BAB
27
NIRMALA
berteleku depan pusara Fir Luqman bersendirian. Baru hari ini dia kuatkan hati
dan semangat untuk menjejakkan kaki ke situ. Jika sebelum ini hatinya masih
belum kuat untuk berdepan dengan tempat persemadian kekal Fir Luqman.
“Abang! Apa yang perlu Mala buat bang? Mala serba salah
lepas baca surat abang. Mala masih cintakan abang, tapi Mala sedar yang Mala
sudah menjadi milik dia. Mala mengaku yang Mala dah jatuh sayang pada dia, tapi
lepas apa yang berlaku baru-baru ni, Mala dah susah nak terima dia. Patutkah
Mala tinggalkan dia, bang?” Bisik Nirmala sendiri selepas selesai membaca
yassin dan berdoa. Bunga ditabur, air mawar disiram. Selesai semuanya, Nirmala
termenung panjang depan pusara. Sedar tak sedar, sudah hampir dua jam dia di
situ. Namun dia hairan. Tiada setitis air mata pun yang mengalir dari matanya.
“Mala balik dulu bang. Esok Mala datang dengan Amil.
Sekarang dia dah balik tinggal di rumah kita. Teruja sungguh dia tengok gambar
abang.” Bisik Nirmala sendiri lalu ketawa kecil. Rasa lucu bila teringatkan
gelagat Amil Zaquan ketika pertama kali melihat wajah bapa kandungnya.
Keluar dari kawasan perkuburan, Nirmala tersentak bila
melihat Fazhan sedang berdiri di hadapan keretanya. Dengan rasa yang dia
sendiri tak pasti, diayunkan kakinya laju ingin membuka pintu kereta. Namun
pantas dihalang oleh Fazhan.
“Sampai bila Mala nak lari dari abang?”
Nirmala diam membisu. Wajahnya mencuka. Pandangannya tidak
sekali pun dihalakan ke wajah Fazhan.
“Kalau Mala nak abang dijatuhkan hukuman, abang rela. Mala
pergilah buat repot. Bukalah semula kes ni kalau itu boleh buat Mala tenang dan
terima abang.” Rayu Fazhan lembut. Matanya tak lekang membelek wajah kesayangannya.
Melihatkan Nirmala masih membisu, Fazhan terus merayu.
“Abang tahu Mala pasti marah dengan berita ni. Sebab tu
abang diamkan. Mala pasti akan salahkan dan bencikan abang. Tapi itu bukan niat
abang! Abang tak sengaja! Memang abang mengaku abanglah punca kemalangan tu,
tapi tu bukan niat abang. Abang tak sedar!”
“Itu saja alasan yang awak boleh bagi? Apa pulak alasan yang
awak nak bagi atas apa yang awak rancangkan dengan perempuan tu?” Tempik
Nirmala garang. Sakit hatinya bila mendengar cerita dari Syarine mengenai
rancangan yang telah Fazhan rancangkan bersama Syarine pada malam kejadian.
Fazhan terpaku. Tidak disangka Syarine turut menceritakan
tentang rancangan meraka mahu memerangkap Fir Luqman. Syarine bercadang mahu
menggoda Fir Luqman untuk memudarkan kepercayaan Nirmala pada Fir Luqman.
Dengan cara itu, Fazhan dapat merapatkan diri dengan Nirmala.
“Abang terlalu sayangkan Mala. Abang tertekan bila Mala
kawin dengan Fir. Siang malam abang terbayangkan Mala hingga pintu hati abang
tetutup untuk pandang perempuan lain. Abang sendiri tak dapat nak berfikir
macam mana nak dapatkan Mala. Sebab tu abang minta tolong pada sepupu abang.”
“Awak kejam! Kerana perasaan awak, nyawa orang yang saya
sayang melayang. Awak bahagia lihat saya menderita? Awak seronok kawan baik
awak mati? Awak sanggup pisahkan seorang suami dengan isterinya? Awak puaskan
sebab dapat lihat anak saya tak berpeluang merasa kasih ayah kandungnya?
Awaklah manusia yang tak berhati perut. Awak pentingkan diri sendiri.!” Tempik
Nirmala tanpa peduli di mana dia berada ketika itu.
Fazhan meggeleng-geleng kepala tanda tidak setuju dengan
andaian yang Nirmala keluarkan tadi. Kalaulah Nirmala tahu dia tersiksa selepas kejadian, pasti Nirmala takkan berkata begitu. Namun tiada gunanya dia pertahankan
apa yang dia rasa, kerana yakin Nirmala takkan terima apa jua alasan dari mulutnya
walaupun alasan itu munasabah.
“Tolong jangan ganggu lagi hidup saya. Biarkan saya dengan
kehidupan saya sendiri.”
“Kita ada anak-anak. Takkan Mala tergamak nak pisahkan abang
dengan anak-anak abang?” Fazhan sudah tidak tentu arah mendengar rayuan
Nirmala.
“Saya nak awak pula rasa apa yang arwah suami saya rasa bila
terpisah dengan anak dan isterinya.”
Fazhan terkejut dengan kata-kata Nirmala. Nampaknya Nimala
semakin berdendam dengannya.
“Abang tak sanggup. Abang sayangkan Mala dan anak-anak
abang.”
Nirmala tidak perdulikan rayuan Fazhan. Tubuh Fazhan ditolak
sekuat hati agar jangan menghalangnya dari masuk ke dalam kereta. Pintu kereta
ditutup rapat agar tidak lagi mendengar rayuan Fazhan. Dengan hati yang panas,
digerakkan kereta tanpa pedulikan lagi pada Fazhan yang sedang mengetuk-ngetuk
cermin keretanya.
Fazhan merengus kasar melihat Nirmala pergi. Rambutnya
diramas kasar.
“Apa aku nak buat, Fir? Hati dia terlalu cintakan kau. Hati
dia untuk kau. Aku gagal jadikan dia milik aku seperti yang kau harapkan.
Tolong aku Ya Allah..!” Bisik Fazhan perlahan sebelum meneruskan pemanduan.
NIRMALA
beristigfar panjang sepanjang pemanduan. Hati amarahnya ketika berhadapan
dengan Fazhan tadi masih terasa walaupun sudah hampir tiba dengan persekitaran
rumahnya. Bila sampai depan rumah, Nirmala bersyukur kerana tidak berlaku
apa-apa kejadian buruk sepanjang perjalanan. Risau juga kalau-kalau dia tidak
dapat menumpukan perhatian pada pemanduan selepas bertengkar dengan Fazhan
tadi.
Melihat Amil Zaquan terlompat-lompat menantinya pulang, dia
tersenyum senang.
“Ibu pergi mana?”
“Ibu ziarah kubur ayah Luqman.”
“Kenapa ibu tak ajak Amil? Mil pun nak pergi jugak.”
“Pagi esok kita pergi, okey!”
“Ibu nangis ek? Mata ibu merah.”
“Taklah!” Ujar Nirmala ketawa kecil. Memang dia tak menangis
sepanjang dia berada di pusara Fir Luqman. Tapi matanya merah kerana menangis
sebab bertengkar dengan Fazhan tadi. Namun untuk berterus terang pada
Amil Zaquan, sudah tentu tidak sama sekali. Faham akan anak lelakinya yang
terlalu sayangkan ayah tirinya.
“Papa..!” Jerit Amil Zaquan ketika Nirmala sedang melangkah
mahu masuk ke dalam rumah bersama Amil Zaquan.
Nirmala merengus keras melihat Fazhan sedang berdiri depan
pintu pagar yang sudah dikunci.
“Sayang! Izinkanlah abang jumpa anak-anak kejap. Sekejap pun
jadilah. Dah berapa hari abang tak jumpa dengan anak-anak abang.” Rayu Fazhan
lemah.
Nirmala kaku berdiri di depan pintu. Hatinya masih sakit dengan
apa yang berlaku. Perasan akan pandangan pelik dari Pak Mihat yang sedang menyiram pokok bunga, Nirmala jadi serba
salah.
“Ibu! Kasilah papa masuk. Mil nak papa..!” Amil Zaquan sudah
mula merengek.
Nirmala semakin resah mendengar anaknya sudah seperti mahu
menangis. Akhirnya dengan sekali petik alat kawalan ditangannya, pinti pagar
terbuka sendiri menandakan keizinannya pada Fazhan untuk masuk menemui
anak-anak.
Terharu Nirmala melihat Amil Zaquan berlari mendapatkan
Fazhan.
“Anak papa sihat?” Soal Fazhan pada Amil zaquan lalu pipi
dan kepala Amil Zaquan dikucup lama.
“Sihat. Papa tak sihat ek? Mil tengok papa macam lemah saja. Papa nampak macam orang sakit je. ”
“Papa sakit rindu pada anak-anak papa. Anis mana?” Ujar
Fazhan ringkas. Dia sedar keadaannya yang dah seperti orang tak larat nak
hidup. Hampir dua minggu khabar dan bayang anak-anak isterinya tak dipandang,
dia seperti orang tak tentu arah. Cadangan Jefri agar biarkan untuk sementara
hingga hati Nirmala sejuk, tak dihiraukan lagi. Rindunya semakin memuncak.
Sebab itu dia mengikut Nirmala hingga ke tanah perkuburan. Cadangnya mahu
meminta izin untuk bertemu dengan anak-anaknya. Tapi bila berdepan dengan
Nirmala tadi, segala yang dihajatkan hilang dalam fikiran. Bila Nirmala pergi
baru dia teringatkan hajatnya yang sebenar. Dan sebab itulah dia nekad teruskan
pemanduan hingga ke rumah Nirmala.
“Ada dekat dalam.” Amil Zaquan berkata sambil menarik tangan
Fazhan agar segera masuk.
Sejurus selepas itu, Fazhan terpandangkan Nirmala sedang mendukung
Anis Humaira sambil berdiri depan pintu. Dalam rasa bersalah, diaturkan jua
kakinya melangkah ke arah Nirmala.
“Abang nak main dengan anak-anak abang kejap. Nanti abang
balik la..” Lemah Fazhan bersuara sambil mengambil Anis Humaira. Wajah Nirmala
yang mencuka dipandang tak berkelip.
Nirmala berlalu dari situ lantas terus naik ke atas untuk
membersihkan dirinya dan bersolat kerana maghrib kian tiba waktunya. Walaupun
hatinya masih sakit, namun dia masih ada rasa belas kasih pada suaminya. Bukan
dia tak simpati, tapi kerana rasa marah lebih menguasai diri, dia terpaksa
bertindak begitu.
Fazhan galak melayan pelbagai soalan Amil Zaquan. Cerita
tentang Fir Luqman juga tak ketinggalan diperdengarkan oleh anak lelakinya.
Walaupun hati sedikit rasa cemburu, namun dia dapat menahan. Baginya tak salah
jika Amil Zaquan tahu siapa ayahnya yang sebenar. Selama ini pun dia banyak
menceritakan tentang Fir Luqman pada Amil Zaquan.
Hampir ke jam tujuh setengan malam, Fazhan meminta diri
untuk pulang.
“Papa janganlah balik. Papa tinggallah dekat sini. Tak bestlah papa tak ada.” Rengek Amil
Zaquan sambil memeluk bahu Fazhan.
“Tak bolehlah sayang! Ni rumah ibu dengan ayah Luqman. Papa
kena balik. Kerja papa banyak. Esok papa datang lagi.”
Amil Zaquan sudah mula buat muka. Matanya sudah mula berkaca
dan sedetik kemudian pipinya sudah mula basah.
“Janganlah macam ni. Anak papa lelaki, kena kuat. Mana boleh
sikit-sikit nak nangis. Buruklah lelaki kalau menangis.” Fazhan cuba memujuk
Amil Zaquan.
“Kenapa papa tak boleh tinggal sini. Sebelum ni okey je papa tinggal dengan ibu dekat
rumah tokwan.”
Fazhan hilang kata-kata dengar pendapat Amil Zaquan.
Difikir-fikir apa jawapan munasabah yang harus diberikan pada anaknya itu,
namun dia tetap mati kata-kata. Melihat Nirmala sedang berjalan ke arahnya,
Fazhan segera bangun.
“Saya dah sediakan pakaian dekat atas. Awak naiklah mandi
dan solat. Lepas tu awak turun makan. Lepas awak tidurkan anak-anak, awak boleh
balik.” Ujar Nirmala perlahan sambil mendekatkan diri di sisi Fazhan. Risau
juga dia tadi bila melihat dan mendengar Amil Zaquan merengek. Silap-silap dia
tidak boleh lelap mata jika Amil Zaquan dan Anis Humaira menangis rindukan papa
mereka.
Fazhan tersenyum dalam diam. Selepas menyerahkan Anis
Humaira pada Nirmala, dia melangkah naik ke atas untuk membersihkan diri dan
bersolat.
Pertama kali menjejakkan kaki ke dalam bilik Nirmala dan Fir
Luqman buat hatinya berdebar-debar. Bilik yang diterangi cahaya lampu
menyegarkan matanya. Agak terkesima bila melihat persekitaran bilik besar itu.
Fahamlah dia sekarang, kenapa Nirmala sayang sangat pada rumah itu. Bilik yang
pernah menjadi saksi antara cinta Nirmala dan Fir Luqman itu benar-benar buat
dia dilanda rasa cemburu membuak-buak. Namun hatinya lega bila dia sedar tiada
satu pun gambar perkahwinan Nirmala dan Fir Luqman menghiasi bilik besar itu.
Fazhan tidak mahu lama dalam bilik itu kerana dia asyik
membayangkan kemesraan Nirmala dengan Fir Luqman. Dengan pantas dia segera ke
bilik air mahu membersihkan diri dan kemudian bersolat.
KENAPA
buat suami macam tu. Tak baik, puan. Berdosa kalau layan suami macam tu. Dia
ada hak pada anak-anak. Anak puan, anak dia jugak.”
Nirmala diam sambil matanya menunduk pandang pada sayur
kacang panjang yang dipatah-patahkan untuk digoreng sebentar lagi.
“Mak Tun tahu, Mak Tun tak ada hak nak tegur puan. Tapi
sebagai orang islam dan sebagai orang tua dalam rumah ni, Mak Tun harus
menegur. Kalau Mak Tun hanya berdiam, itu tandanya Mak Tun bersetuju dengan apa
yang puan buat.”
Nirmala mengeluh berat. Bukan dia tidak sedar itu semua,
tapi kerana hati yang sedang marah, dia terpaksa menegakkan egonya.
“Saya tahu tu Mak Tun. Tapi saya kesal sangat. Sanggup dia
tipu saya. Selama ni saya cuba lupakan arwah kerana saya nak cuba sayang dekat
dia. Bila hati saya benar-benar dah terima dia, ini yang saya dapat. Berbaloi
ke apa yang saya buat?” Bentak Nirmala perlahan. Semakin lama semakin hilang
fokusnya terhadap kerja yang dilakukan ketika itu. Kacang panjang yang
dipatah-patahkan tadi sudah tidak mengikit saiz sebenar. Ada panjang dan ada
pendek.
“Mungkin dia ada sebab kenapa tak mahu berterus terang.
Kadang-kadang manusia ni terpaksa berbuat keputusan macam tu demi rasa sayang,
kasih, dan hormat pada seseorang. Mungkin suami puan buat macam tu sebab tak
mahu puan terus tertekan. Mak Tun boleh nampak pada air muka dia yang dia
benar-benar sayangkan puan dan anak-anak.”
“Entahlah Mak Tun! Bukan saya tak kasihankan dia. Tapi dia
sendiri yang tak tahu nak menilai diri saya ni. Seawal dulu dia dah tahu saya
tak suka ditipu, tapi dia buat jugak.”
“Cuba letakkan diri puan di tempat dia. Apa yang puan rasa
bila puan ada masalah macam yang dialaminya. Sanggupkah puan berterus terang?
Kerana takut kehilangan puan dan anak-anak, dia sanggup simpan rahsia ni.
Kerana apa? Dah tentu kerana sayang yang mendalam pada puan. Kalaulah Mak Tun
berada ditempat dia, pasti Mak Tun pun akan buat benda yang sama.”
Nirmala terdiam mendengar kata-kata Mak Tun. Walaupun
hatinya boleh terima apa yang dikatakan oleh pembantu rumahnya, jauh di sudut
hati, dia masih rasa terkilan dengan apa yang Fazhan lakukan pada arwah Fir Luqman. Baginya tak sepatutnya Fazhan
menyembunyikan hal itu darinya. Tambah-tambah lagi bila ingat kembali rancangan
jahat yang diatur oleh Fazhan dan Syarine. Makin membuak-buaklah rasa
amarahnya.
Sebelum dia pergi menziarahi kubur Fir Luqman tadi, Jefri
ada datang ke rumah. Kata-kata yang
diluahkan oleh Jefri tengahari tadi sebijik macam yang Mak Tun suarakan. Namun
ada sesuatu yang mengejutkan selepas Jefri habis bertazkirah.
“Janganlah kerana peristiwa yang dah lama berlalu, Mala nak
ungkit kembali. Mala dah bahagia dengan dia dan anak-anak. Kenapa nak musnahkan
setelah dua tahun hidup bersama dengan dia.? Abang tahu Mala terkilan dengan
apa yang terjadi pada arwah Fir. Abang sendiri turut merasa. Sebelum Mala terus
buat kesilapan, ada sesuatu yang Mala perlu tahu. Perkara ni dah lama abang
simpan. Fazhan sendiri pun tak tahu akan hal ni.” Jefri berhenti bicara. Nafas
ditarik perlahan lalu dilepaskan. Wajah Nirmala yang resah menanti diperhati
seketika.
“Sebenarnya Fir
Luqman dan Khir Fazhan adalah adik beradik kembar tak seiras.”
Nirmala bagai tidak percaya dengan apa yang Jefri baru
katakan. Melopong mata dan mulutnya mendengar berita yang baru didengari dari
mulut Jefri. Nak dikata Jefri berbohong, rasanya tak berasas kerana abang
angkatnya itu tidak pernah berbohong. Lagikan pula, dalam hal macam tu,
takkanlah Jefri mahu main-main.
“Mula-mula dulu mereka di bawah jagaan kebajikan masyarakat
selepas orang tua mereka ditangkap kerana dadah. Abang tak pasti sama ada
cerita tu betul atau tidak. Kemudian mereka terpisah ketika umur mereka tiga
tahun. Fazhan diambil oleh abinya selepas Fir diambil oleh sepasang suami
isteri yang tidak ada anak. Menurut Fir, selepas beberapa tahun dia tinggal
dengan keluarga angkatnya, dia dihantar semula pada kebajikan masyarakat.
Alasan mereka sebab mereka dah ada anak sendiri. Bagi abang, perbuatan keluarga
angkatnya tu memang kejam.”
Nirmala sebak mendengar cerita Jefri. Baginya juga sama pendapat
dengan Jefri. Tak sepatutnya keluarga angkat Fir Luqman berbuat begitu. Semasa
susah, pada budak kecil mereka harapkan kebahagiaan. Tapi bila senang, anak
kecil itu mereka singkirkan.
“Akhirnya Fir terus tinggal disitu hingga tamat belajar.
Bila dia dapat melanjutkan pelajaran di UM, dia berjumpa dengan Fazhan. Mungkin
Allah sengaja nak temukan mereka dan akhirnya mereka menjadi kawan yang rapat
dan setia.”
“Macam mana abang Luqman boleh tahu Fazhan tu saudara kembar
dia.?”
“Sebab pertama ialah tarikh lahir. Yang kedua pulak ialah
nama bapa mereka. Bila dia nak yakinkan lagi, Fir berusaha mencari identiti
sebenar Fazhan. Dia sanggup pergi jumpa Haji Bakhtiar semata-mata mahukan
adiknya semula. Tapi sayang, Haji Bakhtiar tak izinkan Fazhan tahu hal tu.
Abang yakin Haji Bakhtiar tak pernah ceritakan hal ni pada Fazhan sebab nama
bapa Fir dengan Fazhan adalah Muhammad Bakhtiar kebetulan sama dengan nama Haji
Bakhtiar. Dan sebab tu jugalah Fazhan tak pernah nak ada usaha mencari Fir
Luqman. Tapi tak pula pada Fir. Selepas tahu cerita dari pengasuhnya, dia
berusaha mencari Fazhan sampai jumpa. Dan alhamdulillah..usahanya diberkati
Allah. Walaupun tak pernah suarakan hal ini pada Fazhan, dia tahu satu masa
nanti Fazhan akan tahu sendiri.”
“Abang Luqman tak pernah cerita hal ni pada Mala.”
“Sebab tu dia harapkan Mala terima Fazhan sebagai gantinya.
Kita tahu bagaimana sifat Fir Luqman. Dia sanggup berkorban untuk orang yang
dia sayang. Dia tahu Fazhan ada hati pada Mala, sebab tu dia yakin Mala akan
bahagia di sisi Fazhan. Dia sayang sangat pada Mala, sebab tu dia nak berusaha
satukan semula ikatan Mala dan ayah Mala.”
“Mana abang tahu niat abang Luqman untuk satukan Mala dengan
ayah.?”
“Arwah pernah jumpa abang lepas majlis perkahwinan Mala
dengan dia. Menitis air mata dia kerana telah memisahkan Mala dengan ayah Mala.
Dia rasa bersalah sangat. Jadi dia sudah berniat untuk pastikan hasrat ayah
Mala tercapai seiring dengan hasrat adiknya Fazhan.”
“Jadi abang Luqman menyesal kawin dengan Mala?”
Jefri tersenyum. Sudah dapat diagak Nirmala akan bertanya
begitu setelah melihat wajah tidak puas hati Nirmala. Lantas dia mengeleng
kepala.
“Dia tak pernah menyesal kawin dengan orang yang dia sayang
dan dia puja. Malah dia beruntung kerana dapat kenal dengan Mala. Tapi kerana
rasa tanggungjawab, dia rasa dia berhak buat begitu. Tanggungjawab sebagai
seorang abang pada adiknya, tanggungjawab seorang anak pada mertuanya,
tanggungjawab seorang suami pada isterinya dan tanggungjawab seorang bapa pada
anaknya. Semua yang dia lakukan adalah kerana tanggungjawab untuk melihat
orang-orang yang dia sayang dapat hidup bahagia.”
Nirmala kelu lidah. Tak dapat dibayangkan perasaannya ketika
itu. Jika boleh diundur masa, mahu saja dia menyelami hati lelaki yang pernah
menghiasi hari indahnya. Dia yakin, andai diberi kesempatan, Fir Luqman pasti
tak akan terluka kerana kisah lalu.
“MALAM
ni papa makan dekat sini ek! ibu masak sedap!” Teruja Amil Zaquan memberitahu
pada Fazhan yang duduk di sebelahnya.
Fazhan tersenyum mendengar cerita Amil Zaquan. Turun dari
bilik tadi dia melihat Amil Zaquan begitu asyik dengan tablet androidnya. Bila
dia cuba mendekati, hatinya sedikit rasa cemburu bila melihat Amil Zaquan
sedang tersenyum-senyum melihat gambar dan video Fir Luqman. Tapi cepat-cepat dihalau
perasaan itu bila tersedar, Amil Zaquan sekarang adalah di bawah
tanggungjawabnya.
“Papa tinggal dekat sini ek?”
Fazhan tersenyum hambar sambil geleng kepala.
“Alah..! lecehlah papa ni.”
“Kalau papa tinggal sini, siapa nak tengok-tengokkan tokwan?
Kesian tokwan tinggal sorang. Kalau jadi apa-apa pada tokwan, macam mana?”
Fazhan cuba jadikan Dato Hamdan sebagai alasan. Yang sebenarnya dia pun
berharap agar dapat lama di rumah itu. Tapi bila teringatkan jelingan sinis
Nirmala, terpaksalah dia mengalah.
“Alah..! bibikkan ada. Tok abi pun tinggal sorang. Okey je!” Jawab Amil Zaquan yang mahu
Fazhan tetap di situ.
Fazhan berhenti berfikir mencari jawapan bila Mak Tun
menjemputnya makan. Dengan lemah dia menurut sahaja bila Amil Zaquan menarik
tangannya agar segera ke meja makan.
Nirmala bagai terpaku melihat Fazhan sedang melangkah kearah
meja makan. Melihat Fazhan berpakaian baju teluk belanga dan kain pelikat milik
Fir Luqman, buat hatinya bagai nak senyum lebar. Rasanya seperti berdepan
dengan arwah suaminya pula. Teringat seketika apa yang Jefri ceritakan petang
tadi. Namun bila tersedar, cepat-cepat dialihkan pandangannya kearah lain.
Takut kalau-kalau Fazhan terlebih perasan.
Fazhan menarik perlahan kerusi lalu duduk sebelah Amil
Zaquan. Melihat hidangan yang tersedia, seleranya mula segar. Pasti sangat itu
sudah tentu masakan yang disediakan oleh isterinya. Hampir dua tahun hidup
bersama Nirmala selepas Nirmala sembuh dari ingatannya, dia sudah dapat
mengenal masakan Nirmala dengan masakan bibik. Kerana itu jugalah, dia perasan
berat badannya sudah mula meningkat. Saiz bajunya juga sudah bertukar dari saiz
L kepada XL. Namun beberapa hari selepas Nirmala keluar dari rumah, selera
makannya kian merosot.
“Mak Tun tak makan sama?” Tegur Fazhan lembut pada Mak Tun
yang sibuk menuangkan air.
“Tak apalah tuan! Tuan makanlah dulu dengan puan. Biar Mak
Tun tengok Anis.” Ujar Mak Tun lalu berlalu dari situ dan mendapatkan Anis
Humaira yang sedang bermain dalam kawasan mainannya.
Fazhan mengangguk faham sambil melihat Mak Tun berlalu pergi
mendapatkan Anis Humaira.. Anak perempuannya itu sedang lasak sekarang ni.
Tambah-tambah lagi bila kakinya sudah lincah berjalan. Jika tak dikawal, tangga
pun dia panjat naik.
Sambil menjamu selera, sesekali Fazhan mencuri pandang wajah
Nirmala yang sejak tadi membisu. Agak janggal dia rasa kerana suasana di meja
makan itu hanya kedengaran sudu dan pinggan berlaga sahaja. Itupun jika ada
lauk atau sayur yang hendak diambil.
“Sejak tadi Amil rasa macam mengadap dinding saja. Bosan!
Serba salah Mil rasa. Baik Mil dengar suara Tok Mihat mengaji quran.” Suara
Amil Zaquan menyentak Fazhan dan Nirmala.
“Mil nak tambah apa-apa ke?” Pantas Nirmala dan Fazhan
bertanya serentak. Terkulat-kulat mereka sambil memandang wajah Amil Zaquan
yang sedang dalam kehairanan.
Amil Zaquan garu kepala. Nasi dalam pinggannya yang masih
belum terusik dipandang pelik.
“Mil tak fahamlah papa dengan ibu ni. Kejap okey, kejap tak okey. Apa masalah sebenarnya ni? Kalau ada masalah, bincang
elok-elok. Kalau berdiam macam ni, bila masalah nak selesai? Kalau rasa Amil ni
mengganggu, okey! Mil pergi.” Kata
Amil Zaquan kecewa lantas pinggannya yang masih terisi dengan nasi dan lauk ditinggalkan
begitu saja.
Fazhan dan Nirmala tergamam mendengar leteran Amil Zaquan.
Memang sudah jelas dengan sikap Amil Zaquan yang suka berleter, tapi meraka tak
menyangka Amil Zaquan akan mengeluarkan kata-kata begitu. Melihatkan nasi di
pinggan Amil Zaquan masih tidak berusik, mereka mula serba salah.
“Awak cakap sendirlah dekat anak awak.” Kata Nirmala sambil
mempercepatkan suapan nasi ke mulutnya.
“Kenapa abang yang perlu cakap? Mala ibunya, Malalah yang
cakap sendiri.”
“Awak nak saya cakap apa? Nak bagitahu yang awak tu yang
bunuh ayah dia? Macam tu?” Tempelak Nirmala perlahan. Liar matanya memandang ke
ruang tamu. Takut kalau-kalau Amil Zaquan mendengar perbualannya dengan Fazhan.
Fazhan mengeluh berat. Rasa terlalu berat dengan tuduhan
yang isterinya lemparkan padanya. Istilah membunuh itu dirasakan tidak sesuai
kerana dia bukan membunuh Fir Luqman, tapi Fir Luqman meninggal sebab
kemalangan yang dia sendiri tidak menyangka walaupun diakui punca dari
kecuaiannya sendiri.
“Sampai bila Mala nak menyalahkan abang dengan apa yang
berlaku pada Fir? Cuba Mala terangkan pada abang. Apa yang Mala nak abang buat
agar hati Nirmala dapat terima berita ni? Kalau abang ada kuasa, dah lama abang
panggil Fir balik dan abang akan sujud mintak ampun pada dia. Macam tu baru
Mala nak maafkan abang? Atau Mala nak abang yang mati? Bukan Fir?” Tanya Fazhan
dengan nada yang sedikit tinggi. Wajah Nirmala ditatap lama.
Nirmala terhenti suapan. Wajah Fazhan dipandang tajam. Bukan
niatnya mahu menyakitkan hati Fazhan, cuma kadang-kadang fikiran suaminya harus
dipenuhi dengan kata-kata sindiran agar Fazhan tidak terus mengeluarkan fakta
yang pelik-pelik.
“Memang itu yang saya harapkan! Puas hati?” Balas Nirmala
lalu bangun mengemas meja dan menuju ke dapur untuk mencuci tangan dan pinggan.
Fazhan merengus lemah. Jiwanya sakit dengan jawapan yang
Nirmala beri tadi. Cepat-cepat nasi dipinggannya dihabiskan lalu melangkah
mendapatkan Nirmala di dapur.
“Maknanya selama ni Mala memang harapkan kepulangan Fir.?
Memang harapkan abang yang pergi? Macam tu?” Tanya Fazhan tak puas hati. Sakit
juga hatinya bila dengar ayat pendek isterinya tadi.
“Awak ingat saya ni apa? Gila? Sasau bighau
macam awak? Terang-terang suami saya tu dah jadi arwah, mana boleh dia balik
lagi pada saya.! Yang awak tiba-tiba sebut fasal mati tu kenapa? Teringin
sangat nak mati?” Tempelak Nirmala geram.
“Habis tu, yang Mala cakap tadi, apa?” Fazhan masih tidak
puas hati.
Terhenti seketika kerja mencuci. Wajah Fazhan dipandang
tanpa berkelip. Kalau ikutkan hati mahu saja disental-sental mulut Fazhan
dengan span pencuci pinggan yang dipegang.
“Kalau arwah suami saya boleh balik pun, kenapa? Awak takut
dia lebamkan mata awak? Tulah! Masa kawin dengan orang tak mau fikir elok-elok!
Hah! Lagi satu. Kalau teringin sangat
nak mati, pergilah mati! Ada saya kisah? Senang sikit saya cari lain. Abang
Jefri pun dah kembali solo sekarang ni. Rasanya tak salah kalau saya ajak dia
pulak kawin dengan saya. Tambah-tambah lagi saya nikan secret admire dia. Tak patutlah kalau saya terus lukakan hati
diakan..!” Ulas Nirmala geram. Bibirnya digigit kuat menahan tawa. Kalau
diikutkan hati mahu saja dihamburkan tawa kuat kerana sikap Fazhan yang
bodoh-bodoh cerdik. Mengenangkan video yang dirakam oleh Fazhan tentang bukti
dia yang mendahulukan hubungan perkahwinan mereka, dia jadi malu sendiri. Dan
kerana video itulah juga dia boleh menerima Fazhan. Jadi dalam hal ini dia
patut sedar, Fazhan tak petut disalahkan.
Fazhan semakin berang dengan soalan Nirmala. Pantas tubuh
Nirmala ditarik agar mengadapnya.
“Mala dengar sini. Abang suami Mala. Mala isteri abang. Selama-lamanya
Mala milik abang. Abang sayang Mala sepenuh hati abang. Kalau Fir balik pun,
Mala tetap abang punya.! Jefri pun abang tak izinkan. Faham tu?” Tegas Fazhan
berhujah.
“Ye Encik Khir Fazhan Haji Bakhtiar! Saya faham
sefaham-fahamnya. Awak pun, kalau dah tahu, yang masih tanya soalan bodoh tu
kenapa? Bercakap macam orang tak ada akal. Saya sedar saya ni isteri awak. Tak
payahlah nak cakap kuat-kuat. Apa awak ingat saya ni pekak? Awak tu yang patut
sedar, awak tu suami saya. Lain kali beringat sikit. Jangan cuba-cuba lagi nak menggatal
jumpa mana-mana perempuan. Saya tak kiralah, sepupu awak ke, makcik awak
ke..nenek awak ke. Awak tu saya punya. Faham?” Tempelak Nirmala lalu
memusingkan badannya ke arah sink dan meneruskan kerja yang tertangguh.
Fazhan kaku berdiri di sebelah Nirmala. Tangan Nirmala yang
lincah mencuci pinggan mangkuk dipandang lama. Baru terasa menebal bila
disindir begitu. Walaupun agak terkejut dengan apa yang Nirmala katakan
sebentar tadi, jauh di sudut hatinya, dia masih boleh tarik nafas lega bila
Nirmala turut mengiakan kewujudannya dalam hidup Nirmala.
“Dahlah! Awak pergilah sana. Tercegat duduk sini pun bukan
nak menolong.!” Bentak Nirmala geram sambil menjeling.
“Mala nak abang tolong ke?” Tanya Fazhan lembut. Dapat
dirasa Nirmala sudah mula berlembut hati. Namun dia perlu berhati-hati kerana
angin iserinya ada pasang surut yang tak menentu.
“Tak payahlah! Saya boleh buat sendiri. Awak pergilah!”
Jerkah Nirmala tanpa memandang wajah Fazhan.
“Mala nak abang pergi mana?” Suara menjauh Fazhan kedengaran
sayu. Sudah diagak mood isterinya
memang tak menentu sekarang ni.
“Pergilah mana awak nak pergi. Layan anak-anak ke..! Hah!
Tolong suruh anak awak makan nasi dia sampai habis. Saya tak suka dia
membazir.” Bebel Nirmala pada Fazhan yang masih tercegat di situ.
Fazhan tersenyum dalam diam melihat Nirmala membebel.
Seingatnya dulu, sikap suka membebel Nirmala adalah ketika Nirmala mula
mengandungkan Anis Humaira. Terfikir juga dalam hati, apakah Nirmala sedang
hamil? Andainya benar, hidupnya pasti akan berseri lagi. Namun dia redha andai
andaiannya hanya menjadi impiannya sahaja.
Nirmala tersenyum sendiri sambil membilas semua pinggan
mangkuk yang dicuci. Lucu benar dia tadi bila melihat Fazhan yang kalut
mempertahankan hak dia sebagai seorang suami. Dia sedar, selepas apa yang Jefri
dan Mak Tun katakan, sepatutnya dia harus redha dengan setiap ketentuan yang
Allah aturkan. Andainya dia masih ditakuk yang lama, sampai bila-bila pun
hidupnya takkan tenteram. Sudah hampir
dua tahun dia melayari bahtera alam perkahwinan dengan lelaki bernama Khir
Fazhan. Rasanya tak berbaloi jika kata perpisahan yang dipinta hanya kerana
peristiwa yang sudah tujuh tahun berlalu.
FAZHAN
mula mengenakan pakaiannya semula selepas tidurkan anak-anaknya. Melihatkan jam
sudah menunjukkan ke jam sebelas malam, dia harus segera pulang ke rumah Dato
Hamdan. Bergegas dia melangkah turun tangga
mendapatkan Nirmala yang masih menonton.
“Abang dah tidurkan anak-anak. Abang balik dulu.” Ucap
Fazhan sambil mencapai kunci kereta yang diletakkan atas meja telefon tepi sofa
tempat Nirmala duduk.
“Nak pergi mana?” Tanya Nirmala dengan wajah berkerut dahi.
“Abang nak balik. Dah lewat ni. Esok pagi abang datang
tengok dia orang.”
“Siapa suruh balik? Ada saya suruh?” Herdik Nirmala.
“Bukan Mala ke yang cakap petang tadi, lepas tidurkan
anak-anak, abang kena balik?”
“Ye ke saya cakap macam tu?” Nirmala cuba beriaksi serius.
Fazhan mengangguk laju. Wajah Nirmala dipandang rasa
takut-takut. Tambah pula Nirmala bercakap dengannya asyik nak menengking saja.
“Saya tak peduli. Sekarang naik, salin balik baju tu. Malam
ni awak kena tidur sini. Esok baru balik. Saya tak mahu jawab macam-macam
soalan anak awak tu. Sakit kepala saya.”
“Abang nak tidur mana?”
“Tu pun saya nak tunjuk! Tadi beria-ria bagi tahu dia tu suami,
kita ni isteri. Kalau dah tahu awak tu suami saya, dekat mana lagi awak kena
tidur?”
Fazhan bagai tertelan kapur. Walaupun hatinya masih was-was,
dia masih boleh tersenyum walau dalam diam.
“Tak apalah! Abang tidur dengan anak-anak saja malam ni..”
Fazhan cuba menjauh. Dalam hatinya mengharapkan Nirmala memujuknya.
Nirmala tersenyum jua akhinya. Semakin lama senyumannya
semakin lebar. Langkahnya diatur ke arah Fazhan yang masih tercegat dua meter
dari tempat dia duduk.
“Abang! Janganlah macam ni..!” Nirmala sudah mula buat suara
manja. Langkahnya semakin mendekat ke arah Fazhan yang berdiri depan pintu yang
masih bertutup. Mendengar suara menjauh Fazhan tadi, buat dia rasa berdosa
kerana berkasar dengan suaminya.
Fazhan sudah tersenyum malu. Mendengar suara itu, hatinya
bikin penasaran.
“Mala minta maaf okey!
Bukan niat Mala nak berkasar dengan abang. Mala saja je nak tengok akal abang
tu. Boleh tahan atau tidak dengan kerenah Mala.”
Fazhan merenung wajah manja Nirmala. Terlintas juga
difikiran mahu tunjuk rajuk seperti Abdul Wahab dan Abdul Wahib dalam filem
Tiga Abdul. Namun dia takut kalau Nirmala terhenti memujuk.
“Tak baik tau Mala buat macam ni dekat abang. Abang
hampir-hampir putus asa tadi.”
Nirmala tersenyum hambar menyesali keterlanjurannya berbicara.
Senyumannya melebar bila melihat Fazhan sudah menguap.
“Sayang! Tiba-tiba abang mengantuk sangat malam ni.”
“Tak takut ke tidur dalam bilik Mala tu. Entah-entah esok
pagi mata abang lebam kena tumbuk.” Usik Nirmala.
“Abang tahu hati arwah murni macam hati Mala. Dari dulu
abang kenal dia, dia tak pernah sakitkan hati abang. Dia seorang sahabat yang
baik pernah abang jumpa.”
Nirmala tersenyum bangga mendengar pujian Fazhan pada arwah
suaminya. Untuk memuji sama, rasanya tak payah kerana mahu menjaga hati Fazhan.
“Jom bang kita ke bilik. Mala ada sesuatu yang nak Mala
ceritakan pada abang.”
“Macam serius saja!”
“Serius serius serius!” Ucap Nirmala lalu ketawa kecil.
No comments:
Post a Comment