37
SELEPAS berakhir ujian praktikal, Huda mengambil keputusan untuk terus kembali ke
fakulti. Bukan niatnya untuk
membelakangkan keluarga, tapi kerana keadaan dan masa yang tak
mengizinkan dia pulang ke rumah. Namun dia bercadang akan cuba pulang seandainya
ada peluang. Memandangkan dia sudah hampir bergelar seorang doktor
yang berijazah sarjana muda. Huda yakin cita-cita arwah ibunya akan tercapai
tidak lama lagi. Pengalaman dia selama beberapa bulan di Pulau Pinang banyak
mengajarnya erti sebenar kehidupan bila bergelar seorang doktor.
Walaupun Encik Marzuki memberi keizinan
untuk dia bergelar seorang Doktor, Huda tahu keinginan sebenar orang tuanya
itu. Sebab itulah juga Huda sudah merancang sesuatu agar cita-cita abahnya
tercapai, jadi gelaran doktor berijazah sarjana harus dalam genggamannya. Huda
tahu tentu ada pihak yang kurang bersetuju dengan apa yang dirancangkan. Namun
dia terpaksa demi cita-cita yang diimpikan selama ini. Jadi dia harus ketepikan
dulu apa yang dirasakan kurang penting buat masa itu. Dan ini bermakna, tawaran
yang baru diterima semalam harus direbut dan tidak boleh dibiarkan begitu saja.
Malam itu Huda menghubungi Encik Marzuki untuk menyatakan hasratnya.
“Huda dah fikir masak-masak
ke..? Lama sangat tu.! sanggup ke Faridz
nanti?”
“Sebab tulah Huda nak
bincang dengan abah! Abah pujuklah dia..!
Lagipun bukan lama pun dua tiga tahun je,
lepas tu Huda balikla...!”
“Abah tak kisah, cuma abah takut Faridz tak dapat terima. Hampir dua
tahun Huda tinggalkan dia, dah macam orang tak betul abah tengok Faridz tu.
Serba salah pulak abah nak memujuk dia. Abah rasa baik Huda yang cakap sendiri
dengan dia. Abah yakin sangat yang dia pasti tak dapat terima.”
“Abah ni..tak bagi semangat langsung.!”
“Bukan tu maksud abah. Abah
bangga kalau anak abah belajar tinggi-tinggi, tapi kenapa London? Dekat
Malaysia nikan banyak tempat nak belajar? Sekarang pun dah banyak kos-kos yang
dahulu tak ada dah ada. Apa kata kalau Huda sambung dekat sini saja. Umi dengan
abah pun tak risau.!”
Huda mengeluh lemah mendengar cadangan Encik
Marzuki.
“Huda teringin jugak nak
tengok tempat orang. Lagipun sistem pembelajaran dekat sana lebih padat, jadi
Huda rasa rugi pulak kalau lepaskan peluang ni..”
“Sama je sekarang ni..!
Hurmm..entahlah, abah pun tak tau nak kata apa. Terus terang abah katakan yang
abah izinkan Huda pergi sambung belajar dekat sana. Lagipun majlis Kak Hajar
tak lama lagi, sempatlah Huda merasa nasi minyak dan jadi pengapitnya nanti,
tapi masalah dengan Faridz Huda uruskanlah sendiri. Abah tak berani nak masuk
campur. Cuba cakap baik-baik dengan dia, mudah-mudahan dia dapat terima.”
Huda memandang ke siling sambil baring
melentang. Diketuk-ketuk dahinya yang sudah mula terasa sakit kerana terlalu
banyak berfikir. Sejak Faridz pulang keluar dari hospital beberapa bulan yang
lalu, belum lagi pemuda itu menghubunginya. Huda tahu Faridz tidak mahu
mengganggunya ketika belajar, dan sebab kejujuran Faridzlah buat Huda serba
salah untuk berterus terang. Huda tidak mahu disalah ertikan sebagai mengambil
kesempatan atas kejujuran Faridz. Sudah beberapa kali dia mengeluh sendiri.
Keputusan yang harus diberi sekurang-kurangnya lima bulan dari sekarang adalah
satu keputusan yang amat berat dirasa untuk dilakukan. Nak tak nak dia harus
lakukan juga.
Kepulangan Huda disambut mesra dan riang
oleh ahli keluarganya. Almaklumlah, lebih tiga tahun tak dijijakkan kakinya ke
rumahnya sendiri. Rasa serba salah pulak mahu ditinggalkan lagi beberapa tahun.
Hatinya mula berbelah bagi. Melihatkan suasana majlis perkahwinan Hajar sudah
mula terasa meriah, Huda terlupa sejenak masalahnya. Terlalu banyak yang ingin
dilakukan sebelum majlis yang bakal berlangsung hujung minggu itu.
Sebelum pulang ke perak, sempat lagi dia
menziarahi keluarga Iskandar. Sebak Huda rasa melihat layanan Hjh. Normah
terhadapnya. Pesanan Iskandar kadang-kadang buat dia tersenyum sendiri.
“Abang harap lepas ni jangan
lari-lari dah macam ni. Kalau ada masalah, bawa berbincang elok-elok. Abang
tahu Huda sayangkan dia. Jadi lepas ni jangan gaduh-gaduh lagi. Abang nak Huda
bahagia bersama dia. Abang yakin Huda akan bahagia di samping dia. Melalui air
muka dia, abang tahu dia jujur dan benar-benar sayangkan Huda.”
“ADIK, abah bagitahu tadi, Riz dah ada kat bawah.” Kata Haizat
tiba-tiba muncul dari balik pintu bilik Hajar.
“Kenapa? Dia nak jumpa Huda
ke?” Tanya Huda pelik sambil membetulkan jambangan bunga telur yang siap
disusun dalam semerit. Memandangkan majlis akad nikah akan berlangsung pada
sebelah malam, jambangan bunga itu harus disiapkan juga hari itu untuk
menghiasi pelamin.
“Entah. Abah cuma suruh
bagitahu je! abang Haizat cuma
sampaikan.” Balas Haizat sambil menjungkitkan bahunya.
“Kau ada janji nak jumpa
along ke?” Tanya Afini yang sudah beberapa hari berkampung di rumah itu.
“Rasanya tak ada!” Balas
Huda sambil berfikir-fikir. Tiba-tiba tangannya berhenti melakukan kerja
menghias. ‘Agaknya abah suruh aku bagitahu fasal tu kot.!’ Fikir Huda sambil
mengetap bibirnya. Lantas terus dia bangun dari duduk timpuhnya dan bergegas
keluar dari bilik dan menuju ke bawah dimana Faridz kelihatan sedang berbual
dengan Encik Marzuki.
Faridz tersenyum manis melihat Huda
melangkah ke arahnya. Encik Marzuki yang menyedari riaksi wajah ceria Faridz
turut tersenyum sinis. Melihatkan Huda semakin menghampiri, segera Encik
Marzuki melangkah mendapatkan Huda terlebih dahulu.
“Abah panggil Huda?”
“Faridz dah ada tu. Pergi
terus terang dengan dia. Cakap elok-elok. Jangan sampai gaduh lagi sudah.!
Bisik Encik Marzuki tanpa menjawab soalan Huda.
“Mood dia okey tak abah
hari ni?”
“Pergilah tanya sendiri!”
Balas Encik Marzuki sambil tersenyum dan terus berlalu.
Huda hanya merengus dengan jawapan mudah
orang tuanya. Langkah perlahan diatur menuju ke arah Faridz yang sedang
menantinya di bawah khemah berbumbungkan kain layar berwarna putih.
“Abang dan makan?” Tegur
Huda cuba mengambil hati Faridz. Melihatkan wajah manis Faridz, Huda menarik
nafas lega kerana tahu yang kekasihnya itu dalam mood yang baik.
“Belum. Macam mana abang nak
makan, dah berapa hari Mak Miah dengan Fini duduk sini. Kesian abang tak ada orang
nak masakkan untuk abang.” Ujar Faridz meraih simpati. Cadangan Mak Miah untuk
membantu Puan Rohayu menyiapkan persiapan majlis kenduri kawin Hajar disokong
kuat oleh Afini, terpaksa diterima Faridz walaupun rasa berat hati
memandangkan Mak Miah sering tidak sihat.
“Kesiannya..! Lepas ni kita
makan ek?” Pujuk Huda lembut.
Faridz tersenyum lalu mengangguk setuju.
Baginya tika itu jika tak makan pun tak mengapa kerana wajah manis Huda yang
terhias di hadapannya sudah membuat dia kenyang. Hai jiwa, betapa kuatnya cinta
yang tersemat di kalbu! Semuanya rasa indah. Semoga tiada lagi nista dalam
hubungan suci ini.
“Sebenarnya ada sesuatu yang
Huda nak bagitau pada abang. Huda tahu abang mesti tak setuju, tapi Huda
harap-harap sangat abang dapat terima. Bukan niat Huda nak membelakangkan
abang, tapi Huda rasa serba salah nak bagitahu sebenarnya. Sebab tulah baru
sekarang Huda rasa berani nak bagitahu.”
Berkerut dahi Faridz mendengar setiap baik
kata yang Huda susun. Dia sudah mula-mula bertanya dalam hati, apa yang
memberatkan Huda untuk berterus terang. Sedangkan selama ini dia sudah
menyarankan agar Huda tidak berahsia dengannya.
“Apa yang berat sangat ni,
sampai susah nak cakap?”
Huda menarik nafas dalam sebelum teruskan
bersuara. Wajah Faridz dipandang sekilas sebelum menunduk memandang meja
semula. Tak sanggup rasanya berterus terang sambil menatap wajah kesayangannya
itu.
“Sebenarnya Huda dapat
tawaran sambung belajar.” Akhirnya Huda dapat juga bercakap.
“Ha..baguslah macam tu. Abang tak kisah lama mana Huda nak belajar,
janji jangan lupakan abang sudahlah.” Kata Faridz dengan bersahaja.
“Masalahnya bukan dekat
sini..!” Ujar Huda selepas berdesit perlahan.
“Habis, dekat mana?” Faridz
mula gelisah.
“London.” Jawab Huda lemah
dan perlahan.
Faridz terdiam lalu menarik satu kerusi
dan melabuhkan punggungnya. Kakinya terasa lemah tiba-tiba mendengar nama
tempat asing itu.
Huda sudah mula serba salah lantas segera
menarik satu kerusi dan duduk di sebelah Faridz yang sedang memicit-micit
dahinya.
“Berapa lama pulak kali ni?”
Tanya Faridz serius. Tiada lagi wajah ceria di balik mukanya.
“Dalam dua tiga tahun. Huda janji kali ni abang boleh call Huda bila-bila pun. Huda tak kisah,
janji abang izinkan Huda pergi.” Ulas Huda setelah menyedari Faridz seakan
tergamam. Sudah diagak bagaimana penerimaan Faridz jika dia berterus terang.
Faridz merenung wajah Huda yang penuh
mengharap. “Kalau abang tak izinkan?”
“Please bang..! Huda harap sangat..”
“Tapi kenapa lama sangat?
kenapa London? Dekat sini kan dah ada tempat-tempat nak belajar.” Tanya Faridz
sambil menongkat dagu dengan kedua-dua tangannya.
“Tu Huda tau..! tapi Huda
teringin jugak nak merasa suasana belajar dekat sana.. !” Jawab Huda cuba
memberi jawapan logik dari akal fikirannya.
Faridz menggosok wajahnya berkali-kali dan
akhirnya telapak tangannya meraup pula rambut dan terus ke tengkuknya menghalau
kekusutan jiwa. Telapak tangannya dirapatkan dan digosok berulang kali sambil
mengetap bibir merahnya. Sambil memandang ke wajah Huda, Faridz cuba senyum
tapi jelas kekurangan gula dalam senyumannya.
“Huda dah habis fikir?”
Huda mengangguk lemah.
“Habis, kita macam mana?”
“Macam mana.. macam mana?”
Tanya Huda pelik.
“Yelah..kita ni macam mana?
Huda fahamkan maksud abang?”
Huda sudah mula rasa serba
salah melihat Faridz seperti mula panas. Dari turun naik nafas di dada Faridz,
dia tahu Faridz tidak puas hati. Nada suara Faridz juga sudah mula berubah.
“Abang cakap dulu, abang
sanggup tunggu.”
“Dulu Huda cuma beberapa
kilometer saja jauh dari abang, sekarang beribu-ribu kilometer. Huda dapat beza
tak?” Tanya Faridz serius.
Huda tergamam dengan soalan Faridz yang
disertakan dengan wajah kelat.
“Janganlah macam ni bang!
Huda benar-benar nak pergi. Huda janji, lepas tamat belajar kita kawin terus.
Tak payahlah nak pinang meminang dan kenduri bagai. Macam mana?” Cadang Huda
serius. Faridz bagai tidak percaya.
“Okey..macam ni, lepas majlis akad nikah Kak Hajar, abang nak Huda
terima cincin yang abang dah serahkan pada umi dulu.”
Huda tersenyum sambil
mengangguk laju.
“Maknanya abang izinkan Huda
pergi?” Tanya Huda teruja.
“Apa hak abang untuk
menghalang? Huda bukan tanggungjawab abang lagi.. Pergilah kalau itu buat Huda
bahagia.” Ujar Faridz lalu bangun meninggalkan Huda sendiri di situ.
Huda terdiam dan memerhati
sahaja langkah Faridz menuju ke arah Encik Marzuki yang sibuk berbincang dengan
beberapa orang pekerja yang sedang memasang khemah yang belum siap. Huda mengeluh sendiri. Dia
tahu, Faridz tidak ikhlas mengizinkan pemergiannya ke kota London. Wajah kelat
Faridz menjelaskan segala-galanya
walaupun Huda sudah menerima cadangan Faridz.
No comments:
Post a Comment