BAB
16
“RINDU saya tak?” Tanya Aqil
Muaz selepas Zara melabuhkan punggungnya di bangku bahagian penumpang kereta
miliknya.
“Tak pun!” Serius Zara menjawab. Sedangkan dalam
hati dia bagai nak gila menahan rindu. Mendapat panggilan telefon dari Aqil
Muaz tadi, dia bagai nak melompat riang. Nasib baik dia cepat sedar. Kalau
tidak, pasti patah besi katil. Bila mendengar suara lelaki itu, dia rasa macam
nak menangis kerana terlalu seronok. Bila Aqil Muaz memberi cadangan mahu
berjumpa, dia terus bersetuju tanpa berfikir yang dia telah berjanji untuk ke
rumah Nuha kerana majlis cukur jambul anaknya. Dan akhirnya dia terpaksa
menghubungi Nuha untuk memberitahu yang dia tiba lewat. Namun dia merasa lega
kerana Aqil Muaz tak kisah jika mereka sama-sama ke rumah Nuha.
“Sampainya hatimu..!” Aqil Muaz menyanyi sebaris
dari lagu “Sampai Hati “ yang pernah dipopularkan oleh kumpulan “Spring” hingga
Zara tertawa. Keretanya yang bergerak laju ke rumah Nuha dipandu berhati-hati.
Berada di samping gadis idaman buat hatinya berbunga-bunga.
“Kenapa tak call?”
Tanya Zara kurang puas hati sambil menjeling.
“Kan saya dah cakap, tempat tu kawasan pendalaman.
Mana ada line.!”
“Alasan!” Bentak Zara perlahan.
Aqil Muaz tersentak. Walaupun suara Zara perlahan
merungut, dia masih boleh mendengar. Wajah Zara yang sedang memandang ke luar
jendela dipandang sekilas lalu memandang semula ke hadapan untuk beri tumpuan
pada pemanduannya.
“Awak rindu saya ek?”
“Perasan!”
“Habis tu, kenapa marah saya?” Tanya Aqil Muaz
kurang puas hati.
“Bila saya marah awak? Tak ada sebab saya nak marah
awak.” Balas Zara sambil matanya masih memandang ke luar. Walaupun hatinya
terkilan dan masih marah, berada bersama dengan Aqil Muaz sudah buat dia cukup
rasa bahagia.
Aqil Muaz tersenyum nipis. Timbul niatnya mahu
menceriakan keadaan.
“Awak nak tahu tak. Masa saya dekat sana, saya kenal
dengan sorang cikgu perempuan dari Seremban. Orangnya cantik. Muda. Dan masih
belum berpunya.”
Zara tersentak. Wajah Aqil Muaz pantas dipandang
tajam. Melihat wajah Aqil Muaz seperti tiada perasaan, hatinya menjadi semakin
panas. Ikutkan hati mahu saja dia keluar dari kereta itu.
“Dia kata, untuk tahu sama ada orang tu sayang atau
tidak pada kita, kita harus dulu tunjukkan rasa sayang pada orang tu. Saya cuba
tafsirkan sendiri kata-katanya tu. Masuk hari ketiga, dia tanya sama ada saya
sayang dia atau tidak. Saya tak tahu nak jawab apa, sebab saya tak faham soalan
dia. Bagi saya, perkataan sayang tu
terlalu komplek untuk dirumus. Sayang ada banyak maksud. Sayang pada ibu bapa,
kawan, sahabat, kekasih, binatang peliharaan, harta benda, ketua, guru dan
macam-macam lagilah.”
Zara diam membisu sambil telinganya tekun mendengar
setiap bait kata Aqil Muaz.
“Esoknya, dia tanya saya lagi soalan yang sama.
Kerana tak mahu bagi dia terasa hati, saya cakap yang saya sayangkan dia.”
Sekali lagi Zara tersentak. Rasa meleleh tahi
telinga mendengar cerita Aqil Muaz kerana panas yang membahang. Lantas wajah
Aqil Muaz dipandang tajam.
“Kawan awak tu dah tak ada soalan lain ke nak
tanya.? Kursus tu bertujuan untuk bina jati diri atau kursus cari laki? Awak
pun sedap je melayan perempuan macam tu! Awak pun syoklah dekat dia ek? Baik
tak payah pergi kursus!” Tempelak Zara berang lalu menjeling tajam. Wajahnya
masam mencuka. Melihat Aqil Muaz tersenyum sinis lalu ketawa, hatinya semakin
panas. Sekian lama dia menanti lelaki itu ucapkan kata sayang padanya, sampai
sekarang telinganya masih belum menjamah ucapan itu. Tapi dengan orang lain,
mudah sangat Aqil Muaz ucapkan kata sayang. Hatinya semakin sakit.
“Dengarlah dulu cerita saya ni. Cerita tak habis
lagi, awak dah pandai-pandai buat komen.” Ucap Aqil Muaz tersenyum-senyum.
Melihat riaksi tidak puas hati Zara, dia sudah dapat menangkap sesuatu apa yang
tersirat dibalik wajah Zara. Bila ingat balik cerita dari Cikgu Fauziah, menguatkan
lagi keyakinannya.
