PENGHARGAAN

Assalamualaikum..
Salam sayang untuk semua kerana sudi2 mengintai di ruangan laman saya yg baru nak bernafas ni.
Sblm jemari sya terus menari,ribuan terima kasih pada adik sya iaitu bloger Senyum-Senyum Diana Rashid sbb tanpa dia, blog sya ni kompem x ujud. Thnk n lebiyu..
Almaklumlah..kakak dia ni slow sikit tentang IT-IT ni..hehehe..
Yg ke 2 plk adalah insan terchenta sya. Tak lain tak bukan dh tentulah Encik sya. Klu tak kerana dia, sampai sekarang karya sya ni dok dlm pendrive jelah..
Utk adik beradik sya yg sering beri semangat..kakyung, Ani, azam, ain, Rina, Ya n abg Jeri.. terima kasih byk2.
Khas untuk mak, terima kasih yg x terhingga. Wlupun bidang ni kurang digemari, sya anggap itu sebagai cabaran untuk berkarya.
Pada sahabat2 Ding Dong..thnk 4ever n ever. Kata2 semangat dan sokongan kalian amat sya hargai dan sanjungi. Kalian mmg best..edea korang adalah yg terbaik!!
Buat kwn2 yg lain, kata2 dan penghargaan korang mmg tersemat dalam hati. Kompem sya x lupa.
Dari itu..sudi2lah mengintai dan membaca krya sya ni. Jgn lupa mengkritik dan mengomen.
Klu nk memuji, sya mohon jgn tinggi2 sgt. Takut sya terperasan hebat. hehehehe...
Risau jgk..bila dah rasa hebat, kompem senang lupa diri dan jatuh ..
Okey...Selamat Membaca..


Thursday, 18 December 2014

BAB 11 Kata Hati Tak Terkata

BAB 11
ZARA resah sendiri di tepi jalan. Tayar keretanya yang pancit buat dia rasa macam nak menjerit geram. Manakan tidak, tayar sper dalam bonet kereta terlupa pula dia isikan angin. Nak tak nak, dia terpaksa memanggil kereta tunda menarik keretanya untuk dibawa ke bengkel. Ingin dihubungi Nuha, dia tak sampai hati kerana sahabatnya itu sedang dalam pantang. Nak dipanggil sepupunya, dia rasa macam menyusahkan kerana sepupunya yang sudah berkeluarga itu pasti sibuk melayan anak-anak dan suami makan malam. Memandangkan jam sudah menunjukkan hampir ke pukul lapan malam, dia nekad mahu menunggu hingga hingga kereta tunda tiba.

Terlintas juga mahu memanggil Aqil Muaz. Tapi dia segan. Selama ini pun apa-apa masalah, dia selesaikan sendiri. Walaupun Aqil Muaz sering menawarkan khidmatnya jika Zara inginkan bantuan, Zara tetap rasa tidak selesa. Lagipun dia tahu hari ini tentu Aqil Muaz sedang sibuk untuk aktiviti sekolah esok. Dia tidak mahu terlalu berharap pada orang. Baginya, selagi dia mampu uruskan sendiri, dia akan berusaha.

Jam dah ke angka lapan setengah malam. Zara semakin resah. Dicuba lagi hubungi pihak kereta tunda, namun tiada balasan. Akhirnya dengan rasa mengalah, dia tebalkan muka menghubungi Aqil Muaz. Tapi sayang, berkali-kali dia cuba,  panggilannya langsung tetap tidak berjawab.

“Kenapa dik?” Tegur seeorang sambil perlahankan keretanya.

Err..tayar kereta saya pancit.” Zara beranikan menjawab kerana waktu itu dia amat perlukan bantuan. Melihatkan dari gaya lelaki itu seperti boleh dipercayai, dia cuba berfikiran positif walaupun hatinya was-was.

“Ada tayar sper?” Tanya lelaki itu lagi sambil berjalan ke arah Zara selepas pintu keretanya ditutup.

“Ada. Tapi saya lupa isikan angin.”

“Hm..saya ada tayar sper tapi bukan sama jenis dengan kereta awak.”

“Tak apalah! Saya tunggu kereta tunda datang tarik kereta saya.”

