35
SEPERTI yang
dirancang akhirnya projek yang tergendala berjalan dengan lancar sekali. Hampir
seminggu sudah Faridz berada di situ. Kadang-kadang dia sendiri turun ke tapak
projek bersama menolong pekerja-pekerja tapak binaan itu membuat kerja. Tambahan
pula pekerja-pekerja Zafri di pejabat banyak membantunya. Memandangkan
pejabatnya juga memerlukan perhatian, Faridz mengarahkan agar Firdaus pulang ke
Seri Iskandar dan datang semula selepas tiga hari. Tanggungjawab yang diberikan
padanya harus dilaksanakan dan akan dilakukan dengan sebaik mungkin. Sudah
menjadi kelaziman setiap perkara yang diamanahkan akan dilakukan dengan
sempurna.
“Bertuah siapa yang dapat
suami macam bapak. Baik, rajin, bertanggungjawab. Apa bapak sudah berkahwin..?”
Tanya Suhardi salah seorang pekerja asing yang berkerja di situ ketika meraka
sama-sama sedang berehat.
“Awak rasa saya dah kawin ke
belum..?” Faridz tanya sambil tersenyum manis.
“Kalau dilihat dari sifat dan
tingkahlaku, seperti sudah. Tapi kalau tengok dari rupa, macam belum.” Jawab
Suhardi sambil ketawa kecil.
“Tak ada siapa yang nak.!”
Faridz mula merendah diri.
“Waduh..! Apa mata si cewek yang memandang itu buta..?”
Faridz ketawa mengekek dengan komen
Suhardi. Kedengaran juga suara-suara tawa dari beberapa pekerja yang turut
mendengar perbualan mereka. Betul ke gadis yang dirindui itu buta.? Faridz
mengeluh sendiri. Gadis yang dicintai dan dirindui tidak pernah buta, tapi dia
yang sendiri yang buta. Buta kerana tidak pandai menjaga cinta yang dihulurkan
oleh si gadis padanya. Diruangan matanya terlayar wajah Huda yang manis.
Masakan dia boleh lupa pada gadis itu walaupun dia berada di tempat orang. Setiap
hari ada saja email yang dihantar kepada Huda. Jika dulu setiap hari hanya
sekali saja email yang dihantar. Tapi semenjak hatinya berkobar-kobar untuk
terus menanti, setiap kali selesai solat, pasti ada saja kata-kata pujian dan
rayuan yang ditaip. Jika tidak, dia akan menceritakan apa yang sudah dan akan
dilakukan sepanjang hari. Hanya dengan cara itu saja untuk dia buktikan yang
dia masih setia dan tidak pernah putus asa menanti dan terus menanti kehadiran
gadisnya.
Hari
itu adalah hari terakhir Faridz dan Firdaus berada di situ. Zafran juga
dikhabarkan sudah selamat sampai di kediamannya. Memandangkan Zafran akan
memulakan tugasnya semula dua hari lagi, Faridz mengambil keputusan untuk
berada di situ hingga Zafran mula bertugas. Banyak yang perlu dibincangkan
termasuklah masalah mandor yang dilantik oleh Zafran. Faridz pelik, hingga
sekarang bayang mandor yang dimaksudkan belum lagi menampakkan bayang. Tak
dapat dibayangkan apa yang akan terjadi jika dia tidak berada di situ sepanjang
percutian Zafran ke tanah suci.
“Bos tak teringin ke nak
makan pasembur kat padang kota..? Adik saya cakap, pasembur kat situ sedap.”
“Teringin jugak. Malam ni
kita pergi. Nak jugak saya beli sesuatu untuk adik saya.”
“Bos nak beli pasembur kat
adik bos.?” Tanya Firdaus hairan.
“Kalau saya beli pasembur
malam ni, lepas tu saya bawak balik dua hari lagi, lepas tu saya bagi kat awak,
awak nak makan ke..?” Tanya Faridz geram.
“Saya tanya je! ingatkan bos
nak beli pasembur bagi kat adik bos.” Jawab Firdaus sambil tersengeh malu.
“Awak ingat saya ni tengin
sangat ke nak buat macam tu? Kalau saya beli malam ni, dua hari baru nak bagi
kat adik saya, basilah pasembur tu! Apalah awak ni..!” Rungut Faridz sambil
mengeleng kepala melihatkan sikap Firdaus yang lurus itu.
“Adik saya cakap, kat sana
banyak awek-awek cun. Bolehlah bos try
ayat-ayat sikit.”
“Ishh! tak kuasa saya, awak try lah. Ada hati nak tekle awek! hari tu kata takut nak bercinta,
ni apa kes pulak?” Tempelak Faridz perlahan.
“Bila tengok adik saya yang baru kawin tu, teringin pulak
saya nak hidup berkeluarga. Macam best je
kena layan tiap-tiap hari dengan isteri. Balik kerja dah ada orang siapkan
makan minum. Rasa macam sempurna je hidup seharian.” Ulas Firdaus malu-malu.
Faridz turut tersenyum mendengar komen
Firdaus. Dia juga turut membayangkan keadaan dirinya jika sudah berumahtangga.
Sudah terbayang-bayang diruangan mata Huda menyambutnya pulang dari kerja,
melayannya makan, menyediakan pakaian. Paling buat dia tersenyum malu saat Huda
membelainya penuh kasih sayang dan kelembutan.
“Awal lagi..! awak pun baru dua puluh lima tahun. Kerja dulu, kumpul duit
banyak-banyak, pastu awak nak kawin dengan siapa pun dah boleh, sebab masa tu
ramai yang memandang. Awak jugak yang cakap takut dapat yang meterialistik..!”
Ujar Faridz selepas tersedar dari melamun jauh.
HUDA
berjalan perlahan sambil matanya liar memerhati gelagat pesakit di wad
kanak-kanak. Jiwanya cepat tersentuh bila memandang wajah-wajah comel yang
sedang asyik dengan gelagat tersendiri. Di dalam dirinya sudah disimpan kemas
cita-cita untuk menyembuhkan semua kanak-kanak itu. Semua yang sedang terlantar
di wad kanak-kanak itu mengalami penyakit barah. Bila teringatkan nama penyakit
itu, Huda terbayangkan wajah arwah ibunya.
“Doktor ayu..! sini kejap.!”
Laung Susan dari katilnya. Huda tersenyum bila dia dipanggil. Susan adalah
seoarang pesakit dari Taiping Perak yang berumur sebelas tahun. Dia mengalami
penyakit leukimia tahap satu. Memandangkan di perak tiada rawatan khas untuk
pesakit leukemia, keluarga nya terpaksa membawa nya menerima rawatan di Pulau
Pinang.
“Itu Dokter Farahlah.!”
Bentak Ravina perlahan bila nama Huda sudah bertukar kepada ayu.
“Saya panggil ayu sebab
dokter tu cantik sangat. Saya suka dokter ayu. Dia baik..!” Balas Susan lembut.
Ravina tersenyum bila mendengar jawapan
Susan. Kata-kata Susan diterima kerana dia juga mengaku Dokter Huda memang
cantik dan ayu.
“Ye, Susan. Ada apa panggil
saya.?” Tanya Huda lembut. Bila dia memandang Susan, ingatannya serta merta
teringat pada Affini dan Faridz. Dulu Affini juga di tempatkan di hospital ini
untuk menyembuhkan leukimianya.
“Esok saya dah nak balik.
Boleh doktor belikan saya pasambur.? Saya teringin nak makan. Tadi saya tengok
emak Ravina bawak untuk Ravina. Dia bagi saya rasa, tapi saya tak puas makan
sebab sikit.”
Huda tersenyum manis. Agak lucu mendengar
cerita Susan. Tak sangka Susan berketurunan tionghua itu suka makan makanan
seperti itu. Setahu dia, orang cina tak gemar makan benda-benda pedas.
Tiba-tiba ingatannya terlayar pada emak angkatnya Hjh. Normah. Emak angkatnya
itu memang tak suka makan pedas. Tapi semenjak dia tinggal dengan keluarga itu
dua tahun lepas, selera Hjh. Normah sudah bertukar. Setiap hari sambal belacan
mesti kena buat, kalau tidak pasti selera makan wanita itu hilang.
Semalam habis dia kena basuh dengan
Iskandar. Kedatangan Iskandar secara mengejut benar-benar buat dia tak senang
duduk. Pada mulanya dia kelihatan ceria menyambut kedatangan lelaki itu. Tapi
bila Iskandar mula buka cerita tentang
Faridz, segala-galanya berubah. Tak sangka Faridz sanggup datang ke
rumah keluarga angkatnya semata-mata mahu berjumpa dengannya.
“Kenapa Huda tak cerita hal
yang sebenar pada abang? Patutlah masa abang jumpa dulu, cemerut saja! Sebab
tulah Huda nak cari rumah sewa? Supaya senang Huda lari dari dia. Betulkan?”
Dingin sekali suara Iskandar sambil bercekak pinggang.
“Tak penting. Buat apa Huda
nak cerita. Lagipun hal tu tak ada kena mengena dengan abang.” Jawab Huda
sinis. Bukan niatnya untuk menyakiti hati Iskandar, tapi bila kedengaran suara
Iskandar begitu, hatinya sakit kerana Iskandar seolah-olah menyebelahi Faridz.
“Tak ada kena mengena? Abang
ni siapa pada Huda?” Tanya Iskandar geram setelah tersentak dengan penerangan
Huda.
“Dahlah bang..! Huda dah tak
mahu ingat hal tu lagi.”
“Sekarang cerita pada abang,
apa sebenarnya yang berlaku. Emak dengan ayah dah tak senang duduk dengar
berita ni, tahu? Keluarga Huda pun dah tentu tak senang duduk sebab abang bagi
hadiah penyedap pada Faridz. Puas hati abang!” Huda tersentak pantas merenung
tajam wajah Iskandar.
“Abang buat apa pada abang
Faridz? Abang pukul dia ke?” Tanya Huda cemas.
Iskandar tersenyum sinis
melihat Huda yang seperti cacing kepanasan. “Abang marah. Abang geram
sangat pada Faridz sebab dia tak pandai jaga adik abang yang degil ni. Kalau
abang tahu begini jadinya, awal-awal lagi abang terus pinang Huda. Senang! Dah
tentu adik abang tak jadi macam ni.!”
“Kenapa abang buat macam ni?
Abang memang sengaja nak sakitkan hati Hudakan?” Tempelak Huda geram.
“Marah nampak? Kalau masih
rasa sayang, kenapa lari tinggalkan dia? Pergilah balik jumpa dia. Rupa dia pun
dah tak macam orang betul. Dah macam Mat pet je!” Bentak Faridz geram.
“Sampai hati abang pukul dia. Abang ni
kejam, tau tak?” Herdik Huda kuat. Tertoleh kepala Iskandar lalu merenung tajam
ke mata Huda.
“Abang kejam atau Huda yang kejam? Dua
tahun abang dekat negara orang, ada Huda kisahkan abang? Ada Huda hantar berita
pada abang? Tak ada langsung! Abang yang terhegeh-hegeh hantar email tapi satu
pun Huda tak balas. Sampai ke saat ni abang masih harapkan Huda, tau!. Sekarang
siapa yang kejam? Huda ingat abang ni macam Faridz, yang menurut saja apa yang
Huda pinta. Abang ada perasaan. Tapi kini abang dah mula sedar, abang tak boleh
gantikan tempat Faridz. Cintanya terlalu dalam hingga sanggup menyiksa diri
sendiri. Terus terang abang katakan, abang betul-betul tabik spring pada dia sebab sanggup bersabar dengan kerenah orang
yang tak pandai nak hargai dia. Bertahun Faridz harapkan Huda jadi suri hidup
dia. Ada Huda pedulikan perasaan dia? Huda pergi tinggalkan dia tanpa mendengar
apa-apa alasan dari dia. Dua tahun dia menderita mencari dan menanti Huda, ada
Huda kisah? Pergi balik! tengok sendiri keadaan dia macam mana. Pada abang,
Huda paling kejam kerana sanggup mendera perasaan ramai orang. Kalau marah pun
jangan sampai menghilangkan diri. Huda tu perempuan. Dah tentu orang tua Huda
akan susah hati. Hari tu abah Huda call
abang tanyakan keadaan Huda. Abang serba salah nak cerita. Abang terpaksa
berbohong kata tak tahu di mana Huda. Tapi abang dapat rasa, abah Huda tahu
abang berbohong. Jadi sebelum mereka tahu sendiri, baik Huda hubungi mereka
cepat sebelum abah Huda call polis.”
Terpaku Huda sejenak
mendengar leteran Iskandar. Air mata yang ditahan, akhirnya berderai jua. Rasa
bersalah yang teramat sangat tiba-tiba beraja di hati. Terbayang wajah Encik
Marzuki yang sedang mengharap kepulangannya. Terlayar jua wajah kasih Faridz
yang sedang menderita. Bila memandang wajah Iskandar, hatinya semakin sebak.
Bukan niatnya mahu mengelak dari lelaki itu, cuma dia tidak mahu keadaan jadi
semakin parah. Andai dilayan Iskandar, itu sebenarnya sudah memberi seribu
harapan. Cukuplah hatinya saja yang terluka.
Salahkah aku selama ini.? Kenapa aku rasa
bersalah sangat, sedangkan selama ini aku tak buat apa-apa kesalahan. Dia yang
tinggalkan aku, tapi kenapa orang hanya nampak salah aku? Aku pergi kerana aku
kecewa. Tapi kenapa orang tak nampak penderitaan aku? Kenapa orang hanya
pandang kekecewaan dan penderitaan dia? Benarkah dia kecewa dan menderita? Ya
Allah, apa yang harus aku buat?
ISKANDAR begitu asyik mendengar suara
burung terkukur peliharaan Hj. Tahir hingga tidak sedar Hjh. Normah sedang
menghampirinya dengan sedulang kopi berserta keropok lekor yang baru saja siap
digoreng. Petang itu hujan lebat sekali. Lantas disuarakan keinginannya untuk
menjamah keropok lekor yang diserahkan oleh Huda semalam. Menurut Huda, keropok
lekor itu diberi oleh Rina yang kebetulan baru pulang dari kampungnya di
Terengganu.
“Adik kamu tak cakap ke bila
dia nak balik?” Tanya Hjh. Normah sambil tuangkan kopi ke dalam cawan. Iskandar
yang sedar dari keasyikan suara tekukur, tersenyum manis melihat wajah Hjh.
Normah.
“Ada. Tapi lambat lagi kot.
Dia kata tengah sibuk. Banyak pesakit yang
tengah kritikal sekarang ni.”
“Hm..mak tak tahulah dengan
adik Is tu. Mak tak sangka selama dia tinggal di sini, dia menderita rupanya.
Pandai dia sorokkan dari kita.” Keluh Hjh. Normah kesal kerana selama ini
disangka anak angkatnya itu tiada apa-apa masalah. Tapi selepas kedatangan
Faridz, baru dia tahu Huda sedang bersedih.
“Dua tahun dia simpan rahsia
dari kita. Yang Is kesalkan, masa orang tuanya berbual dengan Is dua tahun
lalu, tak pula dia orang ceritakan hal tu.”
“Mungkin mereka tak mahu
Huda rasa malu dengan kita. Mungkin juga Huda dah pesan pada mereka.” Iskandar
mengangguk setuju dengan pendapat Hjh. Normah.
“Kalau Is tahu dari awal
cerita ni, tak ingin Is pergi ke Australia tu. Biar Is duduk di sini saja,
pujuk dia, ambil hati dia..”
“Pikat dia, dah dapat ajak
dia kawin!” Sampuk Hj. Tahir lalu tersengih-sengih. Hjh. Normah ketawa mengekek
dengan teguran Hj. Tahir yang datang tiba-tiba di situ. Iskandar tersenyum
malu.
“Dah takde jodoh ayah, nak buat macam mana..!”
“Isy-isy-isy…! Nasib badan…!” Seloroh Hj. Tahir meniru
dialog dalam filem Pendekar Bujang Lapok. Sekali lagi mereka sama-sama ketawa
lucu.
“Kalau Is nak, nanti mak
carikan ye?” Pujuk Hjh. Normah cuba mengembalikan keceriaan anak tunggalnya.
“Biarlah dulu mak. Is muda
lagi. Lagipun belum terbuka lagi pintu hati Is ni nak berumahtangga.”
“Takkan nak mengharap lagi
pada dia..?” Tanya Hj. Tahir perlahan.
“Entahlah ayah. Hati Is ni dah
tak boleh nak buang dia. Walau Is pergi sejauh mana pun ke pelusuk dunia, hanya
dia yang Is nampak. Walau macam mana pun Is akan cuba lupakan dia kerana Is
tahu dalam hati dia hanya ada Faridz. Is boleh nampak dari air mukanya, dia
masih harapkan Faridz. Walaupun dia pernah ucapkan kata sayang pada Is, cinta
sejatinya hanya milik Faridz. Is terima andai sudah tertulis mereka memang
ditakdirkan bersama.”
“Baiknya anak mak ni!
Beruntung siapa yang dapat.” Balas Hjh. Normah sayu mendengar luahan hati
anaknya. Iskandar tersenyum malu sambil mengunyah keropok lekor yang masih
panas.
MALAM itu buat pertama kali Faridz
menapakkan kakinya di Padang Kota. Impiannya untuk merasai pasembur akhirnya
tercapai. Sambil menghirup udara segar dari tepi pantai, sempat lagi Faridz dan
Firdaus menjamu mata memerhatikan gelagat si penjual. Macam-macam aksi yang di
pertontonkan untuk melariskan jualan. Lusa dia akan kembali ke perak. Entah
bila pulak baru dapat dia merasa lagi makanan kebanggaan rakyat pineng itu.
“Pakcik Man! macam biasa ye,
hari ni saya nak tiga..!” Satu suara seorang pelanggan menerjah ke gegendang
telinga dari arah belakang Faridz. Faridz tersentak. Diamati suara itu
betul-betul, seperti pernah didengar suara itu.
“Amboi cek! banyak makan haghi ni,
tak takut gemuk ka..?”
“Ada kawan yang kirimkan. Lagipun
sorang pesakit saya kata dia teringin nak makan benda ni. Kebetulan pulak esok
dia dah nak keluar wad. Kasihan pula kalau tak penuhi permintaan dia. Dah tu
pulak dia bukan orang sini.” Terang Huda.
Faridz cuba lagi mengamati suara itu.
Jantungnya berdebar-debar bila mendengar penerangan dari si gadis. Namun jauh
sekali untuk dia memalingkan muka untuk melihat tuan punya suara.
“Betuah sungguh sapa yang
sakit dapat dokto macam cek. Pakcik pun kalau sakit nak cek lah yang rawat pakcik. Boleh ka..?”
“Boleh Pakcik..apa
salahnya...! Tapi sekarang saya hanya merawat pesakit kanak-kanak saja.”
“Untung anak cek ngan laki cek esok. Kalau sakit dah
tentu ada yang jaga.”
“Jadi doctor ni untuk sementara
je pakcik..! Sebenarnya saya nak jadi pensyarah dalam bidang perubatan. Tapi
sebelum tu saya kena jadi doktor dulu. Lepas beberapa tahun saya jadi doktor
saya ambil ujian lain pulak, baru saya boleh jadi pensyarah.”
“Amboi..banyak masa nak
pakai tu..! Habih tu, bila cek nak pikir pasai kawin.?”
“Lambat lagilah Pakcik..! Lagipun
saya taknak fikir lagi soal tu.”
Muka Faridz sudah terasa panas. Air
matanya ditahan agar tidak terus mengalir. Hatinya kuat berkata bahawa gadis
yang sedang berdiri di belakangnya itu adalah gadisnya yang dinanti sekian
lama. Mahu saja dikalih pandangannya mengadap si gadis. Namun disabarkan hati
agar si dia tidak terkejut dengan kehadirannya di situ.
“Nanti kawin jangan lupa
jemput pakcik no..!”
“Dok eh..saya tak lupa..! Lagipun sapalah nak kat saya ni pakcik..”
“Cek punya lawa macam ni takkan takdak
sapa yang nak..? Toksah nak
bohong ehh..!”
“Saya tak bohong. Selama ni
saya je yang terhegeh-hegeh kat orang, orang tak pandang saya pun..!” Balas
Huda sambil tersenyum kelat.
“Sabaq la nak oii..! Jodoh tu mai
daghi tuhan. Kita hanya berdoa dan Dia yang akan tunaikan. Kalau cek ikhlas, Tuhan akan bagi yang lebih
baik pada cek.” Pujuk Makcik Piah
isteri kepada Pakcik Man.
“Insyaallah makcik..! Saya
pun hanya mengharapkan yang terbaik.” Ucap Huda sambil membayar harga pesembur
yang sudah berada di tangannya.
“Terima kasih. Esok mai lagi no..!” Ucap Pakcik Man sambil
tersenyu mesra.
“Fir, awak tunggu sini
sampai saya datang. Saya nak kesana sekejap.” Kata Faridz sambil terus bagun
dan mula menyusun langkah seribu. Tidak ingin hilang bayang Huda dalam
kesesakan orang yang lalu lalang di situ. Apabila hampir mendekati Huda yang
sedang cuba membuka pintu kereta, langkahnya diperlahankan. Hampir satu meter
Faridz kaku dari tempat Huda berdiri.
“Sayang abang tak pernah
terhegeh-hegeh kat abang, tapi abang yang terhegeh-hegeh kat sayang.” Ucap
Faridz sebak.
Huda kaku berdiri tanpa memalingkan
tubuhnya. Pintu kereta yang separuh terbuka dibiarkan tanpa cuba meloloskan
diri. Suara yang datang dari belakangnya benar-benar buat dia terpaku seketika.
Tanpa disedari air matanya mengalir ke pipi. Tak disangka manusia yang ingin
dijauhi kini berada dekat dengannya.
“Huda! Maafkan abang. Abang
tau abang salah. Bukan niat abang nak sakitkan hati Huda. Abang terdesak. Abang
serba salah dengan keluarga angkat abang. Tolonglah fahami abang. Abang
merayu.!”
Huda sudah tidak mampu berdiri lagi, kakinya
lemah mendengar setiap kata rayuan lelaki itu lantas terus masuk ke dalam
kereta dan mengunci dari dalam dengan tergesa-gesa. Kata-kata pujuk dan rayu
Faridz sudah tidak diperlukan lagi. Enjin dihidupkan tanpa melihat wajah Faridz
yang sedang melangkah rapat di tepi keretanya.
“Please sayang! dengar dulu apa yang abang nak cakap..!” Pujuk
Faridz sambil mengetuk-ngetuk cermin kereta Huda.
“Pergi..! Pergi.! Saya tak
kenal awak..!” Jerit Huda sambil menekupkan wajahnya di stereng kereta. Tidak
mahu dia menatap wajah lelaki yang telah menghancurkan hatinya bertahun yang
lalu. Terlalu banyak kenangan bersama lelaki itu hinggakan tak bisa lagi
untuknya membuang setiap detik yang pernah dicipta bersama. Namun hatinya belum
kuat untuk menerima kata maaf dari lelaki itu. Hatinya benar-benar terluka.
“Tolonglah bagi abang
peluang..!” Jerit Faridz dari luar. Huda hanya menggeleng lemah tanda tiada
kuasa untuknya lagi untuk mendengar setiap bait kata dari bibir Faridz. Tanpa
memperdulikan Faridz, Huda meneruskan saja pemanduannya tanpa menoleh lagi ke
belakang. Faridz terduduk lemah sambil mengetap bibirnya menahan sebak.
FARIDZ termenung panjang ketika berada di laman
rumah adik Firdaus. Berita tentang pertemuannya dengan Huda semalam segera
dilaporkan pada Encik Marzuki sekeluarga. Cadangan Encik Marzuki agar jangan
terus mendesak, terpaksa diterima oleh Faridz walaupun hatinya kurang
bersetuju. Dalam fikirannya sekarang adalah terus merayu agar Huda sedia
menerimanya kembali. Tapi bila mengenangkan Huda yang masih belum habis
belajar, cadangan Encik Marzuki terpaksa diakur. Risau juga kalau-kalau akan
mengganggu konsentrasi Huda untuk belajar. Tambahan pulak sekarang ni dia
sedang praktikal, bertambah beratlah tanggungjawab yang terpaksa dipikul.
Faridz sendiri tidak pasti, sejak pulang dari padang kota semalam, sudah berapa
kali dia mula menulis email. Bangun pagi tadi dia menyambung lagi. Jika
digabungkan kata-kata yang telah dihantar pada Huda, sudah boleh dijadikan dua
buah novel.
“Aku harus kuat.! Aku tak
boleh macam ni.” Bentak Faridz sendiri. “Huda! abang akan buktikan yang abang
akan tetap setia menanti. Biar apa jua yang datang, Huda tetap milik abang.”
Bisik Faridz sendiri lalu berlalu masuk ke dalam rumah untuk berkemas kerana
seawal pagi esok dia akan terus pulang. Memandangkan Zafri akan datang berjumpa
dengannya sendiri di Seri Iskandar, tidak perlulah lagi dia berjumpa dengan Zafri
keesokan harinya seperti yang dirancang.
“DOKTOR FARAH! Dokter sakit ke..?” Tanya Ravina yang sedang
terlantar atas katil dalam wad kanak-kanak. Ravina kanak-kanak berumur dua
belas tahun dilaporkan mengidap penyakit hati. Huda cukup tersentuh setiap kali
melihat seluruh tubuh Ravina sudah mula kekuningan. Walaupun sakit, Ravina
seorang kanak-kanak cerdik dan pandai berkata-kata. Kadang-kadang bila berbual,
Ravina lebih suka menggunakan bahasa inggeris namun sejak Huda mengurnya agar
menggunakan bahasa melayu, Ravina akur.
“Eh, tak adalah..saya sihat.
Kenapa tanya macam tu..?” Tanya Huda lembut sambil tersenyum manis.
“Sejak tadi saya tengok
doktor macam tak ceria je..! Selalu tu doktor senyum je.! Doktor ada masalah..?
Atau ada pesakit lain yang nakal tak mahu makan ubat?”
“Ishh! pandai-pandai jelah
awak ni. Tak padan dengan kecik, sibuk nak ambil tahu..!” Rungut Huda manja
sambil menjeling dan mencuit pipi tembam Ravina. Ravina ketawa mengekek melihat
telatah Huda.
Sejak Huda menjalani praktikal di hospital
itu, ramai pesakit-pesakit kanak-kanak menyenanginya. Sifat sabar dan lemah
lembut Huda buat semua pesakit malah tukang cuci turut senang dengan tingkahlaku
Huda yang pandai mengambil hati. Huda sedar ada sesetengah dokter atau
jururawat serta dokter pelatih sepertinya kurang senang dengan sifat
semulajadinya. Ada juga desas desus yang mengatakan Huda kaki bodek dan pandai
meraih simpati semata-mata mahu lulus dalam ujian praktikal itu. Namun semua
itu berjaya ditepis agar tidak mengganggu perhatiannya semasa belajar.
Dijadikan semua itu sebagai cabaran dan batu loncatan untuk teruskan usaha agar
dia berjaya seperti yang diinginkan. Kalau ikutkan perkiraan, sepatutnya dia
ditempatkan di hospital di mana tempat Lisa dirawat. Kerana tidak mahu
terserempak dengan orang-orang yang pernah menyakitinya, dia membuat rayuan dan
akhirnya dia berjaya menempatkan diri di pulau mutiara itu walaupun sedikit
jauh dari Bangi. Namun sejauh mana dia berlari, bayang Faridz sentiasa ada di
sisinya dan sentiasa mengekorinya.
Pertemuan tadi adalah buat pertama kalinya
selepas hampir dua tahun tidak bersua. Huda cuba mengingatkan kembali peristiwa
tadi. Hampir tidak dia percaya insan yang menegurnya itu adalah Faridz.
Menggigil seluruh tubuhnya mendengar suara yang sudah lama tidak kedengaran.
Degup jantung yang berdenyut dirasa seakan berhenti seketika. Lemah seluruh
tubuhnya hingga dia sendiri tidak mampu lagi untuk berdiri. Kalau diikutkan
hatinya, mahu saja dia meluru mendapatkan Faridz dan memeluk tubuh itu sekuat
hati. Rindu yang ditanggung bertahun lalu hanya tuhan saja yang tahu. Tapi bila
mengenangkan apa yang telah terjadi hingga mengaibkan dirinya, rasa marah, dendam
dan benci kembali bertamu.
Huda beranggapan berita tentang dia berada
di situ, sudah tentu Iskandar yang laporkan pada ahli keluarganya. Rasa panas
telinga dengan bebelan Iskandar masih terasa. Satu persatu orang yang dikenali
datang menemuinya. Bermula dengan Iskandar, kemudian Faridz. Lepas ni entah
siapa pula yang akan datang.
“Kenapa abang datang..? Apa
niat abang..? Tak cukup ke dengan apa yang dah jadi..?” Tanya hati Huda
bertubi-tubi.
“Hai..! kalau nak melamun,
balik rumah la..!” Sindir Doktor Rohani selaku ketua di situ.
“Eh, Kak Ani..! Takdelah..saya kurang sihat sikit hari
ni.. Tiba-tiba kepala ni rasa sakit.” Bohong Huda sambil mengetap bibinya
kerana rasa bersalah sebab berbohong.
“Mm..kalau macam tu pergi
rehat dulu. Ambil ubat, kalau masih tak okey
jugak, Huda mc jelah malam
ni..lagipun hari ni hari sabtu..takpe
kot kalau Huda nak balik.” Cadang Doktor wanita beranak empat itu.
“Eh, rasanya tak payah
kot..sikit je ni..! Saya boleh tahan lagi ni..”
“Okeylah kalau macam tu, tapi kalau Huda rasa tak selesa, Huda cakap
kat akak ye.” Ujar Dokter Rohani lagi lantas terus berlalu dari situ.
Huda melepaskan keluhan lega setelah
bayang Dokter Rohani hilang dari pandangan matanya.
HUJUNG-hujung begini tidak ada apa yang boleh dibuat
melainkan melepak saja di rumah sambil belajar. Membaca email-email yang dikirimkan
oleh Faridz sejak dua tahun yang lalu adalah satu rutin yang harus dilakukan
setiap hari kerana hanya email-email itu sajalah tempatnya melepas rindu pada
Faridz. Walaupun menyedari cinta Faridz masih seperti dulu, jauh di sudut
hatinya masih ada rasa was-was.
“Kau nak keluar ke tak nak?”
Tanya Faridah yang juga merupakan pelajar praktikal dari kulim kedah.
“Malaslah, penat! Aku nak
rehat kat bilik jelah..” Jawab Huda malas.
“Mm..kalau macam tu
takpelah. Kau takmahu pesan apa-apa..?”
“Terima kasih jelah! nanti
kalau aku nak apa-apa aku pergi cari sendiri okey.” Balas Huda sambil tersenyum mesra. Yang sebenarnya bukan dia
tidak teringin untuk bersantai di tepi pantai seperti yang lain, cuma dia takut
kalau-kalau terserempak dengan Faridz lagi. Dia yakin Faridz masih berada di
pulau mutiara itu. Bukan dia tak tahu sikap Faridz yang tak pernah nak mengalah.
Yang pasti dia tidak tahu apa sebab Faridz berada di Pulau itu. Terlintas juga
difikiran untuk bertanya pada Afini, tapi kerana malu, dibiarkan saja.
No comments:
Post a Comment