37
Detik bahagia itu akan hadir jika hati sentiasa berdoa
dan mengharap dengan ikhlas.
HARI ni Zaim cukup sembilan
bulan. Dah besar pun dia. Paling buat aku teruja dia dah mula pandai nak
melangkah. Tiap-tiap hari masa Zaim banyak dihabiskan atas katil bersama Zikri.
Seawal kelahirannya memang aku biasakan berada di sisi Zikri. Aku mahu Zaim
mengenal ayahnya walaupun ayahnya masih kaku seperti dulu. Alhamdulillah berkat
asuhanku Zaim memang tak oleh berenggang dengan Zikri. Pernah juga umi ambil
Zaim untuk jadikan teman tidur. Sudahnya umi tak boleh tidur sebab Zaim
meragam. Bila umi serahkan semula pada aku, dia tidur lena sampai ke pagi.
Sejak itu umi tak berani lagi ambil Zaim buat teman tidur. Kalau umi teringin
sangat aku ajak umi tidur sekali dalam bilik aku. Kasihan umi..
“Nur! Kalau umi nak tanya sesuatu, Nur jangan marah
ye!”
“Tanya apa pulak ni mi..? Selama ni pernah ke Nur
marah umi?” Aku tanya balik pada umi. Pelik jugak aku tiba-tiba masuk bilik aku
tanya soalan macam tu.
“Kalau emak Nur datang nak jumpa Nur, Nur sudi tak
jumpa mereka?”
Aku mengeluh diam seribu bahasa. Bagi aku tak ada apa
lagi yang nak dibualkan jika berjumpa. Mereka pun bukan sudi nak jumpa aku. Aku
masih rasa terkilan kerana ketidakhadiran mereka pada majlis Zaim yang lalu.
Sibuk sangatkah mereka hingga tak boleh luangkan sedikit masa untuk aku? Yang
datang hari tu hanyalah Aidil dan Nancy saja.
“Mereka ada di luar. Mereka nak tengok Zaim.” Sambung
umi lagi setelah aku tak memberi apa-apa jawapan.
Aku tersentak. Apakah aku bermimpi.? Hati aku melonjak
riang tapi bila mengingat kembali apa yang mereka dah buat, hati aku kembali
sakit.
“Umi ambillah Zaim bawak jumpa atuk dan nenek dia.
Tapi kalau Zaim meragam, umi bawaklah pada Nur semula. Nur tak rasa sekarang
masa yang sesuai untuk Nur jumpa mereka.”
“Yelah! Umi faham.” Jawab umi perlahan tanpa berfikir
panjang lagi. Agaknya umi turut merasa apa yang aku rasa setelah ajakannya
untuk mereka datang beberapa bulan lalu tidak mereka pedulikan. Segera umi
melangkah keluar dari bilik aku sambil mengendong Zaim yang sememangnya manja dengan
umi.
Aku baring sebelah Zikri yang masih lena. Tiap kali
hati aku tak senang dengan sikap keluargaku, hanya Zikri tempat aku melepaskan
rasa gundah yang menyesakkan dada. Susuk tubuhnya yang hanya tinggal kulit dan
tulang aku peluk seerat yang boleh sambil menangis. Nak aku lepaskan tangisan
aku semahu-mahunya, tapi kerana menjaga hati Zikri aku tahan seboleh-bolehnya.
Aku tak mahu Zikri lihat aku menangis.
AIDIL
BERDEBAR-DEBAR aku menanti bayang Nur
keluar dari biliknya. Aku yakin Nur pasti akan setuju untuk berjumpa dengan
Makcik Mazuin dan daddy. Melalui
perbualan aku dengan umi Zikri masa majlis anaknya dulu, aku dapat tahu Nur
mengharapkan Makcik Mazuin datang. Tapi apakan daya, Makcik Mazuin menolak
kerana mengikut daddy pergi ke majlis
makan malam bersama kenalannya yang baru tiba dari Turky. Aku cuba memujuk daddy agar membatalkan perjumpaan itu,
tapi daddy kata perjumpaan itu penting
memandangkan rakannya itu tidak lama di Malaysia. Akhirnya aku tak tahu nak
kata apa lagi melainkan mengikut sahaja yang yang daddy suarakan. Dan pada saat itu aku yakin hati Nur akan terluka.