“Apa kata awak ikut saya. Biar saya hantar awak. Kereta ni esok saja datang ambil.”

“Eh! Tak payahlah. Terima kasih saja. Buat susah saja.” Zara cuba menolak cara baik. Untuk meninggalkan keretanya di situ semata-mata mahu mengikut orang yang tidak dikenali, rasanya baik tak payah. Dia sanggup menunggu lama di situ dari percaya pada orang.

“Apa yang susahnya. Tambah lagi orang cantik macam adik ni bahaya tunggu sorang-sorang tepi jalan dalam gelap ni. Marilah!” Ujar pemuda itu lantas cuba mencapai tangan tangan Zara. Namun cepat saja Zara menepis.

“Bahaya awak duduk sini. Jom!” Desaknya lagi.

“Kejap lagi kawan saya sampai.” Zara cuba berbohong. Sambil-sambil itu tak henti-henti jarinya menekan nombor telefon bimbit Aqil Muaz.

“Siapa yang nak lalu kawasan gelap waktu ni? Awak jangan haraplah ada orang yang nak bantu awak. Baik awak ikut saja saya.” Sinis lelaki itu menjawab.

Kali ini dengan pantas tangan Zara ditarik kuat hingga Zara sedikit menjerit kerana sakit di pergelangan tangannya yang dirasa sedikit melecet. Dalam hati tak henti-henti berdoa agar dirinya tidak diapa-apakan.

“Tolonglah encik! Kalau encik nak duit, saya boleh bagi.” Zara tegas bersuara sambil menarik-narik tangannya. Ikutkan hati, mahu saja diangkat kakinya ke muka lelaki itu. Memandangkan dia berbaju kebaya, pergerakannya sedikit terbatas.

“Nak buat apa dengan duit kau. Dari aku ambil duit, baik aku ambil kau!” Ujar lelaki itu lalu ketawa besar. Termengah-mengah dia berusaha menarik tangan Zara agar mengikutnya.

“Awak dah lebih.! Ingat saya takut sangat dengan awak! Awak tak kenal lagi siapa saya. Bapak saya guru silat. Tokwan saya guru wayang kulit. Sekali saya sumpah awak jadi belalai gajah, tergolek-golek awak nanti!” Tempik Zara  berang. Melihat lelaki itu ketawa, dia rasa meluat.

Sedang Zara berusaha melepaskan diri, sebuah kereta berwarna putih berhenti dihadapan mereka. Terkebil-kebil mata Zara memandang seorang lelaki keluar dari kereta itu dan dengan selamba mengeluarkan sebatang kayu baseball.

“Apa hal ni?” Tegur Adib Mirza. Dari jauh tadi dia perhatikan ada sesuatu yang tak kena.

“Jangan masuk campur. Ni hal rumah tangga aku.”

“Tipu! Saya bukan isteri dia. Dia cuba buat tak baik pada saya. Tayar kereta saya pancit. Tiba-tiba dia suruh saya ikut dia.” Pantas Zara cuba menceritakan hal sebenar sambil cuba melepaskan genggaman lelaki itu.

“Lepaskan dia!” Tegas Adib Mirza mengarah.

“Yang kau sibuk sangat, kenapa?”

“Awak ni pekak ek? Dia kata lepas, lepas jelah!” Zara menyampuk.

“Aku kata lepaskan dia.” Tegas Adib Mirza berkata lagi sambil bermain-main dengan kayu di tangannya. Melihat Zara seperti tiada rasa gentar, dia sedikit hairan.

Zara sedikit lega bila pergelangan tangannya dilepaskan oleh lelaki tadi. Paling buat dia lepaskan nafas lega bila dengan pantas lelaki itu segera melangkah ke arah keretanya dan memecut pergi.

“Awak nak pergi mana ni?” Serius Adib Mirza bertanya sambil melihat jam di tangannya.

“Saya nak balik rumah dekat Taman Tanjung Puteri. Tapi tayar kereta saya pancit. Ada tayar sper tapi saya lupa nak isi angin.”

“Awak dari mana?”

“Sekolah Menengah Pasir Gudang.”

Adib Mirza terangguk-angguk faham. Sedarlah ia sekarang sedang berhadapan dengan seorang guru sekolah. Tag nama yang masih tergantung di tudung Zara dipandang sekilas. Melihat nama itu dia tersenyum dalam diam. Baginya nama itu secantik orangnya.

“Apa kata awak guna tayar sper saya. Kebetulan kereta awak sama jenis dengan saya. Rasanya tak jadi masalah.”

“Tak menyusahkan encik ke?”

“Panggil saya Adib. Adib Mirza nama saya. Saya lagi susah hati kalau tinggalkan awak dekat sini. Dah lewat ni. Tak pun biar saya saja yang hantar awak balik.”

Zara tersentak. Ajakan pemuda itu sama seperti lelaki tadi. Zara kembali resah.

“Tau takut! Sekarang awak ambil tayar saya. Biar saya yang tukarkan.” Kata Adib Mirza setelah perasan riak wajah Zara seperti curiga.

Akhirnya Zara terpaksa bersetuju dengan cadangan Adib Mirza. Memandangkan hari dah lewat malam, dia hanya ikut saja apa yang dicadangkan.

Sementara menanti Adib Mirza selesaikan tugasnya, Zara hanya memerhatikan saja sambil melayan soalan Adib Mirza.

“Berani awak lalu sini malam-malam macam ni. Tak takut?”

“Masa balik tadi jalan cerah lagi. Sebab tu saya tak takut. Lagipun saya memang dah biasa jalan sini. Bila dah mula gelap, seramlah jugak!”

“Awak tau! Baru beberapa hari lepas sepasang kekasih kena tahan dekat sini selepas kena rompak. Yang si lelaki kena bunuh. Perempuan pulak kena rogol sampai mati.”

Zara mengetap bibir sambil beristigfar dalam hati. Tegak bulu romanya mendengar cerita Adib Mirza.

“Mana awak tahu?”

“Saya ada kawan dengan ramai polis dekat sini. Macam-macam cerita yang dia orang bagitahu saya.”

Zara mengangguk faham.

“Awak mengajar sekolah sesi petang?”

“Hm.” Zara menjawab sepatah sambil mengangguk.

“Lain kali pastikan awak balik berteman. Sorang-sorang macam ni bahaya. Suami?” Adib Mirza cuba serkap jarang.

“Saya belum kawin.” Jawab Zara perlahan.

Adib Mirza senyum dalam diam.

Boyfriend?” Sekali lagi Adib Mirza cuba serkap jarang.

“Tak ada. Saya tak ada sesiapa dekat sini. Tapi saya ada sepupu yang dah berkahwin. Segan pulak nak mintak tolong dia tadi.”

“Kalau saya tak datang tadi, apa awak buat?”

“Lawan jelah!”

“Beraninya awak! Habis, tadi kenapa tak lawan?”

“Mula-mula tadi memang nak lawan. Tapi awak tengoklah pakaian saya ni. Nak angkat kaki pun payah. Kain saya ni sempit. Kebetulan awak dah datang. Saya diam jelah. Terima kasihlah banyak-banyak sebab selamatkan saya. Kalau tak, dah tentu saya terpaksa koyakkan kain kebaya saya ni untuk buka langkah.”

Adib Mirza terkekeh ketawa mendengar cerita Zara. Dalam diam dia mula menyenangi sikap Zara yang ceria. Walaupun dalam keadaan darurat, Zara masih boleh bersikap tenang.

“Awak kerja dekat mana? Nampak awak ni macam orang besar-besar. Dari mana nak kemana?” Zara mula bertanya pula mengenai Adib Mirza setelah dia mula senang berbual dengan pemuda itu.

“Syarikat saya dekat JB. Saya baru balik dari tapak projek perumahan dekat Taman Mawar. Ni dalam perjalanan nak ke rumah adik saya dekat Air Biru. Oh! Lupa pulak. Adik saya tu pun cikgu sekolah menengah. Tapi saya tak ingatlah pulak nama sekolah dia mengajar.”

Zara mengangguk-angguk faham. Tanpa memikirkan mahu bertanyakan tentang adik Adib Mirza, Zara terus saja bertanyakan hal lain.

“Awak dah kawin?” Tanya Zara yang hanya sekadar mahu berbual kosong.

“Belum. Tak ada yang nak.” Jawab Adib Mirza sayu.

Zara menyebikkan mulut hingga Adib Mirza tertawa kecil.

“Memilih sangat kot!” Tempelak Zara cuba bergurau.

“Tak juga! Saya susah nak percaya dekat perempuan.”

“Kerana pengalaman atau kerana takut perempuan?”

“Saya tak ada pengalaman bercinta dan saya tak takut dengan perempuan. Malah saya tak takut bercinta. Tapi saya takut kecewa.”

Zara tersenyum hambar. Kenangan dengan Fairuz Imsyar terimbas seketika. Namun cepat-cepat ditepis buang selepas melihat Adib Mirza bangun sambil mengesat peluh. Cepat-cepat dia buka pintu kereta dan mengambil beberapa helai tisu dan hulurkan pada Adib Mirza.

“Kalau awak jadi calon saya, awak sudi tak?” Adib Mirza cuba menguji Zara sambil tersenyum. Peluh di dahinya dilap hingga kering. Lengan baju kemeja yang dilipatkan hingga ke siku, dilurutkan kembali.

“Boleh boleh boleh. Boleh blah!” Jawab Zara lalu ketawa besar bila Adib Mirza ketawa mengekek.

“Awak ni kelakarlah! Saya senang berbual dengan awak.”

Ermm..saya pun senang bersembang dengan awak. Nasib baik saya jumpa awak malam ni. Kalau tidak, dah arwah saya tadi.”

“Saya pun rasa bertuah dapat jumpa awak. Ini kali pertama saya jumpa perempuan ceria macam awak. Awak memang macam ni ek? Sentiasa ceria.”

Zara tersengeh-sengeh. Malu mahu berterus terang. Padanya biarlah orang menilai tentang dirinya. Untuk dia mengaku sendiri, rasanya tidak sama sekali.


“ABANG rasa dah jatuh cintalah Qil!” Kata Adib Mirza pada Aqil Muaz yang sedang kemaskan tempat tidur untuknya. Cadangnya mahu ceritakan hal itu pada adiknya ketika mereka sedang makan malam. Tapi terpaksa ditangguhkan kerana tahu dia akan diketawakan.

“Dengan siapa abang?” Teruja Muaz bertanya selepas mengekek ketawa. Faham sangat dengan sikap abangnya yang tidak gemar berbual fasal perempuan. Dulu jika dia cuba buka topik perempuan, sah-sah dia kena dapat pangkat miang.

“Adalah..!” Balas Adib Mirza tersenyum-senyum.

“Alah..! nak rahsia-rahsia pulak. Macamlah tak biasa dengan Qil” Aqil Muaz tidak puas hati.

“Nanti-nantilah abang kenalkan dekat Qil bila abang dah yakin dengan dia. Abang pun tak kenal sangat dengan budak ni. Baru jumpa tadi. Abang selamatkan dia. Naris-nyaris kena cekup dengan penyangak. Tapi yang abang tak sangka, dia nampak cool walaupun dalam keadaan macam tu. Abang yang siap keluarkan kayu baseball pun rasa cuak. Berani betul budak tu.!” Cerita Adib Mirza tersenyum-senyum. Masih terbayang-bayang wajah Zara yang ceria.

“Maknanya..abang lambat sampai tadi sebab baru lepas jadi hero tamillah  ek?” Muaz cuba berseloroh.

Haah! Seronok pulak sekali sekala pegang watak Rajnikhan.” Balas Adib Mirza lalu sama-sama ketawa dengan Aqil Muaz.

“Cantik tak bang?”

Hmm..bolehlah! ada iras-iras macam Elly Mazlin. Comel muka dia, bertudung.”

“Wah! Cun tu..! Kerja?” Aqil Muaz terus mengorek rahsia.

“Hm. Cikgu. Macam Qil. Tapi abang tak ingat sekolah mana.”

Aqil Muaz tersentak. Mengingatkan rupa yang Adib Mirza sebutkan serta kerja si gadis tadi, hatinya sedikit berdebar. Namun cepat-cepat dia menghalau rasa curiganya itu.

No comments: