PENGHARGAAN

Assalamualaikum..
Salam sayang untuk semua kerana sudi2 mengintai di ruangan laman saya yg baru nak bernafas ni.
Sblm jemari sya terus menari,ribuan terima kasih pada adik sya iaitu bloger Senyum-Senyum Diana Rashid sbb tanpa dia, blog sya ni kompem x ujud. Thnk n lebiyu..
Almaklumlah..kakak dia ni slow sikit tentang IT-IT ni..hehehe..
Yg ke 2 plk adalah insan terchenta sya. Tak lain tak bukan dh tentulah Encik sya. Klu tak kerana dia, sampai sekarang karya sya ni dok dlm pendrive jelah..
Utk adik beradik sya yg sering beri semangat..kakyung, Ani, azam, ain, Rina, Ya n abg Jeri.. terima kasih byk2.
Khas untuk mak, terima kasih yg x terhingga. Wlupun bidang ni kurang digemari, sya anggap itu sebagai cabaran untuk berkarya.
Pada sahabat2 Ding Dong..thnk 4ever n ever. Kata2 semangat dan sokongan kalian amat sya hargai dan sanjungi. Kalian mmg best..edea korang adalah yg terbaik!!
Buat kwn2 yg lain, kata2 dan penghargaan korang mmg tersemat dalam hati. Kompem sya x lupa.
Dari itu..sudi2lah mengintai dan membaca krya sya ni. Jgn lupa mengkritik dan mengomen.
Klu nk memuji, sya mohon jgn tinggi2 sgt. Takut sya terperasan hebat. hehehehe...
Risau jgk..bila dah rasa hebat, kompem senang lupa diri dan jatuh ..
Okey...Selamat Membaca..


Thursday, 18 December 2014

BAB 11 Bila Hati Dah Say I Love U

BAB 11

PAPA tak kerja ke hari ni?” Tanya Amil Zaquan pada Fazhan ketika Fazhan melabuhkan duduknya di sebelah Amil Zaquan untuk bersarapan.

Ketika Fazhan melangkah ke ruang makan tadi, dia dapat menangkap satu aroma harum di ruang dapur. Bila melihat hidangan nasi goreng kampung kegemarannya tersedia atas meja, tahulah dia ada seseorang sedang memasak di dapur. Kebiasaannya hanya roti kosong, roti telur, kaya atau jem yang menjadi santapan di waktu pagi. Semasa tinggal dengan Nirmala dulu pun, hanya roti yang menjadi makanan untuk sarapan. Tapi hari ini dia terkejut kerana menerima hidangan seperti itu. Sudah lama disuarakan pada Nirmala agar masakkan hidangan itu padanya, tetapi Nirmala beralasan tidak tahu sedangkan dia kenal sangat dengan Nirmala yang pandai memasak sebelum Nirmala kemalangan. Arwah Fir Luqman pernah beritahu yang Nirmala masak mengalahkan tukang masak terkenal. Sebab itulah  arwah Fir Luqman tidak pernah keluar makan malam selepas berkahwin walaupun sering dia dan Jefri mengajak.  Fir Luqman hanya makan tengahari saja bersama mereka. Itupun kerana arwah  kasihankan Nirmala yang tak sempat sediakan makan tengahari kerana menolong Fir Luqman di pejabat.

“Hari ni papa cuti. Amil ada cadangan nak kemana-mana tak selepas balik sekolah?”

Soalan Fazhan hanya Amil balas dengan gelengan kepala saja.

“Kalau macam tu hari ni Amil cuti sajalah. Nanti papa cakap dekat cikgu.”

“Papa nak bawa Amil pergi mana?” Tanya Amil Zaquan teruja selepas bersorak riang. Seronok sangat dia kerana diberi cuti sedangkan selama ini Fazhan memang tegas dalam soal itu.

“Adalah..!” Ujar Fazhan tersenyum-senyum sambil memandang sekilas ke wajah Nirmala yang sedang berjalan menghampiri meja makan sambil membawa sedulang air kopi.

“Wah..! bau apa yang sedap ni?” Tanya Dato Hamdan tiba-tiba yang muncul di situ.

“Duduk makan sajalah. Jangan nak banyak tanya. Aku duduk sini asyik makan roti saja pagi-pagi. Tekak aku dah tak boleh nak terima semua tu. Hari ni anak aku yang masakkan. Sedap tak sedap, lain kira.!” Sampuk Maklong Hasmah yang baru keluar dari pintu dapur. Kerusi makan ditarik lalu melabuhkan duduknya di sebelah Nirmala.

“Anak ibu nak makan apa? Roti or nasi goreng?” Soalan pertama yang keluar dari mulut Nirmala pada Amil Zaquan.

Tersentak Fazhan dan sekelian yang ada bila Nirmala menggelarkan dirinya ibu dan bukan mama seperti sebelumnya.

“Amil nak makan nasi goreng. Amil suka nasi goreng.” Balas Amil Zaquan teruja.

Ketawa Nirmala apabila melihat Amil Zaquan meneguk air liur tanda tidak sabar menanti hidangan.

“Dulu ayah pun suka makan nasi goreng. Ayah tak suka makan roti sebab dia kata makanan tu tak ada tenaga dan lambat kenyang. ” Balas Nirmala tanpa pedulikan pandangan semua yang ada di situ.

