BAB
28
FAZHAN
berteleku lama di pusara Fir Luqman. Itulah pertama kali air mata lelakinya
mengalir bila berada di situ. Sejak semalam selepas Nirmala memberitahu cerita
realiti kehidupannya, dia langsung tidak boleh lelapkan mata. Selama ini setiap
kali dia datang menziarahi pusara Fir Luqman, dia datang selaku seorang sahabat
yang telah banyak membuat salah mengharapkan pengampunan. Namun hari ini, kedatangannya
sudah pasti bertukar identiti dari seorang sahabat kini bertukar menjadi
seorang adik.
Masih seperti mimpi dalam mimpi selepas Nirmala menceritakan
semua. Patutlah selama dia bersama Fir Luqman, sahabatnya itu dia tidak pernah
lokek ilmu atau harta benda. Ada banyak atau sedikit dibahagi sama banyak.
Paling buat dia tak sangka ialah kasih Nirmala sanggup diserahkan pada adik
yang tak pernah mengenang budi.
“Sudahlah bang! Jom kita balik. Esok kita datang lagi.”
Pujuk Nirmala sebak. Sejak tadi dia perhatikan air mata suaminya tak
henti-henti mengalir.
“Abang banyak dosa dengan dia. Abang dah banyak menyusahkan
dia.” Ucap Fazhan teresak-esak.
“Janganlah abang cakap macam ni. Abang Luqman redha setiap
apa yang berlaku. Dulu mula-mula Mala dapat tahu dia pergi, Mala turut rasa
seperti Mala banyak menyusahkan dia. Mala salahkan dia sebab tinggalkan Mala. Tapi
lepas abang Jefri ceritakan semua, barulah Mala faham kenapa dia buat semua ni.
Menyerahkan Mala pada abang adalah salah satu cara dia menunjukkan rasa sayang
dia pada abang. Dan menyerahkan Mala pada abang juga menunjukkan bahawa dia
sayang kan Mala kerana mahu hubungan Mala dengan ayah pulih seperti dulu.”
Balas Nirmala sambil mengusap belakang
Fazhan dengan lembut. Risau juga dia lihat keadaan Fazhan yang tak berhenti
esakan.
Fazhan mengangguk-angguk setuju dengan pendapat Nirmala.
Wajahnya masih menunduk pandang pada batu nisan yang melakarkan nama Fir Luqman
dalam tulisan jawi. Patutlah selama ini dia perasan nama mereka seakan-akan
sama. Disamping tarikh lahir, nama bapa mereka juga sama. Pernah juga dia ingin
bertanyakan tentang identiti Fir Luqman, namun saudara kembarnya itu seakan
mengelak jika soalan peribadi dibangkitkan.
Hingga kini dia tak tahu jawapan sebenar, mengapa Fir Luqman
tidak mahu berterus terang. Rasanya dia harus berjumpa dengan Jefri sendiri
untuk mengetahui sebab sebenar. Selagi dia tidak tahu kedudukan sebenar, selagi
itulah dia akan rasa tertekan dan rasa bersalah.
“Aku janji Fir, takkan sesekali aku hampakan harapan tinggi
kau pada aku. Akan aku jaga Mala dan anak kau seperti aku sayangkan nyawa aku.
Aku malu pada kau. Malu pada Mala dan anak kau sebab kerana inginkan kebahagiaan
itu menjadi milik aku, kau sanggup
korbakan diri kau sendiri kerana aku. Sedangkan selama ini aku berusaha untuk
menjatuhkan kau. Aku mengaku aku cemburukan setiap apa yang menjadi milik kau.
Namun aku tak pernah menyangka, apa yang menjadi milik kau itu adalah milik aku
juga.”
Fazhan mendongakkan kepalanya memandang Nirmala yang sudah
berdiri sebelahnya. Sambil menarik nafas dalam, dia bangun lalu berdiri
depan pusara.
“Esok aku datang lagi. Hingga akhir hayat, aku janji setiap
hari kau akan terima hadiah dari aku. Ini janji aku pada kau, abang!” Bisik
Fazhan lalu meneruskan langkah lemahnya.
