BAB
23
SELESAI
majlis pertunangan Jefri, Nirmala dan Fazhan mula bersiap untuk pulang semula
ke Kuala Lumpur. Seminggu berada di kampung, bermacam-macam pengalaman yang
Amil Zaquan dapat hingga tak mahu berenggang langsung dengan Pak Jamil dan Mak
Biah.
“Cuti sekolah panjang nanti, kita balik sini lagi ye bu!”
“Okey! Nanti kita
balik lagi. Tapi tak bolehlah duduk lama-lama. Papa dengan ibu kena kerja.”
“Lepas ibu hantar Mil dekat sini, ibu dengan papa baliklah
Kuala Lumpur balik. Mil nak duduk dengan tokwan. Hari-hari Mil boleh makan ikan
keli opah masak.”
“Tak bolehlah macam tu. Kalau Mil tinggal sini, ibu tak ada
kawan. Nanti ibu rindukan Mil. Adik Anis pun mesti sunyi sebab tak ada kawan.”
“Apa salahnya sekali-sekala Mil tinggal sini? Start sekolah, Mil baliklah sana balik.”
Nirmala mengeluh berat. Berat rasanya mahu mengikut kemahuan
anak kesayangannya itu.
“Biarlah dia..! Sekali sekala nak tinggal lama dekat kampung.
Abang pun kalau diberi peluang, nak juga tinggal lama dekat sini.” Sampuk
Fazhan lembut. Kepala Amil Zaquan diusap lembut.
Nirmala tersenyum hambar. Bukan dia tak mahu izinkan Amil
Zaquan tinggal lama di kampung. Yang sebenarnya dia tak mampu berenggang lama
dengan Amil Zaquan. Baginya itulah saja harta peninggalan Fir Luqman yang
paling berharga ditinggalkan. Seandainya terjadi apa-apa pada Amil Zaquan,
pasti tak akan dimaafkan dirinya sendiri.
“Nantilah ibu fikirkan.” Balas Nirmala sayu.
“Uncle Jef tak
balik dengan kita ke, ibu?”
“Tak. Uncle Jef
nak sambung cuti lagi. Dua hari lagi baru dia balik.”
“Uncle Jef nak
kenal-kenal dengan anty Sara dulu.”
Fazhan cuba berseloroh. Nirmala tersenyum hambar. Mereka tahu, Jefri masih
belum mengenal hati budi tunangnya Sara. Tadi, puas dipaksa agar Jefri ambil
gambar bersama dengan tunangnya. Namun Jefri menolak kerana malu. Bila Fazhan
menarik tangannya barulah dia akur.
“Uncle Jef! Anty Sara tu tak pandai senyumlah. Mil
tengok dia macam tak suka saja dekat Mil.”
“Taklah..! dia suka Mil. Tadi dia penat kot!” Balas Jefri
tersengeh-sengeh.
Nirmala dan Fazhan tersenyum kelat. Mereka pun sedar situasi
ketika Amil Zaquan mahu bersalam dengan Sara tadi. Ikutkan hati mahu saja
Nirmala hayunkan penampar di pipi Sara kerana dengan tak semena-mena Sara
mengherdik Amil Zaquan agar jangan menyibuk di tempat duduknya yang dihias
cantik. Kerana tidak mahu panjangkan kisah, cepat-cepat Fazhan menarik Amil
Zaquan agar berlalu dari situ.
“Apa dia ingat dia cantik sangat ke? Senang-senang nak marah
anak orang! Dia ingat anak kita ni anak patung? Panas hati Mala tengok perempuan sombong tu. Nasib baik Mala
masih boleh fikirkan emak, abah dengan abang Jefri. Kalau tak tadi memang makan
penampar lah budak sombong tu.!” Gerutu Nirmala ketika dalam perjalanan pulang
dari rumah Sara.
“Sabarlah!” Balas Fazhan yang hanya menjadi pendengar pada
leteran Nirmala. Untuk menyampuk dirasa tak patut kerana isterinya tengah
panas. Kalau ikutkan hati, dia turut mahu lakukan benda yang sama seperti
Nirmala fikirkan. Tapi bila fikir tempat orang, dia tahan sabar.
“Mana boleh sabar bang! Selama ni pernah ke kita marah macam
tu pada anak kita? Tak pernahkan? Mala cukup pantang kalau orang kasarkan anak
kita. Apa dia ingat anak kita tak ada mak bapak?”
“Marah sungguh isteri abang hari ni. Takut pulak abang
tengok Mala macam ni. Dah macam ahli politik tengah berdebat saja.”
Nirmala tersenyum malu bila ingat kembali peristiwa tadi.
Tak disangka perilakunya menjadi
perhatian Fazhan. Mahu saja diadukan perkara itu pada Jefri. Namun bila
fikirkan balik, dia tak patut buat macam tu. Itu umpama memecah belahkan
hubungan Jefri dan Sara yang baru dibina.
“Hari ni kita balik rumah abang ek?”
“Hah?” Cadangan Fazhan mengejutkan Nirmala dari lamunan.
Bila ingat balik peristiwa tadi, hatinya memang sakit.
“Abang cakap apa?”
“Balik nanti kita singgah rumah abi. Boleh?”
Nirmala kaku tanpa jawapan. Selepas dia pulih, inilah kali
pertama Fazhan mengajak dia ke rumah mertuanya.
“Cuti sekolahkan ada seminggu lagi. Apa kata kita habiskan
cuti kita dekat rumah abi dua tiga hari. Lagipun abi belum tengok lagi Anis.”
Fazhan cuba beralasan logik.
“Okey! Tapi Mala
seganlah dengan abi abang. Abi tu garang tak? Dia suka tak dekat Mala? Dia
boleh terima tak anak Mala?”
“Rilaxlah..! abi
abang tu tak makan orang. Dia jenis yang tenang. Abang yakin dia akan suka
tengok penampilan Mala yang sebenar.”
“Kenapa? Dulu Mala tak macam ni ke?”
Fazhan hanya tersenyum sinis. Bila ingat kembali pertama
kali dia membawa Nirmala pulang ke rumahnya, dia hampir-hampir mahu gelak
guling-guling.
“Awak tak takut ke nak jumpa dengan abi saya nanti?” Tanya
Fazhan bila Nirmala beria-ria mahu jumpa dengan Haji Bakhtiar.
“Dia makan orang ke?” Soal Nirmala kembali pada Fazhan.
“Taklah sampai macam tu. Biasanya perempuan akan takut-takut,
malu-malu kalau nak jumpa dengan bakal mertua.”
“Saya nak kawin dengan awak. Bukan dengan bapak awak.”
“Okeylah kalau
awak cakap macam tu. Nanti jangan terkejut pulak bila jumpa dengan abi saya.”
“No hallah..!” Jawab Nirmala angkuh.
Bila sampai depan pntu rumah Fazhan, tiba-tiba Nirmala
berdebar- debar. Masa tulah dia nak kencing dan berak. Masa tu jugalah dia baru
teringat ada kerja dekat office yang
tak selesai lagi. Dan masa tulah dia teringatkan anak dia yang tak minum susu
lagi.
Mendengar suara Haji Bakhtiar menjemputnya agar masuk,
lagilah buat Fazhan terkekeh-kekeh ketawa melihat Nirmala yang seperti cacing
kepanasan.
“Buat apa dekat luar tu? Masuklah!”
“Saya memang suka duduk di luar. Dalam tu panas!”
“Dekat luar tu lagilah panas. Dah! Masuk cepat.” Sergah Haji
Bakhtiar lagi.
“Dah kursus kawin?” Soalan pertama yang keluar dari mulut
Haji Bakhtiar pada Nirmala yang sudah selesa duduk di hadapannya. Mula-mula
tadi dia lihat Nirmala macam malu-malu. Tapi selepas beberapa saat duduk di
ruang tamu, Nirmala sudah mula boleh selesakan diri. Melihat penampilan Nirmala
pun dia rasa boleh terima walaupun sekadar blouse
dan jeans. Jika nak dibandingkan
dengan penampilan Nirmala yang dulu dan sekarang, Haji Bakhtiar lebih sukakan
Nirmala yang dulu.
“Belum lagi ustaz. Eh! Ustaz pulak. Pak Aji..!” Cepat-cepat
Nirmala menjawab sambil menjeling pada Fazhan yang sedang tersenyum lucu.
“Tak payah panggil Pak Aji atau ustaz. Panggil saja abi. Tak
lama lagi kamu pun bakal jadi isteri anak abi ni.”
Nirmala hanya mengangguk serius. Wajah Fazhan tidak lagi
dipandang kerana tumpuannya sekarang ialah pada wajah tenang Haji Bakhtiar.
“Kamu betul-betul setuju nak jadi keluarga abi?”
“Saya memang nak. Tapi anak abi ni saja yang jual mahal.
Puas saya pujuk. Nasib baik dia nakkan saya. Kalau tak, dah tentu saya bujang
sampai ke tua.”
Fazhan hanya geleng kepala dengar jawapan spontan Nirmala.
“Kenapa kamu tak pilih orang lain saja dah kamu tahu dia tak
mahukan kamu.?”
“Tak tahulah abi. Saya cuma nampak dia saja. Kalau tak dapat
kawin dengan dia, saya nekad tak mahu kawin dengan sesiapa pun.”
“Apa yang kamu pandang pada anak abi ni? Nak kata kerja
hebat, tak jugak. Kamu dari keluarga berada, kenapa tak pilih dari yang sekufu
dengan kamu saja.” Haji Bakhtiar kemukakan soalan menguji hati dan minda
Nirmala.
“Saya nampak dia boleh jadi papa kepada anak saya. Saya
yakin dia boleh bimbing saya dan anak saya. Saya ni bukan sempurna pun.
Memanglah saya anak orang berada. Tapi tu semua harta ayah saya. Bukan saya
punya. Harta saya nanti saya nak buat dengan Fazhan saja.”
Fazhan dan Haji Bakhtiar sudah berpandangan.
“Harta apa yang kamu nak buat dengan dia.?” Tanya Haji Bakhtiar
ingin tahu. Dirasakan ada sedikit pelik dalam ayat Nirmala tadi.
“Hai abang Aji ni..! Buat-buat tak faham pulak.
Macam-macamlah harta yang yang saya nak buat dengan dia. Rumah, perkakas rumah,
kereta, kerjaya. Anak pun harta jugak. Kalau tak ada dia, macam mana nak jadi
anak?” Ujar Nirmala tanpa rasa malu.
Fazhan tunduk lemah sambil menekup matanya dengan telapak
tangan sambil geleng kepala. Dalam hati mahu saja dihamburkan tawa kuat.
Melihat bibir Haji Bakhtiar yang juga sedang menahan tawa, hatinya sedikit
senang kerana yakin abinya akan setuju dengan pilihannya. Paling buat dia rasa
nak tergelak bila Nirmala tanpa rasa janggal memanggil abinya dengan panggilan
abang Aji.
“HOREYY..dah
sampai!” Jerit Amil Zaquan bila tiba depan rumah Haji Bakhtiar sambil melompat
keluar dari kereta.
Tersenyum lebar Nirmala melihat telatah Amil Zaquan. Pada
pandangannya sudah tentu Amil Zaquan sudah biasa datang ke rumah mertuanya.
Jika dulu masa dengan Fir Luqman, dia tidak berpeluang mengenal dengan orang
yang bergelar mertua. Tapi sekarang dia rasa seronok pula.
Fazhan melangkah laju membuka pintu kereta untuk Nirmala.
Perlahan-lahan Nirmala melangkah keluar sambil mengendongkan Anis Humaira yang
sejak tadi asyik sedap lena.
“Anak papa nak jumpa Tok abi ye..!” Kata Fazhan lalu Anis
Humaira diraih perlahan dari pegangan Nirmala.
“Abang! Abi abang tak garangkan?” Pantas Nirmala bertanya
gugup.
Fazhan tersenyum lucu melihat Nirmala gelisah.
“Rilaxlah! Abi
abang tu okey. Kalau Mala tengok dia,
kompem Mala akan suka dia.”
“Betul ni?”
“Masuk dulu tengok sendiri. Amil pun sayang sangat dekat Tok
abi dia.”
“Abang tak ada umikan?”
Fazhan tersenyum sambil geleng kepala.
“Umi abang dah lama tak ada. Dari abang sekolah rendah
lagi.”
Nirmala mengetap bibir sambil melepaskan keluhan lega. Takut
juga kalau-kalau ibu mertuanya jenis yang cerewet. Tapi bila mendengar Fazhan
cakap macam tu, dia rasa sedikit lega.
Sambil melangkah ikut belakang Fazhan, Nirmala perhatikan
penampilannya. Kain baju kurung yang yang pakai dibetulkan agar tiada yang
cacat cela. Tudung labuh yang melepasi pinggang dan pinggulnya dipastikan tiada
yang herot berot. Nirmala perlukan keyakinan sebelum berdepan dengan mertuanya.
“Cucu atok dah sampai! Masuk! masuk.!” Ramah Haji Bakhtiar
menyambut anak, menantu dan cucu-cucunya.
“Abi sihat?”
“Alhamdulillah..” Balas Haji Baktiar sambil matanya asyik
memandang Nirmala yang masih berdiri belakang Fazhan.
“Mala, abi!”
“Abi apa khabar?” Lembut suara Nirmala sambil menghulurkan
tangan dan tangan Haji Bakhtiar dicium lembut.
Haji Bakhtiar bagai terpukau melihat perubahan diri Nirmala.
Jika dulu pertama kali melihat Nirmala datang ke rumah, hatinya sedikit tak
senang dengan sikap Nirmala yang sedikit kasar dan tidak ada rasa malu bila
bercakap. Tapi hari ini dia bagai nak menitiskan air mata melihat menantu yang
diimpikan satu ketka dulu berdiri depan matanya.
“Mala dah sihat abi. Dia dah ingat semula.” Ulas Fazhan yang
menyedari perubahan air muka Haji Bakhtiar.
“Alhamdulillah..! syukur sangat-sangat. Abi gembira sungguh
dengar berita ni. Lepas ni selalu-selalulah balik rumah abi ni. Rumah ni sunyi
saja lepas An kawin. Anak-anak abi semuanya jauh-jauh.”
Nirmala tersenyum lebar. Mendengar kata-kata Haji Bakhtiar,
dia rasa lega.
“Kita tidur sini malam ni ye, bu..papa!” Soalan Amil Zaquan
buat Nirmala tersenyum.
Fazhan tersenyum lebar melihat Nirmala selesa di rumahnya.
Melihat penerimaan Haji Bakhtiar, lagilah buat hatinya berbunga-bunga.
KELUAR dari pintu kereta,
Haji Bakhtiar mengajak Fazhan berbual di laman rumahnya. Perbincangan sejak
keluar dari masjid tadi dirasakan belum lagi selesai.
“Dia dah tahu cerita sebenar?” Tanya Haji Bakhtiar perlahan
pada Fazhan di ruang tamu sementara menanti Nirmala siapkan makan malam.
Selepas anaknya ceritakan apa yang berlaku , hatinya mula tak senang.
“Belum abi. An takut nak cakap. An takut dia tak dapat
terima. An takut lepas ni marahnya pada An akan lebih berganda-ganda lagi. Dia
dapat terima An sekarang ni pun, An dah rasa bersyukur.” Ujar Fazhan lemah.
Mulanya dia tidak mahu bercerita. Tapi selepas abinya bertanyakan tentang apa
yang terjadi selepas Nirmala sedar, nak tak nak dia terpaksa cerita juga. Panas
juga telinganya mendengar bebelan Haji Bakhtiar tadi.
“Sampai bila kamu nak rahsiakan? Lambat laun dia akan tahu
juga nanti.”
“Kalau tak ada yang buka cerita ni, pasti dia tak tahu. An
rasa baik An simpan rahsia ni sampai bila-bila.”
“Kamu sanggup hidup sepanjang hayat kamu dalam serba salah?”
“Demi cinta An pada dia, An sanggup. An tak sanggup
kehilangan dia. Sekarang pulak kami dah ada anak. Lagilah An semakin sayang
pada dia.”
Haji Bakhtiar mengeluh berat. Jika setahun yang lalu dia
menetang keras Fazhan bersatu dengan Nirmala. Tapi bila melihat Nirmala tadi,
hatinya turut rasa berat mahu melakukan satu hal yang berat itu. Dia tidak mahu
kehilangan menantu yang begitu. Tambah lagi memang sejak pertama kali melihat
Nirmala sepuluh tahun yang lalu, hatinya cukup berkenan untuk dijadikan
sebahagian dalam keluarganya. Dulu dia mahu jodohkan Nirmala dengan ank
lelakinya yang nombor tiga yang kini
sedang menetap di turki. Oleh kerana ketika itu anaknya sudah ada pilihan, lalu
dialihkan pada Fazhan. Walaupun tidak yakin dengan Fazhan kerana perangai yang
tidak senonoh, dia harapkan Nirmala mampu menjadi pendamping agar dapat
mengubah sikap Fazhan yang suka minum dan kaki judi. Tapi selepas melihat perubahan
Fazhan selepas tragedi lima tahun lalu, dia tahu setiap kejadian ada hikmhnya
dan dia yakin Nirmala memang diciptakan untuk menjadi milik Fazhan.
No comments:
Post a Comment