28
AIDIL
Sendiri itu sepi. Rindu itu satu penantian. Tapi
sampai bila harus menanti..
SEDAR-TAK SEDAR dah hampir dua bulan Nur
jadi milik Zikri. Aku jugak yang masih sendiri. Entahlah, aku sendiri tak tahu
kenapa aku rasa dah jadi separuh gila memikirkan tentang Nur. Kenapa dia juga
yang aku tunggu walaupun sah-sah aku tahu dia milik orang.
Aku cuba rapat-rapatkan diri berkawan dengan rakan-rakan
sekerja perempuan yang aku kenal. Tapi aku masih tak boleh terima. Tiap kali
aku cuba, hanya wajah Nur yang lekat di tangkai hati aku.
Aku tahu Nur pasti marah pada aku. Sejak majlis di
rumah Zikri, aku lihat Nur seakan mengelak diri dari keluarga. Aku tahu kenapa.
Ini semua sebab Makcik Mazuin ambil keputusan untuk tinggal terus dengan daddy. Bila makcik Mazuin dah buat
keputusan macam tu, serta merta maksu buat keputusan untuk tinggal di kampung.
Aku tahu Nur ada pujuk maksu agar tinggal dengannya tapi maksu tetap berkeras
mahu tinggal di kampung. Aku tak tahu kenapa dengan maksu. Dah banyak kali Makcik
Mazuin dan daddy ajak tinggal sekali
namun dia tetap tak mahu. Aku tahu Nur kecewa. Aku tahu dia marah. Pasti aku
yang disalahkan.
Sejak itu aku dapat tahu dia banyak habiskan masa di
rumah mertuanya. Namun rumahnya dijadikan tempat singgah sementara jika dia
berkerja malam. Aku tahu Nur masih tak boleh terima keputusan Makcik Mazuin dan
maksu. Tapi apa aku boleh buat kalau Makcik Mazuin yang putuskan macam tu. Aku
tak mahu dianggap sebagai perampas walaupun pada asalnya memang aku nak buat
macam tu. Dia sudah bahagia bersama Zikri. Apa salahnya kalau aku bahagia
dengan keluarga aku. Walaupun aku tahu aku tak sepatutnya berfikiran macam tu,
tapi sekurang-kurangnya aku juga berhak mendapat bahagia. Namun jauh di sudut
hati aku tetap tak rasa bahagia selagi Nur tak jadi milik aku. Teruk betullah
aku ni. Kenapalah isteri orang yang aku kejarkan sedangkan di luar sana masih
banyak anak dara yang cantik dan menawan.
“Jauh termenung! Ingat siapa?” Tegur Makcik Mazuin
sambil meletakkan sedulang jus oren. Di situ juga dihidang sepiring pisang
goreng yang masih panas. Tersenyum lebar aku lihat wajah keibuan itu.
“Tak ada siapalah mak. Saja ambil angin petang. Duduk dalam
bilik boring pulak rasanya.” Ujarku sambil tersenyum. Pulang dari kerja tadi
aku banyak habiskan masa di laman. Laptop yang Rajes serahkan pada aku suruh
aku betulkan pun aku tak buka lihat lagi. Rasa malas pulak nak mengadap benda
alah tu.
“Dah lama mak perhatikan Dil. Dil asyik termenung saja
sejak dua menjak ni. Dil ada masalah ke?”
“Tak adalah mak! Dil penat sikit dekat tempat kerja.”
Sedaya upaya aku beri alasan yang munasabah. Kalau Makcik Mazuin tahu aku masih
teringatkan anak perempuan dia, mesti dia tak senang hati.
“Dil jangan nak mengelak. Mak tahu apa yang Dil
fikirkan.”
Aku tersentak. Namun aku cuba sembunyikan kekalutan di
wajah aku.
“Mak ni dah nak jadi ahli nujum ke?” Aku tanya sambil
tersenyum. Pisang goreng yang masih panas aku ambil lalu makan rakus.
“Hmm..sedap! Pandai mak buat.” Aku cuba mengelak. Bila
aku lihat emak mengeluh, aku tahu emak tak puas hati dengan cara aku.
“Minggu depan kaklong dah start duduk sini sampai habis pantang. Tak sabar mak nak jaga dia
dengan anak baru dia nanti.”
Aku angguk kepala. Memang Kak Zana ada cakap hari tu
tentang hal ni.
“Lepas tu mak nak buat majlis cukur jambul. Bolehlah
kita jemput Nur dan Zikri datang sini.”
Kunyahan pisang goreng dalam mulut terhenti dengar makcik
Mazuin cakap macam tu. Hati aku dah tersenyum lebar. Tak sabar pulak nak tunggu
hari tu. Tiba-tiba terlintas di fikiran untuk melanjutkan perbualan mengenai
Nur.
“Dia nak datang ke mak? Dia orangkan sibuk.
Tambah-tambah pulak dia orang tu masih dalam suasana bulan madu. Dil yakin Nur
mesti masih marah sebab mak tak mahu tinggal dengan dia. Mesti dia salahkan
Dil.”
“Kenapa Dil cakap macam tu? Dalam hal ni Dil tak
salah. Mak yang putuskan nak tinggal sini.” Kata Makcik Mazuin sayu.
“Tapi Dil dapat rasa Nur macam tak puas hati.”
“Tempat isteri adalah di sisi suaminya. Takkan mak nak
biarkan suami mak tinggal sendiri sedangkan mak masih ada. Nur pun dah ada
suami, mak yakin dia tentu faham.”
“Kan seronok kalau Dil yang berada di tempat
suaminya.”
“Tak baik menolak takdir.”
“Tapi Dil betul-betul sukakan dia! Dari dulu sampai
sekarang takkan berubah.”
“Kalau Dil suka dia, kenapa awal-awal dulu tak cuba
pikat dia?”
“Dah cuba, tapi tetap tak berjaya.”
“Tu maknanya jodoh Dil bukan dengan dia.”
“Tapi Dil akan terus tunggu dia. Bagi Dil, kalau tak
usaha mana dapat hasilnya. Jadi Dil akan terus berusaha untuk dapatkan Nur.”
“Tak baik macam tu. Ada baiknya Dil jangan ganggu
hidup Nur lagi. Biarlah dia dengan hidup dia. Dil cari saja yang lain.”
Kata-kata makcik Mazuin aku buat macam air lalu. Tak terkesan
pun dalam fikiran aku. Pada aku apa yang aku anggankan pasti aku usaha hingga
dapat. Jadi aku harus rancang sesuatu agar usaha aku ni mendatangkan hasil yang
memuaskan hati aku. Yang pasti perkara pertama yang perlu aku laksanakan ialah
singkirkan dahulu Zikri dari hidup Nur. Biarlah orang nak kata aku gila atau
apa. Memang aku dah gila pun sejak pertama kali berjumpa Nur. Paling buat aku
semakin gila bila Nur putuskan untuk mendirikan rumahtangga dengan lelaki
pilihannya. Masa tu aku rasa macam nyawa aku dah nak tercabut dari badan.
No comments:
Post a Comment