PENGHARGAAN

Assalamualaikum..
Salam sayang untuk semua kerana sudi2 mengintai di ruangan laman saya yg baru nak bernafas ni.
Sblm jemari sya terus menari,ribuan terima kasih pada adik sya iaitu bloger Senyum-Senyum Diana Rashid sbb tanpa dia, blog sya ni kompem x ujud. Thnk n lebiyu..
Almaklumlah..kakak dia ni slow sikit tentang IT-IT ni..hehehe..
Yg ke 2 plk adalah insan terchenta sya. Tak lain tak bukan dh tentulah Encik sya. Klu tak kerana dia, sampai sekarang karya sya ni dok dlm pendrive jelah..
Utk adik beradik sya yg sering beri semangat..kakyung, Ani, azam, ain, Rina, Ya n abg Jeri.. terima kasih byk2.
Khas untuk mak, terima kasih yg x terhingga. Wlupun bidang ni kurang digemari, sya anggap itu sebagai cabaran untuk berkarya.
Pada sahabat2 Ding Dong..thnk 4ever n ever. Kata2 semangat dan sokongan kalian amat sya hargai dan sanjungi. Kalian mmg best..edea korang adalah yg terbaik!!
Buat kwn2 yg lain, kata2 dan penghargaan korang mmg tersemat dalam hati. Kompem sya x lupa.
Dari itu..sudi2lah mengintai dan membaca krya sya ni. Jgn lupa mengkritik dan mengomen.
Klu nk memuji, sya mohon jgn tinggi2 sgt. Takut sya terperasan hebat. hehehehe...
Risau jgk..bila dah rasa hebat, kompem senang lupa diri dan jatuh ..
Okey...Selamat Membaca..


Thursday, 18 December 2014

BAB 19 Kata Hati Tak Terkata

BAB 19
ZARA tersenyum manis memandang Fairuz Imsyar di muka pintu. Dari dalam kereta ketika sampai di halaman rumah, dia sudah perasankan lelaki itu di situ.

“Abang nak bertolak hari nikan?”

Fairuz Imsyar mengangguk sambil matanya ralit pada wajah Zara.

“Ni Zara bawakkan sesuatu untuk abang. Zara tahu abang suka serunding daging ni. Semalaman Zara buat. Khas untuk abang. Kalau tak sedap, abang buangkan jelah!”

“Sebelum ni pernah ke abang buang pemberian Zara.?”

Zara senyum malu-malu.

“Abang dah siap berkemas?”

“Tengah bersiaplah ni!” Ujar Fairuz Imsyar lalu beriringan dengan Zara masuk ke dalam rumah.

 Dari ruang tamu Zara dapat melihat Puan Murni sedang sibuk mengemas pakaian Fairuz Imsyar.

“Dah tua bangka pun suruh ibu yang kemaskan!” Tempelak Zara pada Fairuz Imsyar sambil menjeling dan senyum sinis.

“Ibu yang nak buat. Abang relakan aje!” Balas Fairuz Imsyar bangga.

“Zara tolong kemaskan pulak. Ibu nak tengok serunding ibu atas dapur. Abang Zara ni, kalau tak ada serunding, tak mahu makan.”

“Serunding?” Tanya Zara sambil tersenyum. Andainya Puan Murni tahu yang dia turut buatkan serunding pada Fairuz Imsyar, pasti dia diketawakan.

“Pukul berapa abang bertolak?”

“Bila nak sampai kalau tolak?” Fairuz Imsyar cuba berseloroh.

Zara menjelng sinis dengan gurauan Fairuz Imsyar.

“Petang ni ayah dengan ibu hantar ke airport. Kenapa? Nak ikut?” Tanya Fairuz Imsyar sambil merenung tepat ke wajah Zara. Kasihnya pada raut wajah itu memang sukar untuk dilupakan apatah lagi untuk dibuang terus.

Zara tersenyum sambil angguk kepala.

“Dah tanya ayah?” Risau juga kalau-kalau orang tua Zara tak setuju. Bila mengenangkan tamparan yang diterima dari Encik Tahir atas kesilapannya dulu, dia menjadi cuak.

“Tak payah ikutlah! Nanti ayah kata apa pulak.” Ujar Fairuz Imsyar selepas Zara hanya geleng kepala sambil memasukkan pakaian dalam bagasi Fairuz Imsyar.

“Rasa-rasa abang, bila abang balik?”

“Kenapa? Rindu? Takkan rindu dah kot..! Abang belum lagi pergi.” Seloroh Fairuz Imsyar sambil tersenyum nakal.

Zara menjeling manja sambil tersenyum. Entah kenapa hatinya berat mahu membiarkan Fairuz Imsyar pergi. Namun dia harus sedar, kata putus sudah terucap dan dia harus relakan.

“Abang ada sesuatu untuk Zara. Abang harap Zara dapat terima. Sepatutnya benda ni abang serahkan pada hari majlis nikah kita. Tapi apa boleh buat. Abang hanya mampu jadi abang Zara saja.” Ujar Fairuz Imsyar lalu bangun dan berjalan masuk ke dalam biliknya. Sedetik kemudian dia keluar kembali dengan beg kertas di tangan. Sambil melabuhkan duduknya mengadap Zara, beg kertas itu dihulurkan.

“Untuk Zara. Abang tahu Zara sukar nak terima, tapi abang harap sangat Zara dapat ambil benda ni. Memang dah lama abang berniat nak belikan untuk Zara.” Kata Fairuz Imsyar lembut. Bila Zara teragak-agak mahu mengambil, tangan Zara ditarik lalu meletakkan dalam telapak tangan Zara.

Zara termanggu melihat bungkusan yang berada dalam genggamannya. Bila buka beg kertas itu, Zara tersenyum hambar. Kotak lebar berwarna merah di keluarkan lalu dibuka. Bersinar matanya melihat seutas rantai yang berserta dengan sebutir batu berlian kecil berbentuk hati terletak elok dalam kotak baldu itu.

“Sepatutnya abang pakaikan masa majlis nikah kita. Mula-mula abang cadang nak beli cincin. Tapi tiba-tiba abang tergerak hati nak beli rantai. Abang harap Zara sudi terima pemberian abang.”

“Zara tak layak terima benda ni. Abang bagi saja pada isteri abang nanti.”

“Barang tu milik Zara. Memang abang dah berniat beli untuk Zara. Abang tak pasti sama ada abang mampu cari pengganti Zara. Buat masa ni hati abang hanya milik Zara.”

“Lupakanlah Zara bang!” Rayu Zara sayu. Semakin berat hatinya melepaskan Fairuz Imsyar pergi.

“Abang akan lupakan Zara setelah Zara benar-benar jadi milik orang lain. Selagi Zara sendiri, abang masih menanti Zara.” Balas Fairuz Imsyar lalu kotak tadi diambil dan rantai tadi dikeluarkan. Perlahan-lahan rantai itu dipakaikan di leher Zara hingga Zara terkesima seketika.
Apabila Zara mengangkat kepala memandang raut wajah Fairuz Imsyar dia tergamam melihat Fairuz Imsyar mengesat mata yang basah. Itu adalah kali kedua dia melihat Fairuz Imsyar menangis.

“Kan cantik!” Bisik Fairuz Imsyar sambil tersenyum. Zara tersenyum malu sambil tunduk memandang rantai yang tersarung dilehernya.

“Zara harap ini pemberian abang yang terakhir untuk Zara. Selepas ni Zara tak mahu apa-apa lagi dari abang. Bukan Zara bencikan abang. Tapi Zara tak mahu ada hati yang kecewa atas tindakan Zara terima barang dari abang.”

“Yelah! Abang faham.” Ujar Fairuz Imsyar sambil mengangguk perlahan.


SELEPAS makan tengahari di rumah Puan Murni, Zara pulang ke rumah selepas Fairuz Imsyar bertolak pergi ke lapangan terbang. Sampai di rumah dia melihat Encik Tahir  sedang ambil angin petang di serambi.

“Zara dari mana ni? Zara jumpa lagi dengan dia?”

Zara terkedu dengan sergahan Encik Tahir.

“Kenapa nak tebalkan muka mengadap orang macam tu? Zara tak ingat apa yang dia dah buat?” Suara Encik Tahir masih terkawal walaupun hatinya sudah mula panas. Mendengar khabar dari isterinya tentang Zara ke rumah Fairuz Imsyar, hatinya jadi tak senang.

“Zara cuma nak jumpa abang untuk kali terakhir. Hari ni abang dah nak bertolak ke Brunai. Tak tahu bila pula dia nak balik.” Zara cuba berterus terang. Hampir gugur air matanya mendengar ayahnya berkata begitu.

Huh! Baguslah dia berambus cepat dari kampung ni.” Encik Tahir merengus kasar.

“Tak baik abang cakap macam tu. Budak tu tak salah. Dia teraniaya.” Sampuk Puan Azizah.

Zara hanya mendengar saja teguran lembut Puan Azizah pada Encik Tahir. Untuk membalas kata-kata orang tuanya, dia tak berdaya. Apatah lagi bila melihat ayahnya seperti tidak puas hati.

“Awak pun nak menangkan budak tu juga? Awak tak ingat apa yang dia dah buat pada Zara dan pada keluarga kita.?”

“Benda dah lepas. Tak payahlah nak diingatkan balik. Anak kita pun dah boleh terima.”

“Ayah bukan marah Zara pergi rumah ibu Zara tu. Ayah takut Zara berubah hati. Tambah pula sekarang ni Fairuz dah berpisah dengan isteri dia.” Nada suara Encik Tahir tidak lagi seperti tadi.

“Ayah janganlah risau. Sekarang ni antara Zara dengan abang Fairuz tak lebih dari seorang adik dan abang. Zara harap lepas ni ayah janganlah pandang serong pada abang Fairuz lagi. Dia tak salah. Dia mangsa keadaan.”

“Yelah bang! Tak payah nak risau lagi. Sekarang ni anak abang pun dah dapat pengganti. Abang doa-doakan lah supaya cepat-cepat anak kita kawin.”

Zara telan liur mendengar penjelasan Puan Azizah. Niat di hati mahu rahsiakan dulu hal itu. Tak sangka Puan Azizah sudah membocorkan rahsia.

“Betul Zara?” Tanya Encik Tahir tiba-tiba dengan nada lembut. Mendengar perkhabaran itu sudah buat dia senyum lebar. Lupa terus tentang kepanasan hatinya tadi.

“InsyaAllah..!”

“Wah! Lega sikit hati ayah dengar berita ni. Bila nak kenalkan dengan ayah?”

“Nantilah ayah. Zara pun baru kenal dengan dia.”

“Suruh dia jumpa ayah cepat.”

“Taknaklah!” Bentak Zara sambil menjeling.

“Kenapa pulak?” Soal Encik Tahir tidak puas hati.

“Malulah nak cakap macam tu. Nanti dia kata Zara ni kemaruk sangat nak berlaki.”

“Cakap saja ayah yang kemaruk nak menantu!”

Puan Azizah dan Zara ketawa mengekek mendengar cadangan Encik Tahir. Pada hemat mereka, mungkin benar apa yang dikatakan oleh Encik Tahir tadi. Jelas tergambar di wajah Encik Tahir yang dia benar-benar harapkan kehadiran seorang menantu merangkap anak lelaki dalam rumah itu.

Bunyi isyarat mesej menyentak fikiran Zara ketika berbual dengan orang tuanya. Tersenyum-senyum Zara membaca sms dari Aqil Muaz. Lega hatinya bila dua hari menanti akhirnya Aqil Muaz hilang rajuk.

“Memang sahlah tu!" Sergah Encik Tahir pada Puan Azizah selepas melihat Zara tersenyum sendiri sambil membalas sms.

Zara mengetap bibir menahan senyum kerana malu disergah begitu. Terus saja dia bangun lalu beredar dari situ kerana mahu membalas sms Aqil Muaz.

-Saya nak jumpa awak-
-Ada apa2 yg x kena ke?-
-urgent!-
-Nk jumpa dekat mana?-
-sya datang rumah awk-
-jangan!!! Bahaya-
-Sya xkira. Nk dtg jgk-
-jgnlah..! sya merayu sgt2-
-Sya rindu awk-

“Zara! Nanti tolong hantarkan bubur pulut hitam untuk Mak Aji. Tadi mak Aji datang bawa gulai pisang. Zara tolong bagi balik mangkuk dia ni ye..!.”

Zara tersenyum sambil angguk kepala. Mendengar arahan itu buat dia tersenyum lebar. Mungkin dengan cara itu saja boleh dielak agar Aqil Muaz tidak munculkan diri di hadapan rumahnya.

-sya jumpa awk ptg nnt. Tggu sya dtg.-

Aqil Muaz tersenyum sendiri selepas membaca mesej Zara. Dia sendiri tidak tahu apa alasan yang harus diberi setelah berjumpa dengan Zara nanti. Nak sebut perkataan rindu secara berdepan, dia malu. Tapi kalau tak disebut terang-terang, pasti Zara tidak tahu. Jadi dia redha apa yang bakal berlaku petang nanti. Jika Zara nak tarik telinganya pun dia rela. Dua hari dia merajuk, bagai hilang nyawanya bila suara Zara tidak kedengaran.

“Senyum sorang-sorang tu kenapa?” Sergah Haji Derus sambil melangkah kearah Aqil Muaz yang sedang termenung atas pangkin bawah rumah.

“Tak ada apalah abah.” Aqil Muaz tersenyum malu bila sedar telatahnya diperhatikan.

“Takkanlah tak ada apa! Biasanya orang kalau senyum sorang-sorang ni mesti sebab tengah dapat penyakit. Penyakit angau!” Ujar Haji Derus lalu ketawa kecil.

“Tak ada apalah abah. Saya nak jumpa Zara, tapi saya takut pandangan mata orang yang salah tafsir. Saya nak jumpa dia dekat rumah dia, tapi dia tak kasi.”

“Malulah dia kalau kamu tiba-tiba datang rumah.”

“Apa salahnya. Bolehlah saya kenal-kenal dengan keluarga dia.”

Haji Derus ketawa kecil sambil menggeleng kepala mendengar jawapan Aqil Muaz. Dapat dirasakan keadaan anak angkatnya sudah semakin teruk kemaruk cinta.

“Untung kamu dapat Zara tu. Budaknya baik. Sopan. Walaupun kadang-kadang sedikit kasar, tapi dia hormatkan orang tua.  Mak kamu tu dulu sampai merajuk-rajuk dengan Iqbal sebab Iqbal ada orang lain. Dipinangkan juga Zara tu untuk Iqbal. Tapi bila dapat tahu Zara dah nak bertunang dengan orang lain, barulah dia termalu sendiri.” Cerita Haji Derus sambil tersenyum hingga Aqil Muaz turut mengekek ketawa.

“Bekas tunang Zara orang sini juga ke abah?”

Haah! Rumahnya tak jauh pun dari sini. Dia orang tu antara orang kaya dalam kampung ni. Tapi keluarga mereka tak sombong dengan orang kampung. Suka menolong orang. Budak Fairuz tu pun bagus orangnya. Tapi entah kenapa mungkin dah tak ada jodoh dengan Zara. Mungkin dengan kamu.”

Aqil Muaz tersenyum malu bila Haji Derus berkata begitu. Hatinya kembang setaman. Mulalah membayangkan yang Zara benar-benar menjadi miliknya yang sebenar.

“Saya benar-benar sukakan dia, abah. Kalau boleh nak terus kawin dengan dia. Tak sanggup saya nak tunggu lama-lama. Saya tak suka banyak sangat yang memandang dia.”

“Tak lari gunung dikejar, Qil. Kalau kamu benar-benar jujur ikhlas sukakan dia dan mahu memperisterikan dia kerana Allah, insyaallah, Allah sentiasa akan pelihara dia untuk kamu. Kadang-kadang manusia ni mudah lupa kerana taksub dengan keindahan dunia hingga lupa pada Dia yang utama. Alpa pada suruhan Allah. Tak dapat membezakan mana yang perlu diutamakan dulu. Ayah suka kalau kamu peristerikan Zara tu. Tapi janganlah terlalu taksub mencintai dia kerana mencintai Allah yang paling utama.”

“Insyaallah, ayah..! Qil ingat tu.” Jawab Aqil Muaz sambil mengangguk-angguk. Senang dia berbual dengan ayah angkatnya itu.

No comments: