BAB19
“INGAT pesan papa. Jangan
nakal-nakal. Jaga ibu dengan adik elok-elok. Apa-apa hal, call papa.” Pesan Fazhan pada Amil Zaquan ketika memasangkan tali
pinggang keledar di pinggang Amil Zaquan. Kepala anaknya diusap lebut lalu
mencium kepala Amil Zaquan sebelum beralih pada Anis Humaira yang enak tidur
dalam kerusi khasnya. Sempat lagi dia memeriksa keadaan kerusi itu agar berada
dalam keadaan selamat.
“Papa janganlah risau. Uncle
Jef kan ada.”
“Jangan suka mengharap pada orang. Amilkan anak lelaki papa.
Kena kuat, berani dan sentiasa jadi hero pada ibu dan adik bila papa tak ada
nanti.”
Nirmala yang sedang duduk di kerusi hadapan tersentak mendengar
nasihat Fazhan pada Amil Zaquan. Tiba-tiba hatinya sayu mahu meninggalkan
suaminya. Teringat tiba-tiba pada Fir Luqman. Dulu arwah suaminya juga pernah
memberi nasihat pada Amil Zaquan. Walaupun kata-kata itu tidak sama seperti
yang Fazhan ucapkan tadi, hatinya tetap terasa sayu.
“Jangan risaulah bro! taulah aku jaga anak-anak bini kau.
Sampai sana nanti aku call. Okeylah. Kita orang gerak dulu.” Kata Jefri
ceria sambil menutup pintu kereta.
“Drive elok-elok.
Ni sajalah harta aku.” Kata Fazhan pada Jefri sambil merenung sekilas wajah
Nirmala yang berlagak bersahaja.
Nirmala mengeluh lega bila kereta sudah mula mahu bergerak.
Tak sabar-sabar mahu cepat sampai. Melalui cermin sisi dia perhatikan Fazhan masih
berdiri di situ.
“Abang! Berhenti sekejap.” Pantas Nirmala mengarah hingga
Jefri tertekan brek mengejut. Nirmala
lantas membuka pintu dan berjalan pantas mendapatkan Fazhan.
Fazhan bagai terkejut bila Nirmala datang dekat ke arahnya.
Sangkanya pasti ada barang yang tertinggal. Namun bila tangannya disentuh Mala
lalu dikucup lembut, Fazhan hilang kata mahu bersuara.
“Saya tahu saya dah buat salah pada awak. Tapi saya harap
awak faham situasi saya. Maafkan saya!” Sekali lagi tangan Fazhan dikucup lalu
segera melangkah meninggalkan Fazhan yang masih termanggu di situ.
Tepukan lembut di bahu menyedarkan Fazhan dari lamunan.
“Ayah dah cakap. Satu hari nanti dia akan jadi milik An
jugak.”
Fazhan tersenyum malu. Entah kenapa, hingga kini dirasa
seperti dalam mimpi.
“Cuba ayah cubit sikit pipi An ni. Kalau ayah nak tampar
kuat-kuat pun An tak kisah.” Serius Fazhan masih belum percaya apa yang terjadi
padanya sebentar tadi.
“Penumbuk nak? Dahlah An. Kamu tak bermimpi.” Balas Dato
Hamdan sambil menggeleng kepala.
“Tunggu apa lagi? Pergilah bersiap!” Gesa Dato Hamdan bila
melihat Fazhan masih tercegat depan pintu pagar.
“Kemana ayah?”
“Tanya pulak. Ikut anak isteri kamulah!”
Fazhan tersengeh malu.
“Petang sikit ayah. An nak ke office dulu. Ada dokumen yang yang tak sain lagi.”
“Yelah! Cepat
sikit. Ayah tak percaya budak Jefri tu.”
Fazhan tersenyu sinis. Tak sangka ayahnya berfikiran sama
sepertinya. Patutlah dia boleh ngam dengan bapa mertuanya tu.
“PERUBAHAN
positif tu! Abang rasa seronok tengok Mala macam tu.” Kata Jefri sambil matanya
tepat ke hadapan memberi tumpuan sepenuh perhatian di jalan.
“Mala rasa berdosa sangat buat dia macam tu. Mula-mula dulu
Mala bercadang nak berpisah saja dengan dia. Tapi bila fikirkan anak-anak, Mala
rasa tak patut Mala singkirkan dia.”
“Baguslah macam tu. Sepatutnya dari awal Mala cuba kenali
dia. Dia baik.”
“Mala tahu tu. Dia memang baik. Sabar dengan sikap kasar
Mala walaupun tiap-tiap hari kena herdik. Rasa bersalah sangat.”
“Dah memuji nampak? Hati dah terpaut ke?” Usik Jefri nakal.
Nirmala tersenyum malu sambil berdesit.
“Ada-ada jelah abang ni.!”
“Abang tahu! Mala dah fall
in love pada diakan?” Jefri cuba serkap jarang.
“Mana ada..!” Pantas Nirmala menafikan. Mukanya dipalingkan
ke luar jendela. Mengekek-ngekek Jefri ketawa.
“Ibu fall in love
pada siapa uncle?” Sampuk Amil Zaquan
yang sejak tadi cuba mencuri dengar perbualan Nirmala dan Jefri.
“Fall in love pada
uncle lah..!” Balas Jefri lembut
sambil tersenyum.
“Nanti Amil cakap dekat papa.”
Berdekah-dekah Nirmala dan Jefri ketawa.
“Wah! Nampaknya abang kena hati-hati lepas ni. Fazhan dah
pasang spy.” Balas Jefri sambil
matanya menjeling pada Amil Zaquan. Nirmala tersenyum malu sambil geleng
kepala.
“Abang ni bila nak kawin. Mala dah anak dua. Abang apa pun
belum lagi. Staf pejabat kata abang
ni kuat kerja sampai tak ada masa nak fikir fasal kawin.”
“Tengoklah sehari dua lagi, kot-kot ada yang nak pinang
abang.” Balas Jefri tersengeh-sengeh.
“Orang serius dia main-main pulak!” Ujar Nirmala geram
sambil menjeling.
“Bukan abang tak mahu kawin. Yang sebenarnya abang masih
ingatkan kekasih abang yang dah dirampas orang.”
“Siapa? Mala tak tahu pun selama ni abang ada seseorang yang
abang tunggu. Sampai hati tak cerita pada Mala.”
“Ah..! cerita lama. Tak guna nak kenang-kenang. Tengok dia
bahagia dah cukup buat abang bahagia.”
“Baik betul abang ni. Kalau Mala yang jadi pilihan abang
dulu, kan best..!” Kata Nirmala cuba
berseloroh sambil ketawa kecil.
“Dapat arwah Fir dengan Fazhan pun tak bersyukur lagi ke..?”
Nirmala tersenyum malu.
“Mala bersyukur sebab bahagia dengan abang Luqman walaupun
seketika. Mala mengaku Mala tak boleh lupakan abang Luqman sampai sekarang
walaupun Mala dah mula boleh terima orang lain. Mala tahu itu satu dosa. Tapi
Mala tak boleh lari dari perasaan sebenar Mala.”
“Ambil masa. Abang yakin Mala boleh lupakan dia sedikit masa
lagi.”
“Tapi Mala tak sanggup lupakan abang Luqman terus. Mala masih
cintakan abang Luqman.”
“Fazhan?”
Nirmala terdiam. Tak pasti dengan jawapan yang patut
dikeluarkan sama ada cinta atau tidak pada suami barunya. Walaupun sudah ada
bibit permulaan hubungan cinta, Nirmala masih tidak boleh lupa cintakan arwah
Fir Luqman.”
“Abang tahu Mala tak puas hidup bersama arwah. Tapi abang
yakin arwah Fir tak macam yang Mala rasa.”
“Maksud abang, abang Luqman pergi sebab dah jemu hidup
dengan Mala?” Nirmala sudah mula tidak
puas hati. Kata-kata Jefri tadi dirasa seperti arwah Fir Luqman sudah jemu
padanya.
“Bukan jemu tapi sayang. Mungkin dia rasa ada yang lebih
layak untuk Mala. Sebab tu dia pergi. Dia mahu Mala merasai kasih dari orang
yang lebih sayangkan Mala selain dia.”
“Maksud abang, suami Mala sekarang lebih cintakan Mala dari arwah
abang Luqman?” Tanya Nirmala lagi dengan rasa hairan.
“Siapa tahu? Mungkin itu jawapannya.” Ulas Jefri sambil
angkat bahu.
Nirmala mati kata-kata. Fikirannya pantas bekerja mencari
jawapan sebenar. Jika diingat kembali kata-kata Fazhan dalam rakaman video
telefon bimbit, seperti ada kebenaran dalam kata-kata Jefri tadi.
DUA
jam perjalanan akhirnya kereta yang Jefri pandu selamat tiba di hadapan
rumahnya. Cemerlang mata Nirmala melihat perubahan rumah Jefri yang dulunya
hanya rumah papan tapi kini telah bertukar kepada banglo. Walaupun ciri-ciri
kampung masih terjaga, rumah itu tetap nampak mewah.
“Mesti mak dengan abah terkejut. Dia orang tak tahu Mala nak
balik hari ni.?”
“Abang tak cakap kat dia orang?” Terkejut Nirmala dengar
kata-kata Jefri.
Jefri geleng kepala sambil menyebik.
“Teruk betul abang ni. Buatnya mak terkejut sakit jantung,
tak fasal-fasal je nanti.” Kata Nirmala geram lalu melangkah keluar dari
kereta. Melihat ibu angkatnya yang sedang menyarungkan selipar depan pintu buat
dia tak sabar-sabar mahu memeluk tubuh tua itu.
“Mak!” Jerit Nirmala sambil menutup pintu. Pantas dia
berlari. Hatinya sudah terasa sebak.
“Mala? Anak mak? Masyaallah..! anak mak dah balik..!” Raung
Mak Biah yang turut berlari mendapatkan Nirmala.
Nirmala teresak-esak. Tak terbayang situasi itu bakal
dilaluinya setelah enam tahun menyepi tanpa bersua muka dengan satu-satunya
wanita yang banyak mengajarnya erti kehidupan sebagai gadis desa.
“Betul ke ni anak mak? Malakan? Mala kenal mak?” Mak Biah
teruja bertanya sambil dibelek-belek wajah basah Nirmala dari atas ke bawah.
Nirmala hanya mengangguk pantas tanpa suara. Suaranya dah
tak mampu lagi keluar kerana jiwanya benar-benar sebak.
“Alhamdulillah..! anak mak dah sihat.” Segera dipanggil
suaminya untuk turut melihat satu-satunya anak perempuan mereka telah kembali
ke pangkuan mereka. Tersedu- sedan dia menangis dalam pelukan Nirmala.
“Bertuah punya anak! Benda macam ni disorok-sorokkan?” Bebel
Mak Biah setelah tangisnya reda. Teruja matanya memandang Jefri yang
sedang berjalan berpimpin tangan dengan
Amil Zaquan sementara tangan kirinya mengendong Anis Humaira.
“Abang nak buat surprise,
mak.” Pujuk Nirmala sambil tersenyum.
“Tengkorak dia surprise!
Macam nak bagi aku mati cepat je budak ni.! Nak kena sungguh!” Bebel Mak Biah
lagi.
“Salam dengan opah.” Arah Jefri pada Amil Zaquan sambil ketawa
mengekek melihat telatah emaknya. Sudah diagak, pasti telinganya panas dengar
bebelan orang tuanya.
Mak Biah sebak melihat Amil Zaquan. Disambut tangan kecil
itu lalu kepala, pipi dan dahi Amil Zaquan dikucup lama. Wajah Amil Zaquan
dipandang lama.
“Sebijik macam ayah dia. Jadilah dapat sorang. Boleh juga
buat pengubat rindu.” Kata Mak Biah sambil tersenyum pada Nirmala.
“Dia penguat hati saya, mak. Kalau tak ada dia, saya pun
akan ikut abang Luqman juga hari tu.” Balas Nirmala yang faham maksud kiasan
Mak Biah tadi.
“Sabarlah Mala. Mak tahu anak mak ni kuat. Mak yakin Fazhan
pun mampu beri kasih sayang lebih dari arwah.”
Nirmala tersenyum hambar sambil mengangguk lemah.
“Yang kecik ni, meh
duduk ngan tokwan.” Suara Pak Jamil
memudarkan suasana suram. Tubuh kecil Anis Humaira diraih dari pegangan Jefri.
Dikuis-kuis pipi bayi yang semakin montel itu sambil tersengeh-sengeh.
“Papa mana? Tak ikut sekali.?” Tanya Pak Jamil pada Amil
Zaquan.
“Papa tak ikut. Papa kerja hari ni.”
“Berani kamu bawak balik anak bini orang Jefri!” Bebel Mak
Biah terkejut.
“Saya dah minta izin dekat dia mak. Mak janganlah risau.
Lagipun dia izinkan.” Nirmala menyampuk. Kasihan pula melihat Jefri asyik kena
bebel.
Mak Biah lepas keluh lega.
“Mak..! Mala teringin makan laksalah mak..!”
“Ish! Baru lepas
pantang mana boleh makan laksa. Laksa tu sejuk. Kuahnya pulak buat dari ikan
dan asam. Orang perempuan lepas pantang tak boleh makan lagi benda-benda macam
tu. Kena tunggu lepas setahun baru boleh. Paling kurang pun lapan ke sepuluh
bulan. Tu pun kalau anak tak susu badan.”
Nirmala mengeluh dan kemudian berdesit kecewa.
“Sabarlah..! tak lama pun...” Pujuk Pak Jamil sambil
mencuit-cuit pipi Anis Humaira.
“Papa pun pandai masak laksa. Dah banyak kali papa buat.”
“Ibu tak pernah rasa pun!”
“Pernah! Ibu yang tak ingat. Masa tu adik Anis tak keluar
lagi.”
Nirmala terangguk-angguk faham. Patutlah dia tak ingat.
Rupanya Fazhan siapkan makanan kegemarannya ketika ingatannya belum pulih.
Tengahari itu meriah sungguh suasana makan tengahari di meja
makan. Menitis jua air mata Mak Biah bila Amil Zaquan asyik memuji masakannya.
Paling disukai oleh kanak-kanak itu ialah ikan keli bakar cicah dengan air asam
bersama pucuk paku masak lemak kuning. Teringat dia pada arwah Fir Luqman yang
turut menggemari masakan itu.
“Bibik dekat rumah tu tak pernah masak macam ni. Tiap-tiap
hari asyik masak ayam, daging, udang, ketam. Naik jemu Mil makan lauk-lauk tu.
Sayur macam ni pun dia tak pernah buat.” Rungut Amil Zaquan pada Mak Biah.
“Amboi-amboi..! kalau fasal mengomplen, serah dekat dia. Samakan mak, bila bercakap.?” Tanya
Jefri pada Mak Biah.
“Haah! Memang
sama. Sebijik macam ayah dia bila bercakap. Cuba tengok tahi lalat dekat atas
bibir dia tu. Sama macam ayah dia. Tu tandanya orang kuat membebel.”
Mengekek-ngekek semua yang ada ketawakan Amil Zaquan. Namun
kanak-kanak itu masih berlagak biasa seperti tiada apa-apa.
“Petang ni ikut uncle,
nak?”
“Pergi mana?” Tanya Amil Zaquan.
“Adalah…!” Balas Jefri sambil tersenyum pada emaknya.
“Jangan lupa barang yang mak pesan tu.”
“Barang apa mak?” Tanya Nirmala hairan bila melihat Jefri
seperti mahu berahsia.
“Abang kamu tak cerita ke yang dia nak ka..”
“Aduh! Sakit perut. Orang pergi tandas dulu.” Jefri
tiba-tiba mengaduh sakit. Pinggan nasinya yang masih bersisa ditinggalkan begitu
saja lalu berlari ke dapur.
Nirmala hairan dengan sikap Jefri. Lucu pula bila melihat Jefri
dalam keadaan terdesak begitu.
“Kenapa dengan abang tu mak?”
“Bujang terlajak-lajak macam tulah..! Baru nak sebut
perkataan kawin mulalah sakit itu ini. Nasib baik tak pengsan.”
“Abang nak kawin? Dia tak cakap pun.!”
Mak Biah hanya tersenyum lebar.
“AGAKNYA kalau Mala tak jumpa
mak hari ni, Mala tak tahu pun abang nak kawin.” Sapa Nirmala lembut sambil
melabuhkan duduknya di sisi Jefri yang sedang asyik melamun sambil melentang
atas pangkin bawah pokok manggis.
Jefri yang terkejut dengan kehadiran Nirmala, terus bangun
dari pembaringan. Malu pula rasanya bila berkeadaan begitu. Jefri
tersengeh-sengeh sambil membetulkan duduknya.
“Baru nak bertunang. Mak dengan abah yang aturkan. Dah malas
abang nak membantah. Kasihan pulak bila tengok mak dengan abah macam tu.
Teringin sangat cucu sendiri. Selama ni asyik cerita tentang cucu orang ni
comel, cucu orang tu gebu, montel, lawa, putih, gelap. Semua dilambakkan dalam
telinga abang ni. Ni dia tengok pulak anak-anak Mala. Lagilah dia tak senang
duduk. Kalau boleh hari ni kawin, esok dia suruh bini abang beranak.”
Nirmala ketawa mengekek mendengar rungukan Jefri. Dalam hati
turut memuji Jefri yang taat pada kemahuan ibu bapa. Jika dia dulu sanggup
bertekak dengan Dato Hamdan kerana cinta terhalang. Kadang-kadang dia fikir
inilah sebab usia perkahwinannya tidak panjang.
“Orang mana bang? Cantik tak?” Nirmala cuba mengorek rahsia.
Tadi segan dia mahu bertanya pada Mak Biah kerana terkesima sebentar selepas
Mak Biah buka satu rahsia tentang Jefri.
“Orang kampung sini jugak. Bolehlah..tapi tak secantik
kekasih abang dulu.” Jawab Jefri sayu. Ada nada seperti tak puas hati di hujung
ayatnya tadi.
Nirmala tersentak. Selepas Mak Biah ceritakan hal sebenar
tentang Jefri, barulah dia tahu selama ini abang angkatnya itu menanti dia
menjadi suri hidup.
“Kenapa abang tak pernah mengaku yang abang sukakan Mala?”
Jefri tertunduk memandang kakinya yang tanpa selipar.
Pertanyaan itu dirasakan tak perlu ditanya dan tak perlu dijawab. Namun setelah
melihat Nirmala sabar menanti, dijawab dengan soalan juga.
“Mala nak ke terima abang?”
Nirmala tersenyum sambil berfikir sebelum bersuara.
“Abang tak cakap, macam mana Mala nak terima? Takkan Mala
yang nak mulakan dulu.”
Jefri merenung lama mata Nirmala. Mencari makna di sebalik
kata-kata itu. Namun seketika kemudian, dia tunduk semula selepas kalah dengan
balasan renungan tadi.
“Abang terima bila Mala terima Fir walaupun abang kecewa.
Abang bertambah kecewa bila Fazhan turut mengaku sukakan Mala walaupun masa tu
Mala masih bersama dengan Fir. Sebab tu abang setuju Fazhan kawin dengan Mala
lepas Fir pergi. Dia berani. Abang penakut. Orang penakut macam abang memang
tak layak mendapat tempat di hati orang sebaik Mala.” Sayu suara Jefri berterus
terang hingga menerbitkan senyuman manis di bibir Nirmala.
“Abang rasa kalau abang luahkan dulu sebelum mereka, Mala
terima abang tak?” Tanya Nirmala perlahan sambil merenung ke wajah Jefri yang
sedang memandang ke arah depan rumah.
Jefri angkat bahu tanda tidak tahu.
“Terima kot..!” Jefri jawab seketika kemudian sambil
tersengeh malu bila Nirmala ketawa. Masih ada rasa segan dan takut-takut
walaupun sedar Nirmala tak mungkin jadi miliknya.
“Abang baik dengan Mala. Abang jaga Mala macam adik abang
sendiri. Mala pun rasa Mala akan terima abang. Kot..!”
“Kot je..?” Tanya Jefri seakan kecewa. Nirmala mengekek
ketawa.
“Mala rasa Mala akan terima abang sebab abang baik dengan
Mala. Tapi lepas abang cakap abang hanya anggap Mala seperti adik kandung, Mala
terima sebulat hati.”
Jefri mengeluh kesal. Jika dia tahu perasaan Nirmala begitu,
seawal-awal lagi dia beranikan diri meluahkan rasa hatinya. Dan sudah tentu dia
tidak merana hingga kini melihat gadis pujaannya jadi milik orang.
Tambah-tambah lagi menjadi milik kepada sahabat-sahabat baiknya sendiri.
“Abang takut sebenarnya. Takut cinta tak berbalas. Lagipun
abang sedar diri abang masa tu. Anak kampung yang tak punya apa-apa. Mak dengan
abah cuma kerja buat asam gelugur saja. Bila musim buah barulah merasa nak
makan sedap-sedap. Jika nak dibandingkan dengan Mala, siapalah abang ni..”
“Abang terlalu merendah diri. Mala bukan seperti yang abang
gambarkan. Mala pun manusia juga. Yang punya hati dan akal fikiran. Kalau nak
bandingkan hidup abang dengan abang Luqman, hidup dia lebih teruk dari abang.
Tapi siapa yang Mala pilih?”
“Abang tahu hati Mala mulia. Tapi macam mana dengan ayah
Mala? Sampai nafas akhir Fir pun, dia
masih belum terima Fir menantu dia. Mala nak abang senasib macam tu? Abang tak
sanggup satu hari nanti mak abah abang yang jadi mangsa hina ayah Mala. Abang
minta maaf apa yang abang cakap tadi. Bukan niat abang nak hina ayah Mala.
Abang sakit hati sebenarnya bila dia sanggup halau Mala dan Fir pada malam
pernikahan.” Jelas Jefri tenang. Tiba-tiba jiwa Jefri sayu bila teringatkan
luahan hati Fir Luqman selepas majlis pernikahan. Kata-kata itu masih tersemat
dalam hatinya walaupun tidak pernah disuarakan pada sesiapa termasuk Fazhan.
Nirmala terdiam mendengar rasa hati Jefri. Malu sebenarnya
bila hal itu diungkit kembali.
“Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, bang!
Mala dan abang Luqman terima semuanya sebagai cabaran untuk mulakan hidup. Tapi
siapa sangka, jodoh kami tak berpanjangan. Dia pergi untuk selama-lamanya dari
hidup Mala. yang paling memeritkan, dia tinggalkan Mala untuk orang lain.”
Jefri tersenyum hambar. Mengingati kisah lalu memang
memeritkan hati. Yang pasti perkara yang dah berlalu tak mungkin kembali lagi.
“Abang menyesal sebab tak datang jemput Mala malam tu.
Sebabkan hal tu Mala terlepas ke tangan orang lain. Abang yang merana. Tapi
kalau abang datang malam tu, belum tentu abang boleh lawan dengan samseng tu.
Abang bukan tahu silat atau karate.
Silap-silap malam tu abang yang arwah.”
Nirmala ketawa mengekek mendengar cerita Jefri.
“Lepas ni, Mala harap abang dapat tumpukan sepenuh perhatian
pada kehidupan abang, rumahtangga yang bakal abang dirikan, isteri dan anak.
Insyaallah..!” Nirmala cuba memberi semangat. Sedari tadi dia perhatikan Jefri
seperti tiada semangat untuk mendirikan rumahtangga.
“Mala pun sama. Jangan ikutkan sangat hati tu. Abang tahu
susah untuk Mala lupakan Fir. Tapi satu hal Mala kena ingat, Fazhan tu suami
Mala sekarang. Hanya pada dia tempat Mala sekarang. Kalau boleh lupakan terus
Fir Luqman.”
“Insyaallah..! Mala cuba walaupun hati masih belum rela.”
SELEPAS
solat berjemaah Nirmala berteleku lama atas sejadah bersendirian. Doanya
dipanjangkan untuk Fir Luqman. Mengharapkan restu dari arwah suaminya agar
menerima yang dia kini milik Khir Fazhan. Sesekali esakannya bergema hingga Mak
Biah, Pak Jamil dan Jefri berpandangan.
“Jangan ikut perasaan, nak! Merana badan tu nanti.” Pujuk
Mak Biah perlahan mendekatkan diri di sisi Nirmala lalu memeluk Nirmala yang
sedang menekupkan mukanya dengan telapak tangan semasa mengaminkan doanya.
“Mala tak kuat, mak! Mala rindukan dia. Mala nak abang
Luqman datang jumpa Mala. Mala nak tahu kenapa dia tinggalkan Mala.” Nirmala
teresak-esak membalas pelukan Mak Biah.
“Itu menolak takdir namanya..! Mak tahu apa yang Mala rasa.
Tapi Mala tak boleh terus macam ni. Mala ada anak-anak. Fazhan pun ada.
Sepatutnya Mala tumpukan perhatian pada mereka. Bukan pada yang dah tak ada.”
“Salahkah kalau Mala terus ingat dia, mak? Mala tak mampu
nak buang kenangan dengan abang Luqman. Makin
Mala nak buang, makin kuat ingatan ni pada dia. Mala takut abang Luqman
tak restu Mala dengan orang lain.”
“Tak salah kalau ingat tapi jangan keterlaluan. Cukuplah
sekadar peringatan untuk kita yang bakal akan ke sana juga nanti. Ini pun bukan
kehendak Mala. Mak yakin dia faham. Mala janganlah macam ni. Mak takut arwah Luqman
tak tenang di sana. Lepaskanlah dia. Mak yakin, kalau Mala redha, dia pasti
bahagia.”
Nirmala hilang kata-kata. Ditekupkan mukanya dengan telapak
tangannya yang berlapikkan telekung. Riba Mak Biah dijadikan tempat dia
lepaskan raungannya.
“Menangislah nak. Menangislah puas-puas. Lepas ni mak harap
tiada lagi air mata yang keluar lagi dari mata tu.” Kata Mak Biah yang turut
mengalirkan air mata. Melihatkan anak angkatnya berkeadaan begitu, hatinya
turut rasa derita. Jika dulu tiap kali bercuti, Jefri selalu bawa Fir Luqman
dan Nirmala balik ke rumahnya. Tak dapat dibayangkan keadaan ketika itu. Mak
Biah yang selamanya hanya ada dua orang anak lelaki sahaja berbesar hati bila
Fir Luqman dan Nirmala mahu menjadi sebahagian dalam keluarganya. Kini dia
yakin, sejarah itu takkan berulang lagi.
Nirmala bangun lalu mengambil Al- quran. Dibuka muka surat
pertama lalu dibaca surah al fatihah. Selesai surah itu, dia beralih pada surah
yassin. Sesekali bila sebaknya kembali,
dia berhenti sedetik. Bila dah reda, disambung kembali bacaan hingga selesai.
Harapannya agar hadiah itu diterima oleh arwah Fir Luqman. Harapan untuk bersama Fir Luqman hanya
tinggal kenangan saja. Yang pasti lepas ni, hidupnya hanya untuk Khir Fazhan.
“Pergilah sayang. Mala redha andai tertulis cinta kita
setakat ini saja. Restui Mala terima dia. Doakan Mala bahagia bersama dia.
Lepaskan Mala setulus hati abang walaupun Mala tak rela.”
Usai Nirmala berkata sendiri dalam hatinya, Al-quran ditutup
pelahan lalu dikucup lama kitab itu sambil teresak-esak. Nirmala berjanji dalam
hatinya, inilah tangisannya yang terakhir untuk Fir Luqman. Selepas ini tiada
lagi air mata untuk insan kesayangannya itu kerana hanya Khir Fazhan menjadi
keutamaan.
“Jangan ikutkan hati dan perasaan yang melampau. Abang
sentiasa ada untuk Mala. Kenapa harus ditangis pada yang sudah tiada? Abangkan
ada. Terimalah abang seperti Mala terima dia. Sayangilah abang seperti Mala
sayangkan dia. Cintailah abang sepenuh hati Mala seperti Mala cintakan dia. ”
Kata Fazhan sayu lalu tubuh Nirmala ditarik dalam pelukannya.
Nirmala tergamam. Tidak disangka Fazhan sudah berada di
sisinya di saat-saat dia memerlukan. Begitu lama dia melayan perasaan hingga
tak sedar Fazhan tiba di situ. Perlahan-lahan pelukan Fazhan dibalas.
Fazhan tersenyum dalam sebak. Inilah yang diharapkan selama
ini. Menerima cinta dan kasih sayang ikhlas dari Nirmala tak dapat dibayangkan
dengan kata-kata. Hanya dia dan Allah saja yang tahu bagaimana perasaannya
ketika itu.
Ketika baru tiba tadi, hatinya sayu mendengar suara Nirmala
teresak-esak sambil membaca Yassin. Bila Jefri menceritakan keadaan Nirmala
selepas solat, barulah dia faham. Mungkin beginilah keadaan Nirmala setiap kali
selesai bersolat. Jadi Fazhan mula berazam untuk terus memujuk dan
membahagiakan Nirmala walau dengan apa cara sekali pun.
No comments:
Post a Comment