“KENAPA kau tak ceritakan
pada aku, Jef? Kau tahu tak aku sayangkan dia walaupun aku sering cemburukan dia. Dia sahabat baik aku yang paling
baik pernah aku ada.. Tapi lepas aku tahu kebenaran, hidup aku dihimpit rasa
bersalah yang amat sangat.” Luah Fazhan kesal. Seawal pagi tadi selepas solat
subuh dia sudah hubungi Jefri agar datang ke rumah Fir Luqman untuk makan
tengahari. Yang sebenarnya dia mahukan penjelasan jelas dari sahabatnya itu
tentang apa yang telah diceritakan oleh Nirmala semalam.
“Aku minta maaf bro! Bukan niat aku nak merahsikan hal ni.
Sebenarnya aku terpaksa. Aku dah berjanji dengan arwah. Inipun memang permintaan
dia. Kalau ikut perjanjian, sampai aku mati pun aku tak boleh buka rahsia ni.
Tapi bila aku tengok kau dan Mala bermasalah balik, aku terpaksa jadikan alasan
itu sebagai mengukuhkan kembali rumahtangga korang.” Jefri bermati-matian
beralasan. Harapannya agar Fazhan dapat terima.
“Tapi kenapa? Kenapa dia tak mahu aku tahu? Sedangkan aku
adik dia. Kenapa harus sembunyikan sedangkan selama ni dia melayan aku dengan
baik? Kalau aku ni adik dia, kenapa kau boleh tahu semua ni?” Fazhan masih
belum puas hati dengan jawapan Jefri. Pelik dan ajaib yang dia rasa ketika itu.
Jika arwah Fir Luqman tidak mahu berterus terang padanya, kenapa dia boleh pula
berterus terang pada Jefri?
“Aku tahu pun secara kebetulan selepas aku terbaca satu
keratan akhbar yang dia simpan bertahun lamanya. Dalam rasa terpaksa, dia
cerita juga pada aku setelah aku mendesak. Mula-mula dia bagitahu yang kau ni
adik dia, aku macam tak percaya. Tapi bila aku tengok sendiri salinan surat
pengesahan penyerahan kau pada Haji Baktiar, memang aku yakin benar kau adik
dia. Menurut arwah Fir, dia pernah
datang cari kau di rumah abi kau. Tapi abi kau harap sangat agar arwah Fir
dapat rahsiakan hal ni.”
“Abi? Maknanya abi aku pernah jumpa Fir?” Fazhan bertanya
hairan. Selama ini pun abinya tak pernah membincangkan hal ini.
“Arwah cakap, mula-mula dia rasa terkilan jugak lepas abi
kau minta macam tu. Tapi lepas abi kau menjelaskan, Fir akhirnya terima dengan
senang hati. Tambah pula dia turut setuju dengan pendapat abi kau yang tak mahu
kau rasa malu, tertekan dan tersisih lepas tahu kebenaran.”
“Kenapa aku harus
malu dan tertekan? Selama ni pun aku bangga ada kawan macam dia. Aku akan lebih
rasa berbangga dan bahagia kalau tahu dia adalah saudara kembar aku.” Ulas
Fazhan yang semakin kurang mengerti. Pening kepalanya mendengar hujah Jefri.
Makin sakit kepalanya bila Jefri masih belum memberi penjelasan jelas.
Jefri mengeluh berat. Berat mulutnya nak berterus terang hal
yang sebenar. Tak dapat nak bayangkan jika kebenaran terbongkar. Dia takut
Fazhan tidak dapat terima kenyataan. Menurut Fir Luqman dulu, dia sendiri tidak
dapat terima apa yang diceritakan oleh pengasuhnya ketika pihak polis datang
memberitahu yang hukuman mati pada kedua orang tuanya bakal berjalan seminggu
selepas hari raya puasa. Permintaan orang tuanya untuk bertemu dengan mereka
berdua tak dapat Fir Luqman tunaikan bila Haji Bakhtiar tidak mengizinkan dia
bertemu dengan Fazhan. Akhirnya mereka hanya sempat bertemu dengan Fir Luqman
sahaja.
“Aku tak tahu macam mana nak jelaskan pada kau. Berat hati
aku nak berterus terang. Aku takut kau tak boleh terima kenyataan. Aku takut
lepas ni kau malu pada orang sekeliling kau termasuk dengan anak-anak isteri
kau.”
“Malu sebab apa?” Tanya Fazhan mendesak.
“Sebab..” Jefri tidak mampu teruskan bicara. Memberitahu
sebab sebenar seolah memalukan sahabatnya yang dah lama pergi sekaligus
menjatuhkan maruah Fazhan yang sememangnya tidak tahu apa-apa.
“Sebab apa?” Jerkah Fazhan tidak sabar.
“Sebab korang berdua anak penagih dan pengedar dadah.!” Akhirnya dengan
lemah Jefri dapat jua teruskan kata-kata.
Fazhan terduduk lemah selepas mendengar penjelasan ringkas
Jefri. Patutlah Jefri sukar nak menyebutnya. Rupa-rupanya memang memalukan dia
pun..
Jefri memeluk bahu Fazhan untuk meredakan perasaan Fazhan
yang sedang bergolak. Sambil-sambil itu diceritakan segala-galanya apa yang
pernah diceritakan oleh Fir Luqman padanya. Tiada satu pun yang tertinggal.
Harapannya agar selepas ini dia tidak lagi berasa was-was ketika berbual dengan
Fazhan. Jika selama ini, dia terpaksa menjaga pertuturan agar rahsia itu tidak
terbongkar. Tapi selepas dapat diluahkan semua, hatinya merasa lapang dan lega.
“Aku harap kau jangan salahkan abi kau. Dia buat semua ni
untuk kebaikan kau juga. Dia sayangkan kau. Sebab tu dia tak mahu kau tahu. Dia
takut kau rasa terasing.” Jelas Jefri perlahan.
Fazhan menggigit
bibir menahan geram. Bila mendengar Jefri cakap begitu, gigitannya
dilepaskan perlahan-lahan. Bila difikir-fikir balik, ada benarnya apa yang
Jefri katakan. Selama ini pun, Haji Bakhtiar tidak pernah kurang memberi kasih
sayang. Seolah-olah sedang mendidik anak sendiri. Didikan agama semua cukup
diberi. Namun dia sendiri yang memilih jalan songsang.
“Kau jangan risaulah! Aku takkan sesekali usulkan hal ni
depan abi aku. Aku tahu dia sayangkan aku. Sebab tu dia rahsiakan semua ni. Aku
sendiri tak tahu nak bayangkan, apa yang aku rasa kalau aku dapat jumpa orang
tua aku dulu.”
NIRMALA
melepaskan punggungnya atas katil empuknya. Sambil itu dilentok-lentokkan kepalanya ke kiri dan
ke kanan. Tangan kanannya pula lemah berkerja memicit-micit bahu kirinya. Penat
sungguh dia rasa selepas tamat majlis tahlil untuk arwah Fir Luqman tadi.
Walaupun penat, dia rasa puas dan berbaloi. Cadangnya, majlis tahlil untuk
arwah suaminya akan dilakukan sebulan sekali di rumahnya. Ini juga adalah
cadangan dari Fazhan sendiri.
Nirmala tersenyum lebar sambil memejamkan mata setelah
menyedari ada sentuhan di bahunya.
“Biar abang yang urutkan. Mala pernah cakap dulu, tangan
abang ni mesin urut Mala.” Kata Fazhan sambil tersenyum.
Nirmala tersenyum lalu mengekek ketawa. Dia sendiri tidak
menyangka dia akan berkata begitu selepas Fazhan selesai bercerita tentang
kisahnya semasa hilang ingatan. Tak dapat dibayangkan juga perangainya yang
turut berubah seperti perempuan yang tidak tahu malu. Terkadang dia rasa ngeri
bila bayangkan perangainya itu. Namun dia bersyukur kerana dia sudah kembali
pada Nirmala yang asal.
“Anak-anak dah tidur?” Tanya Nirmala sambil menarik tangan
Fazhan dari bahunya agar duduk di sebelahnya. Bahunya bukanlah sakit sangat
hingga terpaksa gunakan khidmad orang lain.
“Sudah. Dua-dua abang dah tidurkan tadi. Sekarang abang nak
tidurkan pulak ibu si anak.” Ujar Fazhan lalu ketawa kecil. Jemari Nirmala
dielus lembut dan sedetik kemudian dikucup lama.
“Apa abang bualkan dengan abi tadi.? Mala tengok macam
serius saja.” Soal Nirmala tenang. Tadi selepas tahlil dari jauh dia melihat
Fazhan dan mertuanya Haji Bakhtiar serius membincangkan sesuatu. Memandangkan
kerja masih banyak yang perlu diuruskan, dia abaikan saja niatnya untuk ambil
tahu.
“Tak ada apa yang serius pun. Biasa-biasa saja.”
“Ye ke? Jangan tipu Mala. Mala dapat rasa abang bincangkan
hal abang Luqman dengan abi tadi.”
Fazhan mengeluh lemah. Tanpa memandang wajah Nirmala,
pandangannya dilemparkan di satu sudut yang memaparkan sebuah lukisan seorang
perempuan sedang mengendongkan anak. Fazhan tahu, itu adalah salah satu hasil
tangan Nirmala.
“Abang cuma nak kepastian. Abang nak tahu kenapa abi
rahsiakan semua ni.”
“Kenapa abang buat macam tu.? Kasihan abi! Kan kita dah
bincang hal ni..!” Tanya Nirmala kesal dengan langkah yang Fazhan ambil.
“Abang tak senang hati selagi abang tak dengar sendiri dari
mulut abi.”
“Apa kata abi?” Tanya Nirmala perlahan.
“Dia buat macam tu sebab dia sayangkan abang. Dia tak mahu
abang rasa tersisih kalau abang tahu hal sebenar.”
Nirmala mengangguk tanda faham. Sudah terbayang wajah
mertuanya yang sentiasa tenang dalam apa jua masalah. Pada mulanya dia juga
agak terkilan dengan sikap Haji Bakhtiar. Tapi bila memikirkan perasaan Fazhan,
dia terima walaupun tahu cara Haji Bakhtiar agak keterlaluan.
“Apa yang abang rasa sekarang selepas abi cakap macam tu?
Abang puas hati?”
“Entah! Abang sendiri tak tahu apa yang abang rasa. Nak kata
puas hati, macam tak puas. Nak kata tak puas, abang sendiri tak tahu.”
“Cakap berbelit-belit!” Rungut Nirmala sambil menjeling dan
tersenyum manja.
“Tapi abang puas hati bila Mala dan anak-anak menjadi milik
abang akhirnya. Abang harap sampai sana nanti Mala tetap milik abang. Abang
mahu bahagiakan Mala dan anak-anak. Ini juga janji abang pada arwah Fir.”
Nirmala tersenyum malu lalu menunduk. Hatinya turut berbunga
bila mendengar nama Fir di bibir Fazhan. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu.
“Abang suka tak kalau keluarga kita bertambah besar dan
berkembang?”
“Besar dan berkembang? Abang tak faham. Kalau besar tu abang
sukalah. Tapi berkembang tu yang abang tak faham. Mala nak suruh abang buat company baru ke untuk kembangkan
keluarga kita?” Tanya Fazhan sambil tersenyum nakal.
Nirmala menjegilkan mata lantas cubitan paling berbisa dihadiahkan
dipinggang Fazhan. Mengekek-ngekek Fazhan ketawa. Lantas tubuh Nirmala
ditarik agar rapat ke dadanya.
“Mala rasa abang mampu ke nak buat macam tu?” Tanya Fazhan
serius.
“Manalah tahukan..! abang dah jemu dengan Mala kot..”
“Takde masalah,
kenapa nak cari masalah? Dua minggu abang hidup tanpa Mala dan anak-anak, abang
dah macam orang tak betul. Mala suka tengok abang macam tu? Selama-lamanya
abang takkan jemu dengan Mala.”
Nirmala tersenyum lebar mendengar ungkapan di bibir Fazhan.
“Abang rasa Amil suka tak kalau kita tambah adik untuk dia
lagi? Takkan adik Amil sorang saja kot..! Kali ni kita doa-doa biar dapat boy pulak.” Ulas Nirmala
tersenyum-senyum sambil menatap wajah Fazhan. Melihat Fazhan seakan tergamam,
makin galak dia ketawa.
“Anak abang dah sebulan ada dalam ni. Papa dia buat-buat tak
tahu je!” Kata Nirmala menjauh sambil menggosok-gosok perutnya yang masih
kempis.
“Serius?” Fazhan
seakan tak percaya.
“Kenapa? Tak percaya? Abang kena percaya abang bakal
bergelar papa untuk anak abang yang nombor tiga. Tolong ek! Lepas ni jangan
cuba-cuba nak buat perangai lagi. Mala tak suka ada orang lain dalam keluarga
kita.”
“Tapi bukan dulu Mala pernah cakap ke, yang Mala tak kisah
kalau abang pasang empat sekali. Asalkan jangan tinggalkan Mala?”
“Tu dialog masa bila?” Tanya Nirmala geram. Bila dia ingat kembali
kata-katanya dalam video terakam Fazhan, dia seperti tak menyangka dia boleh
berfikiran begitu.
Fazhan ketawa lagi. Melihat riaksi Nirmala, dia tahu Nirmala
tak sanggup kehilangannya seperti dia sendiri yang tak sanggup kehilangan
Nirmala.
FAZHAN
tersenyum sendiri sambil berdiri depan balkoni selepas terjaga dari lena.
Bersendirian di situ buat dia rasa tenang. Langit yang cerah dihiasi bulan dan
bintang dipandang penuh teruja. Sebenarnya mimpi kehadiran Fir Luqman yang
mengejutkan dia agar segera bangun. Solat tahjud segera ditunaikan. Dia tahu
Fir pasti berbangga jika dia berjaya mencorak keluarga bahagia di samping
menjadi pemimpin yang bertanggungjawab. Dari jauh diperhatikan wajah Nirmala
yang sedang enak tidur. Ada ketenangan di wajah itu. Harapnya biarlah mimpi
yang indah hadir dalam mimpi isterinya. Jika ditakdirkan mimpi bertemu dengan
Fir Luqman pun dia tak kisah kerana yakin Nirmala akan sentiasa menjadi
miliknya hingga akhir hayatnya. Janji Nirmala semalam juga seringkali menjadi mainan
telinganya.
“Mala sayang abang sepenuh hati Mala. Walaupun Mala pernah
menyintai abang Luqman sepenuh hati, terus terang Mala katakan, Mala bahagia
dengan abang. Mala pernah cakap yang Mala nak abang buktikan yang sayang abang
melebihi abang Luqman. Alhamdulillah..apa yang Mala perhatikan sepanjang kita
bersama, abang benar-benar dah membuktikan yang abang benar-benar sayangkan
Mala. Mala janji akan terus setia pada abang. Terima kasih kerana terima Mala
dan Amil.”
Fazhan tersenyum lagi. Kali ini semakin lebar. Merenung di
dada langit yang luas, dia berbisik sendiri.
“Terima kasih Ya Allah. Aku bersyukur padaMu kerana memberi
kesempatan untuk aku bahagia. Terima kasih Fir kerana beri peluang pada aku untuk
mengecapi semua ini..” Diraup wajahnya tanda kesyukuran.
Fazhan berpaling pandang semula ke arah katil.
“Abang pun sayangkan Mala. Sangat-sangat!” Ujar Fazhan
lantas pintu cermin ditutup perlahan. Langkahnya diatur menuju ke katil di mana
tempat Nirmala sedang beradu. Wajah Nirmala ditenung lama. Meletakkan kucupan
lembut di dahi Nirmala adalah sesuatu yang mendamaikan hatinya. Dalam hati
sempat berdoa agar jodohnya dengan isteri tersayang berkekalan hingga ke
syurga.
TAMAT….
1 comment:
best citer ni..konflik+cinta..wahhh..memang best..truskan lgi..fighting..><
Post a Comment