Deheman Maklong Hasmah buat Nirmala tersedar. Namun dia hanya buat-buat tak faham. Separuh pinggan nasi goreng berlaukkan ayam goreng disuakan pada Amil Zaquan. Kemudian dengan selamba dia mula makan nasi goreng yang baru disendukkan ke dalam pinggannya.

Fazhan yang sedang menanti hidangan untuknya hanya melihat tingkahlaku Nirmala tanpa bersuara. Dalam hati dia akui memang terasa dilayan begitu. Jika sebelum ini, layanan Nirmala padanya sangatlah baik. Hinggakan kadang-kadang makannya pun bersuap. Namun setelah apa yang terjadi, dia harus faham. Nirmala mahu melayan dan menerima anaknya, itu sudah cukup membahagiakannya. Akhirnya dengan bersahaja, Fazhan sendukkan sendiri nasi goreng ke pinggannya. Dia sedar pandangan Dato Hamdan dan Maklong Hasmah. Namun dia buat-buat tak tahu.

“Makanlah maklong, ayah..! An suka ni.!” Kata Fazhan tenang sambil tersenyum. Melihatkan pandangan simpati maklong Hasmah dan Dato Hamdan, Fazhan tahu kedua orang tua itu simpati padanya. Namun apa saja yang terjadi lepas ini, dia terima dengan senang hati. Diakui, jika tidak kerana dia, sudah pasti perkara begini tak terjadi.


IBU tak siap lagi?” Tanya Amil Zaquan yang sudah siap berpakaian kemas selepas sarapan pagi tadi. Pakaian teluk belanga berwarna hijau pucuk pisang itu benar-benar dia kelihatan comel. Bila tersenyum jelas wajah Fir Luqman kelihatan.

Nirmala tersenyum mendengar anaknya bertanya begitu. Panggilan yang diarahkan olehnya benar-benar dituruti oleh Amil Zaquan. Mula- mula agak pelik bagi kanak-kanak itu. Namun bila ditegur banyak kali, akhirnya Amil Zaquan berjaya menggunakan panggilan yang sepatutnya digunakan sejak dulu lagi.

“Manja ibu nak pergi mana? Tak cerita dekat ibu pun.!” Tanya Nirmala kembali sambil melangkah kearah Amil Zaquan yang tercegat berdiri di ruang tamu.

“Mala nak ikut tak?” Tiba-tiba Fazhan bersuara di belakang Amil Zaquan. Fazhan juga lengkap berpakaian baju teluk belanga dan songkok.

Terfikir-fikir juga Nirmala sendiri. Kemanalah agaknya lelaki itu mahu membawanya dan Amil Zaquan. Melihatkan pakaian yang dipakai mereka, hatinya bagai dicuit untuk tahu.

“Jomlah ibu..! papa nak bawa kita ke kubur ayah Luqman.” Sampuk Amil Zaquan sambil menarik-narik tangan Nirmala.

Berubah air muka Nirmala apabila mendengar nama arwah suaminya dibibir Amil Zaquan. Memang sejak semalam dia berkeinginan untuk ke pusara suaminya. Namun bila mengenangkan hatinya yang masih belum kuat menerima kenyataan, maka dipendamkan saja niatnya itu.

“Tak apalah! Anak ibu sajalah yang pergi. Nanti bila-bila ibu pergi sendiri.” Balas Nirmala sayu.

“Hari ni Mala pergi dengan abang. Nanti bila-bila Mala boleh pergi sendiri bila dah tahu di mana tempatnya.” Ulas Fazhan lembut selepas tersentak dengan jawapan Nirmala. Walaupun dia pernah membawa Nirmala ke pusara Fir Luqman dahulu, dia yakin kini Nirmala pasti tidak ingat. Dia tahu Nirmala masih belum terima kenyataan. Tapi dia benar-benar berharap agar Nirmala dapat sertainya.

Nirmala masih kaku membisu.

“Jomlah sekali! Memang abang rancang nak bawa Mala pergi sana hari ni. Sebab tu abang ambil cuti hari ni.” Teragak-agak Fazhan bersuara. Melihat renungan mata Nirmala yang tajam menyedarkan ia bahawa Nirmala masih berkeras hati.

“Ada saya suruh awak susahkan diri kerana saya? Tak adakan? So jangan nak memandai-mandai tentukan apa yang saya harus dan tidak buat dalam rumah ni.” Balas Nirmala kasar lantas berlalu dari situ.

Fazhan tergamam. Melihat wajah Amil Zaquan yang terpinga-pinga mendengar herdikan Nirmala, dia rasa serba salah. Wajahnya diraup sambil melepaskan keluhan berat. Mendengar herdikan suara Nirmala tadi, buat jiwanya sebak sayu. Maklong Hasmah dan Dato Hamdan yang berada di situ turut terkejut dengan jawapan Nirmala. Tak mereka sangka, walaupun Nirmala yang asal sudah kembali, namun sikapnya yang sopan entah hilang kemana.

“Kenapa dengan ibu tu papa? Sejak balik dari hospital, asyik moody aje. ” Tanya Amil Zaquan sayu.

“Tak ada apalah! Ibu tu tak sihat lagi. Amil jangan bagi ibu steress tau!” Pesan Fazhan lembut mengharapkan agar Amil Zaquan tidak fikirkan yang bukan-bukan.

“Sabarlah An! Maklong yakin marahnya tu tak lama. Dia masih tak boleh terima apa yang berlaku.” Pujuk Maklong Hasmah pada Fazhan yang masih tercegat di situ.

“Saya faham Maklong. Tak apalah! Saya pun harap rajuk dia tak panjang.”

“Nanti ayah tolong pujukkan dia. Ayah tahu dia anak yang baik.”

“An tahu tu ayah, maklong..! jangan risaulah. An okey. Tapi An rasa ada baiknya tak payahlah nak pujuk rayu dekat dia semata-mata kerana An. Ini tanggungjawab An. Biar An saja yang selesaikan. Lagipun An tak mahu dia terus menyalahkan kita semua. Cukuplah marah dia hanya pada An. An tak sanggup lihat dia bermasam muka dengan yang lain pula. Dia dapat terima Anis, itu sudah cukup buat An lega.” Jelas Fazhan sayu.


NIRMALA termenung panjang sambil matanya asyik benar merenung ke luar jendela. Apa yang dipandang, dia sendiri tidak tahu. Matanya yang masih basah di seka lembut. Pelik juga dengan air matanya ini, susah pula mahu berhenti.

Sebenarnya Nirmala sedang rindukan arwah suaminya Fir Luqman. Siapa menyangka dan siapa menduga, hubungan kasih yang diikat sejak bertahun yang lalu, musnah sekelip mata. Agak sukar baginya menerima kenyataan yang Fir Luqman telah meninggalkannya untuk selama-lamanya setelah hanya tak sampai dua tahun dia bergelar isteri kepada lelaki itu. Jika diingat kembali janji Fir Luqman padanya dulu, hatinya menjadi sakit. Fir Luqman tidak pernah berjanji takkan tinggalkan dia, tapi dia hanya berjanji untuk terus setia menyintai Nirmala.

Masih segar diingatan bagaimana detik-detik pertemuan buat pertama kali Nirmala bertemu dengan Fir Luqman. Pertemuan yang tak disangka dan sudah tentu yang Maha Kuasa yang mengaturkannya.
Ketika itu jam menunjukkan ke pukul sepuluh malam. Nirmala sabar menanti kehadiran Jefri yang berjanji menyemputnya kerana keretanya terpaksa dihantarkan ke bengkel siang tadi. Dia sendiri tidak tahu apa masalah pada keretanya. Seingatnya, kereta itu baru minggu lepas dihantar service.

Memandangkan hari semakin lewat, Nirmala ambil keputusan untuk mengambil teksi. Lagipula tiada tanda-tanda Jefri mahu datang menjemputnya. Pada firasatnya mungkin Jefri terlupa kerana banyak panggilan yang dibuat tetapi langsung tidak berjawab. Dia andaikan Jefri tertidur kerana faham sahabatnya itu selalu tidur awal selepas solat isyak.

Nirmala berjalan sendiri hingga sampai di perhentian bas. Dia mengeluh berat bila mendapati hanya seorang pemuda sedang menunggu bas di situ. Setahunya perhentian bas itu selalu penuh dengan pelajar-pelajar yang pulang lewat sepertinya. Dalam rasa-rasa cuak, Nirmala memberanikan diri menanti di situ. Dengan suasana yang gelap, Nirmala nekad menanti memandangkan tiada lagi tempat untuk menanti teksi.

“Adik ni nak kemana? Kalau tak keberatan, abang boleh hantarkan.” Pemuda itu bertanya lembut sambil tersenyum-senyum.

Nirmala hanya menggeleng kepala tanda menolak. Buku yang dipegang bersama fail yang mengandungi kertas kerjanya dipegang erat mencari kekuatan. Tudung yang dipakai dipastikan menutupi seluruh bentuk badannya dari pandangan liar pemuda itu. Dari pandangan Nirmala, lelaki itu seperti berniat tidak baik.

“Janganlah jual mahal dik..! abang ikhlas nak menolong. Jomlah..!kereta abang ada dekat sana.” Pujuk pemuda itu lagi lalu melangkah mendekati Nirmala sambil menunjukkan ke satu arah yang gelap gelita.

Nirmala semakin cuak. Setapak demi setapak dia berundur ke belakang untuk menjauhkan diri dari pemuda tadi. Mungkin nasibnya sudah tertulis begitu. Ketika Nirmala asyik berundur, kakinya tersadung pada seketul batu sebesar kepala lutut hingga menyebabkan dia terjatuh. Kesempatan itu digunakan oleh pemuda tadi untuk memeluk Nirmala dan mengheret Nirmala agar mengikutnya.

“Tolong abang! Jangan apa-apakan saya. Saya merayu bang..!” Rayu Nirmala berkali-kali sambil menangis teresak-esak Namun rayuan Nirmala langsung tidak dihiraukan oleh pemuda berbadan sasa tadi. Sakit tangannya sudah mula terasa. Kasut yang dipakai pun sudah terlucut sebelah dari kaki. Tudung yang dipakai pun sudah terbang bila pemuda tadi berjaya merentap kuat. Hanya pada Allah Nirmala mengharapkan bantuan. Mulutnya tak henti-henti menyebut nama si pencipta alam.

Dengan sepenuh daya tenaga, Nirmala menjerit sekuat hati meminta tolong. Dari suaranya yang jarang digunakan untuk memekik atau mengherdik, diharapkan datanglah seorang untuk membantu. Ketika itu tiada lain yang dia harapkan selain dari bantuan memandangkan dia tiada daya untuk melawan. Jadi dia bergantung pada suaranya dan budi baik sesiapa yang melalui kawasan itu..

“Lepaskan dia.!” Jerkah dari satu suara di balik kegelapan.dari belakang Nirmala. Langkah pemuda yang mengheret Nirmala tadi terus terhenti dan pantas menoleh ke belekang.

“Kalau aku tak nak, kau nak buat apa?”

“Tu namanya kau cari nahas.! Kalau nak selamat, baik kau dengar cakap aku.”

“Kalau kau kuat sangat, kau datang sini ambil budak ni.”

“Jangan cabar aku!”

“Memang aku cabar kau.”

Sedetik kemudian keluar seorang pemuda dari celah kegelapan malam yang tidak kurang sasa tubuh badan sama seperti pemuda yang berniat jahat pada Nirmala tadi. Nirmala dapat lihat tudungnya yang tertanggal tadi ada ditangan pemuda itu. Apabila pemuda itu mendekat, serta merta pemuda berniat jahat tadi terus melepaskan pegangan tangan di pergelangan tangan Nirmala dan sedikit berundur.

“Pakai ni.” Kata pemuda itu tanpa melihat wajah Nirmala sambil menghulurkan tudung yang terjatuh tadi. Sempat Nirmala memandang sekilas wajah pemuda yang menolongnya. Dengan rasa takut, Nirmala terus menyambut dan memakainya cepat-cepat. Memperlihatkan rambutnya yang sudah kusut masai, buat Nirmala rasa berdosa. Tambah lagi bajunya di bahagian dada sudah terkoyak luas hingga menampakkan separuh dadanya yang putih melepak.

Nirmala berundur ke belakang bila dua pemuda tadi sudah seperti memulakan langkah mahu bertarung. Mungkin ilmu pertahanan diri sudah cukup dalam dada. Sebab itu mereka masing-masing tidak seperti mahu mengalah. Namun begitu, memang sudah takdir, yang baik pasti dibalas dengan baik. Ketika mereka bertarung, Pemuda baik hati tadi berjaya menewaskan musuh huingga pemuda yang berniat jahat tadi lari lintang pukang.

“Awak tak apa-apa?” Tanya pemuda tadi sambil menghulurkan buku-buku dan fail Nirmala yang berterabur. Nirmala hanya menggeleng kepala.

“Saya hantar awak pergi klinik, okey?”

“Saya rasa tak payah kot. Luka sikit saja ni.” Kata Nirmala tersedu-sedu. Dia menangis bukan kerana sakit luka di tangan dan kakinya tetapi kerana masih rasa takut dan ngeri. Seumur hidupnya inilah pertama kali dia merasa takut yang teramat sangat. Kalau ada kaum hawa, sudah tentu dijadikan tempat untuk dia peluk demi meredakan rasa takutnya.

“Besar lukanya ni. Awak nak pergi mana sebenarnya ni.?” Ujar pemuda itu sambil melihat kaki Nirmala yangberdarah.

“Saya nak balik rumah sewa saya dekat Taman Pelangi. Kereta saya rosak. Sebab tu saya kena balik naik bas atau teksi malam ni.”

Terangguk-angguk pemuda tadi mendengar penjelasan Nirmala.

“Saya Fir Luqman. Panggil saja abang Fir atau abang Luqman. Melalui buku awak ni, saya tahu awak pelajar dekat sini. Saya pun belajar dekat situ juga. Sekarang dalam tahun akhir.”

Nirmala lega mendengar kata-kata Fir Luqman.
“Saya baru tahun ke dua. Nama saya Nirmala Kesuma. Abang Luqman boleh panggil saya Mala atau Lala saja.” Balas Nirmala lemah.

“Sekarang abang nak bawak Mala pergi klinik.”

“Tak payahlah bang. Sikit saja ni. Lagipun dekat rumah saya ada peti ubat. Abang Luqman jangan risau ek. Kalau luka tak sembuh jugak, saya pergi klinik.” Cepat-cepat Nirmala mengelak. Yang sebenarnya dia mahu cepat balik ke rumah. Memandangkan hari sudah lewat tengah malam, dia nekad mahu pulang segera ke rumah. Takut juga kalau-kalau keluar mulut buaya masuk mulut naga.

“Kalau macam tu, baiklah. Abang setuju. Tapi kalau masih sakit, cepat-cepat pergi klinik okey?”

Terangguk-angguk Nirmala mendengar arahan Fir Luqman. Nirmala yakin Fir Luqman berniat baik lantas terus bersetuju untuk mengikut Fir Luqman hingga ke tempat keretanya dipakir tidak jauh dari perhentian bas tadi.

“Lain kali pastikan tak berjalan sorang-sorang dekat kawasan macam ni. Bahaya! Nasib baik abang lalu tempat ni tadi. Kalau abang tak jumpa Mala tadi, macam mana? Percuma je dia dapat Mala hari ni.”

Mala hanya berdiam diri mendengar bebelan Fir Luqman. Diakui kata-kata Fir Luqman benar-benar belaka, jadi dia tak ada kuasa untuk membalas. Tambah pula matanya yang memberat buat dia hanya mahu tidur saja.

Itulah kali pertama Nirmala berjumpa dengan Fir Luqman. Dan kemudian terjadi pula pertemua-pertemuan yang tak dirancang dan seterusnya sudah pasti yang dirancang.

Hubungan mereka semakin akrab saban hari. Mereka bagai pasangan dua sejoli yang sukar untuk dipisahkan. Dan dalam pada itu, barulah Nirmala tahu yang sebenarnya Fir Luqman adalah kawan baik pada abang angkatnya iaitu Jefri. Kebetulan pula mereka tinggal serumah.


MALA tahu tak kenapa abang pilih Mala sebagai teman abang? Insyallah kalau boleh abang nak Mala jadi suri hidup abang dan bidadari abang bila di sana nanti.”

“Entah! Manalah Mala tahu. Abang tak pernah cakap pun.”

“Sebenarnya abang pun tak tahu. Mengenali Mala bagai mengenali diri abang sendiri. Abang beruntung dapat kenal dengan Mala.”

Semenjak mereka mula rapat, Fir Luqman nekad mahu menjadikan Nirmala sebagaui insan teristimewa dalam hidupnya. Bagai bertepuk sebelah pasti takkan berbunyi, begitulah yang terjadi pada mereka. Nirmala yang turut rasa apa yang Fir Luqman rasa, tidak terus menunggu. Lantas terus saja bersetuju dengan permintaan Fir Luqman. Dan sejak itu, mereka merancang untuk terus bersama mendirikan rumahtangga setelah Fir Luqman berjaya membuka syarikatnya sendiri.


LANGIT tak semestinya terang. Begitulah kisah cinta mereka yang mendapat halangan dari bapa Nirmala iaitu Dato Hamdan. Menurut Dato Hamdan, Fir Luqman tidak memiliki ciri-ciri seorang pemimpin. Lagi pula, menurut Dato Hamdan lagi, Fir Luqman tidak mempunyai salasilah keturunan dari keluarga yang baik-baik. Nirmala kecewa apabila mendengar sebab yang tak munasabah dari Dato Hamdan. Baginya ayahnya terlalu pandang pada keturunan, harta dan darjat. Bagi Nirmala apa gunanya pangkat , harta dan nama andai hati tidak suci. Pada Nirmala, Fir Luqman adalah satu-satunya hamba Allah yang elok budi perkerti. Rugilah baginya jika ditolak lelaki itu pada yang lain. Dalam seribu belum pasti akan bertemu dengan manusia sebaik Fir Luqman.

Nirmala nekad mahu teruskan hubungan dengan Fir Luqman. Baginya kini hanya Fir Luqman yang beraja dalam hati. Datanglah anak raja dari kayangan pun, cintanya tetap kuat pada Fir Luqman sahaja.

“Kan ayah dah pesan jangan berkawan lagi dengan budak tak tahu asal usul tu. Yang Mala degil sangat, kenapa?” Tempik Dato Hamdan berang setelah dapat tahu berita itu dari seorang kenalan Nirmala. Tidak disangka arahannya ketika pertama kali dapat tahu tentang hubungan Nirmala dan Fir Luqman dipandang bagai air lalu saja oleh anaknya. Beberapa tahun lalu dia menyangka Nirmala akur pada arahannya agar jauhkan diri dari Fir Luqman. Selepas tamat belajar, Nirmala tidak kelihatan seperti orang dalam percintaan. Dan dia yakin Nirmala ikut segala perintahnya. Tapi kali ini hatinya sakit bila Nirmala suarakan hasrat hati mahu berkahwin pula dengan Fir Luqman.

“Mala cintakan abang Luqman, ayah! Dia pun sama macam Mala.”

“Apa yang kamu pandang pada dia, hah? Kamu ingat dengan cinta dan kasih sayang, hidup kamu boleh terjamin? Begitu? Sedarlah sikit..Cuba buka mata tu luas-luas. Dia siapa, Mala pula siapa? Pernah Mala jumpa dengan orang tua dia? Pernah Mala tengok kehidupan dia sekeluarga? Tak pernahkan? Cuba tanya dia kenapa dia tak pernah kenalkan ahli keluarga dia pada Mala.”

“Dia anak yatim piatu, ayah. Dia tak ada keluarga.”

“Sebab dia anak yang tak tahu keturunan dari mana. Entah-entah anak luar. Siapa tahu!” Tempelak Dato Hamdan angkuh.

Terpempan Nirmala dengan ayat kasar Dato Hamdan. Bibirnya diketap geram.

“Tak baik ayah cakap macam tu pada abang Luqman. Kalau ayah nak tahu, dia yang selamatkan Mala dari diperkosa oleh samseng jalanan beberapa tahun yang lalu. Kalau dia tak ada, Mala yakin pasti ayah tak berpeluang lihat lagi anak ayah ni berdiri depan ayah macam ni.” Kata Nirmala sebak. Dato Hamdan tergamam sambil merenung wajah Nirmala. Maklong Hasmah yang turut berada di situ ketika itu turut tergamam.

“Betul ke Mala? Kenapa Mala tak pernah cerita pada Maklong?”

Nirmala hanya diam. Baginya perkara yang lepas tak guna diungkit-uingkit lagi. Yang penting sekarang adalah menjaga cintanya yang disemai bersama Fir Luqman beberapa tahun yang lalu.

“Betul ke Mala? Atau kamu sengaja mereka alasan!” Tempelak Dato Hamdan curiga.

“Terpulang pada ayah sama ada nak percaya atau tidak. Mala tetap nak teruskan perkahwinan ni. Kalau ayah paksa juga suruh Mala lupakan abang Luqman, Mala akan keluar dari rumah ni!” Ugut Nirmala perlahan.

Dato Hamdan tersentak. Wajah Nirmala ditatap tajam. Hatinya semakin membahang. Namun apakan daya, kerana kasih pada anak tunggalnya itu, terpaksalah diturutkan sahaja.

“Kamu dah melampau Mala! Ayah tak sangka kamu bersikap macam ni!”

“Mala lagi tak sangka ayah macam ni. Selama ni Mala ingat ayah seorang yang penyayang, baik hati. Rupanya lain sifat ayah. Pantang ada yang minta derma, ayah orang pertama yang berebut nak hulurkan sumbangan. Tambah-tambah lagi pada anak-anak yatim. Bila ditanya, ayah pasti jawab sebab anak ayah pun anak yatim. Tapi bila berdepan dengan orang seperti abang Luqman, yang merupakan anak yatim piatu, ayah boleh pejamkan mata, pekakkan telinga. Abang Luqman bukan jenis yang mengharapkan kesenangan dari usaha orang lain. Dia ada cita-cita. Dia ada kelulusan dan pendidikan yang tinggi. Ayah tak perlu risau dengan harta-harta ayah sebab dia takkan usik harta ayah. Mala kesal dengan sikap ayah. Ayah lebih pandang kepada harta dan keturunan. Kalau beginilah sikap ayah, Mala nekad akan keluar dari rumah ni sekarang juga.”

Sekali lagi Dato Hamdan bagai hilang kata-kata. Jauh disudut hati dia risau kalau Nirmala nekad mahu teruskan apa yang disuarakan tadi.

“Baiklah. Ayah izinkan. Tapi dengan syarat. Selepas majlis perkahwinan kamu nanti, ayah tak izinkan kamu bawa anak dan suami kamu datang ke rumah ayah. Ayah haramkan  kamu dan keturunan Fir Luqman berada dalam rumah ni. Pandai-pandailah kamu bawak diri kamu. Ayah tak mahu masuk campur lagi urusan kamu.”

Kali ini Nirmala pula yang tersentak dengan kata-kata Dato Hamdan. Dengan hati yang kecewa dan lara, Nirmala melangkah naik ke biliknya. Jika lagi lama dia di situ, takut berubah pula hati ayahnya.


DUA minggu sebelum majlis perkahwinan Nirmala tiba-tiba berang dengan sikap Fir Luqman. Sakit hatinya bila tiba-tiba Fir Luqman tiba-tiba mahu menangguhkan perkahwinan mereka. Bila disoal siasat, rupa-rupanya itu adalah permintaan dari Dato Hamdan sendiri. Pada mulanya Fir Luqman tidak mahu berterus terang, tapi dia cepat lemah dengan pujuk rayu Nirmala.

“Mala ada salah apa-apa ke dengan abang?” Tanya Nirmala sayu.

Fir Luqman hanya menggeleng lemah. Yang sebenarnya dia serba salah mahu berterus terang. Jika hatinya yang terluka, dia tak kisah sangat. Masalahnya Sekarang, ini melibatkan hati Nirmala dan bakal mertuanya. Mengingatkan kembali apa yang Dato Hamdan katakan padanya, buat hatinya serba salah.

“Habis, kenapa tiba-tiba nak tangguhkan.? Dah lama kita rancang hal ni kan?”

“Kenapa Mala tak pernah cerita pada abang hubungan kita tak pernah dapat restu dari ayah Mala?”

Nirmala tersentak. Nirmala hanya menunduk sebak. Wajah sayu Fir Luqman tak berani dia nak pandang. Memang sejak pertama kali mendapat tentangan keras dari ayahnya, Nirmala tak pernah suarakan kebimbangannya pada Fir Luqman. Hatinya risau jika Fir Luqman mengalah dengan kehendak ayahnya. Bukan dia tidak tahu sikap sebenar Fir Luqman. Lelaki itu cukup lemah dengan pujuk rayu dan desakan. Tambah-tambah lagi dengan orang tua.

“Abang jumpa ayah?” Tanya Nirmala lambat-lambat.

“Kan bagus kalau Mala cakap terus terang dengan abang dari dulu. Mesti perkara ni tak jadi. Abang malu dengan ayah Mala.”

“Ayah kata apa pada abang? Ayah hina abang? Hina salasilah keleturuan abang?” Kalut Nirmala kemukakan pelbagai soalan hingga buat Fir Luqman hanya tersenyum sambil menggelang kepala.

“Jadi selama ni Mala dah selalu sangatlah kena herdik dengan ayah fasal abang? Patutlah bila abang ajak tunang dulu, Mala menolak.”

“Jadi, betullah ayah ada jumpa abang?” 

“Jawab dulu soalan abang. Selama ni Mala pertahankan abangkan? Kenapa Mala buat semua tu?”
“Mala minta maaf, abang! Bukan niat Mala nak sembunyikan hal ni. Mala takut.”
“Mala takut apa?”
“Mala takut kehilangan abang. Mala takut abang cepat berlembut hati dengan ayah bila dengar ayah merayu 
suruh abang tinggalkan Mala.” Terang Nirmala sebak.
“Sepatutnya Mala ceritakan pada abang. Bukannya tanggung semuanya sendiri. Mala tahukan betapa abang sayangkan Mala? Takkan abang nak biarkan Mala sendiri tanggung semua ni.”
Nirmala termanggu sendiri mendengar pengakuan Fir Luqman. Kalau sebelum-sebelum ini dia risau jika Fir Luqman berubah hati andai berjumpa dengan Dato Hamdan. Tapi setelah mendengar kata-kata ikhlas Fir Luqman, dia percaya satu hari nanti dia pasti akan jadi milik Fir Luqman juga.

“Sekarang mcam mana? Nak tangguh jugak ke? Mala takut ayah rancang sesuatu.”

“Nanti abang datang bincang dengan ayah. Mala jangan risau okey!”

“Mala cuma risaukan ayah. Mala takut ayah berusaha pisahkan kita.”

“Mala! Mala percayakan qada qadar Allah tak?”

Nirmala mengangguk laju.

“Bagus! Dengar sini baik-baik. Abang tak ada kekuatan atau kuasa untuk buat janji tidak tinggalkan Mala. Tapi abang boleh berjanji akan setia pada Mala untuk selama-lamanya.”

“Kenapa abang cakap macam ni. Abang nak tinggalkan Mala ek?”

Mengekek-ngekek Fir Luqman ketawa mendengar firasat merapu Nirmala.

“Abang cakap macam ni sebab abang memang yakin abang boleh setia pada Mala. Dan abang harapkan kesetiaan Mala pada abang akan berkekalan macam abang setia pada Mala. Tapi satu abang dan Mala harus kena faham yang selama-lamanya dunia ini bukan milik kita. Kita harapkan kebahagiaan kita kekal dunia akhirat. Tapi mampukah kita untuk sampai hingga ke sana? Jawapan tu hanya Dia yang tahu. Kita hanya merancang. Yang menentukan semua, dah tentu Dia yang berkuasa.”

“Abang rasa-rasa kita boleh ke kekal sampai sana nanti.?”

“Soalan Mala tu telalu subjektif untuk abang jawab. Terus terang abang cakap, abang tak tahu.”

“Kalau hasrat kita tak kesampaian untuk kekal hingga di sana, abang kecewa tak?” Tanya Nirmala lagi.

“Mala pula macam mana?” Soalan itu dikembalikan pada Nirmala semula. Terlalu sukar untuk menjawab.

“Mala kecewa. Mala akan bersedih.”

“Kenapa?”

“Sebab Mala tak dapat hidup kekal dengan orang yang baik, bertanggungjawab, memahami macam abang. Mala yakin takkan berjumpa lagi dengan orang macam abang.”

“Siapa cakap? Kita tak tahu jalan cerita kita selepas ni. Kalau sekarang Mala hanya kenal abang yang paling sejati dalam hidup Mala. Tapi satu Mala kena ingat, dekat luar sana, masih ramai lelaki sejati yang lebih baik dari abang.”

“Mala taknak ambil tahu fasal lelaki-lelaki dekat luar sana sebab Mala rasa dah cukup sempurna dengan abang seorang. Abang tak jawab lagi soalan Mala tadi. Abang kecewa tak kalau kita tak kekal.”

“Of cozlah abang kecewa. Tapi abang redha. Manalah tahu, dekat sana nanti abang akan dikurniakan seorang bidadari macam Mala.”

“Oh..jadi sebab tulah abang tak kisah ek? Sebab ada bidadari tengah tunggu dekat sana? Macam tu? Sampai hati abang..!”

Ketawa Fir Luqman kali ini semakin galak kedengaran. Agak lucu baginya melihat Nirmala yang sudah cemerut.


NIRMALA hanya berdiri di hadapan Dato Hamdan sejak tiba dalam pejabat itu. Tidak terasa pun dia mahu duduk di kerusi mahupun sofa lembut milik ayahnya itu. Sejak dari rumah tadi, hanya satu saja tajuk yang ingin disuarakan pada Dato Hamdan. Selepas berjumpa dengan Fir Luqman semalam, dia nekad mahu bertanya terus pada Dato Hamdan. Tetapi bayang  Dato Hamdan tidak kelihatan. Pagi tadi sekali lagi dia terlepas bersua muka dengan  Dato Hamdan kerana seawal pagi lagi, Dato Hamdan sudah keluar ke pejabat. Dengan berat hati mahu ke pejabat Dato Hamdan, dia paksa juga kakinya melangkah ke situ.

“Ayah dah jumpa dengan Abang Luqmankan?” Tanya Nirmala serius sambil memeluk tubuh. Wajah Dato Hamdan yang sedang leka menaap kertas kerja atas meja, dipandang seoalah tidak puas hati.

“Kenapa? Tak boleh?” Tanya Dato Hamdan tanpa mengangkat mukanya memandang Nirmala.

“Ayah tak cakap kat Mala pun!”

“Tak penting!” Dato Hamdan jawab bersahaja.

“Tak penting ayah cakap? Hal yang ayah bincangkan dengan abang Luqman tu ada kena mengena dengan Mala. Macam mana ayah boleh kata tak penting?” Suara Mala sudah sedikit meninggi.

“Jadi Mala dah tahulah apa yang ayah bincangkan dengan dia? Jadi kedatangan Mala ke sini sebab nak bagitahu keputusanlah ek?” Tanya Dato Hamdan dengan nada sindiran.

“Mala tak setuju dan tak akan setuju. Kalau ayah masih nak kami teruskan rancangan ayah, sekarang  jugak Mala ajak abang Luqman kawin dekat siam.”

Terpanggung kepala Dato Hamdan dengan ugutan anak gadisnya. Wajah Nirmala dipandang tajam.

“Kamu dah melampau Mala.!” Tempik Dato Hamdan berang. Tidak disangka Nirmala sanggup keluarkan kata-kata begitu.

“Ayah lagi melampau. Walaupun abang Luqman tak cerita apa yang ayah kata pada dia, Mala tahu ayah dah sakitkan hati dia. Kalau ayah tak suka pada dia pun ayah tak patut menghina dia. Dia anak yatim. Ada perasaan. Ada maruah diri. Salah ke kalau ayah bagi dia peluang? Tolonglah ayah! Izinkan kami bahagia.!” Rayu Nirmala sayu sebelum keluar meninggalkan Dato Hamdan termanggu sendiri di situ.


TAMAT  majlis perkahwinan Nirmala dan Fir Luqman, malam itu juga mereka keluar dari rumah Dato Hamdan. Nirmala tahu Fir Luqman malu dengan situasi begitu. Namun jika nak dibandingkan dengan dirinya, dia sepatutnya telebih rasa malu.

“Abang rasa bersalah pulak sebab menyebabkan hubungan Mala dengan ayah jadi macam ni.”

“Kenapa? Abang menyesal kawin dengan Mala?”

“Bukan macam tu maksud abang. Kalau tak kerana abang, pasti Mala bahagia dengan keluarga Mala. Kasihan abang tengok ayah tadi. Murung je masa kita angkat beg keluar rumah.”

“Ayah sendiri yang halau kita. Kenapa kita pulak yang nak rasa bersalah?”

“Tengok muka maklong tadi, lagilah abang rasa sebak. Mala tak rasa apa-apa ke tengok  Maklong tadi?”

“Mala sedih juga bang! Tapi apa yang kita boleh buat lagi kalau ayah sendiri yang halau kita.”

“Abang rasa macam Kasim Selamat pulak.”

“Kenapa pulak?” Tanya Nirmala hairan.


“Kasim Selamat dengan Sabariah kan keluar rumah selepas mereka dinikahkan.”

Nirmala sudah tersenyum simpul.

“Kasim Selamat kena halau oleh ibu mertua. Tapi abang dengan bapak mertua. Elok sangatlah tu..!”

“Jangan bapak mertua abang buat macam ibu mertua Kassim selamat, sudahlah..! Tak sanggup abang terima dugaan macam tu.”

“Insyaallah bang..! Mala pun harap tak ada perkara buruk yang berlaku dalam rumahtangga kita. Ayah dah cakap, dia tak akan ambil tahu lagi fasal Mala. Jadi abang tak perlu risau okey!”

“Tapi jika sudah takdir begitu, kita tak ada kuasa nak mengelak.”

Nirmala diam kelu seribu bahasa. Perlahan-lahan tangan Fir Luqman diraih lembut lalu dikucup penuh kasih sayang.

“Mala sayang abang. Mala tak sanggup kehilangan abang. Mala dah kehilngan keluarga. Jadi jangan sesekali abang pergi dari Mala. Pastikan abang sentiasa di sisi Mala.” Sekali lagi tangan Fir Luqman dikucup lembut.

“Insyaallah sayang! Abang tak berani nak berjanji kerana kita tak tahu apa yang Allah dah aturkan dalam kehidupan kita selepas ni. Tapi abang jujur cakap yang abang pun ikhlas cinta dan sayangkan Mala. Mala adalah gadis pertama yang bertahta dalam hati abang. Jujur abang cakap, yang abang bahagia sepanjang mengenali Mala. Tapi setelah apa yang terjadi pada Mala dan keluarga, abang rasa bersalah sangat-sangat. Jadi,  abang dah pasang niat untuk kembalikan keluarga Mala yang terpisah tadi. Ini janji abang!”

“Terima kasih bang..” Ucap Nirmala lembut lalu menghadiahkan satu kucupan lembut di kedua belah pipi Fir Luqman.

Malam itu buat pertama kalinya mereka bermalam di rumah sendiri selepas bergelar suami isteri. Bagi Nirmala, bermalam di rumah yang Fir Luqman sediakan lebih bermakna jika nak dibandingkan dengan kamar pengantin yang terhias indah di rumah Dato Hamdan. Dia bahagia.

Dan malam itu juga mereka merancang agenda kehidupan mereka seterusnya demi mencapai kebahagiaan berumahtangga. Esok mereka akan bertolak pulang ke rumah Jefri kerana orang tua Jefri sudah menyiapkan majlis menyambut menantu. Walaupun sudah berkali-kali menolak, keluarga angkatnya itu masih berkeras mahu teruskan juga. Kadang-kadang Nirmala berasa berada dengan orang luar lebih bermakna dari berada dengan keluarga sendiri.


No comments: