BAB
22
MENITIS juga air mata yang ditahan sejak tadi ketika
pak Imam membacakan doa tahlil untuk Fir Luqman. Sempat dipanjangkan doa agar
arwah suaminya merestui dan redha apa yang telah berlaku pada dirinya.
Wajah Amil Zaquan yang tenang duduk sebelah Fazhan dipandang
penuh sayu. Ada wajah Fir Luqman di situ. Pandangan dihalakan pada Fazhan
semula. Isyarat Fazhan menggeleng kepala memahamkan dirinya yang Fazhan tak
izinkan dia menangis lagi. Cepat-cepat matanya yang basah dikeringkan dengan
tisu ditangan.
Nirmala melangkah masuk ke dalam bilik besar sebelah bilik
Jefri. Sudah lama tidak dijengah bilik itu. Itulah bilik di mana dia dan Fazhan
pernah bersama selepas mereka berkahwin. Itulah bilik pengantin mereka selepas
Mak Biah dan Pak Jamil nekad mahu mengadakan majlis menyambut menantu.
Nirmala duduk perlahan di birai katil. Seluruh sekitar bilik
dipandang penuh sayu dan sebak. Dia cuba menahan. Namun dia tewas akhirnya
setelah hatinya benar-benar tidak dapat menahan sebak.
“Kenapa makin Mala nak lupakan abang, makin kuat bayang
abang hampiri Mala? Kan bagus kalau Mala dah tak ingat apa-apa. Kan bagus kalau
kita tak penah kenal. Apa tujuan sebenar abang? Apakah abang seronok tengok
Mala macam ni? Kalau abang memang nak mendera perasaan Mala, kenapa tak bawa
Mala sekali?”
Nirmala terduduk lemah atas lantai sambil menekupkan muka.
Gambar perkahwinan mereka dibingkai cantik elok tergantung di tepi meja solek
buat Nirmala makin teresak-esak.
“Kan mak dah cakap jangan masuk bilik ni!” Sergah Mak Biah
lalu tubuh Nirmala dipeluk erat. Rasa menyesal pula kerana tidak menyimpan semula barang-barang yang pernah menjadi milik Nirmala dan arwah Fir Luqman dahulu. Matanya tidak dapat ditahan lagi melihat
Nirmala dalam keadaan begitu. Selepas pak Imam selesai membaca doa, puas dia
mencari Nirmala bila sedar Nirmala tiada di tempatnya.
“Mala rindukan dia, mak!” Ucap Nirmala teresak-esak.
“Mak tahu Mala rindukan dia. Semua rindukan dia. Tapi mala
tak boleh macam ni. Sedih dia nanti kalau tengok Mala macam ni.”
“Mala takut dia tak restu Mala.”
“Insyaallah..dia restu Mala jadi milik Fazhan. Kalau dia tak
restu, dah lama dia masih dengan Mala sampai sekarang. Dia yakin Fazhan mampu
bahagiakan Mala macam mana dia pernah bahagiakan Mala dulu.”
“Kenapa mak?” Suara Jefri kedengaran di muka pintu.
“Panggil Fazhan!” Gesa Mak Biah.
Kehadiran Fazhan di situ selepas beberapa minit buat Nirmala
hanya tertunduk malu. Nirmala sedar Fazhan menghampirinya lalu duduk rapat dan
memeluknya.
“Mala minta maaf sebab tak dengar cakap abang. Mala tak
boleh tahan bila teringatkan dia.”
“Syy..abang faham.
Kalau abang berada di tempat Mala pun, pasti abang akan berkeadaan macam Mala
juga.”
“Macam mana Mala nak lupakan dia. Cuba abang bagi cadangan
agar Mala boleh lupakan dia terus. Mala dah tak sanggup hidup macam ni.
Kenangan lalu mendera perasaan Mala.” Kata Nirmala teresak-esak. Wajahnya
disembamkan di dada sasa Fazhan. Dapat dirasa ada ketenangan di situ.
“Abang tak ada cadangan macam mana nak bagi Mala terus
lupakan dia. Tapi abang ada cara abang sendiri untuk buat Mala lupakan dia.
Caranya biarlah abang yang uruskan sendiri. Mala hanya tunggu dan lihat saja.
Seandainya Mala dapat rasa bayang dia semakin jauh, yakinlah bahawa usaha abang
tu berjaya. Tapi seandainya abang tengok Mala masih macam ni, abang akan tahu
sendiri, yang abang dah gagal bahagiakan Mala.”
Nirmala cuba berfikir maksud sebenar kata-kata Fazhan. Dan akhirnya dia faham. Sambil tersenyum,
wajah Fazhan dipandang tepat.
“Mala akan tunggu hari tu. Mala yakin abang akan sentiasa
ada untuk Mala. Sembuhkan Mala. Pulihkan semangat Mala. Kembalikan Mala untuk
diri abang. Hanya abang tempat Mala sekarang.”
“Insyaallah..! abang akan cuba kembalikan semangat Mala yang
hilang tu. Mala kesayangan abang. Apa saja akan abang usahakan.” Balas Fazhan
lalu dahi Nirmala dikucup lama.
“SABAR
ye Mala. Jangan ikutkan sangat perasaan tu. Kasihan Fazhan. Makcik tengok dia
baik. Untung Mala bersuamikan dia.” Pesan Mak Temah sambil bersalam ketika mahu
pulang.
Nirmala tersenyum hambar mendengar nasihat dari Mak Temah.
“Ingat Mala. Mala anak yang baik dan makcik yakin Mala juga
boleh jadi isteri yang baik serta mampu menjadi ibu yang baik pada anak-anak
Mala. Anggap saja ini adalah ujian untuk Mala terus bahagia. Allah memang suka
menguji pada hambanya yang kuat dan cekal macam Mala. Beruntung Mala dapat
Fazhan selepas arwah. Fazhan pun makcik tengok dah macam arwah pulak bila
tengok sekali imbas.” Pesan Makcik Zaitun pula.
Nirmala mengangguk perlahan.
“Nasib Mala beruntung dari Kak Zah. Dulu Kak Zah pun senasib
macam Mala. Bezanya Mala beruntung kerana bertemu dengan Fazhan. Hargailah dia.
Sayangilah dia. Cintailah dia bagaimana cinta Mala pada arwah. Tak salah Mala
nak ingat pada arwah tapi jangan melebihi kerana cinta yang sebenar hanya pada
Ilahi.”
Sejak dia keluar dari bilik Fir Luqman tadi, banyak
kata-kata nasihat dan semangat yang dia terima dari tetamu-tetamu wanita yang
hadir. Semuanya dia dengar tanpa menjawab apa-apa kata. Dia takut hatinya tak
kuat. Dalam diam Nirmala tersenyum kerana ramai yang berkata dia beruntung
mendapat Fazhan. Ya, dia beruntung kerana Fazhan memahami dirinya. Fazhan
menyanyangi dirinya. Fazhan sanggup bersabar dengan kerenahnya. Paling buat
Nirmala terharu bila Fazhan sanggup menerima Amil Zaquan seperti anak sendiri.
“SALAHKAH saya ambil keputusan
berkahwin dengan dia? Berdosakah saya mengahwini dia? Apa yang perlu saya buat
untuk kembalikan semangat dia? Adakah arwah akan berdendam dengan saya selepas
saya ambil keputusan mengahwini isterinya? Kadang-kadang saya takut dengan
bayang-bayang saya sendiri. Saya takut keputusan saya ni salah. Saya ni umpama
merampas hak orang.” Fazhan sayu meminta pendapat Pak Imam. Selepas majlis
makan, Fazhan mendekati Pak Imam lalu diceritakan masalah yang berlaku dalam
rumahtangganya termasuklah masalah yang melanda perasaan Nirmala. Harapannya
agar ada yang sudi membantu memberi pandangan dan nasihat.
“Saya ni nak kata
pandai sangat pun tak juga. Melalui apa yang kamu ceritakan tadi, saya dapat
rasa apa yang mengganggu isteri kamu tu. Sebenarnya tak ada apa-apa pun. Cuma
dia saja yang masih terkilan suaminya pergi tinggalkan dia. Kamu pun tak salah
apa-apa. Tapi saya rasa ada baiknya kamu berterus terang rahsia yang yang kamu
simpan selama ni.”
Fazhan lepaskan keluhan lemah. Nak melangsaikan hal yang
satu tu, dirasakan terlalu berat.
“Cari masa yang sesuai. Saya takut dia tahu sebelum kamu
bagitahu.” Sambung Pak Imam setelah melihat Fazhan hanya berdiam.
“Dekat sini ada beberapa ayat dan doa untuk kamu amalkan.
Kembalikan semangat dia. Semuanya terletak ditangan kamu. Jangan biarkan dia
bersendiri. Saya takut dia mudah mendengar hasutan syaitan. Syaitan memang suka
dengan orang yang suka bersendiri sebab mudah nanti dia nak menghasut anak-anak
adam.”
“Ya Pak Imam. Terima kasih kerana sudi menolong. Sebenarnya
saya buntu tak tahu nak buat apa. Saya ingat selepas dia terima saya, dia boleh
lupakan arwah. Tapi nampaknya dia masih macam tu.”
“Jangan beri tekanan pada dia. Jangan menghalang apa yang
dia nak buat seandainya perkara yang dia nak buat tu tidak memudaratkan.
Kerap-kerap ajak dia berjemaah. Selepas solat maghrib, cuba ajak dia bertadarus
sama-sama. Seeloknya carilah orang yang pandai dalam bidang memulihkan
semangat.”
“Boleh pulih ke isteri saya tu Pak Imam?”
“Insyaallah..! boleh. Saya tengok dia tak ada apa-apa yang
mengganggu. Cuma perasaan dia saja yang asyik rindukan suami dia. Tambah lagi
usia perkahwinan mereka tak sampai dua tahun pun. Dah tentu suasana pengantin
baru tu masih dirasa.”
Fazhan terangguk-angguk faham. Dalam fikirannya sudah menbayangkan
wajah abinya. Pulang dari kampung nanti, dia bercadang mahu singgah ke rumah
orang tuanya untuk mendapatkan beberapa nasihat dari Haji Bakhtiar. Akan ditahan telinga walaupun panas menanah
kerana leteran dan sindiran.
Ketika masuk dalam bilik untuk tidur, Fazhan lihat Nirmala
sedang termenung di jendela. Cepat-cepat dia melangkah mendekati Nirmala lalu
tingkap ditutup segera. Dalam suasana yang gelap dan suram, teringat dia akan
nasihat Pak Imam tadi.
“Lain kali jangan berdiri sorang-sorang macam ni. Luar tu
gelap. Tak takut ke?”
Nirmala tersentak. Baru sedar suaminya berda di sebelahnya.
“Abang dah mengantuk ke? Dah nak tidur?” Balas Nirmala tanpa
pedulikan leteran suaminya tadi.
“Belum. Abang nak berbual dulu dengan Mala. Dari pagi tadi
abang tak berpeluang nak bermanja-manja dengan Mala. Tengok Mala sibuk sangat
tolong mak dekat dapur.”
Nirmala tersenyum malu bila Fazhan berkata begitu.
“Abang pun Mala tengok sibuk sangat. Sampai Mala panggil pun
buat tak dengar.”
“Ye ke Mala ada panggil abang? Bila? Abang tak perasan
pun.!”
“Ada tadi..! Mala nak suruh abang ambil kotak ubat dalam
kereta. Jari Mala kena pisau. Last-last
mak bubuh minyak gamat je.”
“Masyaallah..! teruk ke?” Kalut Fazhan membelek jari
Nirmala.
“Sikit je..! jauh dari perut!” Balas Nirmala lalu ketawa
kecil.
“Kenapa tak terus terang dekat abang?”
“Abang yang tak dengar.”
“Sorry la..abang
betul-betul tak dengar tadi.”
“Takpe. Mala tak
marah pun. Lagi pun Mala bangga dengan abang sebab sudi buat kerja-kerja ni
walaupun abang tak biasa buat kerja-kerja macam ni.”
“Seumur hidup abang belum pernah lagi buat kerja teruk macam
ni. Tapi abang puas walaupun penat. Demam semalam pun tak sedar bila hilang.”
Ulas Fazhan sambil tersenyum.
“Abang sayang Mala tak” Tanya Nirmala tiba-tiba setelah
beberapa saat membisu.
“Kenapa tanya macam tu?”
“Saja nak tahu.”
“Kalau abang kata tak sayang, Mala percaya tak?”
Nirmala tersenyum sambil geleng kepala.
“Kenapa tak percaya?”
“Sebab Mala tengok abang bersungguh-sungguh nakkan Mala.”
Fazhan tersenyum nipis sambil mengangguk setuju apa yang
dikatakan oleh Nirmala sebentar tadi.
“Malam ni abang nak tunjuk sesuatu pada mala. Mala jangan
terkejut tau! Apa yang abang nak tunjuk ni bukan nak minta kerelaan Mala terima
abang. Tapi abang nak Mala tahu abang tak pernah bermaksud nak sakitkan hati
Mala.”
Nirmala tenang mendengar kata-kata Fazhan. Wajah Fazhan
serius dipandang tanpa berkelip mata. Bila melihat Fazhan mengeluarkan telefon
bimbitnya Nirmala sudah mahu senyum lebar. Sudah dapat diagak apa yang bakal
Fazhan tunjukkan padanya nanti.
“Dalam ni ada beberapa video tentang kita. Abang nak Mala
lihat sendiri. Ini bukti abang cintakan Mala dan bukti abang tak pernah memaksa
Mala agar terima abang.”
Senyuman Mala semakin lebar hingga menerbitkan rasa lucu dan
akhirnya dia ketawa besar. Fazhan kehairanan sambil menggaru kepala.
“Sebelum tu mala nak minta maaf kat abang. Abang jangan
marah tau kalau Mala cakap... sebenarnya..video-video tu semua Mala dah tengok.
Tapi tak tengok habis pun. Sebab tak cukup masa. Almaklumlah..tengok curi-curi.
Dah macam perompak cetak rompak pulak masa tengok video ni. Sebab video-video
nilah Mala nekad mahu terima abang.”
Fazhan tersenyum malu.
”Jadi Mala dah tahulah fasal ni?”
Nirmala angguk laju.
“Mala tahu abang sayang sangat kat Mala. Malam ni mala nak
terus terang kat abang, Mala dah jatuh cinta pada abang pada malam kita jaga
Anis sama-sama dekat hospital. Masa tu Mala tengok abang sedang berbual dengan
jaga. Abang nampak menarik sangat masa tu. Macam Danial Hanny pun ada.”
“Danial Hanny? Siapa tu?” Berkerut wajah Fazhan bertanya.
“Boyfriend Mala
yang nombor tujuh belas.”
Mengekek-ngekek Nirmala melihat wajah Fazhan melopong.
“Pelakon korealah..! abang ni ketinggalan zaman betullah.”
“Oh..kenakan abang ek.!”
Mengekek Nirmala ketawa bila telinganya ditarik lembut.
“Mala nak abang jujur dengan Mala. Jangan ada simpan apa-apa
rahsia dari Mala sebab Mala tak suka pembohongan.” Tiba-tiba Nirmala bersuara
sehingga senyum di bibir Fazhan hilang tiba-tiba.
Fazhan kelu lidah untuk berkata. Ingin dibuka rahsia yang
dipendam, namun dia tidak mahu merosakkan malam indahnya bersama Nirmala. Dia
yakin jika tidak dibuka cerita itu, sudah pasti Nirmala tidak tahu. Akhirnya
dia nekad mahu merahsiakan terus cerita itu. Dia yakin cerita itu hanya dia,
Jefri, Dato Hamdan dan sepupunya Syarine saja yang tahu. Dia yakin Syarine
takkan pulang lagi ke Malaysia keran dihukum oleh keluarganya selepas kejadian.
Dan dia juga yakin Dato Hamdan dan Jefri tak mungkin akan membuka rahsia itu
kerana mahu melihat dia dan Nirmala bahagia.
“Boleh abang janji dengan Mala?”
“Insyaallah! Sebenarnya abang tak berani nak berjanji apa-apa,
tapi abang akan cuba.”
“Abang takkan tinggalkan Mala macam yang abang Luqman
buatkan?”
“Itu takdir sayang! Kita tak boleh nak mengelak. Kalau dah
Allah tetapkan jodoh kita setakat itu saja, kita kena terima dan redha.”
“Abang cakap macam arwah abang Luqman cakap. Arwah abang
Luqman tak pernah berjanji tidak akan tinggalkan Mala. Tapi dia janji akan
setia dengan Mala. Dia pernah tanya Mala, andainya dia dah tak ada, boleh tak
Mala terima abang sebagai pengganti dia? Masa tu Mala marah sangat dekat dia
sebab berani nak pas-pas Mala pada orang lain. Mala rasa macam murah sangat
diri Mala ni. Dia kata abang baik. Dia kata abang akan cintakan Mala lebih dari
dia cintakan Mala. Betul ke bang? Betul ke abang cinta Mala lebih dari abang
Luqman?”
Fazhan mengetap bibir. Sebak dirasa kerana mengingati
sahabatnya. Tak disangka Fir Luqman memujinya sedangkan selama hayat Fir
Luqman, dia berusaha menjatuhkan sahabatnya itu.
“Abang tak tahu pun arwah cakap macam tu pada Mala. Abang
pun tak sangka arwah fikir abang mampu membahagiakan Mala. Dan abang tak sangka
selama ni dia letakkan kepercayaan pada abang untuk menjaga anak dan isteri
dia. Abang pun tak tahu macam mana dia boleh tahu abang ada hati pada Mala
sedangkan hal ni tiada siapa yang tahu kecuali Jefri, abi dan ayah.”
“Dia kata dia tahu abang sukakan Mala dalam diam. Dia sedar
pandangan mata abang pada Mala. Sebab tu dia yakin cinta abang melebihi dia.
Sebab tu dia memang harap abang jadi pengganti dia kalau dia dah tak ada.”
“Cinta abang melebihi dia? Abang tak faham.”
“Abang dah tahu Mala ni isteri orang, tapi abang masih buat
muka tak malu nak juga dekat Mala.
Itulah maksud dia. Sebab tu dia yakin abang mampu bahagiakan Mala.”
“Mala percaya semua tu.?”
Nirmala geleng kepala.
“Kenapa?”
“Sebab dari awal lagi Mala memang tak sukakan abang.”
“Kenapa” Tanya Fazhan tersenyu lucu.
“Mala geli tengok abang. Mala tak suka renungan mata liar abang.
Mala tak suka dengar cara abang bercakap dengan abang Luqman.”
“Itu sebab utama Mala tak suka abang?”
Nirmala geleng kepala.
“Sebab utama ialah abang kaki minum dan kaki judi. Mala tak
suka lelaki macam tu.”
“Tapi abang bukan kaki perempuan. Lagipun itu dululah
sayang..! abang sumpah abang dah tinggalkan semua benda tu selepas..” Fazhan
terhenti bicara setelah sedar kata-katanya hampir membuka pekung di dada.
“Selepas apa? Ha..abang ada rahsiakan sesuatu dari Mala ek?”
“Tak! Err..maksud abang selepas abang kemalangan jalan raya
beberapa tahun dulu.”
“Abang kemalangan? Bila? Mala tak tahu pun.”
“Abang okey. Kawan
perempuan abang saja yang cedera sikit.”
“Kata bukan kaki perempuan. Tapi pergi mabuk-mabuk bawak
perempuan!” Tempelak Nirmala sambil menjeling tajam.
“Tu sepupu abang. Dia tak tinggal sini. Abang pun tak tahu
apa khabar dia sekarang. Lepas kemalangan, terus orang tua dia tak kasi lagi
balik Malaysia.”
Nirmala mengangguk faham. Lantas terus saja tidak mahu
berbual tentang itu lagi. Bila perkatakan tentang kemalangan, hatinya rasa
ngeri. Teringatkan nasib arwah suaminya, lagi lah buat dia rasa tak senang
hati.
“Abang! Mala nak minta izin. Boleh tak Mala uruskan syarikat
abang Luqman hingga Amil mampu uruskan syarikat tu sendiri.?”
Fazhan terdiam lalu mengeluh panjang. Hatinya berbelah bagi
memberi keizinan. Tapi bila teringatkan nasihat Pak Imam tadi dia terpaksa
mengalah.
“Abang izinkan. Tapi dengan syarat.”
Nirmala angkat kening.
“Pastikan Mala tak sendiri dalam pejabat. Abang tak mahu
Mala terusan ingat pada arwah.”
“Abang cemburu ek?”
“Cemburu tu satu hal. Tapi apalah yang abang dapat kalau
cemburu pada yang tiada. Sebab lain pulak ialah abang tak mahu Mala ingat arwah
bila bersendirian dalam bilik tu. Abang tak mahu Mala renung lagi gambar-gambar
dia. Bukan abang nak Mala terus lupakan dia walaupun memang itu yang abang nak
Mala buat. Cuma abang risaukan Mala terus pendam perasaan hingga memudaratkan
kesihatan dan mood Mala. Lagi satu
fasal rumah Mala tu. Abang izinkan Mala balik situ sekali sekala. Tapi abang
tak izinkan Mala tidur di situ. Habis waktu pejabat, Mala boleh balik situ,
tapi malam kena balik rumah ayah.” Serius Fazhan senaraikan syarat-syarat untuk
Nirmala.
“Okey! Mala ikut
semua syarat-syarat tu. Tapi syarikat ayah macam mana?”
“Abang suruh pembantu abang yang buat kerja abang. Abang
tengok, dia pun dah cekap dalam kerja finance.
Kerja Mala, abang yang uruskan.”
Nirmala lepas keluhan lega. Barulah dia dapat bernafas
sikit. Kalau tidak, hatinya tak senang jika tempatnya dulu tiada siapa yang nak
handle. Walaupun dia masih berdendam
dengan Dato Hamdan, jauh di sudut hati masih ada rasa perikemanusiaan. Bukan
dia tak kasih atau sayang pada orang tuanya, cuma hatinya masih terasa dengan
apa yang Dato Hamdan lakukan padanya dan arwah Fir Luqman dulu.
No comments:
Post a Comment