PENGHARGAAN

Assalamualaikum..
Salam sayang untuk semua kerana sudi2 mengintai di ruangan laman saya yg baru nak bernafas ni.
Sblm jemari sya terus menari,ribuan terima kasih pada adik sya iaitu bloger Senyum-Senyum Diana Rashid sbb tanpa dia, blog sya ni kompem x ujud. Thnk n lebiyu..
Almaklumlah..kakak dia ni slow sikit tentang IT-IT ni..hehehe..
Yg ke 2 plk adalah insan terchenta sya. Tak lain tak bukan dh tentulah Encik sya. Klu tak kerana dia, sampai sekarang karya sya ni dok dlm pendrive jelah..
Utk adik beradik sya yg sering beri semangat..kakyung, Ani, azam, ain, Rina, Ya n abg Jeri.. terima kasih byk2.
Khas untuk mak, terima kasih yg x terhingga. Wlupun bidang ni kurang digemari, sya anggap itu sebagai cabaran untuk berkarya.
Pada sahabat2 Ding Dong..thnk 4ever n ever. Kata2 semangat dan sokongan kalian amat sya hargai dan sanjungi. Kalian mmg best..edea korang adalah yg terbaik!!
Buat kwn2 yg lain, kata2 dan penghargaan korang mmg tersemat dalam hati. Kompem sya x lupa.
Dari itu..sudi2lah mengintai dan membaca krya sya ni. Jgn lupa mengkritik dan mengomen.
Klu nk memuji, sya mohon jgn tinggi2 sgt. Takut sya terperasan hebat. hehehehe...
Risau jgk..bila dah rasa hebat, kompem senang lupa diri dan jatuh ..
Okey...Selamat Membaca..


Thursday, 18 December 2014

BAB 22 KU MOHON SECUBIT KASIHMU

22
AIDIL
Panas!! Kuterbakar dengan kebahagiaanmu..

SELEPAS solat aku dah tak boleh nak sambung tidur. Panas dalam bilik benar-benar buat aku rasa tak selesa walaupun kipas berpusing tak henti-henti dengan kadar yang paling tinggi.. Semalam aku terpaksa jawab tak kisah demi menjaga hati Nur.

Aku melangkah turun hingga ke dapur. Dari pintu dapur aku dah dapat mendengar keriuhan suara makcik Mazuin, maksu Idah, Kak Ana dan Kak Ida menyediakan sarapan. Namun suara yang aku nak dengar dan wajah yang aku nak pandang tiada di situ. Aku bergerak ke ruang tamu. Dari situ aku lihat kereta perdana hitam milik Nur elok tersadai di garaj. Mungkin Nur belum turun lagi kot..!

Aku melangkah keluar. Aku tarik nafas dalam sambil menghirup udara pagi. Nyaman sekali. Tambah-tambah pula berada dalam rumah orang yang menjadi impian di hati. Setelah hampir sepuluh minit di halaman rumah aku masuk semula ke dalam dan melangkah ke dapur.

“Selamat pagi semua!” Tegurku pada semua yang ada sambil menarik sebuah kerusi yang terdapat di tepi dapur.

“Aidil lapar? Mak tak siap masak lagi.”

“Taklah! Saja masuk ruang ni nak buat sibuk. Nak Dil tolong apa-apa ke?” Aku cuba ringankan tulang walaupun aku tak tahu apa-apa tentang kerja dapur.

“Tak payahlah! Dah ramai dekat sini!” Ujar emak tersenyum bangga.

Daddy mana mak?” Teragak-agak aku mahu menyebut panggilan tu. Tapi aku gagahkan juga takut-takut kalau Makcik Mazuin kecil hati. Jelingan tajam Kak Ida aku buat-buat tak nampak. Tapi senyuman manis Kak Zana dan Maksu Idah buat aku lega dan yakin.

“Dalam bilik lagi. Tadi dia kata nak keluar joging. Tapi sampai sekarang belum keluar lagi.” Terang emak dalam senyuman. Tak lama pun lepas tu dengar suara daddy dari belakang berdehem.

“Ha! Tadi abang kata nak joging. Ni apasal masih berkain pelikat?”

“Abang lupa nak bawak baju dan track. Tak ingat langsung.!”

“Alahai! Kesiannya abang..! Tak apalah. Lain kali ingatlah benda yang penting tu!”

“Syuinlah punya fasal ni!”

“Eh-eh! Saya pulak. Abang tu yang pelupa.”

“Yelah..! abang jelah yang dah tua. Syuin muda lagi..!”

Alahai..! romantiknya daddy dengan isterinya. Rasa cemburu pulak. Tak pernah aku lihat daddy seromantik macam tu. Kalau dengan mummy dulu aku lihat daddy serius memanjang. Mummy pulak macam tak kisah.

“Dil tak mahu keluar joging?”

“Tak naklah mak! Nanti sesat pulak. Tak biasa jalan sini.”

“Hm..Nur pun jarang joging dekat sini. Biasanya petang-petang dia dengan Nancy ke taman rekriasi.”

Mendengar nama tu buat aku lemah. Entahlah bila aku boleh jumpa dengan Nancy. Harap-harap satu hari nanti Nancy sudi jumpa dengan aku.

“Nur mana mak?” Aku tebalkan muka bertanyakan hal Nur. Sejak tadi bayangnya langung aku tak nampak. Takkan tidur lagi kot..

“Nur awal-awal lagi dah keluar kerja. Kena masuk shift pagi hari ni dengan esok. Ada budak baru masuk line.” Aku angguk faham.

“Kereta dia?”

“Nancy datang jemput tadi.”

Aku lepaskan keluhan lemah. Kerana tak mahu tunjukkan rasa terkilan aku ni, aku melangkah keluar. Tapi aku langkah kebelakang semula ke arah dapur bila sedar runah ni sunyi tanpa suara anak-anak buah aku yang empat orang tu. Semalam aku langsung dia orang tak layan. Maklumlah..dah ada Pak Uda dia orang! Aku kena sedar.

“Budak-budak mana kaklong, kakngah?”

“Masih tidur Dil! Penat sangat main semalam.” Jawab Kak Ana sambil mengacau bihun atas dapur.
Aku angguk kepala lalu menghayun kaki melangkah ke ruang tamu. Aku tersenyum sendiri. Dalam hati aku memuji-muji Nur mengurus atur perabot dan hiasan rumahnya hingga nampak mewah. Agak-agaknya berapalah gaji Nur? Dengan jawatan dan kelulusan yang dipegang tak mustahil kalau gajinya mencecah 5k.

Aku tersenyum lebar melihat beberapa gambar kenangan tergantung kemas di dinding. Sudah pasti semasa Nur di Jepun. Gambar Nur bersama seorang lelaki jepun buat aku sedikit cemburu. Aku pasti inilah wajah Tanaka Harashi yang dimaksudkan oleh Tarmizi dulu. Memang handsome walaupun wajah yang serius.. Padan dengan Nur. Ada iras-iras macam Jet Li.

Aku beralih pula pada gambar lain. Senyuman aku berserta keluhan lemah buat aku rasa nak gelak bila terpandangkan wajah Azie. Dalam hati sempat berdoa agar dia bahagia bersama Razif.

“Amboi! Pandang macam nak telan pun ada. Tengok apa tu?” Sergah Kak Ana dari belakang.

“Tengok gambar ni. Tak sangka gambar Dil pun ada.”

“Mana?” Terpa Kak Ana pada aku.

“Ni! Dil pun tak ingat yang Nur ni sekelas dengan Dil masa di UM dulu.”

“Iye?”

“Mm..Nur cerita baru Dil tahu. Tapi Dil tak ingat Nur yang mana satu. Tapi bila terpandangkan budak yang pakai cermin mata besar ni baru Dil ingat.” Teringat aku dulu pernah kutuk kaw-kaw fasal cermin mata antik tu.

“Cantikkan?”

Mm..cantik. Nur berbeza dengan yang dulu.”

“Jangan pandang lama-lama Dil. Orang punya!”

“Alah! Yang dah  kawin pun boleh bercerai..!”

“Jangan buat kerja gila Dil! Kaklong tak akan izinkan. Tahu dekat Zikri, mati kau dikerjakan. Kaklong dapat tahu dari maksu, Zikri tu suka dekat Nur sejak umur lima tahun. Dua puluh empat tahun dia orang berpisah, baru sekarang jumpa balik. Zikri pulak setia tunggu Nur sampai sekarang. Paling romantik rupa-rupanya Nur pun setia tunggu Zikri. Orang tua Zikri pun dah tak sabar-sabar nak Nur jadi menantu. Dengar cerita, mak si Zikri dah ikat Nur sejak Nur umur lapan tahun.”

Aku cuba berlagak biasa  walaupun dalam hati dah terkejut lagi sikit nak jadi macam beruk.

“Majlis malam ni, pukul berapa long?” Aku cuba ubah tajuk perbualan.

“Mak kata lepas solat isyak. Nur jemput orang masjid dengan jiran-jiran terdekat aje.”

“Ada apa-apa yang boleh Dil tolong?”

“Memang nak suruh tolong pun! Jom ikut kaklong pergi beli barang untuk masak malam nanti. Nur kata dia tempah catering tapi tak banyak. Kaklong nak tambah sikit lauk. Lagipun kaklong nak beli buah sikit untuk pencuci mulut.”

Aku pandang jam di tangan kiri aku. Baru pukul lapan pagi. Masih awal.

“Awal lagilah long! Lagipun kaklong tahu ke jalan dekat sini?”

“Alah..! apa yang susahnya? Singboard banyak. Ikut je! Lagipun semalam kaklong nampak Giant, econsave, TESCO di sepanjang jalan. Dah tentu ada barang yang kita nak dalam tu.”

“Larat ke? Dil tengok macam nak meletup je!”

“Lambat lagilah! Perut ni nampak je besar. Lagipun apa guna bodyguard kaklong ni kalau kaklong nak beranak pun. Dil hantar jelah ke hospital.”

Hm..yelah kaklong! Hari ni Dil jadi bodyguard kaklong. Tapi janji tau! Yang dalam ni mesti boy.”

“Insyaallah! Kalau gegirl jugak, kaklong mintak maaf ye. Dil kawinlah buat anak lelaki sendiri.” Terkekeh-kekeh Kak Zana ketawakan aku yang terkulat-kulat.

“Burung dah terlepas pergi ke sangkar orang lain. Nak kawin macam mana?” Aku jawab ambil buat muka kasihan.

“Dil serius ke fasal Nur tu? Kaklong tengok Dil ni lain macam je! Dil sembunyikan apa-apa dari Kaklong ek?” Tanya Kak Zana berkerut kening.

Aku hanya tersenyum nipis sambil menggeleng kepala.

“Lepas sarapan nanti kita pergi. Dil nak duduk luar sekejap.” Ujarku lantas terus keluar dari rumah menuju ke laman rumah. Di situ aku rasa tenang mendengar deruan air di kolam buatan milik Nur. Harap-harap Kak Zana tidak syak apa-apa.


KETIKA sampai di rumah, aku tengok jam di dinding sudah hampir pukul satu setengah tengahari. Mak dan maksu sibuk menyediakan makan tengahari. Aku yakin sebentar lagi Nur pasti pulang untuk makan tengahari. Sesaat aku tak pandang wajah dia, aku rasa jiwa aku kosong.

Namun ketika jam dah menginjak ke pukul satu sepuluh minit, aku dah mula rasa gelisah. Nak aku tanya pada emak, tapi malu. Nanti yang lain fikir apa pulak. Pagi tadi tanya, tengahari ni tanya lagi..

Daddy mana, mak?”

Daddy dalam bilik. Tengah mandi kot. Tak pun tengah bersiap nak solat zohor.”

Aku angguk sambil buat muka serius. Yang sebenarnya bukan itu yang aku nak tahu. Itu hanya isyarat kata pembukaan untuk mulakan soalan baru saja.

“Nur tak balik makan ke mak?”

“Selalunya memang dia balik. Kalau masuk shift pagi, pukul dua petang nanti baru dia balik. Tapi hari ni Zikri jemput dia balik rumah dia.”

Aku terentak. Belum apa-apa dah berani bawak balik rumah?

“Macam orang dah kawin pulak!” Komen Kak Ida sinis. Sakit telinga aku. Bukan sakit fasal kata-kata Kak Ida, tapi sakit kerana penerangan emak.

“Umi Zikri dah bising sebab Nur dah lama tak ke rumah dia. Rindu sangat dia pada Nur.” Terang Maksu Idah sambil tersenyum nipis.

Haah! Sejak mak tinggal dengan sini, Nur dah jarang jumpa umi Zikri. Nur tak ada masa. Asyik sibuk dengan hal mak saja. Mak pulak dua minggu sekali kena pergi hospital. Tapi sejak  sebulan lalu, mak dah tak perlu ke sana lagi sebab Zikri selalu datang rumah. Jadi dia buat pemeriksaan dekat rumah saja.”

“Nasib baik ada Zikrikan mak?” Kata Kak Zana.

“Tulah! Mak bersyukur sangat sebab Nur pilih Zikri.”

“Dah berapa lama dia orang kawan mak?” Kak Zana dan Kak Ida dah macam reporter. Aku pulak dah rasa nak menanah telinga dengar cerita emak.

“Kawan dah lama. Sejak Nur umur empat tahun, dan Zikri enam tahun. Bila Zikri masuk umur tujuh tahun dia orang berpisah selama dua puluh empat tahun. Bila Nur start kerja dia orang jumpa balik. Kalau tak salah mak, dia orang betul-betul serius sejak lima bulan lepas.”

“Oh! Kiranya baru lagilah ek? Tapi kenapa nak bertunang cepat?”

“Ana! Adik Ana tu perempuan. Kalau lelaki tak kisah sangat. Pulak tu dah umur dua puluh tujuh nak masuk dua puluh lapan dah. Kalau umur macam tu dah bergelar andartu. Kalau kawin dah ada dua tiga orang anak dah. Eloklah dia orang kawin cepat. Zikri pun dah tak sanggup nak tunggu lama-lama. Kawan lama-lama pun bukan elok sangat. Mendatangkan fitnah nanti. Lagipun Zikri selalu datang sini. Tak manis orang tengok.”

Aku terdiam dengar pandangan dan cerita emak. Tak tahu nak kata apa. Dalam hati aku menjerit kata yang aku cemburu.


NUR
“SORRY I’m late!” Sapa Zikri sambil bukakan pintu kereta untuk aku.

Takpe! Nur pun baru keluar saja.” Jawabku perlahan juga sambil tersenyum. Jam di tangan yang menunjukkan baru pukul dua sepuluh minit petang aku pandang sekilas. Sejuk mata dan telinga aku lihat dia tersenyum dan bersuara. Suaranya yang lembut dan gemersik macam Hasnol Rahmat dalam KL Menjerit buat hati yang tengah panas boleh jadi sejuk beku.

Minggu depan aku emak dan maksu akan berlepas mengerjakan umrah. Dua minggu aku tak dapat dengar suara dan menatap wajahnya. Aku jadikan ia sebagai cabaran untuk aku buat ibadat. Balik dari umrah nanti, Zikri janji nak segerakan majlis pertunangan dengan aku. Sebulan lepas tu aku dah bersedia nak bergelar isteri kepadanya. Aku harap tiada apa yang menghalang. Aku mengaku aku dah tak sabar nak hidup bersamanya. Sesungguhnya aku amat cintakannya. Ketaranya kegatalan aku!

“Kenapa senyum-senyum ni?”

Aku tersentak dengan soalan tiba-tiba Zikri. Tak sangka dia perasan aku sedang berkhayal.

“Tak ada apa-apa! Saja nak senyum. Kenapa? Tak boleh?”

“Bukan tak boleh. Abang risau. Dah macam pesakit abang pulak dekat wad tu.”

“Oh..abang nak kata Nur ni tak betullah ek?”

Zikri ketawa besar bila ketam batu aku melepaskan sengat di bahunya.
Lima belas minit dalam kereta, aku dan Zikri tiba di hadapan rumah. Tersenyum-senyum umi menyambut aku. Kena tahan telingalah nampaknya dengar umi membebel sebab dah lama tak datang sini.

“Malam ni umi datang tau!” Pesanku pada umi. Hajatnya menyuap nasi ke mulut terhenti. Terangkat kepala umi yang sedang tunduk nak makan.

“Ada apa?” Tanya umi hairan. Aku hairan. Mataku tepat terancap ke wajah Zikri di depan aku.

“Abang tak cakap dekat umi ke?” Aku pantas bertanya pada Zikri yang sedang berselera makan.

“Oh my god! Abang lupalah sayang.”

“Apa yang abang ingat? Ni mesti ada nurse cun dekat hospital tu. Tak pun pesakit baru masuk. Tak boleh jadi ni. Nur kena pasang spy!” Kataku cuba berseloroh. Zikri tersengeh-sengeh.

“Ada apa Nur?” Umi kembali pada topik asal.

“Mak Nur nak buat majlis tahlil untuk arwah abang Iman malam ni. Umi datang ye?”

Umi hanya diam ambil berfikir-fikir. Tak lama kemudian wajahnya yang serius, bertukar ceria.

“Kalau umi datang bawa hajat sekali, Nur setuju tak?”

“Hajat apa mi?” Zikri menyampuk tanya. Namun Umi Zikri tak endahkan soalan Zikri. Matanya tepat ke arahku.

“Nur tak kisahkan kalau umi datang bawak cincin sekali malam ni? Tunang sebelum pergi umrah. Balik nanti terus nikah. Boleh tak Nur?” Tinggi sungguh harapan umi.

Aku tergamam. Begitu juga dengan Zikri. Nampaknya rancangan yang diatur sudah lari dari perancangan asal. Memang aku mengaku yang aku nak segerakan majlis aku ni tapi tak sangka begitu cepat sekali. Kelu lidah aku nak membalas harapan umi. Aku pandang wajah Zikri yang juga seakan mengharap seperti uminya.

“Tapi..kalau Nur tak setuju, tak apalah..!” Sambung umi lalu teruskan suapan nasi ke mulutnya.

Pandai sungguh umi meraih simpati. Dalam hati aku dah rasa nak gelak lihat telatah umi. Wajah Zikri yang turut sama mendung buat aku rasa seronok sebab berjaya mengusik dua beranak tu. Perlahan-lahan tangan kiri umi aku sentuh.

“Datanglah umi! Nur tunggu. Malam ni umi sarungkan cincin hari tu ke jari Nur ye?” Pujukku sambil tersenyum lebar sebelum melirik mata pada Zikri. Umi pulak aku tengok dah melopong tergamam.

“Alhamdulillah..! Terima kasih sayang! Beruntung umi dapat menantu macam Nur.” Ucap umi pada aku sebelum tersenyum lebar pada Zikri yang terkulat-kulat malu. Ceh! Malu konon!

Aku tarik nafas lega. Memang ini yang aku impikan sebelum berangkat. Alhamdulillah hajat aku tercapai, sekali gus impian emak turut terlaksana.


AKU tiba di hadapan rumah ketika jam dah menunjukkan ke pukul lima petang. Tersenyum lebar aku ketika sampai tadi bila lihat para pekerja memasang khemah di halaman rumah. Ketika keluar dari kilang jam dua petang tadi, aku terus hubungi kawan aku yang mempunyai syarikat khemah dan catering. Jadi tak perlulah emak, maksu dan kakak-kakak aku susah-susah nak kena masak.

Masuk dalam rumah, bayang emak dan maksu aku cari dulu. Aku melangkah laju ke dapur. Tersenyum lebar aku lihat emak sedang sibuk sediakan minuman untuk pekerja memasang khemah. Tubuh emak aku peluk dan sempat aku hadiahkan kucupan lembut di pipinya.

“Amboi! Seronok nampak? Mesti ada apa-apa ni!” Tegur Maksu sinis. Aku masih senyum mengetap bibir. Malu nak cakap, tapi aku kena cakap jugak.

“Mana ayah?”

“Ayah dekat sini!” Ujar ayah dari pintu dapur. Aku tersenyum lihat ayah melangkah masuk lalu duduk di sebelah emak.

“Mak, ayah, maksu..! Err..kalau..mm..umi Zikri nak datang malam ni, boleh tak?” Aku tanya lambat-lambat.

“Eh! Kan mak dah pesan suruh jemput Dokter Aziyan sekali!”

“Bukan datang untuk majlis malam nilah mak!”

“Habis! Untuk apa pulak?”

Ish akak ni..! Takkan tak faham kot! Orang tu bawak hajadlah!” Sergah maksu Idah tersenyum-senyum. Pantas emak dan ayah pandang aku.

“Betul ke Nur?” Tanya emak sambil tersenyum seperti tidak percaya. Aku ketap bibir kerana malu. Sambil menunduk aku angguk sekali.

“Nur dah habis fikir dah?” Tanya ayah serius. Aku pandang wajah serius ayah. Sambil tersenyum aku angguk lagi kepala.

“Kalau macam tu kata Nur, ayah tak ada halangan. Ayah tengok Zikri tu pun boleh tahan orangnya. Kehensemannya tu mengingatkan ayah masa ayah muda-muda dulu.” Kata ayah sambil menjeling manja pada emak. Aku tahu ayah sekadar mahu mengusik emak.

“Eleh! Handsomelah sangat!” Tempelak emak lembut. Mengekek-ngekek ayah, aku dan maksu ketawakan emak yang menjeling geram.

“Nak sedia apa-apa ke Nur?” Tanya maksu serius kembali pada tajuk asal perbincangan.

“Sedia apa maksu?”

“Barang hantaranlah!”

“Oh..yang tu! Tak payah kot. Dia orang datang bawak cincin je! Barang-barang hantaran bagi masa nikah nanti.”

“Kan bagus kalau nikah terus je malam ni!” Tambah ayah. Aku tersentak.

“Kami ni tak sedia barang apa-apa lagi. Rancangnya lepas balik umrah baru nak buat majlis tunang. Tak sangka umi Zikri nak langsungkan cepat.” Aku jawab serius.

 “Kursus?”

“Dah! Bulan lepas dengan dia.”

“Hm..balik umrah nanti, jangan tangguh-tangguh lagi. Cepat-cepat uruskan semua.  Kalau Nur sibuk Kak Ana dengan Kak Ida boleh tolong. Dia orang tu memang suka kerja-kerja macam ni.”

Aku dah rasa seronok dengar cadangan ayah. Tak disangka aku masih berpeluang merasa nikmat  hidup bersama keluarga aku sebelum aku cipta keluarga aku sendiri.  


AIDIL
LEMAH seluruh anggota badan aku selepas dengar berita Nur akan mengikat janji dengan Zikri malam ni. Air mata aku hampir-hampir gugur, namun sempat aku tahan. Patutlah masa dia balik kerja tadi, wajahnya ceria semacam. Sampaikan aku tegur dekat luar tadi pun dia tak sedar.

Bila aku dengar sendiri berita tu, hati aku rasa tak seronok. Jiwa aku kosong. Segala yang aku anggankan lenyap serta merta. Wajah Nur yang sering bermain-main di mata, sekelip mata hilang dari pandangan. Aku kecewa. Hati aku hancur bagai kaca terhempas ke lantai. Aku tak tahu apa yang harus aku buat selepas ini. Mampukah aku harungi hari-hari aku dengan perasaan macam ni. Layanan baik Makcik Mazuin dan Maksu Idah buat aku lupa seketika pada kekecewaan tentang salasilah keturunanku. Tapi, belum sempat aku lupakan semua, datang pula kekecewaan yang baru. Aku ingat kehadiran aku di sini bolehlah aku cipta rancangan baru untuk meraih cinta Nur. Tapi, nampaknya aku hanya mampu berangan sendiri. Haruskah aku terus berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku? Sedangkan hati aku betul-betul dah hancur lebur.

Hingga jam tujuh malam, aku masih termenung sambil berbaring atas katil. Nasib baik dekat luar hujan gerimis. Taklah rasa panas sangat dalam bilik ni. Kipas siling yang berpusing lambat aku perhatikan tanpa berkelip mata. Nak turun ke bawah, aku tiada kekuatan. Apatah lagi nak bertentang mata dengan Nur. Usahkan dengan Nur, dengan orang lain pun aku tak mampu. Agh! Baru bertunang. Belum kawin lagi! Aku cuba pujuk hati aku yang terluka. Aku yakin aku masih ada peluang.

“Dil!” Laungan dari luar pintu bilik buata ku tersedar. Aku kenal suara kasar tu.

“Masuklah daddy!” Ujarku malas lalu bangun dari pembaringan. Wajah dady yang tersembul dari muka pintu buat aku tersenyum kelat. Daddy yang datang dekat pada aku terus duduk di birai katil. Wajah hambar aku ditatap tepat. Aku gelisah.

“Dil tengah tidur ke?”

“Taklah!”

“Habis. Mata tu merah kenapa? Menangis?” Teka daddy lalu ketawa kecil. Aku diam seribu bahasa.

“Kenapa tak turun? Dah dekat masuk maghrib. Daddy nak ke masjid dekat sini dengan abang Amer dan abang Syah.”

“Bila dia orang sampai?”

“Pukul lima setengah tadi. Tulah..! Dil asyik terperuk dalam bilik, sampaikan orang datang pun tak sedar. Dah macam anak dara pulak!”

“Malas nak turun.”

Daddy tahu apa yang Dil fikirkan. Jangan macam ni. Tak elok!”

“Dil cuba lupakan dia. Cuba terima dia sebagai adik Dil. Tapi Dil tak kuat. Hati Dil kuat berkata yang dia milik Dil.”

“Mengucap Dil! Ingat tuhan. Jangan ikutkan sangat perasaan tu. Daddy takut Dil yang merana. Kalau Nur tahu Dil bersikap macam ni sebab dia, mesti dia tak senang hati.”

“Apa kurangnya Dil ni daddy? Sebab status Dil ni ke dia tak pandang Dil?”

“Atagfirullah..! Dil sendiri tahukan dia dengan Zikri dah lama kenal. Takkanlah dia nak pilih Dil! Cinta tak boleh dipaksa. Dil kena kuat. Jangan biar nafsu menguasai diri. Daddy tahu Dil mampu harungi ini semua.”

“Tapi macam mana daddy? Dil dah cuba, tapi tetap tak boleh.”

Daddy nasihatkan Dil balik esok. Bukan niat daddy nak menghalau. Cuma daddy tak mahu Dil tertekan bila tengok Nur. Daddy merayu, biarlah Nur cari bahagianya sendiri. Dia dah cukup menderita. Dil tak kasihan pada dia?”

“Dil akan rindukan dia.”

“Jangan ikutkan sangat perasaan tu. Banyakkan berzikir agar hati tu tak dikuasai syaitan. Dah! Pergi siap cepat. Daddy tunggu di bawah.”

Aku hilang kata-kata dengar bebelan daddy. Rasa macam nak balik malam ni juga. Selepas daddy keluar, aku masih terus berfikir. Betul kata daddy, cinta tak boleh dipaksa. Tapi aku pun tak boleh nak paksa hati aku agar lupakan Nur.

No comments: