BAB
18
SAMPAI
di
halaman rumah Haji Derus, Zara tersenyum lebar melihat Hajah Esah sedang meraut
lidi bawah rumah atas pangkin. Melihat wajah Hajah Esah yang berkerut-kerut memandangnya,
meyakinkan dia bahawa Hajah Esah pasti tidak camkan dirinya.
“Ni Zara Mak Aji. Tak ingat? Kawan abang Iqbal!”
Zara berusaha ingatkan kembali ingatan Hajah Esah.
“Zara anak Zah, Tahir?” Terangkat keningnya sambil
bertanya. Tangan Zara yang berada dalam genggaman tangannya masih erat
dipegang. Melihat Zara angguk kepala dia melopong.
“Masyaallah! Mak Aji hampir-hampir tak kenal kamu
tadi. Kenapa kurus sangat ni? Kamu sakit ke? Mari-mari! Duduk dekat Mak Aji.
Kalau abang Iqbal kamu tengok, mesti dia bising adik dia jadi macam ni.” Bebel
Hajah Esah sambil menarik tangan Zara agar duduk rapat dengannya. Rindu sungguh
dia pada Zara yang lama tidak dia temui. Seingatnya dulu, kali terakhir jumpa
ialah ketika majlis kawin anaknya Iqbal tiga tahun dulu.
“Taklah Mak Aji. Saya sibuk dengan kerja. Anak-anak
murid zaman sekarang makin nakal.” Zara cuba beralasan munasabah.
“Lama kamu tak datang jumpa Mak Aji. Cuti berapa
hari?”
“Sekarang sekolah tengah cuti panjang. Tapi dua
minggu nak buka sekolah nanti saya dah
kena balik. Banyak yang nak kena sediakan sebelum sesi baru mula.” Jelas Zara
sambil tersenyum simpul.
“Samalah dengan anak lelaki Mak Aji. Dia pun cikgu
macam kamu juga. Dah seminggu sampai sini. Nanti Mak Aji kenalkan kamu dengan
dia.”
“Siapa?” Tanya Zara hairan. Setahunya Hajah Esah dan
Haji Derus hanya mempunyai seorang anak lelaki sahaja iaitu Iqbal. Manakala
yang empat lagi semuanya perempuan.
“Kamu tunggu sini. Biar Mak Aji panggilkan dia.
Manalah tahu kalau sama-sama berkenan. Untung-untung merasa juga Mak Aji
berbesan dengan mak kamu.” Kata Hajah Esah lalu ketawa mengekek setelah melihat
Zara seperti tak senang duduk.
“Ish Mak Aji ni! Ke situ pulak. Zara datang ni sebab
mak suruh ambil kuih bakar yang mak tempah dekat Mak Aji.” Kata Zara malu-malu.
Risau juga kalau-kalau Hajah Esah benar-benar panggilkan anak lelakinya yang
dimaksudkan tadi.
“Oh..kuih bakar tu. Ada! Nanti Mak Aji ambilkan.
Kamu tunggu sini kejap.”
Zara tersenyum lalu melihat saja langkah Hajah Esah
berlalu hingga bayangnya hilang di balik pintu dapur rumah. Sambil-sambil itu
matanya ralit memandang suasana keliling rumah yang bersih. Melihat pisau raut
lidi yang ditinggalkan oleh Hajah Esah tadi di sebelahnya, Zara cuba menyambung
kerja Hajah Esah. Tersenyum-senyum dia melakukan kerja itu kerana sudah lama
tidak dibuat aktiviti begitu yang duhulunya adalah aktiviti di waktu petang
bersama emaknya.
“Rajinnya anak dara ni! “ Suara Hajah Esah dari
belakang Zara buat Zara tersenyum sambil matanya asyik dimata pisau. Takut juga
kalau terhiris jarinya.
“Letak situ.” Suara Hajah Esah mengarahkan sesuatu.
Mendengarkan bunyi cawan dan piring berlaga, Zara pusingkan badannya menghadap
Hajah Esah. Hampir melompat dia melihat Aqil Muaz berada di hadapannya.
“Ni anak Mak Aji yang Mak Aji ceritakan tu. Nama dia
Aqil Muaz. Datang dari johor. Dulu masa belajar, dia selalu ikut Iqbal balik
sini. Last-last abah Aji ambil dia
jadi anak angkat keluarga Mak Aji.” Ramah Hajah Esah perkenalkan Aqil Muaz pada
Zara. Zara mengetap bibir menahan tawa.
“Qil, ni Zara. Zara ni macam adik Iqbal. Dia orang
memang rapat sejak kecil. Zara ni baik orangnya. Dia pun cikgu macam Qil. Dulu
mak nak sangat dia dengan Iqbal. Tapi dah Iqbal ada yang lain. Zara pula masa
tu dah dengan orang lain juga. ” Jelas Hajah Esah pada Aqil Muaz pula. Aqil
Muaz hanya mengangguk sambil tersenyum-senyum.
“Siapa nama dia tadi?” Tanya Aqil Muaz pada ibu
angkatnya sambil mengangkat kening. Pandangannya tajam ke wajah Zara yang
tertunduk malu.
“Zara!” Ujar Hajah Esah tersenyum simpul. Dalam
hatinya rasa gembira melihat pandangan nakal Aqil Muaz pada raut wajah Zara.
Sempat dia berdoa agar terbuka pintu hati kedua teruna dan dara untuk saling
mengenali.
“Ermm..sedap nama tu. Cantik macam orangnya. Saya
dah terpikatlah, mak! Boleh mak pinangkan dia untuk saya.? Kalau boleh saya nak
kawin dengan dia cepat.” Kata Aqil Muaz tersenyum nakal.
Hajah Esah bagai tertelan biji durian melihat
telatah Aqil Muaz yang tanpa segan silu berkata begitu sedangkan baru pertama
kali dia kenalkan Zara pada Aqil Muaz. Dalam hati rasa menyesal dengan
kenakalan Aqil Muaz.
“Awak..!” Panggil Zara sambil mengetap gigi. Geram
hatinya melihat perangai Aqil Muaz.
“Kalau mak nak tahu, nilah bakal menantu mak!” Ujar
Aqil Muaz tanpa mahu berselindung lagi. Melihat Hajah Esah seperti tergamam,
Aqil Muaz mengekek ketawa.
“Awak! Kenapa cakap macam tu? Buat malu je!” Rungut
Zara geram sambil menjeling manja.
“Betul ke ni?” Tanya Hajah Esah seakan tidak
percaya.
“Takkan saya nak tipu mak kot! Saya kenal kekasih
saya. Nama dia Nur Zara Madiha binti Muhammad Tahiruddin. Tapi yang saya tak
sangka dia orang kampung ni. Kalau saya tahu, awal-awal lagi saya suruh mak
pergi pinang dia.”
“Awak!” Jerit Zara geram. Ikutkan hati mahu saja
dicubit-cubit mulut tiada insuran Aqil Muaz.
“Masyaallah! Kenapa tak cakap awal-awal?” Teruja
Hajah Esah bertanya.
“Mak tak tanya!” Seloroh Aqil Muaz hingga buat Zara
tersenyum sinis. Faham sangat dengan sikap Aqil Muaz yang suka menyakat.
“Boleh Zara? Mak Aji dengan abah Aji datang jumpa
keluarga kamu?”
Permintaan Hajah Esah buat Zara tersentak. Wajah
Aqil Muaz dipandang serba salah.
“Nantilah dulu Mak Aji. Saya dengan dia baru je
kenal. Kalau tiba-tiba mak Aji datang, nanti mak saya terkejut pulak.”
“Awak macam tak sudi je kawin dengan saya.” Sampuk Aqil Muaz menjauh.
“Bukan macam tu, awak.!” Zara berdesit selepas tidak
tahu berkata apa lagi. Melihat wajah sayu Aqil Muaz mulalah buat hatinya tidak
senang.
“Nak kawin bukan boleh buat sesuka hati. Perlu
rundingan dan perancangan rapi. Kamu dah sedia ke nak pikul tanggungjawab
sebagai suami?” Tanya Hajah Esah pada Aqil Muaz setelah menyedari anak
angkatnya itu seperti tidak sabar mahu menamatkan zaman bujang. Wajah cemerut
Aqil Muaz menyatakan yang anak angkatnya itu sedang menjerut rasa dengan
kata-kata Zara.
“Kalau saya tak sedia, saya tak cakap hal ni. Umur
saya dah tiga puluh tahun. Dah layak bergelar suami.”
Zara diam seribu bahasa. Mendengar jawapan Aqil Muaz
lagilah buat dia mula rasa gelisah. Sebelum ini pernah juga Aqil Muaz perkatakan
tentang hal ini, namun dia beranggapan Aqil Muaz bergurau. Tapi bila melihat
kesungguhn Aqil Muaz meluahkan di hadapan Hajah Esah, dia yakin Aqil Muaz
memang maksudkan apa yang dikatakan sebelum ini.
“Abang Iqbal tak balik ke Mak Aji? Berapa orang dah
anak dia? Dah lama Zara tak jumpa dia.” Zara cuba menukar tajuk perbualan
selepas beberapa saat berdiam. Melihat wajah Aqil Muaz seperti tidak puas hati,
dia tahu Aqil Muaz sedang memendam rasa.
MALAM itu Aqil Muaz cuba memujuk Hajah Esah dan Haji
Derus agar segera risikkan Zara untuk dirinya. Tak sanggup rasanya nak tunggu
lama.
“Mak dengan abah tolonglah cakap pada keluarga
Zara.”
“Kan Zara dah pesan tadi jangan terburu-buru. Tunggu
dia cakap sendiri dengan mak ayah dia dulu.”
“Abah pun rasa macam tu. Kalau kita memandai-mandai
buat serbuan pinang anak orang, terkejut pulak orang tua budak tu.” Sokong Haji
Derus pada ulasan Hajah. Esah.
“Qil bukan suruh mak dengan abah pinang dia. Anggap
saja ni sebagai merisik tanya.” Aqil Muaz masih terus mendesak.
Termenung seketika Haji Derus dan isterinya Hajah
Esah sambil berpandangan sesama sendiri. Serba salah mereka dibuatnya melihat
anak angkat mereka bagai kemaruk nak berbini.
“Sabarlah sikit! Tak lari gunung dikejar. Lagipun kamu
bukan nak balik lagi. Kalau nak kawin terus pun sempat. Tapi kenalah dapat
persetujuan keluarga Zara. Almaklumlah..mereka tu cuma ada sorang saja anak.
Dah tentu mereka nak yang terbaik untuk anak dia orang.”
“Qil tahu tu abah. Masalahnya sekarang, Qil takut
dia terlepas ke tangan orang lain!”
“Nak lepas ke tangan siapa? Dia sendiri mengaku
dekat mak yang dia memang kawan dengan Qil. Zara tu budak baik. Mak tak percaya
kalau dia cuba mainkan Qil. Kalau Qil tahu bertapa kecewanya dia masa dapat
tahu tunangnya kawin dengan orang lain, mesti Qil tak percaya. Berhari-hari dia
menangis sampai tak pedulikan orang sekeliling. Depan orang dia berlagak sihat.
Tapi di belakang, hanya tuhan saja yang tahu. Tiap-tiap hari abah dengan mak
pergi tengok dia. Sambil-sambil tu abah cuba pulihkan semangat dia.
Alhamdulillah, sihat juga walaupun dia masih tidak boleh terima kenyataan.”
“Bukan senang dia nak lupakan budak Fairuz tu.
Sepuluh tahun mereka berkawan bercinta. Tup-tup Fairuz pilih orang lain. Siapa
tak merana? Kalau jadi pada abah pun mahu separuh gila jugak!”
“Dengar ceritanya, Fairuz kena perangkap. Ada orang
masukkan ubat dalam air minumnya masa majlis hari jadi kawan kuliah dia.”
Cerita Hajah Esah teruja.
“Kasihan budak tu! Mangsa penganiayaan dari orang
yang berhati busuk!” Keluh Haji Derus.
“Lepas putus dengan Zara, dia ceraikan isteri dia
dengan talak tiga. Jelas memang dia tak mahukan anak orang putih tu.”
“Itulah! Buat baik dibalas baik. Tapi kalau buat
dengan niat yang jahat, balasan jahatlah yang dia dapat.” Balas Hj. Derus.
“Dengar cerita, si Murni tu harap sangat Zara balik
pada Fairuz. Dah berkali-kali datang merayu pada Zah supaya pujuk Zara. Tapi
Tahir membantah. Katanya, kalaupun Zara masih tak boleh lupakan si Fairuz, dia tetap
tak setuju Fairuz dengan Zara kawin. Rupanya Tahir tu memang tak berkenankan si
Fairuz tu.”
“Kenapa pulak?” Hairan Haji Derus bertanya.
“Entah! Saya pun tak tahu. Zah kata memang dari awal
Tahir tak sukakan Fairuz.”
“Pulak! Kalau tak berkenan kenapa terima pinangan
dulu?”
“Entahlah! Saya pun tak tahu.”
Aqil Muaz hanya mendengar tanpa menyampuk perbualan
emak dan ayah angkatnya. Dia sendiri tidak tahu apa yang harus disampuk. Dari
perbualan tadi, baru dia tahu perkara sebenar. Jika selama ini, Zara tidak
pernah ceritakan peristiwa pahit itu padanya. Kini fahamlah dia, kenapa Zara
sukar mahu ceritakan hal itu. Jika terkena pada batang hidungnya juga, sudah
tentu dia sendiri tidak dapat terima kenyataan.
-kenapa
awk spt tak pecyakan saya?-
Soalan pertama yang diutuskan melalui mesej pada
Zara.
-Knpa
awk tnya mcm ni?-
-awak
fhm maksud saya. Tapi sengaja buat-buat tak faham.-
Zara sudah mula tidak senang hati membaca mesej dari
Aqil Muaz.
-Kita
masih baru. Kenapa nak terburu-buru?-
-Awak
ada yang lain?-
-Astagfirullahalazim..tak
pernah niat pun.!-
Aqil Muaz mengeluh sambil menatap mesej yang baru
diterima. Tiba-tiba rasa menyesal kerana menuduh Zara begitu. Tak tahu apa yang
harus dititipkan lagi untuk gadisnya. Lantas dia terus menyepi. Seketika
kemudian, pujukan dari Zara diterima hingga menerbitkan senyuman di bibirnya.
Namun tidak sesekali dia membalas. Timbul niat nakal untuk mendera perasaan
kekasihnya.
-please
awak..! jgn mcm ni. Saya sedih tau kalau awak fikir macam ni tentang saya. Awak
tahukan saya benar-benar sayangkan awak!-
Lama Zara menanti namun mesejnya belum berbalas.
-Besar
sangat ke salah yang saya buat sampai awak fikir saya macam tu. Jawablah..!-
Zara semakin tertekan setelah mesejnya langsung
tidak berbalas. Dapat dirasa Aqil Muaz sekarang sedang merajuk. Akhirnya dengan
lafaz assalamualaikum, telefon bimbitnya ditutup. Tidak mahu lagi bermesej
dengan Aqil Muaz kerana baginya jika terus-terus memujuk, belum pasti Aqil Muaz
terima.
No comments:
Post a Comment