Tapi bila aku dapat tahu tentang harapan Nur dari umi Zikri, aku harap harapan
itu masih ada dan sebab itulah aku berada di rumah umi Zikri sekarang bersama
Makcik Mazuin dan daddy.
Termalu aku bila kegelisahan aku disedari oleh Makcik
Mazuin. Paling buat aku terkulat-kulat bila aku dihadiahkan jelingan tajam dan
gelengan kepala oleh daddy. Nampak
sangat ke gabra aku ni? Aduh! Terkono den!
“Tak boleh duduk diam ke kamu ni?” Sergah daddy perlahan bila melihat aku hanya
berdiri sambil berjalan mudar-mandir di ruang tamu rumah umi Zikri.
“Dil nak tengok suasana rumah ni daddy..” Aku cuba beralasan.
“Kita datang nak tengok orang baru lahir. Bukan nak
pinang anak dara orang untuk Dil!” Seloroh Makcik Mazuin perlahan. Aku
tersengeh malu. Lantas segera aku duduk sebelah Makcik Mazuin.
“Kalau dia tak mahu jumpa kita, macam mana mak?” Tiba-tiba
terlintas di fikiran nak tanya soalan tu pada Makcik Mazuin.
“Tak tahulah Dil. Mak tak tahu nak cakap apa. Kalau
itu yang terjadi mak terima sebab semua ni salah mak.”
“Janganlah Syuin cakap macam tu. Abang pun salah jugak
sebab tak pernah nak fikirkan perasaan dia.” Daddy menyampuk tiba-tiba. Aku hanya menghela nafas lemah. Dalam
hati aku turut mengaku yang sebenarnya aku yang banyak buat salah pada anak
mereka.
Kelibat umi Zikri menghampiiri aku, makcik Mazuin dan daddy menghentikan perbulan kami.
Tersenyum-senyum umi Zikri berjalan sambil mengendong seorang anak kecil. Aku
yakin sangat itu pasti anak Nur dan Zikri. Tapi di mana Nur? Apakah apa yang
aku fikirkan tadi benar-benar terjadi?
“Minta maaflah sebab tunggu lama. Baby boy ni tengah tidur tadi. Nasib baik dia dah bangun.” Sapa umi
Zikri sambil menghulurkan anak kecil tadi kepada Makcik Mazuin. Dengan senyuman
lebar, Makcik Mazuin terus memeluk anak kecil itu dengan penuh kasih sayang.
“Bila pandang sekilas macam Iman, bang!” Kata Makcik
Mazuin tanpa berkelip memandang Zaim. Daddy
hanya tersenyum hambar sambil mengangguk perlahan.
“Tapi bila tengok lama-lama sebijik macam Zikri.”
Sambung emak lagi.
“Dah nama pun anak Zikri. Mestilah macam muka ayah
dia.” Balas daddy sambil mengagah-agah
bermain dengan Zaim.
“Nur sihat, umi?” Aku tebalkan muka bertanya tentang
Nur. Jelingan tajam dari daddy aku buat-buat tak nampak. Sememangnya aku memang
tak sabar nak tahu perkembangan tentang diri dia.
“Dia sihat.” Jawab umi Zikri ringkas.
“Dia masih tak boleh maafkan saya ke umi?” Aku tanya
lagi.
“Entahlah! Umi pun tak tahu nak cakap macam mana. Dah
puas umi pujuk, dia tetap macam tu.”
“Macam mana dengan Zikri? Ada apa-apa perkembangan
terbaru?” Aku beralih tanya tentang manusia yang aku telah cederakan. Agak
keterlaluan kalau aku asyik bertanyakan tentang isteri orang.
“Tak ada apa-apa lagi. Dia tetap macam tu. Yang
berubah adalah susuk badannya yang semakin tinggal kulit dan tulang saja.” Ujar
umi Zikri sambil tersenyum kelat.
Lima belas minit kemudian rengekan Zaim tiba-tiba
kedengaran. Bergegas umi Zikri mendapatkan Zaim.
“Dia teringatkan ayah dia ni..! Tak boleh berenggang
langsung.!” Bentak umi Zikri lembut. Sambil memujuk Zaim, Zaim dibawa ke bilik
Nur semula. Dari jauh aku dapat lihat pintu bilik dibuka setelah diketuk oleh
umi Zikri. Aku terpaku melihat wajah Nur tanpa tudung di kepala. Inilah kali
pertama aku lihat Nur dalam keadaan begitu. Cantik! Dia memang cantik. Selama
ni puas aku bayangkan rupa Nur tanpa tudung. Jauh disudut hati, cemburu pada
Zikri kembali menular. Cepat-cepat aku beristigfar. Aku nekad mahu melupakan
Nur untuk selama-lamanya. Andai tak berjaya aku serahkan segalanya pada ilahi.
Sesungguhnya hanya Dia tempat untuk aku mengadu.
NUR
SEJAK kedatangan emak, ayah dan
Aidil seminggu lalu, makin kerap aku didatangi tetamu. Aku tak kisah sangat
tentang mereka-mereka yang nak jumpa aku. Yang aku hairankan kenapa harus ada
Aidil? Kak Ana dan Kak Ida datang dia ada. Nancy datang pun dia ada. Kesan dari
tu, siapa pun aku tak jumpa. Nak tengok anak aku tu hanyalah sekadar alasan
saja. Macamlah aku tak tahu niat asal mereka. Kasihan umi terpaksa melayan
kerenah tetamu-tetamu aku yang aku tak undang tu. Aku harap selepas ini tak ada
sesiapa lagi yang nak datang jumpa aku.
AKU terjaga dari lena setelah
mendengar suara Zaim ketawa mengekek. Aku segera memusingkan badan aku yang
sedang membelakangkan dia. Mata aku yang masih berat untuk dibuka, aku paksa
buka walaupun sedikit. Namun susuk tubuh Zaim tiada di sebelahku. Tiba-tiba aku
terpandangkan sesusuk tubuh kurus yang berpakaian baju melayu dan berkain
pelikat sedang berdiri sebelah katil dan tersenyum sambil mengendong Zaim. Aku
balas senyumannya. Aku tahu aku sedang bermimpi. Aku harapkan mimpi aku tu tak
segera pergi. Wajah manis Zikri sedang tersenyum itu benar-benar buat aku mahu
melanjutkan saja mimpiku itu.
“Apa senyum-senyum lagi tu. Bangun cepat! Abang tak
pandai buat susu anak.”
Keningku terangkat kerana suara Zikri benar-benar
jelas di pendengaranku. Serta merta mataku luas terbuka. Apakah aku masih
bermimpi? Aku segera bangun dan turun dari katil. Bila aku mula memijak lantai,
aku sedar aku tak bermimpi. Kakiku lantas berdiri rapat di hadapan Zikri.
Wajahnya aku sentuh perlahan lalu kuusap lembut. Aku tahan sebak dalam
senyuman. Bibirku ketap kuat.
“Nur tak mimpikan?” Aku tanya dalam sebak. Zikri
geleng kepala berserta senyuman manis.
“Ni abangkan?” Aku tanya lagi pinta kepastian. Zikri
angguk kepala. Sah! Dia memang Zikri. Kini aku yakin Zikri sudah bangun dan dia
masih ingat pada aku.
“Abang takkan tinggalkan Nur lagikan?” Zikri tidak
menjawab malah sepantas kilat tubuh aku ditarik ke dalam pelukannya. Aku
menangis semahu-mahunya ketika dalam pelukan Zikri. Inilah saat-saat yang aku
nanti-nantikan selama ini.
“Abang dah penat baring, tidur, dengar Nur menangis
dan merayu. Paling abang tak tahan bila Nur membebel kata abang ni pemalas.
Abang rasa macam nak bangun lepas tu nak gigit-gigit mulut tu sebab sedap-sedap
kata abang.” Aku tersenyum malu dengar Zikri membebel. Pipi basahku dia seka
lembut.
“Dulu abang janji takkan tinggalkan Nur.” Ucapku
sebak.
“Selama ni pernah ke abang tinggalkan Nur?” Zikri menyoalku
perlahan. Belakangku dibelai lembut. Aku tak tahu nak jawab apa sebab selama ni
pun dia tak pernah tinggalkan aku cuma
jiwa dan jasadnya saja entah melayang ke mana.
“Tapi abang hampir-hampir tinggalkan Nur!” Bentakku
separuh geram.
“Nur! Tengok abang.” Gesa Zikri memaksa aku memandang
wajahnya. Aku akur lantas membalas renungannya.
“Ajal maut jodoh pertemuan semua datangnya dari Dia.
Seandainya Dia hendakkan abang pergi tinggalkan Nur, itu tandanya jodoh kita
setakat itu saja. Nur harus terima dan redha kerana itu ketentuan dari Dia.
Dulu Nur pernah cakap yang Nur nak abang tunggu Nur dekat sana seandainya abang
yang pergi dulu. Dan Nur yakinkan abang yang Nur takkan cari pengganti abang.
Nur juga ada bagitahu yang Nur tak rela abang cari pengganti Nur seandainya Nur
yang pergi dulu. Sebab tu abang tak risau bila umi ada nyatakan hal Syamsul
sebab abang yakin dengan Nur. Tapi bila abang sedar ada tugas lain yang perlu
abang settelkan, abang rasa abang tak
patut tinggalkan Nur.”
Aku berkerut kening. Tugas lain? Tugas apa tu? Penting
sangat ke? Zikri tersenyum penuh makna melihat wajah pelik aku.
“Nur tak faham.” Kataku perlahan.
“Sampai waktunya Nur akan faham sendiri. Buat masa ni
tugas Nur ialah sediakan makanan abang sebab abang betul-betul lapar sangat
sekarang ni. Nampaknya lepas ni Nur kena rajin-rajin bagi abang makan.” Ujar Zikri sambil membelek-belek tubuh kurusnya.
Alahai kasihannya aku dengar dia cakap macam tu. Bila
memandang susuk badannya yang tak ubah macam rakyat Somalia, aku yakin dia
benar-benar lapar.
“Okey! Abang
cakap dengan Nur. Abang nak makan apa? Akan Nur usahakan supaya abang kenyang
sepanjang masa.” Balasku sambil tersenyum.
“Mmm..kalau abang nak makan Nur dulu, boleh?” Tanya
Zikri. Senyuman dan jelingan sinis buat muka aku bagai udang yang disalai atas
bara.
“Gatal!” Gerutuku geram sambil hadiahkan perasa
penyedap di pinggangnya. Berdekah-dekah Zikri ketawa. Hampir-hampir aku
menangis lagi bila mendengar dia ketawa kerana aku benar-benar rindukan
saat-saat begitu. Aku yakin umi pun akan berganda-ganda merasai apa yang aku rasa
kini.
SUASANA pagi itu benar-benar
memberi seribu kemanisan dalam hidup aku setelah hampir setahun aku berada
dalam kerinduan pada suami yang berada depan mata. Subuh itu tak henti-henti
ucap dan rasa kesyukuran ku pada ilahi kerana dengan limpah kurnianya aku dapat
kembali merasai kasih sayang suami yang aku rindukan. Paling aku terharu bila
melihat air mata umi mengalir di pipi tuanya bila anak yang dilahirkan tiga
puluh tahun lalu kembali kepangkuannya kembali.
No comments:
Post a Comment