Zara diam lalu
bersandar keras di kusyen kereta. Sambil memeluk tubuh wajahnya jelas kelat
masam mencuka. Pandangnnya tajam ke hadapan jalan.
“Saya tanya dia balik. Ucapan sayang tu penting ke
pada orang perempuan? Dia kata sangat penting. Kalau tak cakap, mana orang nak
tahu. Saya fikir, ada benarnya jugak dia cakap macam tu sebab orang perempuan
ni penuh dengan sifat malu. Kalau orang lelaki tak cakap, sampai bila-bilalah
tak tahu sama ada orang tu sayang dekat kita atau tidak. Lalu saya pun cakap
dekat dia. Saya sayangkan kawan-kawan saya termasuk dia. Tapi saya lebih
sayangkan kekasih saya. Kekasih saya yang utama dah tentu pada yang Esa. Yang
kedua ibu bapa dan ahli keluarga saya. Dan yang ketiga pada kekasih perempuan
saya merangkap bakal isteri dan ibu pada anak-anak saya. Dia senyum lepas saya
cakap macam tu. Dia kata saya akan bertemu dan bahagia dengan seseorang yang
benar-benar cintakan saya.”
Zara telan liur dalam diam. Untuk menyampuk
kata-kata Aqil Muaz, dia tiada kekuatan. Takut nanti tersalah lagi tafsiran.
“Saya dah lama fikirkan tentang perasaan seorang
perempuan ni. Nak kata lama kenal, rasanya macam baru lagi. Nak kata baru, tak
juga. Sebab sejak pertama kali jumpa, hati saya dah terpikat pada dia.
Sebenarnya saya teringin nak rasa apa yang pernah Rasulullah rasa ketika Siti
Khatijah melamar Rasulullah. Tapi sampai sekarang, impian saya tu hanya jadi
angan-angan sajalah! Sebab saya yakin, dia takkan mengaku selagi saya tak
mengaku dulu. Kawan saya tu nasihatkan saya supaya cepat bertindak. Dia takut
saya putih mata bila orang yang saya sayang tu dikebas orang.” Sayu suara Aqil
Muaz menutur kata-kata.
Zara menunduk sambil bermain-main dengan jemarinya.
Untuk mengangkat kepala memandang Aqil Muaz, dia tak sanggup kerana dia seakan
faham apa yang disampaikan oleh Aqil Muaz tadi. Tercengang-cengang Zara bila
Aqil Muaz berhentikan keretanya di bahu jalan. Baru sedar kereta yang Aqil Muaz
pandu sudah berada di hadapan rumah Nuha.
Dengan lafaz bismillahirohmanirrohim, lengan kiri
Zara yang bersarung ditarik perlahan. Pada mulanya Zara menepis, tapi dia
terpaksa akur setelah Aqil Muaz tetap berkeras menarik tangannya.
Perlahan-lahan sarung tangan yang membalaut tangan Zara diselak sedikit hingga
terserlahnya pergelangan tangan Zara. Melihatkan kesan lebam di tangan Zara
masih jelas kelihatan, Aqil Muaz menggeleng lemah sambil mengeluh berat.
Zara mula terfikir-fikir dari mana Aqil Muaz tahu
hal ini. Setahunya dia hanya menceritakan hal ini pada sepupunya Fauziah
sahaja. Pada Nuha juga dia tak sampaikan kerana yakin Nuha pasti membebel
panjang. Dan kini dia yakin sepupunya sudah menceritakan hal sebenar pada Aqil
Muaz. Dan tak mustahil juga jika Fauziah turut ceritakan tentang perasaannya
pada lelaki itu. Siap kau Mek Yah!
“Kenapa tak cakap dekat saya?” Sayu Aqil Muaz
bertanya.
“Ss..saya..” Zara tidak dapat teruskan kata-kata.
Rasa malu sangat bila tangannya disentuh lembut oleh Aqil Muaz.
“Ini semua sebab sayakan?” Tanya Aqil Muaz lemah.
Zara menggeleng kepala.
“Kalau saya jawab panggilan awak malam tu, mesti
perkara ni tak berlakukan?”
“Benda dah lepas. Tak payahlah nak ingat. Lagipun
saya tak apa-apa. Sikit saja ni. Awak tak payah risaulah!” Ujar Zara sambil
berusaha menarik tangannya dari disentuh lama oleh lelaki yang bukan muhrimnya.
“Kalau awak tahu bertapa sayangnya saya pada awak,
awak takkan cakap macam tu.” Sayu sekali nada suara Aqil Muaz.
Zara tersentak. Wajah Aqil Muaz yang masih tunduk
memandang tangannya ditenung lama. Rasa seperti mimpi bila ucapan sayang terbit
dari mulut Aqil Muaz sendiri.
“Saya sayangkan awak, Zara. Dah lama saya simpan
perasaan ni. Tapi saya takut nak cakap sebab saya tahu dalam hati awak masih
ada dia.”
Zara tertunduk lemah. Memang diakui dia masih tidak
boleh lupakan Fairuz Imsyar. Namun dia tetap harapkan Aqil Muaz menjadi penawar
pada kesakitannya.
“Sakit lagi?” Tanya Aqil Muaz sambil mengurut
perlahan tangan Zara. Walaupun peristiwa itu sudah sebulan berlalu, dia yakin kesakitan itu masih Zara rasa kerana kesan lebam masih jelas kelihatan. Selepas mendapat tahu tentang berita itu dari Cikgu
Fauziah, dia tidak senang duduk. Untuk berjumpa dan bertanya sendiri dengan
Zara dia tiada kesempatan kerana Cikgu Fauziah memberitahunya ketika saat-saat
akhir dia mahu berangkat ke Sibu. Ketika
berada di Sibu, ingatannya hanya pada Zara. Tak senang duduk dia di sana kerana
rasa bersalah.
Zara tidak menjawab malah hanya mengangguk sekali
sambil matanya melihat saja urutan tangan Aqil Muaz. Berkerut-kerut wajahnya
bila sentuhan jari Aqil Muaz terkena ditempat yang sakit. Sesekali dia
mendengar sesuatu yang dibisikkan oleh Aqil Muaz. Hatinya sejuk bila menangkap
apa yang dibisikkan oleh Aqil Muaz. Rupanya Aqil Muaz sedang membacakan
potongan ayat al-quran sambil mengurut tangannya.
“Lain kali tolong jangan rahsiakan apa-apa dari
saya. Saya tak boleh terima dengan apa yang jadi pada awak. Saya tahu awak kuat
terima dugaan macam ni. Tapi tidak pada saya. Memang saya ni lelaki. Sepatutnya
saya yang lelaki harus kuat. Tapi saya tak kuat bila jadi sesuatu pada awak.
Seminggu saya dekat sana, saya tak
fikirkan benda lain selain awak. Lima hari saya cuba cari jalan agar dibenarkan
keluar dari kawasan tu untuk hubungi
awak. Tapi tak boleh. Saya rindukan awak, Zara. Saya terlalu rindukan awak kerana saya terlalu cintakan awak.” Akhirnya
terluah jua ucapan keramat itu dari bibirnya. Harapannya selepas ini ucapan itu
akan dapat didengari dari mulut Zara.
Gugur juga air mata gembira Zara. Senyumannya
melebar. Dengan sekali anggukkan kepala Zara, Aqil Muaz tersenyum lebar sambil
mengucapkan syukur.
“Oit! Berapa lama korang nak bercinta dalam tu.
Masuk cepat!” Tempik Nuha sambil mengetuk cermin kereta.
Zara dan Aqil Muaz tersenyum-senyum malu lantas
cepat-cepat melangkah keluar dari kereta.
“Amboi-amboi! Kenyang ke bercengkerama dalam tu?”
Tanya Nuha tersenyum-senyum sambil
memeluk Zara. Sejak tahu Zara rapat dengan Aqil Muaz, dia yang paling gembira.
Bersemangat dia ucapkan tahniah walaupun ketika itu dia tak pasti sampai tahap
mana hubungan Zara dengan Aqil Muaz. Bila Zara mengaku yang Zara mula sukakan
Aqil Muaz, bersemangat dia memberi sokongan agar Zara cepat luahkan perasaan
pada Aqil Muaz hingga Zara naik rimas. Apa yang diharapkan agar kelukaan Zara
cepat terubat. Berbulan dia menjadi penasihat tak bergaji selepas Zara putus
tunang kerana tidak sanggup melihat Zara menyiksa diri kerana berbulan-bulan
tidak makan kerana makan hati.
“Sorry
la..!” Balas Aqil Muaz sambil tersengeh-sengeh. Pintu kereta ditutup rapat.
“Terjerit-jerit aku panggil korang. Nak tak nak aku
terpaksa keluar rumah ketuk juga cermin kereta ni. Kalau tak, sampai sudahlah
korang dalam nikan?” Bentak Nuha sambil mencekak pinggang dan menahan senyum.
“Kau masak apa?” Soal Zara cuba mengelak dari
dibebel oleh Nuha.
“Sebab kau kata nak datang, aku masak makanan
kegemaran kau. Laksa pineng special.!”
Teruja Nuha memberitahu.
“Wah! Orang johor dah pandai sekarang ni. Terima
kasih! Tapi kau tak boleh makan tau laksa tu.”
“Aku tahu! Mak dengan ibu mertua aku dah pesan
awal-awal tadi. Tapi sebab kau, aku masak jugaklah. Lagipun kau yang ajar aku
dulu, aku trylah! Akhirnya aku
berjaya. Kalau tak sedap, kau diam sajalah. Tapi kalau sedap, kau puji sebulan
pun aku sanggup dengar.”
Zara ketawa mengekek mendengar celoteh Nuha.
Diperhatikan wajah berseri Nuha semenjak bergelar ibu. Ada sedikit rasa
cemburu. Dia yakin sendainya dia jadi kawin dengan Fairuz Imsyar dulu, pasti
dia sekarang sedang berbadan dua menati kelahiran pertama.
No comments:
Post a Comment