PENGHARGAAN

Assalamualaikum..
Salam sayang untuk semua kerana sudi2 mengintai di ruangan laman saya yg baru nak bernafas ni.
Sblm jemari sya terus menari,ribuan terima kasih pada adik sya iaitu bloger Senyum-Senyum Diana Rashid sbb tanpa dia, blog sya ni kompem x ujud. Thnk n lebiyu..
Almaklumlah..kakak dia ni slow sikit tentang IT-IT ni..hehehe..
Yg ke 2 plk adalah insan terchenta sya. Tak lain tak bukan dh tentulah Encik sya. Klu tak kerana dia, sampai sekarang karya sya ni dok dlm pendrive jelah..
Utk adik beradik sya yg sering beri semangat..kakyung, Ani, azam, ain, Rina, Ya n abg Jeri.. terima kasih byk2.
Khas untuk mak, terima kasih yg x terhingga. Wlupun bidang ni kurang digemari, sya anggap itu sebagai cabaran untuk berkarya.
Pada sahabat2 Ding Dong..thnk 4ever n ever. Kata2 semangat dan sokongan kalian amat sya hargai dan sanjungi. Kalian mmg best..edea korang adalah yg terbaik!!
Buat kwn2 yg lain, kata2 dan penghargaan korang mmg tersemat dalam hati. Kompem sya x lupa.
Dari itu..sudi2lah mengintai dan membaca krya sya ni. Jgn lupa mengkritik dan mengomen.
Klu nk memuji, sya mohon jgn tinggi2 sgt. Takut sya terperasan hebat. hehehehe...
Risau jgk..bila dah rasa hebat, kompem senang lupa diri dan jatuh ..
Okey...Selamat Membaca..


Thursday, 18 December 2014

BAB 7 Kata Hati Tak Terkata

BAB 7
ZARA kalut memilih barang yang ingin dibeli. Dari rumah tadi sudah senaraikan barang-barang yang perlu dibeli. Tapi bila sampai di pasaraya itu, baru dia teringat senarai barang tadi ditinggalkan atas meja. Kerana tidak mahu melengahkan masa berpatah balik ke rumah, dia cuba ingat apa yang terlintas diikiran. Tambah-tambah lagi janjinya untuk bertemu dengan Muaz di café pasaraya sejam dari sekarang, lagilah buat dia menjadi kalut. Tidak mahu Muaz menunggu lama kerana dia memang tak suka buat orang menunggu. Takut nanti dia sendiri yang rasa bersalah.

“Banyak membeli.!” Sapa Aqil Muaz dari arah belakang Zara.

Zara tersentak lalu terus menoleh ke belakang. Rasa bagai nak gugur jantungnya bila melihat Aqil Muaz sudah berada di sisinya sambil tersenyum.

“Eh awak! Kenapa ada dekat sini? Kata nak tunggu saya dekat café sejam lagi.” Gugup Zara seketika bila melihat Aqil Muaz terjenguk-jenguk melihat barang-barangnya  dalam troli.

“Saya pun nak beli barang dapur. Dekat rumah saya tu tinggal beras dua biji je. Ikan bilis dua ekor. Bawang merah dua biji. Tu pun dah tumbuh pokok.” Ulas Aqil Muaz lalu tersengeh-sengeh malu. Niatnya mahu bergurau. Namun apa yang sebenarnya ialah barang-barang dapur rumahnya memang sudah kekurangan. Cuma tidaklah seperti yang diucapkan tadi. Memandangkan dia tinggal sendiri di kuaters guru dan tidak suka keluar makan di luar, itulah yang membuatkan dia senang memasak makanannya sendiri.

“Tu tandanya orang rumah awak rajin memasak.” Balas Zara serkap jarang sambil tersenyum. Niat yang sebenar hanya mahukan kepastian sama ada Aqil Muaz sudah berumahtangga atau belum. Andainya sudah, dia tidak sanggup berlama di situ dengan orang yang sudah tentu milik orang.

“Orang rumah?” Tanya Muaz pelik sambil melopong. Bila melihat Zara hanya menyungkit kening, Aqil Muaz galak ketawa.

“Awak jangan risau. Tak akan ada adengan tarik-tarik tudung atau rambut. Malah periuk terbang pun tak akan terjadi sebab saya belum berkeluarga. Saya masih sendiri dan sedang mencari. Kalau awak tak percaya, awak boleh datang rumah saya.” Aqil Muaz terus terang agar Zara tidak terus salah sangka.

Zara tersenyum nipis lalu pantas menolak troli meninggalkan Aqil Muaz. Malas mahu mendengar lagi alasan Aqil Muaz yang panjang berjela kerana merenung lama wajah lelaki itu, buat dia rasa tidak selesa. Ada debaran yang menggoncang jiwa.

Mendengar langkah Aqil Muaz mendekatinya, hatinya berlagu riang. Entah kenapa, sejak pertemuan dengan Muaz di padang semalam, hatinya bagai dicuit-cuit mahu memandang lelaki itu. Namun kerana mengingatkan dia berada di tempat terbuka, lalu dipendamkan saja hasratnya walaupun sedar Aqil Muaz tak lepas pandang melihatnya.

“Biar saya yang tolak.” Suara gemersik Aqil Muaz kedengaran.

Dengan rasa bangga dan senyum dalam hati, pemegang troli dilepaskan dan membiarkan Aqil Muaz yang mengambil alih.

“Awak nak beli apa? Share troli sajalah. Barang-barang saya pun bukan sampai satu troli ni.” Zara cuba mengajak berbual setelah masing-masing membisu sambil membelek barang. Zara perhatikan gelagat Aqil Muaz yang seakan sama sepertinya jika terjumpa sesuatu yang menarik. Habis semua yang tertulis dibaca dibungkusan barang hingga berkerut-kerut wajah.

“Kita tengok-tengok dulu.” Jawab Aqil Muaz sambil matanya liar memandang deretan barang yang tersusun di rak.

“Ada buat list?”

“Biasanya tak pernah buat pun. Selalunya pakai beli je!”

“Tak bolehlah macam tu. Kena buat list. Senang nak buat budget.”

“Mana list awak. Biar saya tolong cari sama.”

Zara menggigit bibir. Baru teringat list barangnya tertinggal di rumah.

“Sebenarnya list barang saya tertinggal. Sebab tu saya jadi slow sikit ni. Tengah nak ingat balik apa yang saya tulis.” Jawab Zara malu-malu.

Aqil Muaz tersenyum sinis sambil menjeling.

“Bagi cadangan dekat orang bukan main lagi.!” Perli Aqil Muaz sambil bercekak pinggang. Melihat Zara terkekeh ketawa, dia geleng kepala. Langkahnya terus saja mengekori Zara dari belakang. Melihat Zara berhenti di rak susunan jus, dia turut terhenti langkah di tempat susunan sos cili dan kicap.

“Awak rasa mana yang bagus? Kalau tengok dari sini, bahan-bahan yang digunakan sama je. Berat dengan harga pun tak jauh beza. Tapi saya rasa macam ada yang tak kena saja.” Pinta Aqil Muaz pendapat pada Zara lalu menunjukkan dua botol sos cili berlainan jenama.

Zara serius melihat dua botol sos cili yang kini sudah beralih ke tangannya. Cemerlang matanya bila melihat ada sesuatu yang aneh di situ.

“Saya rasa baik awak ambil yang murah ni. Yang mahal ni tak boleh beli sebab bahan yang digunakan agak bahaya untuk kesihatan.” Ujar Zara serius.

Aqil Muaz terkejut lalu mendekati Zara untuk melihat apa yang dimaksudkan oleh Zara tadi. Tidak disangka sampai begitu sekali keperihatinan Zara dalam memilih barang. Agak-agaknya pasti Zara juga seorang yang memilih dalam soal jodoh. 

Zara pula sudah bagai kejutan elektrik bila bahunya sudah berlaga dengan bahu Aqil Muaz. Perlahan-lahan dia cuba mengundurkan sedikit ke belakang kerana rasa tidak selesa.

Sorry! Saya tak sengaja.” Ujar Aqil Muaz serius lalu mengambil sos cili tadi di tangan Zara. Pantas matanya memandang tepat ke arah dua botol sos tadi sambil mengangguk-angguk faham dengan apa yang Zara sampaikan tadi. Yang sebenarnya dia cuba sembunyikan kegugupan selepas adegan berlaga bahu tadi. Kerana dia pun rasa gementar bila berdekatan begitu.

Zara mengangguk sekali sambil tersenyum. Matanya kembali pada deretan jus yang berada di rak. Dalam rasa debar, diharapkan insiden itu tidak berlaku lagi. Kadang-kadang terfikir dia sendiri. Apakah Aqil Muaz tidak rasa apa yang dia rasa sekarang? Melihatkan wajah bersahaja dan tenang Aqil Muaz, dia yakin Aqil Muaz tidak sepertinya yang gugup bila berhadapan dengan situasi seperti itu.


SELESAI membuat pembayaran, mereka melangkah bersama ke café berhampiran. Kerana perut yang lapar kerana sejak pagi tidak makan, Zara memesan laksa johor setelah pasti laksa peneng tidak disediakan di situ dan segelas air limau panas. Sementara Aqil Muaz hanya mengambil roti kaya bakar dan segelas milo tarik.

“Awak duduk dekat sebelah saya, boleh?” Tiba-tiba Zara bersuara selepas Aqil Muaz meletakkan piring roti atas meja berhadapan dengannya hingga Aqil Muaz sedikit tergamam.

"Kenapa?" Soal Aqil Muaz hairan.

“Awak duduk sinilah..! Boleh kita tengok tv sambil makan. Bolehlah..!” Sambung Zara lagi sambil merayu lembut setelah dirasa alasan itu paling terbaik yang terlintas di benaknya. Yang sebenarnya dia tidak sanggup berdepan dengan Aqil Muaz jika lelaki itu berada di hadapannya. Silap-silap laksa yang sepatutnya disuap ke mulut, pergi ke hidung. Paling dia takut kalau-kalau dia tersuap ke mulut Aqil Muaz.

“Saya tak mahu tengok tv. Saya nak tengok awak.” Tenang Aqil Muaz menjawab serius.

Hah?” Zara bagai kejutan elektrik. Liur diteguk sekali. Akhirnya dia terpaksa mengalah setelah Aqil Muaz tetap dengan keputusannya. Punggungnya dilabuhkan di kerusi. Air limau panas dihirup perlahan sambil menunduk. Tak berani nak angkat kepala kerana yakin Aqil Muaz sedang perhatikannya.

“Awak sakit ke?” Soalan pertama dari Aqil Muaz selepas mereka sama-sama membisu. Sejak tadi memang soalan itu yang ingin ditanya.

“Tak adalah! Saya sihat walafiat. Kenapa? Muka saya pucat macam orang sakit ke?” Balas Zara kalut selepas tersentak dengan soalan Muaz. Wajahnya disentuh dengan ke dua tapak tangannya. Merasakan tiada suhu panas, dia yakin dia sihat.

“Awak kurus sangat sekarang. Lima bulan saya tak nampak awak. Awak nampak lain sangat. Mula-mula saya nampak awak semalam, saya ingat orang lain.” Ujar Aqil Muaz serius sambil mengoyak sedikit roti bakar dan memasukkan ke dalam mulutnya. Matanya tak lepas menatap wajah Zara. Jika nak dibandingkan dengan Zara sekarang dengan Zara yang dulu, dia lebih suka menatap wajah comel Zara yang dulu.

Zara terdiam tak tahu nak jawab apa selepas mendengar ulasan Aqil Muaz. Laksa johor dihadapannya hanya dikuis-kuis dengan sudu yang dipegang. Hilang selera dia mahu makan juadah di hadapannya. Punca mengapa dia jadi begitu tak mahu dikenang lagi.

“Saya dapat rasa awak ada masalah. Kalau awak tak sakit, kenapa awak nampak kurus sangat? Awak makan hati? Boleh saya tahu kenapa?” Aqil Muaz tak henti-henti mendesak.

Zara mengeluh perlahan. Walaupun sedikit rimas dengan soalan Aqil Muaz, dia harus sedar, pemuda itu sekadar mahu  mengambil berat. Akhirnya Zara sekadar menunduk. Untuk membalas renungan mata Aqil 
Muaz dia tidak terdaya kerana matanya semakin berat dengan titisan jernih yang sedang bertakung, bila-bila masa saja akan gugur ke pipinya. Mengingatkan kembali apa yang berlaku beberapa bulan lalu, hatinya jadi sakit bagai dihiris-hiris.

“Saya bukan berniat nak sibuk-sibuk hal awak. Tapi sebagai kawan, tak salahkan kalau saya ambil berat. Terus-terang saya cakap, saya risaukan awak. Kalau awak sakit, terus teranglah dengan saya. Saya sanggup berkongsi kesakitan awak.” Jelas Aqil Muaz setelah tergamam melihat Zara pantas menyapu pipinya yang basah. Tak disangka topik yang dibuka sebentar tadi benar-benar buat gadis di hadapannya terluka. Melihatkan Zara masih diam membisu sambil menunduk, Aqil Muaz segera bangun dan melabuhkan duduknya di sebelah Zara. Dia yakin Zara tak selesa bila ditenung begitu. Mungkin dengan cara itu, Zara akan berubah fikiran dan rasa selesa.

“Saya minta maaf kalau saya keterlaluan sibukkan hal awak. Sekarang saya nak awak makan. Hal tadi, lupakan saja. Saya janji takkan tanya lagi.” Ujar Aqil Muaz lalu menarik mangkuk laksa ke arahnya. Sudu dicapai lalu menceduk sedikit lantas disuakan kearah Zara. Melihatkan Zara hanya bermasam muka dan menggeleng kepala, Aqil Muaz angkat kening.”

“Saya tak ada selera nak makan walaupun saya mengaku saya tengah lapar.” Ujar Zara setelah sebaknya sedikit pudar.

“Kalau awak lapar awak kena makan. Saya tahu perkara yang awak pendam tu pasti sesuatu yang amat menyakitkan. Tapi berbaloi ke kalau awak menyiksa diri awak kerana hal macam tu? Kesakitan akan terubat jika kita pandai merawat. Tak guna awak terus menyiksa diri kalau awak tak berusaha mencari penawarnya.”

“Awak tak faham.!” Ujar Zara selepas berdesit perlahan. Memang benar apa yang dikatakan oleh Aqil Muaz. Selama ini dia pendamkan perasaannya dengan apa yang telah berlaku. Dia sengaja menyiksa dirinya terus memendam rasa sedangkan dia tahu hal yang lalu itu adalah sesuatu yang menyakitkan jika terus dikenang.

“Ya. Memang betul tu. Saya memang tak faham sebab saya tak tahu apa masalah awak. Tapi saya sudi berkongsi masalah tu dengan awak kalau awak tak keberatan. Percayalah pada saya! Saya tak suka tengok perempuan menangis sebab saya pun tak ada pengalaman memujuk perempuan menangs. Saya tahu, perempuan kalau menangis berpunca dari sesuatu yang amat menyakitkan.”

Zara hilang kata-kata. Tanpa memandang wajah Aqil Muaz, sudu ditangan Aqil Muaz dicapai. Mangkuk laksa johor ditarik semula ke arahnya. Perlahan-lahan diceduk lalu menyuakan ke mulutnya. Dalam diam, bibirnya tersenyum bila kuah laksa tadi menyentuh di lidahnya. Walaupun tekak berkata tidak sedap pada rasa hidangan itu, dipaksa jua menelan. Yang sebenarnya dia tidak mahu terus mendengar Aqil Muaz membebel  walaupun apa yang pemuda itu katakan adalah benar.

“Saya nak lihat Zara yang saya jumpa pertama kali dulu.” Bisik Aqil Muaz sambil mendekatkan mulutnya di tepi telinga Zara.

Zara tergamam lantas wajah Muaz yang mendekat dipandang tepat.

“Terus terang saya cakap, saya lebih suka Zara yang dulu.” Sambung Aqil Muaz lagi sambil tersenyum. 
Pandangannya yang melekat di wajah Zara dilarikan ke arah kaca tv yang terpasang. Harapannya agar Zara faham isi hatinya walaupun dia sedar kata-katanya itu tidak secara terang.


“JANGAN fikirkan yang bukan-bukan lagi. Saya tak suka awak terus macam ni.” Pesan Aqil Muaz selepas meletakkan barang-barang Zara ke dalam bonet kereta Zara lalu berjalan kearah Zara yang kaku berdiri dipintu kereta hadapan. Wajah Zara yang masih mendung ditatap sayu.

“Kalau awak ada apa-apa masalah, jangan malu-malu kongsi dengan saya. Kalau saya mampu tolong, saya akan tolong.”

“Kenapa awak baik dengan saya.? Selama ni kita asyik bertekak je bila jumpa. Saya malulah nak mengadu apa-apa dekat awak.”

Aqil Muaz ketawa mengekek. Sedari awal dia memang sudah terpikat pada Zara. Dan tak mustahil jika perasaannya tetap sama seperti dulu kalaupun hingga hari ini mereka masih kerap bertekak.

“Awak nak tahu kenapa?”

Zara mengangguk laju sambil cuba mengukir senyuman manis.

“Jawapannya ada dalam buku ni. Awak baca dan awak akan tahu jawapannya.” Jawab Aqil Muaz sambil menyuakan buku motivasi cinta yang menjadi punca titk permulaan mereka.

Zara ketawa lucu hingga wajah Muaz berkerut-kerut hairan.

“Ini bukan novel cinta atau buku cerita. Ini buku motivasi cinta. Dalam ni isinya terlalu umum dan banyak sebab. Takkanlah semua sebab dalam buku ni adalah jawapan pada soalan saya?”

“Pilih sendiri. Bila awak dah lama berkawan dengan saya, awak akan tahu sendiri apa jawapan yang patut awak pilih.”

Zara tersenyum mendengar kata-kata Aqil Muaz. Walaupun rasa sedikit berbelit-belit, dia faham apa yang Aqil Muaz katakan. Dan dia berazam akan habiskan membaca buku itu hingga dia dapat apa jawapan yang sepatutnya. Dari pandangan mata Aqil Muaz tadi, dia sudah dapat merasa sesuatu walaupun dalam hati masih takut-takut mentafsir.

“Saya akan baca. Dan saya yakin akan dapat jawapan tu. Tapi kalau saya gagal mencari jawapan, saya nak awak cakap sendiri.” Ujar Zara tersenyum simpul.

“Selamat membaca dan selamat berusaha. Tapi saya rasa awak akan tahu sendiri jawapan tu selepas awak fahami tajuk buku tu. Dan saya yakin awak tak mampu lagi nak tanya soalan  dan beri jawapan tu pada saya sebab saya sendiri takut nak beri jawapan sebenar.”

Zara semakin pelik dengan penerangan Aqil Muaz. Sambil terangguk-angguk dia melangkah masuk ke dalam kereta  dan menghidupkan enjin.

“Tolong sihat untuk saya. Tolong jaga diri untuk saya. Tolong jangan sembunyikan apa-apa dari saya. Tolong kembalikan Zara saya.” Bisik Aqil Muaz sayu selepas menutup pintu kereta Zara.

Zara terkesima seketika. Dia sendiri tidak sedar bila dia mulakan pemanduan. Bila sedar, dia sudah berada di lampu isyarat menghala ke kawasan perumahannya. Ayat-ayat dari bibir Aqil Muaz tadi benar-benar buat dia seperti dipukau. Dalam diam Zara tersenyum malu. Makin berbunga-bunga dirasa dalam dadanya bila telefon bimbitnya berbunyi menandakan isyarat mesej masuk. Makin lebar senyumannya bila membaca sms dari Aqil Muaz.

-Dh sampai nnt, call sy. Sy dh mula rindukan awk.-


ZARA tersenyum-senyum sendiri sambil menatap buku motivasi ‘Rahsia Cinta’. Tidak disangka buku itu akan menjadi miliknya. Dan paling tidak disangka Aqil Muaz membeli buku itu untuknya. Bila mengingatkan peristiwa lima bulan lalu, dia ketawa lucu. Tak sangka mereka boleh berkawan sedangkan ketika lima bulan lalu mereka seperti tidak ada keserasian.

Bait tulisan yang pernah dibaca ketika di pesta buku yang lalu dibuka dan mula membaca. Zara tersenyum. Teringat kembali kata-kata Nuha. Diakui dia turut merasa apa yang telah terjadi pada Nuha dan Helmi. Baru beberapa minit berpisah dengan Muaz selepas jumpa, dia sudah mula merindu pada pemuda tu. Cara layanan dan pertuturan Aqil Muaz benar-benar buat dia mengaku dalam hati yang dia sudah mula jatuh sayang pada lelaki itu.

Kadang-kadang Zara seperti serik mahu memulakan satu hubungan dengan kaum adam. Mengingatkan sejarah lalu dengan Fairuz Imsyar, dia berazam mahu menutup terus pintu hatinya pada kaum lelaki. Hatinya sakit kerana meletakkan kepercayaan pada lelaki yang dianggap mampu menjadi pemimpin dunia akhiratnya. Dia sanggup korbankan masa selama lapan tahun menanti lelaki itu pulang selepas lelaki itu sendiri yang memberi janji. Dalam lapan  tahun kalau dihitung, pasti banyak perkara yang boleh dilakukan jika tidak terikat. Dan dia yakin hidupnya pasti tidak tersiksa selepas apa yang berlaku.

Zara menutup kembali buku pemberian Aqil Muaz tadi. Sambil merehatkan badannya atas katil, dia meneruskan lamunanya. Terbayangkan wajah Fairuz Imsyar yang ada iras Beto Khusyairi, hatinya menjadi sakit. Jika permulaan hubungan, mereka seperti merpati dua sejoli yang tak mungkin dipisahkan. Namun kerana orang ketiga, segalanya musnah. Zara terima walau hatinya luka. Semakin terluka bila terbayangkan Fairuz Imsyar di sisi orang yang merampas cintanya.

No comments: