BAB
14
“PUAN
MALA.!”
Nirmala terkejut lantas segera menoleh ke belakang bila mendengar
namanya dilaung oleh beberapa orang ketika dia tiba di lobi. Melihat
wajah-wajah staf Fir Luqman buat
hatinya tersenyum senang kerana masih ada yang ingat padanya.
“Puan dah sihat?” Tanya Susan teruja selaku setiausaha Fir
Luqman. Nirmala angguk laju sambil tersenyum. Lima tahun berlalu sudah banyak
perubahan pada gadis keturunan tionghua itu. Begitu juga dengan Tina, Nabil dan
Ling.
“Rindunya kami dekat puan. Nanti belanja kami makan ek?”
Seloroh Tina. Mengekek-ngekek Susan, Ling dan Nabil ketawa. Pipi Nirmala diusap
lembut.
“Ait! Kenapa pulak? Sepatutnya awak semualah kena belanja sebab hari ni saya kembali semula di sini ” Tanya Nirmala hairan sambil tersenyum. Niatnya hanya mahu berseloroh.
“Denda sebab mendera kami kena buat kerja puan Mala. Nasib
baik sebab puan. Kalau sebab orang lain, tak ingin kami nak buat.?” Bentak
Nabil.
“Sebab suami saya jugak..!” Balas Nirmala sayu. Sebaknya
ditahan. Di rumahnya tadi, dia pasang niat untuk terus kuat. Dia tahu hatinya
masih belum kuat, tapi dia akan cuba.
“Saya mintak maaf puan. Tak terniat pun nak bagi puan
terasa.” Balas Nabil kesal.
“Takpe..saya faham
maksud awak. Macam mana kerja sekarang? Siapa yang handle?” Tanya Nirmala sejurus selepas tarik nafas dalam.
“Encik Jefri. Tapi sekarang dia sibuk dengan syarikat dia.
Kasihan betul dengan bos baru tu. Ke hulu ke hilir uruskan dua syarikat dalam
serentak. Dasyat betul dia! Sampai tak ada masa nak fikir fasal girlfriend.”
Terkekeh-kekeh Nirmala dan yang lain mendengar kata-kata
Nabil.
“Mulai hari ni saya yang akan ambil alih. Nanti saya cakap
dengan Jefri.”
“Wah..! tak lama lagi bolehlah kita makan nasi minyak.”
“Siapa yang nak kawin?” Teruja Nirmala bertanya.
“Siapa lagi. Encik Jefrilah..!” Jawab mereka berempat.
Berderai tawa mereka semua termasuk Nirmala. Kalau Jefri
tahu mereka mengupat dia di belakang, teruklah telinga mereka menanah.
Terhibur sedikit hati Nirmala dengan layanan staf-stafnya. Sekurang-kurangnya rasa
rindu pada Fir Luqman dapat dikurangkan.
“PUAN
MALA..! ada orang nak jumpa.”
Suara Susan kedengaran di mesin intercome.
“Siapa?”
“Encik Khir Fazhan.”
Nirmala terdiam mendengar jawapan Susan. Belum bersedia lagi
untuk dia bersemuka dengan suami barunya itu. Hampir dua puluh saat dia biarkan
Susan menanti akhirnya dibenarkan juga Fazhan masuk. Dalam perkiraannya sudah
tentu ada sesuatu yang ingin disampaikan berkenaan dengan Amil Zaquan. Malam
semalam sebelum tidur, dia hubungi anaknya itu melalui telefon bibit Maklong
Hasmah. Lapang dadanya bila Amil Zaquan benarkan dia tidur di rumah Fir Luqman
dengan syarat, hari ini Nirmala kena balik walau sekejap.
Pintu biliknya kedengaran diketuk seseorang. Nirmala arahkan
masuk tanpa memandang wajah gerangan yang tiba di hadapannya.
“Boleh abang duduk?” Tanya Fazhan sopan. Bila melihat
Nirmala hanya mengangguk sekali tanpa melihat wajahnya, Fazhan terus saja
melabuhkan punggungnya di hadapan Nirmla.
“Saya sibuk sekarang ni. Strait
to the point. Apa tujuan awak datang sini? Rasanya kita tak pernah
berurusan dalam apa jua projek.” Tegas Nirmala bersuara sambil meletakkan pen
yang dipegang. Badannya disandarkan selesa di kerusinya. Wajah Fazhan dipandang
tepat sambil memeluk tubuh.
“Abang nak Mala balik rumah hari ni. Dah dua hari Mala
tinggalkan anak-anak. Mala tak kasihan pada anak-anak?”
“Itu je? Okey,
nanti saya balik.” Pantas Nirmala jawab tanpa memandang wajah suaminya.
“Lagi satu abang nak tahu. Apa Mala buat dekat sini?” Serius
Fazhan bertanya. Sebelum ke pejabat Fir Luqman, Fazhan terlebih dahulu mencari
Nirmala di rumah. Bila mendapat tahu dari Pak Mihat yang Nirmala ke pejabat,
dia sudah mula tak senang hati.
“Kerja.” Jawab Nirmala ringkas.
“Tempat Mala bukan di sini.” Tegas Fazhan bersuara setelah
tidak puas hati dengan jawapan yang Nirmala berikan sebentar tadi.
“Habis, dekat mana?” Nirmala angkuh bertanya sambil
menyungkitkan kening tebalnya.
“Mala tahukan, sekarang Mala adalah pengarah dekat syarikat
ayah.?” Fazhan cuba menjelaskan agar Nirmala faham di mana tempatnya yang
sebenar.
“Entah! Tak tahu pun!” Jawab Nirmala angkuh sambil
menyungkitkan bahu.
“Please Mala!
Sampai bila nak berdendam macam ni?” Fazhan bagai sudah tiada akal mahu
menjelaskan.
“Siapa cakap saya berdendam.?” Suara Nirmala masih di tahap
normal.
“Cara Mala tu abang dah tahu Mala memang marah abang.”
“Hebat awakkan! Boleh baca fikiran orang. Saya sendiri pun
tak pandai nak buat macam tu. Kalaulah saya tahu buat macam awak, dah lama saya
boleh elak kematian suami saya. Hidup saya pun tak tertekan macam ni.”
Fazhan tersentak dan mula serba salah. Kalaulah Nirmala tahu
perkara sebenar, pasti dirinya lebih disalahkan.
“Abang…”
“Awak pergilah dari sini. Saya nak bersendiri.” Ucap Mala
sayu.
“Tolong maafkan abang!” Fazhan merayu.
“Okey! Saya
maafkan awak.” Pantas saja Nirmala bersetuju tanpa memandang wajah Fazhan.
“Jelas kemaafan Mala tu tak ikhlas.” Ujar Fazhan sayu.
“Terpulanglah awak nak cakap apa pun.” Jawab Nirmala angkuh.
“Please! Abang
merayu. Hukumlah abang andai itu dapat meredakan rasa amarah Mala pada abang.”
Nirmala terdiam sejenak sambil berfikir. Wajah Fazhan
dipandang penuh kebencian.
“Saya akan maafkan awak.” Tiba-tiba Nirmala bersuara.
Serius. Kali ni air muka Nirmala tidak lagi acuh tak acuh seperti tadi.
“Tapi dengan syarat!” Nirmala menyambung..
Fazhan menanti sabar walaupun dia sudah mula cuak. Tak dapat
dibayangkan andai syarat yang menjadi pilihan Nirmala nanti adalah berat.
“Tolong jangan ganggu apa yang saya nak buat. Mulai hari ni,
saya akan usahakan syarikat suami saya ni sehingga anak kami benar-benar
berkemampuan untuk duduk di kerusi ini.”
“Tapi syarikat ayah perlukan Mala!” Bantah Fazhan selepas
merasa sedikit lega walaupun syarat yang diberikan oleh Nirmala tadi sedikit
mengecewakan hatinya.
“Awakkan menantu pilihan. Apa kata awak saja yang ambil
alih.? Saya yakin ayah mertua awak tu mesti setuju. Kompem harta dia tak kemana.”
Fazhan mengetap bibir mendenngar penjelasan Nirmala. Sinis
benar bunyinya hingga sindiran itu dirasakan tajam menikam hati. Selama ini pun
dia tidak pernah berhasrat mahu berada di tempat paling tinggi dalam syarikat.
Berjawatan sebagai akauntan syarikat pun sudah buat dia banyak bersyukur.
“Mala tak kasihankan ayah? Dia dah tua.” Lembut saja suara
Fazhan merayu. Mengharapkan hati Nirmala lembut kembali.
“Kasihan?” Nirmala ketawa kecil. “Awak dengan mertua awak
ada kasihankan saya? Di mana awak sebagai sahabat pada suami saya? Ada awak
tolong dia dapat tempat dalam hati ayah saya? Sedangkan pada masa tu awak
memang rapat dengan ayah saya. Sekarang suami saya dah tak ada. Kalau saya
tolong mertua awak tu, siapa pulak nak uruskan harta suami saya? Anak kami
masih kecil. Kena tunggu dia habis belajar baru boleh nak harapkan dia.”
Fazhan lepaskan keluhan berat. Tiba-tiba ayat Nirmala tadi
buat jiwanya direntap hebat.
“Tolong fahami keadaan abang. Tolong terima hakikat sekarang
abang suami Mala. Antara Mala dan Fir dah tak ada apa-apa ikatan.” Tegas Fazhan
berkata. Sakit hatinya bila isterinya masih mengatakan Fir Luqman adalah
suaminya.
Wajah Nirmala semakin panas membahang.
“Hakikat yang awak rancang sendiri. Awak ambil kesempatan
atas kelemahan saya. Awak sendiri tahu saya hilang ingatan. Tapi kenapa awak
masih kawin dengan saya? Ikatan antara
saya dan suami saya memang dah terputus bila awak nikahi saya. Tapi hati saya
tetap pada suami saya. Dan ikatan antara awak dengan saya pun bila-bila masa
pun boleh diputuskan. Sekarang siapa yang harus faham? Saya?” Herdik Nirmala
berang. Wajah Fazhan ditatap tepat.
Tergamam Fazhan seketika mendengar herdikan Nirmala. Melihat
air mata yang mengalir deras di pipi bersih isterinya, Fazhan turut terasa
lemah. Kata-kata Nirmala tadi buat dia berdebar-debar. Tak sanggup rasanya mahu
memutuskan ikatan yang baru dibina. Tambah-tambah lagi dengan orang yang telah
lama bertahta dalam hati.
“Abang tak ada maksud nak bagi Mala tekanan. Abang pun tak
pernah ada hati nak ambil kesempatan atas apa yang berlaku pada Mala. Tujuan
abang hanya kerana kasih sayang abang pada Mala dan Amil. Abang ikhlas apa yang
abang buat untuk Mala. Lagipun ini
permintaan dan paksaan dari diri Mala jugak.”
“Penipu! Dusta! Pembohong! Aku tak percaya semua tu.!”
“Apa yang abang dapat kalau abang berbohong pada Mala.
Kewujudan Anis dah cukup membuktikan kita pernah melalui pengalaman berkeluarga
dengan bahagia.”
Nirmala hilang kata-kata. Di saat itu dia tiada idea lagi
untuk melawan cakap Fazhan. Apa yang boleh dilakukan ialah menangis dan terus
menangis. Baginya kewujudan Anis Humaira umpama dadanya ditusuk belati berbisa.
“Percayalah. Abang tak pernah memaksa Mala untuk terima
abang.” Sambung Fazhan bila melihat Nirmala hanya tersedu-sedu menangis. Ingin
dipeluk pujuk isterinya itu namun dia tiada keberanian. Takut lain yang diharap
lain pula yang jadi. Di saat-saat amarah Nirmala sedang menjadi-jadi tak
mustahil jika dia mendapat hadiah saguhati sebagai kejutan. Akhirnya dengan
terpaksa, Fazhan melangkah keluar dari situ disamping mengharapkan Nirmala
dapat berfikir tenang.
STERENG
kereta dipegang erat. Kepalanya dihentak berkali-kali di situ. Jika ikutkan
hati mahu saja diheret Nirmala pulang bersamanya tadi. Sakit hatinya bila
dilayan begitu. Tapi bila mengenangkan Nirmala yang asal sudah kembali,
disabarkan hati kerana dia sudah bersedia sejak dulu lagi seandainya perkara
itu terjadi.
Telefon bimbitnya dicapai. Nama Jefri dicari. Hanya pada
sahabatnya itu saja yang dia nampak ketika itu yang boleh menolongnya memujuk
Nirmala. Fazhan faham sangat keakraban isterinya dengan sahabatnya itu. Dan
sudah tentu sahabatnya itu turut terkejut dengan berita yang akan disampaikan
nanti.
Fazhan kecewa bila dapat tahu dari setiausaha Jefri tentang
kepulangan Jefri dua hari lagi atas urusan kerja di Sudan. Tak sabar rasanya
dia mahu berjumpa dengan Jefri untuk luahkan segalanya. Dia benar-benar
berharap agar Jefri dapat menolongnya. Akhirnya Fazhan sekadar menghantar mesej
pada Jefri.
-Mala dah kembali. Skrg dia di pjbat arwah. Aku buntu tak
tahu nak buat apa. Dia tak blh terima aku suaminya. Please..! hanya pada kau
aku berharap.-
Enjin kereta dihidupkan lantas mula bergerak meninggalkan
perkarangan bangunan syarikat milik arwah Fir Luqman. Semakin lama dia di situ,
semakin sesak dadanya untuk bernafas. Semasa Nirmala mahu menyatakan syarat
padanya, dia sudah membayangkan kata perpisahan. Namun bila Nirmala hanya
mahukan agar dia tidak diganggu, Fazhan boleh tarik nafas lega walaupun jauh di
sudut hati, dia masih kurang bersetuju. Tak dapat dibayangkan apa akan terjadi
dengan hidupnya andai perpisahan terjadi. Dengan kehadiran Anis Humaira sebagai
tanda cintanya pada Nirmala, Fazhan mengharapkan Nirmala akan terus bersamanya.
“ANIS HUMAIRA!” Berkali-kali bibir
Nirmala menyebut nama itu sambil termenung panjang. Selepas Fazhan keluar dari
biliknya tadi, dia mula terfikirkan anak yang tidak berdosa itu. Dalam lubuk
hatinya kini tersimpan rasa simpati dan sedikit-sedikit timbul rasa sayang bila
mengingatkan kembali wajah si kecil.
“Berdosakah aku? Akukah yang bersalah?” Tanya hati Nirmala
sendiri.
“Aku mangsa keadaan. Tapi kenapa aku yang harus mengalah?”
Nirmala terus terusan bersoal dalam hati mencari jawapan dan jalan agar segala
kepincangan segera diselesaikan.
Kertas laporan kerja yang masih berselerak atas meja
diperhatikan lama. Itulah projek yang sedang dijalankan sekarang. Masih belum
siap walaupun enam tahun sudah berlalu. Semuanya kerana selepas trajedi
beberapa tahun lalu. Kerana kebijaksanaan Jefri, dia dapat memujuk dan
berbincang semula agar projek itu ditangguhkan selepas pemergian arwah Fir Luqman. Tiga tahun kemudian barulah
projek bermula dan sekarang sudah hampir lapan puluh peratus siap. Nirmala
yakin, arwah Fir Luqman pasti akan bangga jika dia ada usaha sama dalam projek
itu.
“Apa yang perlu Mala buat, bang? Mala buntu. Mala tertekan.
Salahkah Mala kalau Mala terus menanti abang? Salahkah Mala andai Mala masih
sayangkan abang? Salahkah Mala kalau Mala teruskan usaha abang? Tolong Mala
bang..! Mala dah tak sanggup hidup macam ni..!” Raung Nirmala dalam hati. Air
matanya kembali berjurai.
Bunyi intercome
menyedarkan Nirmala. Suara Susan kedengaran.
“Puan Mala. Encik Jefri di talian.”
“Okey!
Sambungkan.” Balas Nirmala cuba menyembunyikan suara esakkannya. Dah tak sabar
mahu mendengar suara lelaki itu.
“Puan okey?” Soal
Susan tiba-tiba.
“Err..okey-okey.
Saya okey!” Kalut Nirmala menjawab.
Pada firasatnya setiusahanya perasan akan perubahan suaranya yang sedikit
sengau.
“Assalamualaikum adik abang..!” Lembut suara Jefri di hujung
talian.
“Abang..!” Nirmala sudah tidak dapat menahan air mata bila
buat pertama kali mendengar suara jefri selepas bertahun suara itu hilang dari
pendengaran. Mendengar suara Jefri buat hatinya kuat merindu pada Fir Luqman.
“Please! Jangan
nangis. Esok abang balik.” Suara Jefri sedikit sebak.
“Tolong Mala bang! Tolong Mala. Mala tak kuat. Kenapa abang
tinggalkan Mala?” Kata rayuan Jefri tidak dihiraukan. Air matanya memang sejak
tadi sudah tidak boleh dikeringkan lagi.
“Sabar Mala. Abang balik sekarang. Nanti kita jumpa.” Ujar
Jefri lagi sambil memujuk adik angkatnya. Sayangnya pada Nirmala hanya Allah
yang tahu. Dulu, bila dapat tahu arwah Fir Luqman terlebih dahulu meluahkan
rasa hati pada Nirmala, Jefri kecewa yang teramat sangat sedangkan dia yang
terlebih dahulu mengenali wanita itu. Bila arwah Fir Luqman pergi, dirasakan
harapannya masih ada tapi terpaksa mengalah bila Nirmala lebih memandang kepada
Fazhan. Sejak dulu lagi sebenarnya ingin diluahkan rasa hatinya yang dah lama
dipendam tapi dia tak berdaya bila Nirmala menganggapnya sebagai abang sahaja.
“Janji?”
“Ya. Abang janji.”
“Mala nak balik rumah mak!” Kata Nirmala teresak-esak.
“Okey! Nanti abang
balik, kita balik rumah mak. Mak pun dah rindukan Mala.”
“Abang takkan tinggal Malakan?”
“Forever. Malakan
adik abang. Takkan abang nak tinggalkan Mala.”
“Tapi kenapa abang tak halang Mala kawin dengan dia? Mana abang masa tu?
Abang kata abang sayang Mala. Abang pernah cakap takkan tinggalkan Mala. Abang sendiri tahukan, Mala memang benci dia.
Mala tak suka dia.!” Bentak Nirmala kasar. Meja ditumbuk geram.
Jefri terdiam dihujung talian. Esakan Nirmala benar-benar
buat dia kelu seribu bahasa. Memang dulu Nirmala ada suarakan perasaannya yang
rimas dengan pandangan liar Fazhan, namun dia sedar Fazhan hanya sekadar
meminati Nirmala, jadi tak salah jika Fazhan hanya sekadar memandang. Dapat
dirasakan perasaan Nirmala ketika itu. Mesej dari Fazhan yang diterima sebentar
tadi benar-benar mengejutkannya. Apa yang mampu dilakukan ketika itu hanyalah
berdoa agar Nirmala bersabar.
“Dia cintakan Mala. Masa tu Mala pun cintakan dia. Tak ada
siapa mampu halang kehendak Mala masa tu walaupun Fazhan sendiri cuba
mengelakkan diri dari Mala.”
“Tipu! Mala tak percaya. Abang pun rancang sama hal nikan?
Abang tahukan bertapa Mala hanya cintakan abang Luqman.”
“Itu sebelum Mala kemalangan. Dokter dah sahkan Mala kekal
macam tu. Sebab tu ramai yang bersetuju agar Fazhan ikut permintaan Mala
sedangkan Fazhan sendiri berat nak terima. Semuanya dia buat demi Amil Zaquan.”
Nirmala terhenti bicara bila nama Amil Zaquan keluar dari
bibir Jefri. Segera dimatikan talian kerana dia dah tak mampu nak berbual lagi
dengan Jefri dalam perasan begitu. Hatinya sakit. Jiwanya sebak. Kepalanya
sakit memikirkan hal yang tiada kesudahan itu.
No comments:
Post a Comment