PENGHARGAAN

Assalamualaikum..
Salam sayang untuk semua kerana sudi2 mengintai di ruangan laman saya yg baru nak bernafas ni.
Sblm jemari sya terus menari,ribuan terima kasih pada adik sya iaitu bloger Senyum-Senyum Diana Rashid sbb tanpa dia, blog sya ni kompem x ujud. Thnk n lebiyu..
Almaklumlah..kakak dia ni slow sikit tentang IT-IT ni..hehehe..
Yg ke 2 plk adalah insan terchenta sya. Tak lain tak bukan dh tentulah Encik sya. Klu tak kerana dia, sampai sekarang karya sya ni dok dlm pendrive jelah..
Utk adik beradik sya yg sering beri semangat..kakyung, Ani, azam, ain, Rina, Ya n abg Jeri.. terima kasih byk2.
Khas untuk mak, terima kasih yg x terhingga. Wlupun bidang ni kurang digemari, sya anggap itu sebagai cabaran untuk berkarya.
Pada sahabat2 Ding Dong..thnk 4ever n ever. Kata2 semangat dan sokongan kalian amat sya hargai dan sanjungi. Kalian mmg best..edea korang adalah yg terbaik!!
Buat kwn2 yg lain, kata2 dan penghargaan korang mmg tersemat dalam hati. Kompem sya x lupa.
Dari itu..sudi2lah mengintai dan membaca krya sya ni. Jgn lupa mengkritik dan mengomen.
Klu nk memuji, sya mohon jgn tinggi2 sgt. Takut sya terperasan hebat. hehehehe...
Risau jgk..bila dah rasa hebat, kompem senang lupa diri dan jatuh ..
Okey...Selamat Membaca..


Thursday, 18 December 2014

BAB 10 KU MOHON SECUBIT KASIHMU

10
NUR
Ku pasti bahagiaku ada di mana-mana.
 “NUR! Mr. Ravi tanya, budak-budak kau dah boleh masuk line ke tak? Dia nak budak-budak kau buat OT minggu ni.”

Hah! Aku dah terkejut dengar soalan Nancy. Mati aku! Kalau aku kata tak boleh, nanti mesti orang tua tu bising sebab lambat sedangkan sudah hampir tiga bulan budak-budak tu aku tranning.

“Mm..boleh-boleh!”

“Mm..kalau macam tu kau pilih tiga orang setiap shift. Nanti aku cakap pada Ady. Kau nak masuk shift apa?”

“Pagi. Petang bolehlah aku jenguk emak aku kejap.” Hm..nampaknya sekejap sajalah masa aku dengan emak nanti. Biasanya aku tunggu emak dari pagi sampai petang. Tapi minggu ni hanya beberapa jam saja. Kesian mak! Walaupun aku tahu dia tak kenal aku, aku tetap berdoa agar satu hari nanti emak cepat sembuh. Aku teringin dengar dia panggil nama aku. Teringin merasa sentuhan dan belaian emak. Teringin tengok senyuman emak kerana sepanjang aku mengenali emak, langsung sekali pun aku tak pernah lihat emak senyum apatah lagi ketawa. Kejamnya ayah menyiksa emak hingga jadi begitu. Tidak adakah rasa bersalah dalam diri lelaki itu. Apakah yang difikirkan sebenarnya? Kekejamannya cukup menyiksakan jiwa emak sekaligus jiwa aku turut terasa. Di manakah nilai kemanusiaan seorang ayah pada anak-anak dan isteri.

 “Kau?” Aku tanya Nancy.

“Malamlah! Biar Ady masuk petang” Jawab Nancy sambil tangannya lincah menulis laporan. Sebentar lagi tentu Kak Wati datang nak laporan tu.

Takpe ke kau jumpa sekejap mak kau tu? Nanti rindu pulak! Kalau kau nak masuk malam, aku tak kisah. Tapi aku takut kau mengantuk pulak masa jaga emak nanti.”

“Tulah fasal..! tak fasal-fasal nanti aku yang tidur atas katil emak” Mengekek Nancy ketawakan aku.

“Kan senang kalau kau bawak emak kau tinggal dengan kau!”

“Memang aku nak dia tinggal dengan aku. Masalahnya siapa nak jaga dia masa aku pergi kerja nanti?”

“Eh! Dulu kau pernah cerita kat aku yang emak kau ada seorang adik perempuan. Apa kata kalau kau ajak adik mak kau tu tinggal dengan kau”

“Eh! Mana boleh. Maksu aku tu dah ada keluarga sendiri. Dah tentu ada anak-anak yang dah besar. Takkan dia orang nak biarkan aku ambil mak dia orang semata-mata kerana nak kena jaga emak aku! Seingat aku Mak Da cerita kat aku, maksu aku tu kawin masa emak mengandungkan aku tiga bulan. Maknanya anak-anak dia dah tentu ada yang besar panjang macam aku. Kau fikir dia orang nak bagi ke emak dia orang tinggal dengan aku?”

“Mm..ye tak ye jugakkan! Tapi kau dah lama tak jenguk maksu kau tu. Mesti dia teringin nak jumpa dengan mak kaukan? Entah-entah kau pun dia dah tak kenal. Maklumlah! dua puluh tujuh tahun kau tinggalkan kampung. Tak rasa rindu ke pada kampung halaman?”

Aku termenung lama. Masakan aku tak rindu pada kampung halaman aku. Kerana rindulah aku tak mahu kesana. Aku takut rindu aku berganda-ganda pada Mak Da. Tambahan lagi aku asyik membayangkan keadaan emak yang merana dan kecewa selepas ditinggalkan. Walaupun aku tidak ada lagi ketika itu, aku masih boleh membayangkan mengikut cerita yang disampaikan oleh Mak Da.

Sejak aku  berada dalam jagaan Mak Da, aku dibawa tinggal dengannya di Ipoh. Sejak itu kampung Melayu yang merupakan kampung asal Mak Da, jadi kampung ke dua aku. Namun, selalu juga Mak Da bawa aku pulang ke kampung emak untuk membersihkan rumah emak. Tambah pulak  rumah peninggalan suaminya yang terletak dengan sebelah rumah emak, harus dijaga juga.

“Tengoklah nanti. Satu hari nanti aku kena balik jugak. Tiba-tiba aku teringin jumpa Maksu!” Kataku perlahan pada Nancy.

“Kalau kau nak aku temankan, aku on je!”

Tersenyum lebar aku dengar cadangan Nancy. Bertuah sungguh aku kenal dengan dia.


“BORINGNYA kena masuk shift!” Rungutku sendiri. Tambah-tambah pulak kena kerja pada hari minggu. Lagilah buat aku bosan. Ah! Tak kisahlah asalkan petang nanti aku dapat jumpa emak. Cadangnya semalam nak ke hospital lepas habis kerja pukul satu tengahari. Tapi terpaksa batalkan kerana Nancy ajak aku pergi beli barang pulak. Bila ingatkan tentang dapur aku yang dah berapa hari tak berasap, aku paksa juga kaki aku ikut dia.

“Dah ready?” Aku tanya pada pelajar-pelajar aku. Dari jauh tadi aku perasan dia orang sedang tunggu aku di muka pintu masuk.

“Dah cikgu! Tapi kami takut sikit.”

“Nak takut apa?”

“Yelah..! Selalu tu kami cuma tolong-tolong operator lama saja. Tapi hari ni semua kena buat sendiri.”

“Awak jangan takut! Apa-apa hal, saya ada. Lagipun supervisor pun tahu tahap kemampuan awak semua. Setakat kena jaga sorang empat mesin, rasanya tak jadi masalahkan..?”

Lapang dada aku bila ketiga-tiga mereka angguk laju. Memang awal-awal lagi aku pilih yang betul-betul dah mahir saja dalam selok belok mesin. Mana-mana yang masih belum mahir aku tak pilih untuk buat OT walaupun aku tahu ramai yang kurang mahir sudah excited nak buat OT. Aku faham maksud mereka. Bila dengar perkataan OT, sudah ramai yang rambang mata. Sudah mula mereka memikirkan gaji yang bertambah.

“Tolong jangan buat salah! Saya merayu sangat. Kalau kamu semua sayang dan anggap saya sebagai cikgu kamu, tolong ingat kata-kata saya ni. Lagi dua minggu saja awak nak tamat tranning. Saya mohon sepanjang minggu ni jangan buat sebarang kesalahan. Kalau tidak, habislah saya..!”

“Ertinya, selepas dua minggu ni baru kami semua boleh buat salah? Begitu?”

“Eh! Janganlah..! Kalau boleh, sampai bila-bila jangan buat salah” Terkejut aku dengan usikan Erni. Mengekek-ngekek mereka ketawakan aku bila aku buat muka.


JAM tiga petang tergesa-gesa aku keluar dari kawasan kilang. Aku tak mahu emak tunggu aku lama di hospital. Sepatutnya jam dua petang tadi aku dah bertolak keluar. Tapi masa tulah Mr. Ravi nak jumpa aku. Sebab tak boleh menolak, aku akur dengan arahannya. Ingatkan perbincangan hanya sekejap sahaja, rupanya makan jam juga. Hampir jam tiga setengah petang baru aku rasa bebas. Nasib baiklah perbincangan tu mengisahkan tentang kejayaan aku mengajar budak baru dengan baik. Kembang juga hati aku bila kena puji.

Telefon bimbitku berbunyi. Aku pandang sekilas cik nokia aku yang aku letak di kerusi sebelah penumpang. Berkerut-kerut muka aku mengenalpasti nama pengirim. Namun hanya nombor saja yang kelihatan. Takkan bank kot..! Rasanya semua bil rumah, kereta dan kad kredit aku dah aku bayar minggu lepas. Siapa ek? Ah! Lantaklah. Yang penting sekarang emak perlu diutamakan.

Hampir setengah jam perjalanan, aku sampai depan hospital. Tiba-tiba isyarat mesej kedengaran. Cepat-cepat aku keluarkan cik nokia aku dari beg tanganku. Sambil membetulkan kain baju kurung yang aku pakai, mata aku tak lepas memandang skrin cik nokia aku. Naik hairan aku baca mesej yang berbunyi pelik tu.

-Awak mungkir janji! Bersedia untuk dihukum.-

Peliknya mesej ni! Siapalah yang sasau ni? Salah nombor kot! Segera aku masukkan semula cik nokia aku ke dalam beg. Kaki ku hayun laju menuju ke wad emak ditempatkan. Waktu-waktu begini aku faham di mana emak berada. Pasti sedang makan petang. Tadi aku tak sempat beli sesuatu yang menjadi kegemaran emak. Bunga rose. Ya! Emak memang gemarkan bunga rose. Tiap kali aku datang, mesti aku belikan bunga rose untuk emak. Menurut Mak Da, jika emak tak tak cium bunga ros, hati emak seperti kacau dan gelisah.

“Assalamualaikum mak! Dah lama mak tunggu Nur?”

Aku mula menegur emak lalu duduk disebelahnya. Tangannya aku capai dan kukucup lembut. Aku dekatkan wajahku dengan wajah nya. Perlahan-lahan pipi kedut emak aku cium kiri dan kanan. Rasa tenang bila dapat buat macam tu tiap kali jumpa dengan emak. Telapak tangan emak, aku tekapkan ke pipi aku. Aku harapkan emak membelai wajah aku.

“Nur mintak maaf sebab tak dapat beli bunga rose untuk emak hari ni. Nur tak sempat. Tapi Nur janji, minggu depan Nur belikan untuk emak. Emak tak kisahkan?” Terangku pada emak yang masih kaku sejak tadi. Aku tersenyum lihat emak. Sejak dulu, begitulah keadaan emak tiap kali aku datang melawat.

“Cik Nur!”

Panggil satu suara dari belakangku. Aku berpaling. Melihat sekujur tubuh seorang jururawat sedang berdiri sambil tersenyum memandangku. Aku balas senyum sambil angkat kening.

“Ada orang suruh saya sampaikan ni!” Ulasnya sambil menyerahkan sebuah beg kertas yang agak besar.  Beg kertas itu aku buka sedikit untuk melihat isi kandungan. Berkerut wajah aku melihat ada beberapa buah mangkuk plastik di dalamnya.

“Siapa bagi ni?” Aku tanya hairan. Jururawat tu hanya tersenyum manis.

“Dia suruh saya sampaikan ini jugak” Lalu dihulurkan sekeping kad kecil berwarna merah jambu. Di sisi kad tersebut terselit setangkai bunga rose berwarna merah. Belum sempat aku bertanya lagi, jururawat itu sudah berlalu pergi. Kad yang berada di tanganku, aku buka dan mula baca.

Assalamualaikum. 
Dah sihat? Sampai hati awak buat saya lama menanti awak. Awak mungkir janji. Bersedia untuk dihukum. Selamat menjamu selera. Penat saya masak tengahari tadi dekat rumah umi. Saya dah hilang selera nak makan.- Zikri.

Mata dan mulut aku dah melopong. Masyaallah! Macam mana aku boleh lupa hal ni? Habislah aku! Kad tadi aku pandang tanpa berkelip. Titipannya aku ulang baca. Aku ketap bibir menahan malu. Tiba-tiba saja aku rasa jantung aku berdegup kencang. Ya Allah..! Malunya aku..!

Sedang aku asyik dengan kad merah jambu tadi, tiba-tiba aku rasa ada sesuatu sedang menyentuh tanganku. Aku tergamam melihat emak sedang menarik bunga rose di tanganku. Seketika kemudian, bunga rose itu dicium lembut. Paling buat aku tergamam bila pandangan mata emak tajam ke arah ku. Perlahan-lahan tangan emak mengusap lembut tanganku. Aku sebak. Itulah saat-saat yang aku impikan. Air mata yang aku tahan, terburai jua.

“Kenapa menangis?” Tiba-tiba emak bersuara.

Ya Allah! Aku bersyukur padamu kerana memberi kebahagiaan pada ku hari ini. Alhamdulillah kerana akhirnya aku dapat mendengar suara emak serta belaian lembut emak.

Sebelum pulang sempat aku menjamu selera bersama emak. Lauk siakap kukus bersama sayur campur paprik yang dikirimkan oleh Dokter Zikri tadi aku makan walaupun sudah sejuk. Berselera sekali emak menjamu selera. Paling buat aku nak menangis bila emak suapkan nasi ke mulut aku. Aku jadi semakin sebak bila emak asyik sebut nama Ana, Ida dan Iman. Aku tahu emak rindukan pada mereka. Walaupun aku tidak pernah kenal mereka, jauh disudut hati, aku berharap satu hari nanti aku akan bertemu jua dengan mereka.

Hampir jam tujuh malam baru aku sampai di rumah. Beg kertas yang mengandungi sebahagian lauk yang tidak habis aku bawa masuk ke dalam rumah. Bila ingat balik apa yang Dokter Zikri titipkan untuk aku dalam kad merah jambu tadi, aku tersenyum sendiri. Aku tak tahu apa yang harus aku katakan bila aku berdepan dengannya nanti. Akhirnya aku sekadar hantar mesej untuk minta maaf dan terima kasih pada lauk yang dibekalkan pada aku tadi. Namun hingga sekarang masih belum berbalas.

Selesai solat maghrib, aku habiskan masa dengan membaca yassin untuk disedekahkan pada Mak Da. Beribu kali ucap syukur dalam hati, juga kerana perkembangan terbaru emak. Aku yakin Dokter Zikri mesti terkejut kalau aku ceritakan padanya nanti.

Sambil melipat telekung dan sejadah, kedengaran telefon bimbitku berbunyi tanda isyarat mesej masuk. Aku tersenyum kerana yakin, itu tentu dari Dokter Zikri. Mengekek-ngekek aku ketawa membaca mesej darinya.

-Setengah jam lagi saya sampai depan rumah awak. Bersedia untuk dihukum!-

-Dokter bawak motor ke kereta?-

Yang tu aku wajib tanya. Buatnya dia datang jemput aku naik motor besar dia tu, naya je. Aku bukan tak biasa naik moto kuasa tinggi macam tu. Cuma kerana pengalaman buat aku fobia sikit.

-Kalau saya bawak moto?-

Tu namanya jawapan menguji keimanan aku.

-Saya nak tidurlah! Gd night!-

Kalau dia buat sungguh, aku nekad tutup semua lampu, duduk diam-diam dalam rumah buat-buat tidur.  

-Hahaha..Jgn berangan. Tggu saya datang!-

Nak buat macam mana. Memang salah aku pun. Sebab dah janji, kenalah akur janji..!


BLOUSE PUTIH, slack biru dan tudung biru tua aku kenakan ke tubuhku. Bila dah siap aku melangkah turun. Aku yakin tentu Dokter Zikri dalam perjalanan. Berdebar-debar aku menanti kedatangan dia. Inilah kali kedua aku keluar makan bersama lelaki selepas mendiang Tanaka. 

Tepat jam lapan setengah malam bayang kereta milik Dokter Zikri tiba depan rumah aku. Dalam aku tarik nafas menghalau rasa debar di dada. Dari pintu pagar aku lihat Dokter Zikri keluar dari kereta dan bukakan pintu kereta untuk aku. Tersipu-sipu aku senyum sebab aku masih rasa nak tergelak bila ingat balik apa yang berlaku. Ditambah pulak dengan keadaan emak, lagilah aku rasa happy semacam.

“Boleh tak jangan senyum macam tu!” Tegur ku pada Dokter Zikri yang sejak tadi senyuman tak lekang di bibir.

“Kenapa? Tak boleh senyum ke?”

“Bukan tak boleh, tapi macam melampau pulak. Saya tahulah dokter perli  saya.”

“Tak ada niat pun nak perli awak. Malah saya bersyukur sebab awak lupa tentang temujanji kita tu.”

Aku berkerut wajah.

“Kerana awak lupalah, saya dapat keluar dengan awak malam ni. Kalau tidak, melepaslah saya..!”

Aku tersenyum sambil menggeleng kepala. Hairan betul dengan dokter sorang ni.
“Tapi dokter janganlah senyum macam tu dekat saya!”

“Kenapa?”

“Saya malu. Dokter senyum macam tu buat saya nak tergelak.”

“Salah ke saya buat awak ketawa?”

“Tak salah. Cuma kalau boleh saya tak mahu ketawa. Kalau saya ketawa, nanti pecah cermin kereta dokter ni.”

“Tak hairan! Pecah nanti saya ganti baru. Ketawalah!”

Aku geleng-geleng kepala. Tapi akhirnya aku ketawa juga sambil tutup mulut sebab aku dah tak boleh tahan. Aku tak mahu tengok muka Dokter Zikri sebab aku malu. Aku tahu dia tengah pandang tepat ke arah aku.

“Sukanya..!” Ucapan Dokter Zikri buat tawaku perlahan-lahan hilang walaupun masih bersisa.

Sorry sangat fasal janji tu! Saya betul-betul tak ingat. Tiba-tiba hari ni kena masuk shift sebab budak tranning kena OT. Lagipun saya memang happy sangat hari ni. Dokter nak tahu! Hari ni emak dah mula senyum pada saya. Mak juga sentuh dan belai tangan saya. Paling buat saya terkedu bila emak dah bercakap dengan saya. Dia…!” Aku hilang kata-kata. Hanya sebak yang aku rasa waktu itu. Akhirnya air mata aku gugur jua. Malu pulak aku rasa sebab ini kali kedua dia tengok aku menangis.

“Jangan bazirkan air mata hanya kerana hal yang mengembirakan. Kan lebih baik kalau awak terus senyum dan ketawa. Saya suka lihat awak senyum. Bertuah emak awak kerana mempunyai anak sebaik dan secantik awak. Saya tahu, doa awak tak pernah putus untuk lihat emak awak sembuh.” Ucap Dokter Zikri lalu menghulurkan sehelai tisu pada aku. Aku tunduk malu. Tak mahu dia lihat mata aku yang merah kerana basah dek air mata sebab aku tahu kalau aku menangis rupa aku teruk sangat. Setelah pasti pipi aku tidak lagi basah, aku angkat kepala pandang muka dia. Aku tersenyum.

Thank!” Ucapku perlahan.

“Saya tak buat apa-apa pun! Okey, dah ready nak kena hukum?”

Aku tersentak. Kemudian aku senyum dan akhirnya aku ketawa.

“Apa hukumannya?” Aku tanya sambil mata lihat dia sedang menghidupkan enjin kereta. Bila tengok dia tersenyum nakal, aku angkat kening.

“Balik rumah saya!” Kata Dokter Zikri sambil menggerakkan kereta. Aku dah rasa seram sejuk.

What? Gila apa dokter ni? Dokter ingat saya ni apa?” Tempik aku garang sambil pandang mukanya yang masih tersenyum. Ikutkan hati nak aje aku terjun dari kereta yang tengah bergerak ni. Nasib baik aku masih waras.

“Saya tak kira, malam ni kena balik rumah saya jugak.”

“Ala dokter..! Janganlah macam ni. Saya tak sukalah dokter main-main macam ni! Apa kata kalau kita pergi tempat lain. Dokter cakap saja nak makan apa, nanti saya usahakan. Kalau dokter nak suruh saya masak pun saya sanggup!” Aku dah jadi tak tentu arah. Harap-harap dia terima cadangan aku. Memang saat-saat macam ni aku sanggup kena masak dari kena ikut dia balik rumah.

“Saya tak nak apa-apa. Saya cuma nak awak saja. Tapi sebelum tu awak kena ikut saya balik dulu.”

Apa? Nak aku saja? Bersungguh-sungguh nampaknya dia nak bawa aku balik rumah dia. Aku hilang kata-kata. Dalam hati aku tak henti-henti berdoa agar tidak berlaku benda-benda tak baik. Aku dan Dokter Zikri membisu hinggalah kereta yang dipandu berhenti di hadapan sebuah banglo berwarna hijau muda.

“Rumah siapa ni?”

“Rumah sayalah! Kan saya dah cakap tadi, awak kena ikut saya balik rumah.”

Akhirnya aku mengalah. Aku terpaksa akur dengan ajakan Dokter Zikri. Tak guna berbalah lagi sebab aku dah pun berdiri di hadapan rumahnya. Takkan aku nak lari kot! Kalau aku lari, pasti dia kejar. Sebelum acara kejar mengejar terjadi depan rumah dia, baik aku ikut saja.

“Ha..! Dah sampai pun. Masuklah..! Jangan malu-malu.” Kedengaran satu suara wanita dari pintu masuk. Aku pandang wajah ceria Dokter Zikri.

“Umi saya!” Balasnya sambil tersenyum tersirat. Aku hairan tapi dalam-dalam tu aku melangkah juga masuk. 

“Jemputlah masuk!” Laung suara wanita itu lagi sambil melangkah laju ke arah ku. Bila dia berada betul-betul di hadapan aku, aku bagaikan terpukau. Masa tu aku rasa nak jerit sekuat hati..

“Umi!” Ucapku separuh menjerit. Serta merta tubuh aku sudah pun mendarat dalam pelukannya.

“Amboi-amboi..anak bertuah..! Kena berjemput baru nak datang rumah umi!”

Sorrylah umi! Nur sibuk sangat. Habis belajar terus kerja. Dah tu pulak banyak urusan lain nak settle.” Jawabku merengek manja.

“Nur sihat?” Tanya Dokter Aziyan sambil mencium ke dua-dua pipi aku. Aku pun tanpa segan silu buat perkara yang sama padanya. Lama sangat tak jumpa.

“Nur rindu sangat dekat umi."

"Dah tahu rindu, tak reti-reti nak jumpa umi?"

" Memang cadang nak datang tapi Nur sibuk! Lagipun Nur tak tahu di mana rumah umi. Selama ni Nur tak tahu pun Dokter Zikri ni anak umi!”

“Dia tak pernah cerita pada Nur?” Tanya Dokter Aziyan hairan.

Aku geleng kepala sambil menghadiahkan jelingan tajam pada Dokter Zikri. Sampai hati dia sebab tak berterus terang.

“Saya tahu awak mesti tak percaya kalau saya cerita hal sebenar.”

“Apasal pulak?” Aku hairan sambil menjeling geram.

“Sebab saya tahu awak susah nak percaya cakap orang.”

Aku tersenyum.

“Tapi hal macam ni takkan saya tak percaya kot! Dokter pun mesti takkan main-main dalam hal nikan..!” 

Zikri termalu sambil tersengeh.

Buat pertama kali malam itu aku makan malam di rumah ibu angkat aku merangkap umi kepada Dokter Zikri. Terharu betul aku dengan layanan keluarga ini. Rasa macam keluarga sendiri pula sedangkan ini adalah kali pertama aku datang sini. Tapi aku tahu, layanan Dokter Aziyan memang begini sejak dulu.
Tak kurang juga layanan adik beradik Dokter Zikri. Semua ramah mesra. Aku pulak yang dah lama tak jumpa Dokter Aziyan, banyak yang nak diceritakan hingga lupa pada Dokter Zikri. Bila dengar Dokter Zikri mengeluh, baru aku sedar kewujudannya.

“Hai..! nasib sayalah umi, jadi tunggul malam ni!” Tiba-tiba suara Dokter Zikri mengganggu perbualan aku dan Dokter Aziyan. Aku tersentak lantas wajah Dokter Aziyan dan Dokter Zikri aku pandang silih ganti..

“Paklong merajuk sebab tak ada siapa layan dia. Ada buah hati pun asyik layan orang lain!” Suara Fahrin anak kepada Zakrul adik lelaki Dokter Zikri tiba-tiba menyampuk. Aku masih bingung.

“Kak Nur tak faham lagi ke apa yang abang cakapkan tadi tu?”

Aku angkat kening pinta kepastian. Pertanyaan Zulaikha adik perempuan Dokter Zikri makin buat aku keliru.

“Alah..! Kasi can lah pada umi kejap. Bukan senang nak jumpa anak umi ni. Dah sepuluh tahun umi tak jumpa dia. Last umi jumpa Nur, kalau tak silap umi masa Nur umur 18 tahun. Lepas jadi orang jepun, langsung tak ingat umi dekat sini dah. Sedih tau! Zikri kan tiap-tiap minggu jumpa!”

Aku tersenyum sinis pada Dokter Zikri. Barulah aku faham sindiran-sindiran dari adik-adiknya tadi. Bila Dokter Zikri tersenyum malu, aku geleng kepala.

Selepas makan malam aku dan Dokter Aziyan masih berbual. Kali ini tukar destinasi ke ruang tamu pula.

“Umi berbesar hati kalau Nur jadi sebahagian dalam keluarga umi.”

Aku tunduk malu. Wajah Dokter Zikri aku pandang sekilas. Sejak tadi umi asyik memperkatakan tentang anak sulungnya yang masih bujang. Dalam diam aku faham maksud Dokter Aziyan cuma aku tak berani nak bagi komen. Takut apa yang dikatakan oleh Dokter Aziyan tak sama dengan apa yang aku fikir.

“Nur ingat tak masa kecil-kecil dulu, Nur berkawan rapat dengan Zikri?”

Hah! Berkerut wajah aku dengar pembuka cerita dari Dokter Aziyan. Ye ke aku ada kawan dengan dia? Macam tak percaya pulak. Wajah Dokter Zikri aku pandang tepat mencari kepastian. Namun aku masih tak ingat. Memang aku ada kawan masa kecil. Sampai sekarang wajah comel tu aku ingat. Tapi bila pandang wajah Dokter Zikri, aku yakin bukan dia. Itu bukan wajah yang aku nantikan selama ini. Tak mungkin dan dah tentu tak mungkin!!

“Masa tu Zikri umur  enam tahun dan Nur empat tahun. Sebab dia tak ada kawan dekat rumah, adik-adik pun belum ada lagi, umi selalu bawak dia datang ke hospital. Di hospital, dia selalu bermain dengan Nur. Bila Zikri umur tujuh tahun, umi hantar dia ke UK tinggal dengan datuk dan neneknya di sana. Marah sungguh Zikri pada umi sebab pisahkan dia dari Nur. Tapi satu yang umi tak boleh lupa. Zikri pernah cakap, bila balik malaysia nanti, dia nak suruh umi kawinkan dia dengan Nur saja. Orang lain dia tak mahu. Umi pegang pada janji umi tu.”

Aku telan air liur. Bibir ku gigit sedikit. Sesekali aku lepaskan nafas dalam. Rasa sesak dalam dada aku dengar cerita Dokter Aziyan. Tak berani berpaling pandang pada Dokter Zikri lagi. Hanya wajah Dokter Aziyan saja aku pandang.

“Umi pernah cakap hal ni pada Mak Da masa umur Nur lapan tahun. Umi tahu Mak Da agak berat nak setuju sebab masa tu Nur muda sangat lagi. Jadi umi serahkan cincin pada Mak Da sebagai tanda agar serahkan pada Nur bila Nur dah besar. Sekarang umi nak tahu, ada tak Mak Da serahkan cincin tu pada Nur?” Tanya Dokter Aziyan sambil jemariku diusap lembut.

Aku kelu lidah tak tahu nak kata apa. Cincin? Memang benar Mak Da ada serahkan cincin pada aku ketika aku mahu bertolak ke jepun sembilan tahun lalu. Menurut Mak Da cincin tu diserahkan oleh bakal mertua aku. Bila aku tanya siapa bakal mertua aku, Mak Da kata seorang dokter. Dalam malu-malu dan serba salah. aku terima juga cincin tu. Mula-mula aku pakai juga cincin tu tapi dah lama-lama aku tanggalkan sebab asyik tertanggal dari jari. Maklumlah, jari aku ni kering sangat.

Hurmm..maknanya cincin yang ada dekat aku sekarang ni cincin tanda dari pihak Zikri? Hish..macam tak percaya pulak. Tapi betul ke Zikri tu orang yang aku tunggu selama ni?

Errrmm..Sebenarnya cincin tu memang Nur ada terima dari arwah Mak Da masa Nur nak bertolak ke jepun dulu. Sampai sekarang Nur simpan. Kemana Nur pergi, memang Nur ada bawa cincin tu. Mak Da ada cerita serba sedikit tentang cincin tu. Tapi arwah Mak Da tak pernah bagi tahu siapa yang bagi. Nur pulak jenis yang tak nak orang terasa hati, jadi Nur terima je cincin tu. Nur minta maaf sebab tak pakai. Sebenarnya cincin tu besar. Nur takut cincin tu hilang. Nur mintak maaf ye umi!”

Aku lega lihat umi tersenyum lebar. Begitu juga dengan Dokter Zikri.

“Jadi Nur terima lamaran umi?”

Aku tersentak. Terlebih cakap rupanya. Lantas cincin yang aku bawa ke mana sahaja, aku keluarkan dari beg tanganku. Cincin itu aku letakkan dalam tapak tangan umi.

“Boleh beri Nur masa?” Aku tanya sambil mengharap. Aku perasan wajah umi sedikit keruh. Begitu juga Dokter Zikri.

“Awak dah ada orang lain ke?” Tiba-tiba Dokter Zikri bersuara.

Aku diam lantas tunduk memandang lantai. Tak berani nak bertentang mata dengan dia. Aku takut cair dengan rayuannya tu.

“Nur dah ada seseorang yang sedang tunggu Nur ke?”

Aku semakin serba salah bila umi juga tanya soalan yang hampir sama seperti Zikri tadi.

“Kalau awak dah ada, baik terus terang. Saya tak mahu awak tertekan dengan masalah saya.”

“Saya tahu niat dokter baik. Tapi saya..”

“Jadi betullah awak dah ada yang istimewa, tapi tak sanggup nak hampakan harapan saya ni? Jika itu anggapan awak pada saya, saya terima. Satu saja saya nak awak tahu, saya memang dah lama tunggu awak. Sekarang saya nak awak berterus terang, awak terima saya atau tidak.”

Aku telan liur sekali. Aku terharu dengan jawapan Dokter Zikri. Tapi dalam pada tu aku sedikit geram sebab dia seperti memaksa.  Malu pulak bila dia mengaku depan Dokter Aziyan. Agaknya dia tiada rahsia dengan uminya tu.

“Saya…!” Aku tak tahu nak jawab apa sebenarnya.  

“Tak apalah. Ambillah masa berapa banyak pun. Umi tetap tunggu jawapan Nur.”

Aku angguk laju. Tapi bila aku pandang muka Dokter Zikri yang sedang pandang aku dengan wajah keruh, aku tahu dia kecewa. Di sudut hati aku rasa sedikit geram dengan sikap dia. Kenapa dia rahsiakan hal ni sedangkan tiap-tiap minggu aku berjumpa dengannya. Kan senang kalau awal-awal dia berterus terang dengan aku. Tapi kalau dia terus terang pun, nak ke aku terima dia. Kalau ingat dendam aku pada ayah, agak sukar untuk aku terima cinta dari lelaki.


ENJIN kerata sudah lama dihidupkan. Namun tiada tanda-tanda mahu bergerak. Sejak keluar dari banglo milik Dokter Aziyan tadi. Aku bagai hilang bicara dengan Dokter Zikri. Rasa tebal muka aku bila berdua-duaan dalam kereta selepas tahu cerita sebenar dari mulut Dokter Aziyan.

“Apa kekurangan saya hingga Nur seakan sukar terima saya?”

Aku tersentak dengan soalan tiba-tiba Dokter Zikri.

“Dokter tak ada apa-apa kekurangan. Tapi saya ni yang serba kekurangan.”

“Tak penting pun pada saya!” Jawab Zikri seperti tak puas hati.

“Bagi saya penting! Saya perempuan, ada sifat sensetif.”

“Lelaki tak ada sifat sensetif ke, Cik Nur?”

Aku kelu lidah.

“Saya benar-benar berharap awak terima saya. Saya benar-benar cintakan awak, Nur. Dua puluh empat tahun saya tunggu awak jadi permaisuri hidup saya. Tak cukup lagi ke awak mendera perasaan saya?  Saya tahu awak serba salah, tapi tak salahkan kalau awak beri saya peluang?”

Aku mengeluh berat dengar luahan hati Dokter Zikri. Bila masa aku mendera dia? Dia yang siksa diri sendiri, salahkan aku pulak. Kelakar betullah dokter sakit jiwa ni. Jangan aku sakit jiwa sama, sudahlah!

Teringat aku kata-katanya tentang gadis yang dia tunggu masa aku dan dia makan di kedai makan Pak Hamid hari tu. Betul ke aku yang dia tunggu? Tapi bila dengar dia kata dua puluh empat tahun dia tunggu aku rasa macam tak logik. Sebab pertama ialah aku tak kenal dia. Sebab kedua ialah aku memang tak pernah berkawan dengan dia macam yang umi cakap tadi. Silap orang kot dia orang ni..!

“Dokter memaksa saya!”

“Saya tak memaksa, tapi saya mengharap.”

Aku geleng kepala. Samalah tu..! Aku ketap bibir menahan senyum yang sedikit-sedikit terukir. Sedari awal lagi memang aku ada rasa kelainan perasaan pada anak adam sebelah aku ni. Tapi entah kenapa aku sukar nak wujudkan rasa cinta, dan sayang pada dia walaupun aku perasan, perasaan suka dah mula ada. Mungkin kerana dia lelaki.

“Kenapa Dokter tak pernah cerita hal ni pada saya? Sebenarnya saya betul-betul tak ingat siapa Zikri. Tadi umi cakap, kita pernah berkawan dari kecil, tapi kenapa saya macam tak pernah kenal Dokter?” Aku cuba menceriakan suasana.

“Kalau saya cerita awal-awal, awak nak percaya ke? Lagipun saya tahu awak akan menolak lamaran saya.”.

“Dokter tak berada pada situasi saya. Dokter tak faham apa yang saya rasa. Dokter tak rasa bagaimana kesakitan yang saya rasa. Dokter tak tahu penderitaan saya.”

“Sebab itulah saya cuba nak dekatkan diri dengan awak agar saya dapat merasa apa yang awak rasa. Saya tahu awak tertekan dengan apa yang terjadi dalam keluarga awak. Sebab itulah juga saya nak awak terima saya agar kita  sama-sama merasa kerana saya tak sanggup lihat awak tersiksa sendiri!”

Alahai..! terharunya aku dengar Dokter Zikri cakap macam tu. Apakah dia benar-benar ikhlas? Aku takut kalau-kalau dia sama spesis ayah.

“Terimalah saya!”

Aku pandang wajahnya yang sedang merayu. Pelik betul dengar dia merayu macam tu. Nampak macam terdesak sangat. Lama aku pandang mencari kejujuran. Seketika kemudian aku ketap bibir menahan senyum dan tawa. Entah kenapa aku tak boleh tengok muka dia lama-lama. Aku rasa macam nak gelak kuat-kuat. Akhirnya aku ketawa kecil sambil geleng kepala. Aku tahu dia hairan dengan telatah aku. Keningnya sebelah kiri terangkat. Aduh! Tergoda aku tengok keningnya macam tu. Dah macam kening Ziana Zain lah pulak. Biasanya kalau Ziana Zain angkat kening sebelah, tu tandanya tengah marah. Tapi kalau Dokter Zikri, kenapa pulak? Dia marah jugak ke? Agaknya orang yang nama pangkal huruf Z ni, semua pandai angkat kening sebelah kot..! Hahaha..melalut saja aku ni.

“Awak nak tahu jawapan saya?” Aku perasan dia dah mula senyum. Mungkin panggilan sudah bertukar dari dokter kepada awak. Dia angguk laju seperti tidak sabar.

“Hantar saya balik dulu. Dekat rumah saya nanti, saya bagi tahu kat awak.”

“Betul ni?” Dia tanya dengan penuh harapan. Aku angguk sambil tersenyum.

“Janji?” Aku masih angguk. Lucu lihat dia seperti tak percaya cakap aku.

“Tak mau fikir-fikir dah? Tadi cakap kat umi, kata nak fikir dulu.”

“Malas dah nak fikir-fikir. Lagi lama saya fikir, lagi rimaslah saya rasa telinga saya ni dengar awak merayu.” Ketawa Dokter Zikri aku balas dengan jelingan.

“Cakap sekarang tak boleh?” Aku geleng kepala lepas dia tanya macam tu. 

“Apa-apa pun yang bakal saya cakapkan nanti, saya harap awak boleh terima.” Aku tersenyum lihat dia angguk kepala. Wajahnya jelas kelat bercampur keruh.

“Saya harap, biarlah jawapan yang tak mengecewakan!”

Aku ketawa besar. Hairan betul aku dengan dia. Kalau tak mahu jawapan yang mengecewakan, baik aku terus terima dia. Habis cerita!

Sepanjang perjalanan pulang, aku dan dia hilang kata-kata. Hanya suara DJ Leen yang kedengaran di corong radio kereta dalam Suria Cinta. Tersenyum-senyum aku mendengar DJ Leen membaca madah-madah cinta. Aku perasan dia turut tersenyum sendiri. Nasib baik aku tak gelak kuat. Kalau tidak, pasti dia malu. Jiwang-jiwang jugak cek abang ni..! Hmm..layan..

Sampai depan rumah aku segera buka pintu kereta. Tapi aku tak melangkah keluar.

“Sekarang saya nak dengar jawapan awak!”

“Jawapan? Jawapan apa ek?” Aku buat-buat tanya. Dalam hati aku dah nak gelak tengok muka dia dah mula cemerut.

“Janganlah main-main. Saya serius ni! Tadi awak dah janjikan?”

“Ye ke saya janji?”

“Awak sengaja nak mendera perasaan sayakan?”

Hahaha..aku dah mula gelak dalam hati.

Okey! Saya cakap. Tapi sebelum tu saya nak awak pandang ke depan. Jangan sesekali toleh pandang tengok arah saya. Saya takut saya tak boleh cakap nanti. Tapi sebelum tu lagi sekali saya nak awak tahu, apa jua yang keluar dari mulut saya nanti, saya harap awak boleh terima seikhlas hati.” Aku senyum bila dia mengangguk dan mula memalingkan wajah dari tidak memandang aku.

“Bukan niat untuk menyakitkan hati awak, cuma saya nak awak ambil masa memahami saya dan saya akan cuba memahami awak. Sebenarnya memang saya sedang menanti seseorang. Dah lama saya tunggu dia. Tapi sampai sekarang dia masih menyepi. Terus terang saya kata yang saya dah mula suka pada awak tapi itu tak beerti saya terima awak. Rasanya ada baik kalau kita berkawan dulu dari terus buat keputusan untuk terus bersama. Saya tahu awak ikhlas dan saya juga ikhlas berkawan dengan awak. Tambah pula ini melibatkan perasaan umi. Lagilah saya serba salah. Saya sayang umi macam saya sayang emak. Tak terdaya saya tadi untuk menolak permintaan umi, tapi saya minta maaf pada awak kerana buat masa ni memang saya tak mahu fikirkan lagi tentang hal ni. Saya sudah nekad untuk tidak fikirkan hal ni selagi emak saya tak sembuh. Tolong maafkan saya.!”

Habis berucap aku betulkan dudukku semula yang tadi aku sedang berpaling ke arahnya. Perlahan-lahan dia mula mengalih pandang lalu merenungku.

“Terima kasih! Rasanya itu dah cukup buat hati saya bahagia dan berlagu riang. Tapi sebelum tu, saya nak dengar dari mulut awak sendiri. Betul awak suka kawan dengan saya?”

Aku diam tapi senyuman lebar dibibirku rasanya dah cukup buat dia puas hati Sambil menunduk aku angguk kepala.

“Pergilah masuk! Dah lewat ni. Esok kerjakan?” Katanya perlahan.

Aku angguk lagi. Elok aku nak melangkah keluar, nama aku dipanggil lembut. Aku berpaling pandang wajahnya semula.

“Cuba awak pandang mata saya, raut wajah saya, hidung, mulut saya. Betul ke awak tak ingat saya?”

Aku keliru. Dalam malu-malu aku akur arahannya. Aku faham maksudnya. Setiap inci wajahnya aku perhatikan. Namun wajah sahabat yang aku kenal dulu tiada di situ. Masa dulu pun aku tak tahu kawan aku tu anak siapa. Bagi aku mungkin anak makcik cleaner atau pakcik tukang kebun yang berkerja di hospital.

“Betul ke awak ni Abang K.E saya?” Aku tanya lambat-lambat minta kepastian. Dah lama aku tak sebut nama tu. Kali terakhir aku sebut ialah ketika aku mahu berlepas ke Jepun ketika berbual dengan Mak Da. Lepas tu aku nekad tak mahu sebut lagi kerana dia yang tinggalkan aku. Aku kecewa sebab dia pergi tanpa apa-apa pesan.

Dokter Zikri tersenyum sambil mengetap bibir.

“Akhirnya Nur sebut juga nama tu! Ya Nur! Abang ni K.E. Milik Nur. Nur cuba lihat ni.” Ujar Zikri sambil membuka butang baju kemejanya hingga paras dada. Aku terkejut. Rasa malu pulak bila Zikri berani buat macam tu depan aku.

“Nur ingat tak parut ni?”

Aku dekatkan penglihatanku ke arah dadanya. Aku pandang tanpa berkelip. Dalam sebak aku ketap bibir menahan sebak. Mata aku dah mula berkaca-kaca. Dulu aku ingat dia tinggalkan aku sebab dia marah kerana aku cederakan dia ketika bermain. Tapi bila ingat balik apa yang umi ceritakan tadi, aku faham akhirnya dan aku percaya serta aku yakin dia benar-benar kawan sepermainan aku dulu. Dan aku yakin dia memang tunggu aku.

“Nur ingat abang tinggalkan Nur sebab marahkan Nur kerana cederakan abang. Tiap-tiap hari Nur tunggu abang datang. Tapi abang tak datang pun main dengan Nur. Siapa pun tak bagitahu Nur kemana abang pergi. Tiap-tiap hari Nur menangis ingatkan abang. Mak Da selalu kata satu hari nanti abang akan balik datang cari Nur. Nur tak percaya sebab Nur dah penat menunggu. Sampai habis sekolah pun abang tetap tak datang. Hari Nur bertolak ke jepun, Nur ada serahkan surat pada Mak Da agar serahkan pada abang kalau abang ada datang nanti. Tapi bila Nur balik, Mak Da dah tak ada. Nur yakin dia tak sempat serahkan surat tu pada abang.”

“Mengingatimu satu kemestian. Melupakanmu tiada dalam perancangan. Menyayangimu satu keperluan, Membencimu bukan dalam fikiran. Merinduimu satu keperitan. Namun menyintaimu satu kewajipan. Aku tak harap hidup bersama, namun aku harap ku kau tak lupa.. Yang sentiasa di hatimu..sayang selalu…An Nur.”

Seusai kata-kata itu keluar dari mulut Dokter Zikri, air mata aku meluncur laju. Tak sangka dia terima surat aku tu. Dalam hati aku ucap terima kasih pada Mak Da.

“Setiap saat, setiap minit, setiap hari, setiap minggu, bulan dan tahun abang tak pernah lupakan Nur! Cinta abang sudah tersemat sejak umur abang enam tahun. Abang pun tak sangka akan jatuh cinta pada budak kecil berumur empat tahun. Sebab itu abang simpulkan hati abang agar terus setia pada Nur. Kerana abang tahu Nur rasa apa yang abang rasa. Maaf kerana abang tak datang cari Nur  kerana abang tahu di mana Nur. Kerana abang yakin, satu ketika abang akan jumpa juga dengan Nur.”

Aku angguk kepala sambil tersenyum. Dalam diam aku bersyukur kerana dapat juga aku jumpa dengan rakan sepermainan. Aku mengaku aku mula menyayanginya seumur lima tahun. Itupun setelah dia hilang tak kunjung datang. Mula terbit nama K.E sebab aku yang pandai-pandai panggil macam tu dua puluh empat tahun yang lalu..

“Siapa nama abang?” Soalan pertama aku pertama kali jumpa.

“Nama abang panjang sangat. Panggil Kri saja.”

“Keghi..? Susahlah sebut nama abang. Kalau Nur panggil abang K.E boleh?” Masalah pelat masa tu kadang-kadang orang selalu mengejek aku bercakap.

“Hm..bolehlah! Tapi kalau susah sangat, panggil abang je!”

Rasa dunia lapang sangat. Dalam sehari pelbagai peristiwa gembira aku terima. Dari petang aku dapat kata pujian dari Mr. Ravi. Kemudian perubahan pada diri emak lagilah buat aku rasa bersyukur pada ilahi. Pertemuan aku dengan ibu angkat aku setelah sepuluh tahun berpisah dan kini kemunculan semula cinta pertama aku. Harap-harap rasa bahagia ini kekal hingga ke akhir hayat aku.

 Pipi basahku dia kesat dengan jarinya. Aku malu lantas wajah aku paling darinya. Tak mahu dia buat macam tu sebab aku tak selesa.

“Jangan menangis. Abang tak suka tengok Nur menangis. Masa kita kecil dulu, abang tak pernah tengok menangis. Kalau jatuh, Nur cool saja. Tangan luka pun tak menangis. Tapi bila dah dewasa macam ni, abang tengok Nur senang menangis. Kenapa Nur? Abang tahu Nur derita selama ni. Tapi janganlah ikutkan sangat perasaan tu. Sekarang abangkan dah ada. Abang nak Nur sudi kongi dengan abang.”

“Nur happy sangat hari ni. Sebab tu Nur menangis. Tapi bila ingat balik masa abang tinggalkan Nur dulu, Nur jadi sedih. Abang jahat sebab tinggalkan Nur. Tiap-tiap hari Nur tunggu abang datang. Nur tak pernah menangis kalau abang ada. Tapi semenjak abang pergi, hari-hari Nur menangis. Sejak tulah Nur pandai menangis.”

“Maknanya Nur jadi macam ni semua salah abanglah ek?” Zikri tanya dengan senyuman nakal. Aku tak menjawab, sekadar jelingan tajam.

Okey! Abang minta maaf. Lepas ni abang janji takkan tinggalkan Nur lagi, dan abang tak akan izinkan Nur menangis lagi.”

Aku tersenyum malu.

“Nur terima lamaran abang?”

“Kan Nur dah cakap tadi. Nur tak mahu fikirkan hal ni selagi mak tak sembuh.”

Okey! Abang faham.”

“Abang pergilah balik! Dah lewat ni. Nanti orang keliling fikir apa pulak!” Ucapku pada Zikri setelah aku dah mula tenang. Dia mengangguk dan tersenyum. Aku tak sangka panggilan abang yang aku gunakan dulu kini aku gunakan semula untuknya.

No comments: