15
AKHIRNYA hari yang dinanti tiba
juga. Seawal pagi Huda sudah mendapat panggilan dari Faridz untuk memberi
kata-kata semangat sebelum keputusan berada dalam tangan. Huda yang ditemani Encik
Marzuki tersenyum lebar memandang Faridz dan Affini yang sedang menanti di
perkarangan sekolah. Gugur air mata gembira tatkala keputusan berada dalam
genggaman. Wajah Encik Marzuki dicari dulu. Apabila wajah itu berada di
matanya, disembabkan wajahnya ke dada sasa tua itu, lalu semakin deraslah air
mata kesyukuran. Slip peperiksaan bertukar tangan, wajah Encik Marzuki disapa
riang walaupun air mata tuanya sudah tidak ditahan lagi untuk jatuh.
“Huda lulus cemerlang bah!”
Ucap Huda teresak-esak.
“Abah dah jangka, anak abah
takkan hampakan abah.” Ujar Encik Marzuki sebak.
“Kan lebih indah kalau ibu
ada.”
“Ibu tahu anak bongsunya
takkan hampakan dia. Huda tau tak, doa anak yang solehah pada ibunya yang sudah
tiada itulah hadiah yang paling-paling dinanti untuk melayakkan dia ke syurga”
Huda mengangguk setuju sebelum
menyembamkan sekali lagi wajahnya ke dada Encik Marzuki.
“Macam mana Fini.?” Tanya Encik
Marzuki apabila Afini dan Faridz sudah berada di hadapannya. Pelukan anak
kesayangannya dilepaskan perlahan-lahan sambil mengesat pipinya yang basah.
“Okey.! lulus, tapi tapi tak
secemerlang anak pakcik tu.!”
“Tak apalah..janji lulus..!
Lepas ni sama-sama kita fikir, dekat mana kalian nak sambung belajar. Kalau nak
belajar dekat tempat Pakcik mengajar pun okey juga, Pakcik boleh uruskan. Macam
Huda, pakcik dah tau dia tak mahu belajar dekat situ sebab malu. Yang
sebenarnya dia malu orang kata dia anak manja.!” Usik Encik Marzuki sambil
melirikkan senyuman pada Huda yang sudah berhenti esakannya. Huda menunduk malu
bila sedar ditenung tanpa berkelip dek sepasang mata si teruna di hadapannya.
“Tahniah.! Huda nak apa
sebagai hadiah? Fini kata dia nak skuter, senang dia nak merempit dengan Huda.”
Kata Faridz cuba berseloroh.
“Eh long ni, pandai-pandai
je! Orang mintak skuter sebab senang orang nak bergerak kesana kemari, bukan
sebab nak merempit.!” Bentak Fini sambil menghadiahkan jelingan tajam pada
Faridz lalu memuncungkan bibir comelnya.
“Mm.. sebijik.!” Ucap Encik
Marzuki sambil melirikkan matanya pada anak gadisnya di sebelah. Tawa Faridz
terburai apabila Huda turut memuncungkan mulutnya.
MALAM itu Huda melakukan solat syukur
kerana lulus sekali gus mendapat gelaran pelajar paling cemerlang. Surah Yassin
turut dibaca dan melakukan sedikit tahlil untuk arwah ibunya. Sudah dirancang
untuk ke pusara arwah ibunya keesokan hari. Sudah lama tidak dijenguk pusara
ibunya. Sejak dia berkerja, dia langsung tiada masa untuk ke sana, hanya doa
dan al fatihah yang sempat dititipkan sebagai hadiah untuk disedekahkan kepada
arwah ibunya.
“Amboi..! Berseri-seri anak
umi pagi ni, nak kemana.?” Tanya Puan Rohayu apabila melihat Huda sedang
melangkah turun dari biliknya. Sempat matanya mengerling kearah jam dinding
yang sudah menunjukkan ke pukul sepuluh pagi.
“Huda nak ke kubur sekejap.” Balas Huda sambil
membetulkan kain baju kurungnya yang sedikit terselak ketika menuruni anak
tangga. Pagi itu Huda manis dengan baju kurung putih bercorak bunga kecil-kecil
berwarna unggu muda.
“Huda pinjam kereta umi ye..?” Jerit Huda di
pintu sambil mencapai kunci kereta kancil yang tergantung di tepi pintu utama.
“Okey, tapi hati-hati ye..!” Pesan Puan Rohayu sambil melangkah
bersama Huda menuju ke kereta. Sebotol air mawar dan sebakul bunga yang sudah
dirancik halus diletakkan dibangku sebelahnya. Enjin kereta dihidupkan lalu
perlahan-lahan digerakkan hingga hilang dari pandangan mata Puan Rohayu.
Puan
Rohayu melangkah masuk ke dalam rumah lalu menuju ke dapur. Difikir-fikir apa
resepi yang harus dimasak hari itu. Sudah dapat diagak, Huda akan kelihatan
sugul dan bersedih bila pulang dari kubur. Sudah pasti makan dan minum tidak
dihiraukan. Jadi untuk mengembirakannya, Puan Rohayu harus bijak bertindak.
Salah satu cara untuk mengubati hati Huda yang sedang berduka ialah dengan
masakan.
“ASSALAMUALAIKUM ibu.. adik datang.!” Ucap Huda ketika sampai
di hadapan pusara ibunya. Huda selesakan duduknya di bangku batu kecil yang
dijadikan khas sebagai tempat duduk di sebelah kubur ibunya. Daun-daun kering
yang terdapat di atas pusara, di buang ketepi. Tiada rumput -rumput liar yang
melatari tanah kubur ibunya. Huda yakin, pasti abahnya yang selalu datang
membersihkan pusara itu. Huda tersenyum sendiri. Surah yassin mula di baca
penuh tertib. Sesekali Huda menghentikan bacaannya bila sebak menyerbu di jiwa.
Air matanya mudah mengalir bila berada di situ.
“Bu.! Semalam keputusan
peperiksaan dah keluar, adik lulus cemerlang bu! Kalau ada ibu kan seronok.
Abah pernah kata, adik otak geliga macam ibu. Dulu ibu bercita-cita nak jadi
doktor, tapi disebabkan tak mahu berenggang jauh dengan abah, ibu korbankan
saja impian ibu tu. Kenapa bu.? Sebenarnya adik pun teringin nak jadi doktor, tapi
abah teringin nak adik jadi pendidik macam abah. Agaknya betullah kata abah,
adik ni macam ibu, mendahulukan perasaan dia sebelum diri sendiri. Adik tak
pernah bagitahu pada abah tentang cita-cita adik ni, cukuplah abang Haizat dan
kak Hajar sanggup buat begitu, tapi adik tak sanggup kecewakan abah. Ibu rasa
apa perasaan abah kalau dia tahu adik ada cita-cita lain.? Abah kecewa tak?
Adik tak mahu abah kecewa. Adik sayang abah macam adik sayang ibu. Adik tahu
ibu pun sayang adik. Tapi kenapa cepat sangat ibu tinggalkan adik.? Adik takut
kalau abah juga akan tinggalkan adik walaupun adik tahu perkara tu pasti akan
terjadi juga satu hari nanti. Adik tahu abah dah tak sabar menanti saat tu
sebab dia tahu ibu sedang menanti dia di sana.” Lama Huda berada di pusara
ibunya. Terlalu banyak yang ingin diadu hinggakan cerita cintanya turut
diceritakan.
“Apa yang adik perlu buat,
bu? Patut ke adik terima abang Faridz? Mula-mula tu memang Huda cadang nak buat
biasa je. Tapi bila dah lama-lama, adik dah mula rasa sayang pada dia. Rindu
nak dengar suara dia. Salah ke perasaan adik ni, bu? Mampukah adik atasi semua
ni? Adik takut kalau adik tak mampu. Adik takut adik alpa. Bagaimana ibu dengan
abah zaman bercinta dulu? Macam mana ibu dan abah membahagikan masa belajar
dengan bercinta? Teringin adik nak tanya semua ni pada abah. Tapi adik takut
abah sedih kalau adik ungkit kembali kisahnya dengan ibu dulu walaupun adik
tahu kenangan dia bersama ibu adalah sesuatu yang indah.”
Sudah dapat dibayangkan andai ibunya masih
ada, pasti semua rahsia menjadi simpanan peribadi ibunya. Namun Huda pasti, itu
tak akan terjadi. Walaupun sudah ada pengganti, Huda tidak pernah ceritakan
masalah pada ibu tirinya, meskipun tahu ibu tirinya itu sanggup menjadi
pendengar dan penasihat yang baik seperti arwah ibunya.
Sedar-tak sedar jam sudah
menunjukkan ke pukul 11.30 pagi. Bunga yang dibawa dari rumah tadi ditabur
rata,air mawar dijirus hingga habis.
“Huda balik dulu ye bu.!
insyaallah, nanti Huda datang lagi..” Bisik Huda perlahan lalu mengangkat
punggungnya dan berlalu dari situ. Air mata mengalir lagi. Kali ini lebih
deras. Tanpa menoleh ke belakang, Huda meneruskan langkahnya hingga ke tempat
pakir di perkarangan masjid yang berwarna biru putih itu.
. Huda mempercepatkan langkahnya setelah
keluar dari perut kereta kancil milik Puan Rohayu. Sambil menutup mulut dan
hidungnya menahan esak dan sebak, Huda terus melangkah naik ke tangga dan
menuju ke biliknya. Badannya dihempaskan ke atas katil empuknya lalu
menghamburkan tangisannya yang sudah tidak dapat di tahan lagi. Deringan
telefon bimbitnya sudah acapkali berbunyi, namun tidak pula dia ampuh hendak
menjawab lalu dibiarkan saja sehingga senyap sendiri. Huda bangun lemah menuju ke arah meja tulisnya. Foto arwah
ibunya yang terletak elok yang dijadikan sebagai inspirasi ketika belajar, dicapai
dan direnung lama lalu melangkah perlahan ke arah katilnya semula dan
melabuhkan duduknya.
“Kenapa ibu pergi tinggalkan
adik.?” Ucap Huda bersama esakan. Tangisannya bergema kembali. Sambil
merebahkan tubuhnya, foto di tangan dirapatkan ke dada, matanya terpejam, dan
akhirnya dia terlelap keletihan kerana banyak menangis.
PUAN
ROHAYU hanya menggeleng melihat Huda melangkah laju ke bilik. Sudah diagak,
begitulah keadaan Huda kalau pulang dari ziarah kubur arwah Azimah. Dibiarkan
saja Huda bersendiri untuk tenangkan perasaannya. Dia yakin, murung Huda tidak
lama, hanya suaminya saja yang mampu menghilangkan rasa sebak Huda. Dia
tersentak tatkala deringan telefon berbunyi.
“Waalaikummussalam.! nak
cakap dengan siapa?” Ucap Puan Rohayu selepas mendengar salam dari pemanggil.
“Faridz ni Cik Ayu! Huda
ada.?”
“Ada kat atas tu..!”
“Saya call dah banyak kali,
tapi tak berjawab..”
“Maaflah Riz, Huda tengah
bersedih tu! dia baru balik dari kubur arwah ibunya. Selalunya macam tulah..
esok-esok okeylah tu..!”
“Nak saya tolong ke?” Faridz
cuba menawarkan khidmatnya.
“Rasanya tak perlu kot..!
Biasanya pakcik kamu saja yang mampu pujuk dia.”
“Hmm..kalau macam tu tak apa
lah Cik Ayu, esok-esok saya call dia balik. Assalamualaikum..!”
“Waalaikummussalam..!” Ucap
Puan Rohayu lantas meletakkan kembali gagang telefon ketempatnya.
“Eh, abang dah balik.?”
Tegur Puan Rohayu bila terkejut suaminya tercegat di belakangnya.
“Siapa yang telefon.?”
“Faridz! nak cakap dengan Huda. Dia call Huda banyak
kali tapi Huda tak jawab.”
Encik Marzuki tersentak. Dalam fikirannya
Huda ada masalah dengan Faridz.
“Kenapa pulak.. dia orang
bergaduh ke.?”
“Ishh.! abang ni.. ke situ
pulak! anak dara abang tu baru je balik dari kubur, abang faham-faham ajelah keadaan dia. Abang pergilah naik tengok,
hanya abang saja yang pandai memujuk. Abang ajak sekali dia turun makan. Dari
pagi tadi dia tak jamah apa-apa pun.!” Terang Puan Rohayu lalu berlalu ke dapur
semula untuk menyediakan makan tengah hari.
ENCIK
MARZUKI mengeluh lemah lalu melangkah ke bilik anak gadisnya. Tombol pintu
bilik Huda dipulas perlahan. Sekujur tubuh terbaring di atas katil diperhatikan
sambil melangkah perlahan lalu melabuhkan punggungnya di birai katil. Wajah
anaknya itu diperhatikan lama. Wajah itu juga mengingatkan dia pada arwah
isterinya yang amat disayangi. Wajahnya, sifat semulajadinya yang lemah lembut
memang tak ubah walau sedikit pun. Tidak seperti dua anaknya yang lain, banyak
mengikut ciri-cirinya. Rasa kesal menyuruh digugurkan kandungan semasa
mengandungkan Huda masih terasa. Masakan tidak, andai digugurkan, tidak
merasalah dia dengan kasih Huda yang seratus peratus mengikut ciri-ciri arwah isterinya.
Semasa hayat arwah, isterinya itu tak pernah merungut apa-apa kekurangan. Dia
tahu isterinya menderita kerana tertekan dengan layanan keluarga disamping
menderita kerana penyakit yang ditanggung. Foto isterinya yang berada di
tangan Huda dileraikan perlahan dari pelukan agar anak gadisnya tidak terjaga
dari tidur. Foto isterinya ditatap lama.
Rasa sebak mula terasa, namun di cuba agar air matanya tidak jatuh mengalir.
Terlalu banyak kasih di wajah itu yang sukar dikikis walau sezarah, tak mungkin
dibuang sehingga ke akhir hayatnya. Terkumit-kumit bibirnya menyedekahkan
al-fatihah kepada yang tersayang. Bahu Huda disentuh lembut lalu digoyangkan
perlahan. Sedikit-sedikit tubuh kecil itu bergerak dan kemudian mengeliat bila
terkejut melihat wajah tua kesayangannya berada di depan mata. Serta merta
bibirnya terukir senyuman manis.
“Bangun! dah nak masuk zohor
ni. Tak elok anak dara tidur siang-siang hari.” Tegur Encik Marzuki lalu
tersenyum melihat anak gadisnya seperti mamai.
“Abah! Bila abah masuk, Huda
tak sedar.!” Ucap Huda sambil membetulkan rambutnya yang sedikit kusut lalu dikemaskan
dengan ikatan getah berwarna biru. Dihulurkan tangannya untuk bersalam dengan
Encik Marzuki dan tangan tua yang berada dalam genggaman, dikucup lembut.
“Baru aje.! Jom turun makan.
Umi kata sejak pagi tadi anak abah ni tak makan apa-apa lagi.” Balas Encik
Marzuki sambil mengusap lembut kepala anaknya. Wajah Huda ditatap lama lalu
perlahan-lahan wajah itu disentuh dan dibelai manja. Masih terkesan air mata
yang membasahi pipi lembut anaknya. Kepalanya menggeleng lemah sambil melepakan
keluhan.
“Huda tak ada seleralah
bah.! Nanti kalau lapar Huda turun.” Ujar Huda sambil memegang tangan Encik
Marzuki dan digenggam lembut.
“Anak abah ni dah besar, tak
lama lagi dah boleh kawin. Kalau selamanya perangai macam ni, macam mana nak kawin.?
Sikit-sikit nak nangis. Kalau arwah ibu tengok mesti dia sedih. Dah berbelas
tahun ibu pergi, takkan Huda tak boleh terima kenyataan.?”
Huda hanya membisu mendengar sindiran
berbaur gurauan Encik Marzuki. Wajahnya sayu lalu menunduk malu ditegur begitu.
“Huda rindukan ibu.!” Ucap
Huda lalu merebahkan mukanya ke bahu Encik Marzuki. Esakannya kembali berlagu.
“Sudahlah sikit-sikit! ni
kalau abang Faridz tengok macam ni, mesti dia risau. Kesian dia, call banyak kali
tapi orang tu tak mau jawab.”
“Huda bukan tak mau jawab. Nanti
kalau dia dengar suara Huda macam ni, lagi banyak dia soal siasat. Bukan abah
tak tahu abang Faridz tu macam mana..! Selagi tak puas hati, selagi tulah dia
akan bertanya.” Balas Huda dengan nada manja.
Encik Marzuki tergelak kecil melihat mulut
anaknya yang memuncung.
“Abah! minggu depan genap 14
tahun umi tinggalkan Huda, abah dah lupa.?"
Encik Marzuki terpaku mendengar soalan
anaknya. Ditarik nafas sedalamnya menahan sebak agar tidak jelas kelihatan, namun
dia kalah. Air matanya bertakung namun cepat-cepat ditahan agar tidak jatuh.
“Wajahnya, kasihnya sayangnya, setiap
perilakunya, kata-kata yang diucapkannya serta gerak gerinya masih utuh di
sini.” Ujar Encik Marzuki lemah sambil jari telunjuknya dihala ke dadanya
sebelum meneruskan kata-kata. “Abah tak pernah lupakan arwah ibu. Abah tahu dia
tetap setia tunggu abah di syurga. Sebab itu, kalau ditakdirkan umur abah tak
panjang, Huda jangan tangis teruk-teruk macam ni sebab abah bahagia di sana
dapat bersama ibu semula. Bagi abah, ibu tak pernah tinggalkan abah sebab dia
sentiasa di hati abah.” Balas Encik Marzuki sambil mengelus lembut rambut
anaknya.
Huda sebak sambil mengangguk laju tanda
faham apa yang disampaikan oleh orang tuanya tadi.
“Dah fikir nak masuk
universiti mana.?” Tanya Encik Marzuki cuba mengalihkan topik perbualan.
“Dah abah. Huda dah chek
dalam intenet, Huda nak masuk UKM. Tapikan bah, mm.. kalau Huda tukar jurusan
boleh tak.?” Tanya Huda lambat-lambat. Risau andai menguris perasaan orang
tuanya itu. Sudah dimaklumkan pada orang tuanya dahulu impiannya ingin menjadi
seorang pendidik, tapi kini terpaksa ditukarkan pula.
“Dulu Huda kata nak jadi
macam abah, sekarang dah lain pulak. Huda terus terang, Huda nak jadi apa
sebenarnya ni.?” Tanya Encik Marzuki lembut. Seawalnya dia sudah tahu apa yang
anak kesayangannya itu mahukan.
“Sebenarnya Huda nak jadi
pensyarah perubatan.” Jawab Huda perlahan sambil menundukkan mukanya.
Jawapannya itu diharap dapat melegakan hati Encik Marzuki kerana bidang
pendidik masih ada cuma perkataan perubatan itu saja terpaksa ditambah.
“Oo..maknanya Huda nak jadi
doktor dulu, lepas tu baru jadi pensyarah, begitu.?” Tanya Encik Marzuki lagi
sambil merenung wajah anaknya. Melihatkan Huda mengangguk lemah, bibirnya
tersenyum lebar.
“Bagus jugak tu! sekurang-kurangnya
Huda dah capaikan cita-cita ibu dan di waktu yang sama Huda tak hampakan abah.
Abah tak sangka anak abah ni bakal doktor. Senanglah abah nanti ada yang merawat
kalau abah sakit nanti!” Ujar Encik Marzuki sambil memeluk bahu Huda. Kepala
Huda dikucup lama. Dalam hatinya bersyukur tidak terkata. Bangga yang dirasa
ketika itu kerana dikurniakan anak sebaik Huda. Sempat dia berdoa agar
kehidupan Huda sentiasa diberkati Allah selalu.
No comments:
Post a Comment