakal laki kau yang jauh tu..!” Tempelak Fazhan sambil menjeling.
Terkekeh-kekeh Syarine ketawa dengan sindiran Fazhan.

“Aku rasa kita patut raikan apa yang kita rancang tadi.” Cadang Syarine sepupu pada Fazhan selepas meredakan tawa.

“Alah..! baru rancang. Belum ada hasilnya. Kau dah beria nak meraikan. Taknaklah aku! Lagipun aku penatlah malam ni. Esok nak kerja.” Fazhan cuba mengelak ajakan sepupunya.

“Lecehlah kau ni..! tak sporting langsung. Penat aku bagi cadangan kat kau tadi. Macam ni ke kau layan aku yang jarang-jarang jumpa? Jomlah..! aku belanja. Lagipun minggu depan aku dah nak berangkat balik.” Pujuk Syarine mendesak.

Fazhan sudah mula serba salah. Akhirnya nak taknak, dia paksa juga melangkah ikut kemahuan sepupunya itu. Lagi pula memang susah nak jumpa dengan sepupunya itu yang sudah menjadi rakyat tetap Korea.

Dalam kelab malam Fazhan dan Syarine bagai dirasuk bila berdepan dengan air syaitan sambil terkinja-kinja menari mengikut irama rancak. Hampir ke pukul dua belas tengah malam barulah mereka beransur pulang. Itupun setelah Fazhan memaksa. Jika diikutkan kemahuan Syarine, mungkin pukul lima pagi baru urusannya di situ selesai.

Dengan mata yang semakin memberat, Fazhan memaksa diri memandu memandangkan Syarine yang bagai tak sedar diri sedang enak melayan mata. Sedang menyusuri di laluan sepi, tiba-tiba Fazhan bagai tersedar dari mimpi bila kedengaran dentuman kuat dari arah bertentangan.  Melihatkan enjin kereta yang berasap, Fazhan tergamam. Baru dia faham, sebab kecuaiannya kereta di hadapannya terbabas selepas  mengelak dari dilanggar keretanya.

“Gila ka? Macam mana lu bawak kereta?” Sergahan kuat dari seorang lelaki berbangsa cina kearah Fazhan menyedarkan dia bahawa kesilapan berpunca dari dirinya sendiri.

Lu mabuk ka?” Tanya lelaki cina itu lagi. Fazhan semakin terkejut. Lantas dia segera keluar dari perut kereta dan melangkah laju mendapatkan kereta yang terbabas tadi. Bagai luruh jantungnya bila mendapati Fir Luqman sudah bagai nyawa-nyawa ikan di luar kereta. Rempuhan kepala Fir Luqman yang kuat hingga pecah cermin kereta hadapan buat cederanya parah. Fazhan segera memangku Fir Luqman. Tangan Fir Luqman digengga erat.

“Fir, tahan Fir. Kejap lagi ambulans sampai.” Bisik Fazhan di sisi Fir Luqman.

“Tolong jaga dia untuk aku. Please! Aku hanya bergantung harap pada kau dan Jefri saja. Aku minta maaf kerana membebankan korang berdua. Tolong jaga dia.”

Itulah kata-kat terakhir Fir Luqman sebelum Fir Luqman mengucap dua kalimah syahadah lalu menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika berada dalam pangkuan Fazhan di hari kemalangan. Ketika itu tiada kata yang mampu dibalas melainkan dengan anggukan sahaja. Melihatkan tubuh Nirmala yang sudah terkulai sambil menggenggam tangan kanan Fir Luqman, hatinya sebak. Paling buat dia tak tahan bila Nirmala sudah tidak sedarkan diri. Dia tak yakin sama ada Nirmala masih boleh diselamatkan atau tidak. Namun hanya tuhan saja yang tahu apa yang terlindung di sebalik kejadian.

Selepas tiga bulan tidak sedarkan diri, Nirmala mula sedar. Paling mengejutkan dia tidak mengenali dirinya sendiri malah sesiapa pun termasuk ayahnya sendiri dan ibu saudaranya yang selama ini paling rapat dengannya. Sejak itu Fazhan tidak lagi tunjukkan muka di hadapan Nirmala. Begitu juga Jefri sebagai rakan baiknya, hanya mampu berdoa dan memandang dari jauh.

Hari berganti hari minggu berganti bulan. Akhirnya Nirmala kembali sihat walaupun memorinya hilang lenyap bagai ditiup angin. Kehilangan ingatan yang dilalui oleh Nirmala bagai bayi yang baru dilahirkan. Segala-galanya kosong. Namun siapa sangka, dari tidak berminat dengan kerja-kerja pejabat, syarikat milik Dato Hamdan kini adalah miliknya.. Dan sejak itu Nirmala cuba ambil alih tepat Dato Hamdan. Niat di hati adalah kerana ingin berterima kasih atas apa yang ayahnya lakukan sepanjang pemulihannya. Di sanalah bermulanya episode cinta Nirmala Kesuma dan Khir Fazhan.


“SIAPA tahu finance dah balik atau belum?” Suara lantang Nirmala kedengaran sejurus dia keluar dari biliknya. Sejak ambil alih tempat Dato Hamdan, Nirmala sibuk dan dapat sesuaikan diri dengan semua staf.

“Sudah Cik Mala. Ada di situ.” Ujar setiausahanya sambil memberi isyarat jari telunjuk ke arah belakang Nirmala.

“Saya, Cik Mala.” Fazhan menjawab setelah namanya disebut tadi. Terkejut juga dia bila namanya kuat di sebut. Sebelum ini tiada lagi yang memanggilnya begitu termasuklah Dato Hamdan selaku pengarah dalam syaraikat itu. Terfikir juga, apa kesalahan yang dia lakukan hingga bos baru itu seperti singa kelaparan.

Nirmala bagai terpaku apabila menoleh pandang melihat susuk tubuh itu berada depan matanya. Dia kelu lidah. Pipinya terasa membahang. Inilah kali pertama dia memandang wajah segak Fazhan. Jika sebelum ini dia dikhabarkan yang finance syarikat sedang outstation di Sarawak.

“Siapa nama awak?” Nirmala bertanya. Kali ini nadanya diturunkan hampir lapan puluh peratus dari suara asal tadi.

“Khir..Khir Fazhan.” Fazhan gugup menjawab. Dia sendiri pun rasa malu bila Nirmala menatapnya bagai tak pernah nampak orang. Tambah lagi dia risau kalau-kalau Nirmala mengenalinya.

“Awak finance dekat sini ek?”

“Ya Cik Mala. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Jawab Fazhan setelah yakin dengan diri sendiri.

Mm..boleh masuk bilik saya sekejap. Ada benda yang saya nak awak terangkan pada saya mengenai belanjawan projek terbaru kita di Perlis.”

“Oh! Fasal tu. Okey! Silakan!” Balas Fazhan lembut lalu melangkah seiring dengan Nirmala ke dalam pejabat.

Sejak itu hubungan mereka semakin akrab. Kemana saja pasti berdua. Hinggakan kadang-kadang ada yang salah tasir tentang hubungan mereka. Hampir tiga tahun mereka jadi kawan baik, Fazhan tiba-tiba berubah sikap. Semuanya gara-gara selepas hubungan rapatnya dikesan oleh abinya Haji Bakhtiar.

Walaupun dia rasa bagai mendapat segunung intan kerana dapat berdamping dengan gadis impiannya, Fazhan tetap berasa bersalah bila mengingatkan kata-kata terakhir Fir Luqman agar terus menjaga Nirmala untuknya. Namun apalah daya yang ada pada dirinya setiap kali berdamping dengan gadis idamannya, Fazhan sendiri jadi lemah dengan tutur kata Nirmala. Tapi bila mengingatkan kembali apa yang Fir Luqman amanahkan dan apa yang abinya bebelkan, Fazhan ambil keputusan untuk mengelakkan diri. Namun sejauh mana dia boleh lari jika tiap-tiap hari berjumpa di pejabat. Sikap melarikan diri itu, akhirnya dapat dikesan oleh Nirmala hingga terjadinya perbalahan pertama kali dalam hidup mereka.

“Awak sengaja larikan diri dari sayakan?”

“Mana ada!”

“Awak jangan  nak berdalih. Saya tahu awak sengaja nak elak tiap kali berjumpa dengan saya. Saya ada buat salah ke?” Tanya Nirmala menahan sabar.

“Tak ada! Saya tak mengelak dari awak pun. Awak yang perasan.”

“Habis tu, yang awak terus pergi lepas nampak saya dekat shoping komplek semalam kenapa?” Tanya Nirmala geram. Sakit hatinya bila panggilannya tidak diendahkan sedangkan semalam dia bagai orang gila menjerit nama lelaki itu.

“Eh, salah orang kot..! saya tak kemana-mana semalam. Saya duduk rumah saja.”

“Awak jangan nak menipu. Awak ingat saya ni buta ke? Kalau awak pakai cheongsam macam pelakun opera cina pun, dari jauh saya boleh kenal awak, tau!”

Fazhan sudah mula rimas dengan pelbagaian andaian yang dibuat oleh Nirmala. Semalam memang ada dia nampak Nirmala di shoping kompleks bersendirian. Cadang di hati mahu menegur. Tapi bila teringat kembali pada arwah Fir Luqman, dia kembali nekad mahu terus mengelakkan diri. Lagi pula dia sudah berjanji dengan abinya untuk melupakan Nirmala.

“Cik Mala. Saya nak kemana itu urusan saya. Tak ada kena mengena dengan Cik Mala. Saya nak tegur atau tidak, itu masalah saya. Yang Cik Mala angin tak tentu fasal ni kenapa? Sedar sikit Cik mala, sekarang kita di pejabat. Jangan ingat ini company ayah Cik Mala, Cik Mala boleh suka hati nak orang ikut kepala Cik Mala. Saya tahu Cik Mala ketua dekat sini dan saya ni cuma orang bawah Cik Mala. Tapi Cik mala tak patut ungkit isu peribadi dalam pejabat.”

Nirmala bagai tergamam mendengar kata-kata sinis Fazhan. Sakit hatinya tuhan saja yang tahu. Selama ini Fazhan yang dia kenal tidak begitu. Matanya mula berkaca. Hendak ditangis, dia takut dianggap lemah.

“Selama kita berkawan, awak tak pernah macam ni. Awak baik. Tapi kenapa hari ni awak berubah?” Tanya Nirmala sayu. 

Fazhan tergamam. Rasa simpati pula mendengar suara sebak Nirmala. Ingin saja dipeluk gadis di hadapannya  untuk memujuk. Namun apalah yang kuasa dia ada untuk berbuat begitu. Akhirnya dengan langkah laju, Fazhan berlalu ingin keluar dari bilik Nirmala.

“Saya sukakan awak Khir Fazhan! Saya sayangkan awak! Lama saya tunggu awak, tapi awak tak pandang saya pun!”

Langkah Fazhan terhenti bila mendengar ucapan yang lahir dari mulut Nirmala sendiri. Dalam hati bagai ada rama-rama sedang menari-nari. Serasa seperti mahu melompat dan mendapatkan gadis itu dan membalas kata-kata seperti yang Nirmala ucapkan. Namun hatinya memaksa kata jangan. Amanah sahabatnya harus diakur. Janji pada abinya tidak patut diingkiri. Dengan terpaksa Fazhan melangkah jua pergi meninggalkan Nirmala sendiri di situ.

MANUSIA  makhluk yang lemah. Tiada yang lebih berkuasa dari Dia pencipta alam. Begitulah juga pada Khir Fazhan yang saban hari terpaksa mendengar kata-kata pujuk rayu dari Nirmala agar terus menerimanya. Sudah bermacam-macam yang Fazhan lakukan agar Nirmala membencinya, namun gadis itu seakan kebal dengan segala cara. Kata-kata kesat dan sinis juga pernah diluahkan pada Nirmala. Tapi Nirmala tiada kesan di hati.

“Awak ni tak malu ke? Datang ke bilik saya, merayu-rayu macam ni. Kalau awak gatal sangat nak berlaki, nanti saya carikan seorang untuk awak. Awak nak?” Sembur Fazhan geram dengan sikap Nirmala. Hatinya semakin sakit bila Nirmala hanya geleng kepala sambil tersenyum manja sambil mengoyang-goyangkan badannya seakan sedang menggoda. Sedangkan ketika itu, Fazhan sudah rasa nak ketawa dengan sikap kedegilan Nirmala. Masuk hari itu sudah tiga bulan Nirmala asyik memaksa Fazhan agar menerimanya.

“Awak dah ada yang lain ke?” Tanya Nirmala.

“Awak peduli apa kalau saya dah kawin pun.!”

“Saya sanggup jadi nombor dua.” Jawab Nirmala selamba.

“Saya rasa awak ni dah gila. Baik awak pergi check kepala otak awak kot-kot ada yang rosak.” Jawab Fazhan geram selepas tersentak dengan cadangan mengarut Nirmala. Fazhan mula terfikir-fikir. Apakah kesan dari kemalangan lalu Nirmala sudah menjadi orang tak betul? Setahu dia, Nirmala yang dia kenal sebelum kemalangan bukan seperti itu. Nirmala dulu penuh dengan adab tatasusila yang tertib. Orangnya lemah lembut. Berbudi bahasa. Pemalu jangan dikenanglah. Tiap kali bertembung, jangan harap dapat lihat muka dia yang sentiasa menunduk tiap kali berjalan. Tapi bila berjumpa dengan Nirmala kini, Fazhan seakan tidak mengenali Nirmala yang sebenar.

“Minggu depan saya nak suruh ayah saya pergi pinang awak. Cukup bulan, kita kawin. Nak? Kalau awak dah ada isteri, nanti saya cakap dekat isteri awak.”

Kata-kata Nirmala semakin menaikkan rasa tergamam dalam diri Fazhan. Kalau ikutkan hati, mahu saja dia bersetuju dengan cadangan merapu Nirmala.

Awak ni…! Petang ni ikut saya pergi satu tempat.” Ujar Fazhan geram sambil mengeleng kepala. Tidak tahu lagi apa yang perlu dia buat dengan gadis itu.

“Awak nak bawa saya kemana pun saya sanggup. Asalkan bersama awak.” Balas Nirmala lembut sambil tersenyum. Fahan sekali lagi geleng kepala sambil bercekak pinggang.

“Ikut saya ke hospital. Saya nak awak buat ujian pintasan otak. Manalah tahu ada urat otak awak yang terputus atau tercabut.” Balas azhan geram.

Okey! Saya setuju. Tapi kalau dokter kata saya sihat, saya nak awak kawin dengan saya hujung bulan ni.”

“Gila!”

“Cakaplah apa pun..! saya tak hairan. Yang saya nak sekarang ni ialah awak kena terima saya sebab saya benar-benar cintakan awak. Saya tak kisah kalau nak berkongsi. Kalau awak nak pasang empat pun saya izinkan. Dengan syarat, jangan tinggalkan saya.”

Wajah Nirmala Fazhan tatap lama. Ada keikhlasan dalam tutur kata gadis itu. Melihat langkah kaki Nirmala meninggalkan biliknya, Fazhan mengeluh lemah. Ingin saja dia meletak jawatan. Tetapi bila mengingatkan kembali pesanan dan harapan Dato Hamdan, Fazhan mengeluh hampa.


“AKU nak buat apa sekarang ni Jef? Aku rasa dia dah gila.” Tanya Fazhan kepada Jefri. Sudah lama dia ingin suarakan masalahnya itu pada sahabatnya. Namun dia takut dan malu. Takut dianggap tidak amanah.

“Yang kau teruk sangat nak berfikir, kenapa? Terima sajalah! Lagipun Fir dah amanahkan agar kita yang jaga Mala. Aku rasa tak salah kalau kau terima dia. Lagipun memang sejak dulu kau syok dekat Mala tu.”

“Kau faham tak amanah yang Fir beri pada kita tu? Dia kata..tolong jaga DIA untuk 'AKU'. Maknanya dia suruh kita jaga Mala untuk dia di sana. Maksudnya dia akan tunggu Mala di sana.  Dan dia harapkan Mala menjadi miliknya dekat sana nanti.” Bentak Fazhan geram dengan kelembapan Jefri berfikir.

“Aku faham Encik Khir Fazhan..! Arwah suruh kau jaga dia. Tapi “DIA” tu siapa? Mala atau anak dia? Kau kena ingat, atas dunia ni tiada orang lain selain Mala dan Amil Zaquan dalam kehidupan Fir Luqman.”

Fazhan bagai tersedar dari lamunan. Bila Jefri menyebut nama Amil Zaquan, barulah dia terfikir. Mungkin ada benarnya apa yanag Jefri katakan. Tapi bagaimana kalau bukan?

“Dulu kau memang suka diakan?” Tanya Jefri  sambil tersenyum. Nak tak nak Fazhan terpaksa angguk kepala.

“Sekarang?” Sekali lagi Fazhan angguk kepala menjawab soalan ringkas Jefri.

“Apa tunggu lagi, kawan..! go on sajalah..! Tak salah kalau kau beri peluang pada diri kau sendiri mahupun pada Nirmala. Aku yakin hidup korang berdua akan bahagia. Fir pun akan berterima kasih pada kau sebab kau sanggup menggalas tanggungjawab yang dia tinggalkan. Tambah-tambah lagi anak dia masih kecil. Belaian dan perhatian dari seoarang bapa yang baik macam kau, amat-amat diperlukan pada diri Mala. Aku rasa sikap kau tu yang buat Mala syok giler kat kau. Sekarang pun aku tengok kau dah banyak berubah.”

Fazhan hilang kata-kata selepas Jefri bersuara. Kata-kata terakhir Jefri itu, walaupun bagai disindir tajam, dia akui. Jika dulu, dia tak ambil tahu fasal perkara-perkara halal haram. Arak dan judi sudah menjadi sebati dalam hidup dia andai tidak berkerja. Kadang-kadang dia rasa malu pada diri sendiri. Jika dilihat pada ahli keluarga, dia dikelilingi oleh orang-orang yang boleh dikatakan waraq. Abinya Haji Bakhtiar sering mengajar di Masjid-masjid besar. Arwah uminya pula merupakan seorang pensyarah dalam bidang syariah. Dua orang abangnya yang kini menetap di Mesir pula adalah seorang ustaz. Manakala adik perempuannya yang kini bakal menamatkan pengajian dalam bidang perguruan islam juga bakal menjadi seorang ustazah.
Semenjak kejadian yang menimpa Nirmala dan Fir Luqman, Fazhan nekad untuk berubah. Mungkin benar apa yang Jefri katakana tadi. Mungkin Nirmala sukakan dia sebab perangai. Dulu dia tak dipandang kerana perangainya yang teruk. Tapi kini Fazhan sudah berubah. Untuk meyakinkan kata-kata Jefri itu, akhirnya Fazhan berniat mahu berjumpa dengan Dato Hamdan. Mungkin selepas mendengar pendapat dari Dato Hamdan sendiri, dia boleh mendapat jawapan.


“NAK fikir apa lagi? Terima sajalah. Lagipun memang ini yang An harapkan sejak dulu lagikan? Uncle benar-benar berharap An jadi sebahagian dalam keluarga uncle. Lagipun keluarga An, uncle kenal.” Jawab Dato Hamdan tersenyum lebar selepas Fazhan menyuarakan rasa hati dengan sikap Nirmala.

“An serba salah sebenarnya uncle. An pegang amanah pada Fir. An takut, bila Mala dah sedar, dia akan salahkan An.” Kata Fazhan seperti  tidak puas hati walaupun dalam hati itulah yang diharapkan. Seminggu sebelum Fir Luqman dan Nirmala mendirikan rumahtangga, Dato Hamdan ada datang ke rumah berjumpa dengan abinya. Tujuannya ialah untuk menjodohkannya dengan Nirmala. Tapi abinya menolak kerana dapat tahu Nirmala akan berkahwin dengan Fir Luqman. Kata Haji Bakhtiar, tak baik menjatuhkan runahtangga orang kerana satu masa dan ketika kita akan merasa balik apa yang kita buat pada orang. Akan tetapi Fazhan seperti endah tak endah apa yang disampaikan oleh Haji Bakhtiar.

“Pasti An tahukan apa yang dokter cakap fasal anak uncle.?”

“Saya tahu tu. Tapi siapa kita untuk menentang takdir tuhan jika satu hari nanti Mala kembali  sedar.”

Uncle faham apa yang An rasa. Uncle sebagai bapa pun kadang-kadang terfikir macam tu. Tapi An tak kesihan ke pada dia yang mengharapkan An? Bagaimana nanti jika apa yang dokter cakap tu, benar? Sebenarnya uncle pun turut rasa bersalah atas apa yang jadi pada anak dan menantu uncle. Tapi jauh di sudut hati, uncle masih mengharapkan An yang menjadi pemimpin anak uncle.”

Fazhan mengeluh berat. Begitu tinggi sekali harapan Dato Hamdan padanya semata-mata kerana tidak merestui ikatan Nirmala dan Fir Luqman. Apa salah Fir Luqman? Dia sendiri tidak tahu. Jika nak dibandingkan dengannya, Fir Luqman lebih hebat darinya. Fir hebat dalam pelajaran. Fir Luqman lebih berpangkat dalam kerjaya kerana mampu memiliki syarikat sendiri. Fir Luqman mempunyai wajah kacak lebih dari dia. Sikap dan keperibadian Fir Luqman berganda-ganda lebih murni dari dia. Namun ada sesuatu yang tidak ada pada Fir Luqman tapi ada padanya. Fir Luqman sebatang kara. Tiada ibu atau ayah. Sejak kecil dia dibesarkan di rumah anak yatim. Dan mungkin sebab itu Dato Hamdan tidak merestui ikatan Nirmala dan Fir Luqman. Namun ada sesuatu yang lebih memusykilkan dia. Tapi biarlah dia sahaja yang menyimpan andaian itu. Takut kalau tak betul dikata fitnah pula.

Tertanya-tanya dia dalam hati, apakah yang Dato Hamdan pandang pada dia sedangkan dalam segala hal, dia lemah termasuklah tentang keperibadian diri dalam menjalani hari-hari sebagai orang islam. Sembahyang lima waktu, usah ditanya. Puasa di bulan ramadhan pun tak pernah diambil tahu bila. Usahkan sembahyang lima waktu sehari, sembahyang jumaat seminggu sekali pun tak pernah dikerjakan pun. Dulu di zaman kampus, telinganya berasap setiap kali dengar ceramah free dari Fir Luqman dan Jefri. Tapi bila dah lama-lama, mereka berdua pun macam dah bosan nak beri tazkirah free. Kata mereka, buat rugi air liur!

Selepas perjumpaan dengan Dato Hamdan, Fazhan ambil cuti selama satu minggu. Itu juga merupakan cadangan dari Dato Hamdan sendiri. Tujuan Dato Hamdan adalah agar Fazhan dapat buat keputusan yang betul. Sudah dapat dibayangkan keadaan Nirmala yang bagai ibu kucing kehilangan anak. Serata pelusuk Fazhan  dicari. Pada siapa yang Nirmala tak tanya. Semua staf disoal selidik tentang kehilangan Fazhan.


TAMAT cuti Fazhan melangkah penuh keyakinan ke pejabat. Sejak semalam dia sudah simpulkan dalam hati untuk berjumpa dengan Nirmala. Seminggu dia berfikir untuk buat keputusan. Kata-kata Jefri dan Dato Hamdan disatukan untuk menguatkan fakta bahawa tak salah jika dia menerima kehadiran Nirmala dalam hidupnya. Walaupun agak terkilan kerana Nirmala yang sekarang tak sama dengan yang dulu, dia redha kerana dia menyintai pada gadis orang yang sama. Cuma persenaliti saja yang berbeza.

“Boleh saya jumpa dengan Cik Mala?” Pinta izin Fazhan pada setiausaha Nirmala.

“Maaf Encik Fazhan. Cik Nirmala tak kerja hari ni. Dia ambil cuti dua hari.”

“Kenapa? Dia sakit ke?” Tanya Fazhan sambil menyungkit kening.

“Tak tahulah Encik Fazhan. Memang dia kata dia sakit. Tapi sakit..mm..” Setiausaha teragak-agak mahu berterus terang.

“Dia sakit apa? Serius ke?” Kalut Fazhan bertanya. Dalam hati sudah mula risau. Takkanlah kerana tidak jumpa dengannya seminggu, Nirmala sudah jatuh sakit?

“Dia kata dia sakit rindu pada Encik Fazhan.”

Fazhan terbatuk-batuk mendengar jawapan setiausaha Nirmala. Fazhan mengeleng-geleng kepala. Dengan ketebalan muka yang tak tahu dah berapa inci, Fazhan melangkah pergi dari situ. Dalan hati sempat dia menyumpah kerana Nirmala tanpa segan silu menceritakan rasa rindu padanya kepada setiausahanya.

“Apa punya perempuanlah dia ni? Datang dari planet mana pun aku tak tahu!” Gumam Fazhan sendiri sambil melangkah ke biliknya. Namun jauh di sudut hatinya, dia tersenyum lucu.

Sampai di biliknya, Fazhan mencapai telefon bimbit yang diletakkan atas meja. Nama Nirmala dicari pantas. Apabila melihat nama itu, dia tersenyum sendiri. Mahu saja dia ketawa besar, namun takut nanti stafnya kata dia gila pulak.

“Awak free tak hari ni?” Tiada salam atau bertanya khabar, terus Fazhan tanyakan soalan itu. Tujuan dia bersikap begitu adalah supaya Nirmala tidak syak yang dia sudah mula mahu terima Nirmala.

“Awak nak ajak saya ke mana? Rumah tok kadi? Kalau pergi situ saya nak ikut. Tapi kalau pergi tempat lain, mintak maaf banyak-banyak. Saya sibuk!”

Fazhan tersenyum malu dengar jawapan Nirmala. Mahu saja dihambur tawa yang kuat, namun disabarkan hati. Takut juga kalau-kalau Nirmala terasa hati jika dia berbuat begitu. Tapi rasanya gadis itu tentu tak rasa apa-apa sebab sebelum ini pun sudah bermacam-macam kata sinis yang keluar dari mulut dia untuk gadis itu.

“Awak buat apa dekat rumah tu sampai sibuk sangat? Kerja dekat pejabat ni bertimbun-timbun kenapa tak buat? Tahulah awak tu bos!” Fazhan cuba bersuara serius.

“Saya sibuk tengok Tom and Jery lah..! awak nak join?”

“Saya sibuk kerja dekat pejabat ni. Awak dengan muka tak malu ajak saya tengok Tom and Jerry pulak!” Bentak Fazhan pura-pura geram. Kedengaran suara tawa halus Nirmala dihujung talian. Fazhan bagai terhibur mendengar suara halus itu.

“Saya cuma bagi cadangan saja. Kalau awak taknak join, saya tak kisah. Anak saya ada boleh temankan saya. Apa yang nak dihairankan..! Yang awak ni tiba-tiba call saya, apa hal? Kalau setakat nak membebel, maki hamun saya, sindir-sindir saya, kata saya tak malulah..perigi cari timbalah..baik tak payah.! Dari saya melayan kata-kata awak tu, baik saya melayan Tom and Jerry dengan anak saya ni.”

Fazhan tersenyum lebar mendengar suara Nirmala yang menjauh. Agak lucu suara Nirmala seperti itu. Diruang mata terbias wajah Amil Zaquan yang dah nak masuk empat tahun. Anak itu memang manja dengannya. Tiap kali keluar bersama dengan Nirmala, pasti dia tidak lupa membawa anaknya bersama. Paling buat dia teruja bila anak kecil itu memanggilnya papa. Sudah tentulah itu ajaran dari mamanya. Dalam malu-malu, dia terima kerana seawalnya dia memang sukakan Amil Zaquan. Melihat Amil Zaquan umpama sedang berhadapan dengan sahabatnya Fir Luqman. Ada ketenangan di wajah itu.

“Pukul lima petang nanti tunggu saya dekat rumah. Saya datang jemput awak dengan anak awak. Kalau saya tengok awak tak siap, saya cancel kawin dengan awak.” Balas Fazhan sambil mengetap bibir menahan senyum. Apabila suara Nirmala tiada di talian, Fazhan tahu Nirmala pasti sedang tergamam lantas terus saja Fazhan ,mematikan talian.


“AWAK dah syok kat saya ek?” Soalan pertama yang Nirmala tanya pada Fazhan selepas sampai di sebuah café yang terdapat dalam sebuah hotel pilihan Fazhan.

Tergamam Fazhan dengan soalan Nirmala. Dalam hati mahu mengaku namun disabarkan hati. Kalaulah Nirmala tahu yang dia suka pada Nirmala tujuh tahun lalu pasti Nirmala bersorak riang. Sebelum mukanya tebal dengan perangai tak malu Nirmala, baik dia berdiam sahaja.

“Saya tahu. Seminggu awak tak tengok muka saya, mesti awak rindu dekat sayakan..? Mengaku sajalah..!” Sakat Nirmala. Tadi hampir dia tak percaya bila mendapat panggilan dari Fazhan. Semakin tak percaya bila Fazhan sebut fasal kawin. Bila talian ditamatkan, dia masih seperti bermimpi.

“Awak nak makan apa?” Fazhan pantas bertanya tanpa menjawab kata-kata Nirmala tadi. Wajah Nirmala pun tak dipandang kerana matanya hanya memandang pada menu yang dipegang. Malu sebenarnya mahu melayan andaian Nirmala tadi.

“Apa-apalah. Awak pilihlah apa pun. Saya telan aje. Untuk anak saya, cake banana dan icecream banana. Sekarang ni dia masalah nak buang air besar. Kasihan anak saya…”

Penjelasan Nirmala buat Fazhan terkejut. Rasa pelik pulak bila masalah itu dibicarakan depan makanan. Namun dia sendiri tak mengerti dengan dirinya. Bila ada masalah yang bersangkut paut dengan Amil Zaquan, dia sanggup terima apa saja. Bukan kerana Nirmala atau Fir Luqman. Entah! Dia sendiri tak tahu kenapa. Melihat wajah kanak-kanak itu, hatinya cepat tersentuh.

“Kenapa tak bawak pergi klinik.? Bahaya kalau dibiar-biar.! Kasihan anak papa!” Pantas Fazhan bertanya sambil mengambil Amil Zaquan agar duduk atas pangkuannya. Kepala Amil Zaquan diusap lembut lalu mengucupnya.

“Dah bawak semalam. Dokter cuma bagi ubat sumbat buntut saja. Saya pulak tak sanggup nak buat. Rasa macam sumbat dekat buntut saya pulak. Mesti sakit. Nasib baik bibik ada. Dia yang buatkan.” Ujar Nirmala sayu tanpa rasa segan berkata begitu. 

Fazhan  tersenyum malu sambil menggeleng kepala. Fazhan baru tersedar. Barulah dia tahu kenapa Nirmala ambil cuti selama dua hari. Rupa-rupanya sebab Amil Zaquan. Tapi bila teringatkan kata-kata setiausaha Nirmala, hatinya bagai dicuit untuk tersenyum panjang.

“Sekarang dah okey?” Tanya Fazhan serius.

Ermm..kalau guna ubat tu okey la..! Tapi bila tak guna ubat, dia jadi balik. Menangis-nangis sebab sakit. Saya pulak tak sanggup nak tengok dia macam tu. Berpeluh-peluh meneran sambil peluk saya.” Cerita Nirmala sambil mengusap kepala Amil Zaquan yang selesa di pangkuan Fazhan.

Fazhan terangguk-angguk faham dan cuba berfikir. Dulu dia pernah melihat anak abangnya jadi seperti itu. Bermacam-macam cara abang dan kakak iparnya buat untuk anak mereka yang mengalami masalah sembelit. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu.

“Cuba awak ajar dia buang air besar dekat toilet. Tak pun awak beli saja pot untuk dia. Sekarang ni dia dah masuk empat tahun. Tak eloklah kalau dah besar masih pakai pampers.” Cadangan Fazhan buat Nirmala tersentak dan mula berfikir.

Erm..betul jugakkan! Tapi saya tak pandailah nak ajar dia. Awak tolong ek?” Rengek Nirmala. Fazhan tersenyum sinis sambil menggeleng kepala.

“Kalau awak tak pandai ajar anak, macam mana nak kawin dengan saya?”

Nirmala termenung mendengar soalan Fazhan. Wajahnya tiada rasa malu atau tersipu-sipu. Wajah Fazhan ditatap lama sebelum bersuara.

“Awak serius ke nak kawin dengan saya? Ke..awak cuma nak jaga hati saya saja?”

“Serius la! Awak ingat saya main-main ke?” Jawab Fazhan tanpa memandang wajah Nirmala yang seperti tidak percaya. Malu sebenarnya nak pandang wajah manis tu.

“Tak macam serius pun! Isteri awak macam mana? Dia setuju?”

Berdekah-dekah Fazhan mendengar soalan pelik Nirmala. Tak disangka Nirmala percaya yang dia sudah beristeri. ‘kartun betul perempuan ni..’ Bisik hati Fazhan.

“Kalau saya dah ada isteri, tak ingin saya kawin dengan awak yang macam tak betul ni!”

“Betul?”

“Apa yang betul?”

“Betul ke kalau awak dah ada isteri, awak tak nak kawin dengan saya?”

Fazhan angguk kepala sambil memandang wajah Nirmala. Serius.

“Serius?”

Sekali lagi Fazhan mengangguk.

“Sampainya hati awak..!”

“Hati saya lagi tak sampai tinggalkan isteri saya semata-mata nak pilih awak yang macam suku-suku mereng ni.” Balas Fazhan bersahaja tanpa memperdulikan perasaan Nirmala. Dia yakin Nirmala takkan rasa apa-apa kerana sebelum ni pun kata-kata kasar lebih dari itu pun pernah diluahkan pada Nirmala. Bila melihat Nirmala hanya tersengeh-sengeh, dia lepaskan keluhan lega.

“Setia betul awak ek? Tak apalah! Lega sikit saya dengar awak cakap macam tu. Lepas ni kalau kita kawin, saya dah tak risau sebab dapat suami yang setia macam awak.”

“Siapa nak kawin dengan awak?” Fazhan terfikir untuk mengusik.

“Awak jangan nak mengada-ngada ek! Tadi dalam telefon awak cakap nak kawin dengan saya. Saya tak pekak lagi tau!” Tempelak Nirmala kuat. Nasib baik keadaan dalam café itu tidak ramai pengunjung.

“Ye ke saya ada cakap macam tu? Saya cakap kalau awak lambat, saya cancel kawin dengan awak. Saya tak cakap pun nak kawin dengan awak!” Fazhan semakin galak mengusik. Melihat wajah Nirmala yang kemerahan buat dia semakin tertarik.

“Kejap tadi awak cakap serius nak kawin dengan saya!” Nirmala serta merta tarik muka. Muncungnya janganlah dikenang. Mengalahkan penyu nak bertelur saja.

Fazhan sudah ketawa mengekek. Melihat Amil Zaquan turut sama ketawa, makin kuat deraian tawa Fazhan.
“Yelah..yelah..kita kawin. Tapi dengan syarat?” Pujuk Fazhan bila melihat Nirmala sudah seperti mahu menagis.

Nirmala kembali manis muka walaupun muncung sedepanya tadi masih bersisa. Wajah Fazhan dipandang penuh minat.

“Apa dia?”

“Betul awak nak tau? Jangan menyesal..!”

“Saya takkan menyesal. Cakaplah cepat! Saya dah tak sabar ni..!”

Fazhan ketawa kecil lalu mengeluarkan telefon bimbitnya lantas video kamera dihidupkan dan terus dihalakan pada Nirmala. Terangkat kening Nirmala tanda pinta kepastian apabila melihat tingkah Fazhan.

“Bukti yang mengatakan yang awak dulu mulakan hubungan ni.” Jawab Fazhan pada kemusykilan Nirmala tadi.

Okey, sekarang saya bagitahu. Syaratnya ialah awak jangan menyesal kawin dengan saya.”

“Itu je? Taklah berat sangat! Tapi..kenapa saya perlu menyesal sedangkan saya yang mulakan dulu?”

“Kita tak tahu apa yang bakal terjadi lepas kita kawin. Tapi terus terang saya katakan yang saya berterima kasih pada awak kerana sudi ajak saya kawin. Jika nak dibandingkan awak dengan saya, memang macam enggang dengan pipit. Saya bukan dari keluarga ternama macam awak. Saya juga bukan ada harta macam keluarga awak. Tapi awak masih sudi jadikan saya sebagai pemimpin awak. Boleh saya tahu kenapa awak tetap pilih saya?”

“Entah! Saya pun tak tahu kenapa saya suka dekat awak. Pertama kali saya tengok awak, saya dah jatuh hati pada awak. Bila tengok betul-betul, awak ni taklah handsome sangat. Handsome lagi Richard Geer. Tapi terus terang saya kata, saya memang sukakan awak. Awak lelaki pertama yang saya rasa boleh jadi pemimpin saya.”

“Awak tak kenal lagi siapa saya.” Ujar Fazhan sayu.

“Apa kata kita kawin dulu, baru kita kenal-kenal?”

Fazhan tersenyum. Jika diingatkan balik, sudah hampir empat tahun dia kenal dengan Nirmala selepas kemalangan. Hinggakan kadang-kadang dia sendiri lupa dengan dirinya sendiri. Nirmala yang dia kenal sekarang bukanlah Nirmala yang dia angaukan tujuh tahun lalu.

“Luculah awak ni..

“Apa yang lucunya? Orang zaman dulu bukan buat macam tu ke? Bahagia pulak tu!”

“Itu zaman dulu. Sekarang zaman dah berubah. Saya cuma takut aawak menyesal saja.”

“Kenapa? Awak ada hati nak tambah koleksi ke? Saya tak kisah kalau awak nak pasang empat pun! Tapi kalau boleh, janganlah ek! Saya sayang awak tau!”

Fazhan tersenyum malu mendengar kata-kata Nirmala. Sudah banyak kata sayang, rindu dan cinta keluar dari mulut Nirmala untuknya. Sedangkan dia sendiri masih belum sekali pun keluarkan kata-kata keramat tu. Hatinya masih belum ada upaya nak ucap kata-kata seperti itu. Takut kecewa sebenarnya…


KAMU dah fikir betul-betul ke? Abi takut kamu menyesal nanti” Tanya Haji Bakhtiar pada Fazhan. Sejak anaknya memberitahu hasrat mahu berkahwin dengan Nirmala, hatinya jadi tak senang.

“Sudah abi. Saya rasa keputusan saya ni betul.”

“Abi tak nampak jalan yang benar dalam keputusan kamu ni. Abi tahu kamu sukakan dia sejak dulu. Tapi kamu kena sedar sejarah hidup dia.”

“Sejarah dia ada kena mengena dengan An, abi.”

“Abi tahu. Tapi kamu tak risau ke bila dia sedar siapa kamu nanti?”

Fazhan terdiam. Kata-kata Haji Bakhtiar tak dapat diulas.

“Kan masih banyak anak-anak dara yang baik-baik boleh dibuat teman hidup. Kenapa harus pilih dia?” Tanya Haji Bakhtiar. Buku panduan Fardhu Ain yang dibaca tadi ditutup perlahan lalu diletakkan atas meja kecil tepi sofa. Sebentar lagi dia akan bertolak ke masjid kerana ada kuliah yang harus dilakukan selepas solat isyak.

“Nirmala pun gadis yang baik, abi!” Pantas Fazhan menjawab lemah. Agak kasar kata-kata abinya jika abinya menganggap bakal suri hidupnya bukan gadis yang baik. Bertahun dia mengenali Nirmala, gadis itu cukup sempurna sifatnya dalam dan luar.

“Gadis? Dia gadis lagi ke? Lagipun abi tak kata pilihan kamu tu tak baik.”

“Abi..! tolonglah faham perasaan An ni. An benar-benar nakkan dia. An mengaku dia bukan lagi gadis, tapi dia suci. Dia bukan perempuan tak baik. Izinkan An tebus dosa An dengan cara macam ni.”

“Kamu tak rasa berdosa ke pada arwah kawan kamu tu?”

“Arwah amanahkan saya jaga  mereka, abi. Salah ke tindakan saya ni?”

“Dia suruh jaga, bukan ambil jadi milik kamu terus.” Bantah Haji Bakhtiar tegas. Fazhan sekali lagi terkelu lidah.

“Abi bukan nak menghalang kamu berumah tangga. Kalau boleh memang abi nak kamu kawin cepat. Dengan umur kamu yang dah meningkat, memang dah patut ada anak dan isteri. Tapi kalau boleh biarlah yang berpadan dengan kamu. Abi kenal siapa anak Dato Hamdan tu. Dia memang budak baik. Lemah lembut, sopan santun. Bercakap pun yang baik-baik saja. Tak pernah sakitkan hati sesiapa bila bercakap. Dulu memang abi nak jodohkan dia dengan kamu. Tapi bila dapat tahu dia dah ada pilihan lain, abi terima keputusan dia walaupun Dato Hamdan tak setuju. Sebab itulah abi risau bila kamu kata nak kawin dengan dia. Kamu kena sedar, dia bukan perempuan yang kamu kenal dulu. Macam mana kalau dia sedar bahawa suaminya adalah orang yang dia tak pernah suka satu ketika dulu? Apa kamu nak jawab nanti? Satu lagi, kamu kena faham dulu rukun nikah. Salah satu darinya ialah dia mesti berakal. Dalam erti kata lain dia sedar. Jatuh haram jika berkahwin dengan orang yang tak sedar.”

“An tahu semua tu abi. Sekarang dokter dah sahkan yang Nirmala hilang ingatan kekal. Bermakna dia akan kekal begitu untuk selamanya.”

Haji Bakhtiar mengeluh berat. Baginya tak ada apa lagi yang harus dikatakan pada anaknya yang degil itu. Jauh disudut hati, dia berdoa agar anak dibukakan pintu hati untuk berfikir kembali keputusan yang dibuat. Namun seandainya sudah tertulis jodoh anaknya dengan anak Dato Hamdan, dia terima. Risau juga kalau-kalau Fazhan dan Nirmala buat perkara tak senonoh jika terus dihalang sedangkan jika mereka berkahwin memang sah. Tambah-tambah pula peristiwa itu sudah hampir empat tahun berlalu. Nirmala pun sudah suci dari edah. Dalam diam dia akhirnya mengalah walaupun turut rasa bersalah pada sahabat karib anaknya. Wajah itu seringkali bermain di mata. 

No comments: