5(1)
SELEPAS
subuh aku cadang nak sambung tidur sebab mata aku masih berat untuk dibuka.
Kepala aku sakit sangat. Mata pun rasa berpinar-pinar. Tapi kata-kata Arie
semalam benar-benar buat aku tak senang duduk. Dia sakit ke? Dia ada masalah
berat kot? Masalah duit? Hish..! mustahil dia ada masalah duit.
Selama ni pun tak pernah pulak dia cuba-cuba mintak pinjam duit aku walaupun
aku memang tahu gaji dia memang tak banyak mana. Jauh sangat jarak gaji aku
dengan dia. Kadang-kadang aku pelik jugak, mana dia dapat duit sebab setiap
kali keluar hanya duit dia yang dia guna. Jual dadah? Ish! Mintak simpang..! Kadang-kadang terfikir ada betul agaknya
fasal cerita tentang yang kata dia anak usahawan di Tanjung Malim. Tapi aku tak
suka nak ambil tahu.
Macam-macam yang keluar pulak dari fikiran aku sekarang.
Nasib baiklah lepas dia hantar aku balik semalam aku tidur macam orang tak
sedar diri. Bila selesai solat subuh tadi, baru fikiran aku terimbas semula pada
Arie. Bila ingat balik riak wajah dia semalam, aku turut rasa susah hati. Serba
salah kalau aku tak dapat tolong dia. Sepanjang hubungan aku dengan dia
terjalin, aku jarang nampak dia ada masalah berat. Biasanya aku yang
bermasalah. Dia pun tak lokek untuk membantu. Sampaikan aku sakit perut sebab
segugut pun, dia yang susah payah bawak aku ke klinik.
-2 jam lg sya dtg ambil awk. Dh
tau nk kemana?-
Mesej yang aku baru terima dari Arie kejap tadi betul-betul
buat aku bertambah sakit kepala. Sesuka hati tokwan dia je..! Dia tak tau ke aku nak rehat? Penat semalam pun tak habis
lagi, ni dah nak menambah kepenatan lagi!. Nak taknak, sebagai sahabat, aku
layan saja. Bukan aku tak tahu perangai dia kalau tak mengikut. Sikap suka
mengarah tu kadang-kadang buat aku rimas. Tapi kadang-kadang aku rasa ada kebaikannya
sebab setiap arahannya tu, menguntungkan aku sendiri.. Tapi aku ni siapa yang
perlu dia bersikap macam tu? Bukan adik dia atau kekasih dia. Bini atau tunang,
jauh sekali!
-Ok. Tp dtg lewat sikit, boleh?
3-4 jm lg ke..! Org nk tdo kejap. Sakit kpla lg ni.. Mata pun xblh bukak.
Please…!-
Aku menanti balasan sambil mata terpejam rapat. Harap-harap
dia boleh terima alasan aku. Yang sebenarnya aku harap tak kemana-mana sebab
aku cadang nak tidur saja hari ni. Kepala aku masih berdenyut-denyut. Sesekali
aku rasa macam berpusing sebab pening. Perasaan bermain di tanah tinggi semalam
masih terasa.
-Kte g klinik dulu ambil ubat.
Klu x cukup lena, tdo dlm kete. Blh sya tau nak ke mana?-
Aku menggaru-garu kepala sebab hairan dan geram. Rambut aku
yang dah kusut sebab baring lama jadi semakin berserabut macam hantu Kak Limah.
Tiba-tiba datang satu akal yang tak terduga. Rasanya mesti dia akan menolak.
Dia ni nampak je macho tapi sifat malu tu aku nampak sangat.
-Balik kg nak?-
Butang sent aku tekan sambil tersenyum. Di
ruang mata aku sekarang ialah terbayang-bayang aku sedang enak tidur hingga
tengahari. Tapi tak sampai seminit pun, cik samsung aku berbunyi lagi.
-Nak!!!!! Sejam lg sya smpai-
Melopong mata dan mulut aku baca mesej dia. Semakin sakit
kepala aku rasa. Aduh..parah betul dengan dia ni.! Menyesal pulak bagi cadangan
merapu ni. Ingatkan dia akan menolak. Tak sangaka laju pulak dia terima. Dari
tiga jam dah jadi sejam. Hampeh.!!!!
-Lwt ckit la..ngantuk lg ni..! -
-Tdo dlm kete. Sya jnji x
kacau.-
Hii..geramnya
aku..Nasib baik bukan depan mata aku. Kalau tak dah sah-sah aku hempuk dia
dengan cik samsung aku ni. Ya Allah ya Tuhanku. Kenapalah kau pertemukan dengan
makhluk macam ni?
-Xnk lah. Kusyen kete awk keras.
Sakit badan org-
-Sya bawak mecedis-
-Awk bwk la kete the Rock lambogini ke..lambogitu ke.., sya ttp kata
xnk-
-X kira! Sejam lg sya smpai!-
Aku dah malas melayan. Daripada aku buang masa melayan sms
dia, baik aku tido.
-Yelah-yelah…!-
Terpaksalah aku mengalah. Aku tengok jam baru pukul tujuh
setengah pagi. Maknanya masih ada masa untuk aku beradu seketika. Dalam
perkiraanku, Arie akan tiba dalam pukul lapan suku atau lapan setengah. Lantas
aku pejam mata semula. Harap-harap sakit kepala aku ni akan berkurangan selepas
aku tidur.
AKU terkejut jaga bila
telefon bimbitku berbunyi. Aku buka mata sikit dan dapati ada panggilan. Rasa
macam baru sangat aku lelap, ni dah ada yang mengacau.
“Kata lagi sejam, ni
awak telefon pulak, nak apa?” Aku jawab selepas dengar dia bagi salam dan aku
jawab salamnya.
“Dah sejam lebih
saya tunggu depan rumah awak ni. Awak tidur lagi ek?”
Cepat-cepat aku buka mata luas-luas. Aku pandang jam.
Masyaallah..! dah pukul sembilan lima belas pagi!
“Ngee..sory..! Awak marah?” Aku
tanya dia sebab aku dengar suara dia macam tak puas hati. Mesti dia marah..
“Tak..! Saya tak
marah. Bertambah sayang pulak! Cepatlah dinda! Kanda dah tak sabar jumpa
ayahanda dan bonda ni..!”
Aku tergelak dengar ayat sindir dia tu. Sah dia tengah
marah. Tapi ada aku kisah dia marah ke tidak? Selama ni pun dia mana pernah marah
aku kalau aku buat kesalahan kecil macam ni..
“Sepuluh minit lagi
orang kaluar.”
“Lima minit!”
Katanya tegas lalu matikan talian. Aku jeguk kepala keluar tingkap. Kelihatan
dia sedang duduk bersandar di kerusi kereta bahagian penumpang hadapan. Agh.! Lantak dialah. Kalau aku bersiap
satu jam pun dia boleh buat apa? Bukan dia boleh pecah masuk rumah aku heret
aku bawa keluar.
HAMPIR sejam perjalanan akhirnya sampai jugak aku di
kampung. Mengantuk jangan dikiralah. Disebabkan bangun secara terkejut tadi,
kepala aku kembali berdenyut. Geram betul dengan Arie. Tadi janji tak mau kacau
aku tidur, alih-alih, banyak pulak topik yang nak dibualkan sepanjang
perjalanan. Sampaikan cerita tentang hamster peliharaan dia dah beranak pun
sibuk nak ceritakan dekat aku. Selain dari bercerita, banyak pulak soalan yang
dia tanya tentang emak ayah aku. Nampak dia pulak yang terexcited nak balik kampung. Apalah yang ada kat kampung aku ni.
Bukan menarik pun. Rumah pun rumah papan saja. Bukan macam kampung dia, agak
moden kalau nak dibandingkan dengan kampung aku. Harap-harap dia tak kisah
berkampung kat rumah aku. Tadi sebelum bertolak, aku dah khabarkan pada mak dan
ayah. Nasib baik dia orang sporting.
Tapi mak aku pulak yang terlebih acting.
“Orang nak balik
kampung, tapi dengan kawan”
“Balik la..! Lagipun Tirah dah lama tak balik” Mak aku sambut ceria.
“Tapi kawan orang ni
lelaki.” Aku berterus terang.
“Uihh.! boipren la tu..!”
Ha..mak aku dah salah
sangka. Kalau tak cakap terus terang, silap-silap sampai nanti dia sambut
dengan beras kunyit. Mak aku tu bukan boleh percaya sangat, excited dia tu macam pertama kali dapat
menantu. Maklumlah..aku kan satu-satunya anak perempuan. Dah tentulah mak
dengan ayah aku dah tak sabar-sabar nak terima menantu lelaki pulak lepas
abang-abang aku kawin beberapa tahun yang lepas.
“Taklah..kawan biasa
je!” Cepat-cepat aku menafikan.
“Ya lah tu! kalau
kawan biasa, kenapa yang sampai bawak balik rumah.?”
“Betul! kawan biasa.
Mak jangan pikir yang bukan-bukan
pulak!”
“Ha lah..! Kalau Tirah cakap macam tu,
mak percaya” Ujar mak aku perlahan. Tapi
dengan nada yang macam tu susah nak percaya.
“Nanti mak cakap kat
ayah sekali!” Pesan ku pada mak di talian.
“Ha lah..nanti mak cakap kat ayah.”
Sampai di halaman
rumah aku tengok ayah dengan mak dah siap tunggu atas beranda. Waktu tu aku
tengok jam baru pukul sepuluh setengah pagi. Mesti ayah baru balik dari
menoreh. Biasanya macam tulah hari-hari. Seawal pagi selepas subuh, ayah akan
ke kebun getah, pukul sembilan pagi dah selesai menoreh. Tapi masa sampai tadi
aku perasan jalan basah, mungkin baru lepas hujan dan ini bermakna ayah tak
turun ke kebun untuk menoreh. Patutlah muka tak nampak letih hari ni. Tersipu-sipu
mak aku senyum menyambut kami . Hmm..mak
aku tu takde lain la tu..nyakat tak
habis-habis.
“Assalamualaikum mak,
ayah!” Tegur aku ketika pintu kereta dibuka luas.
“Waalaikumussalam..!”
Jawab kedua-duanya. Aku tersenyum sambil menggeleng kepala bila emak dan ayah
tak henti-henti memberi senyuman nakal pada aku. Siap berbisik-bisik pulak tu.
Sahlah dia orang sengaja nak mengusik aku. Agaknya apalah yang ada dalam
fikiran dia orang. Tapi cara pandangan mata dan senyuman nakal tu aku dah boleh
agak apa yang ada dalam fikiran mereka.
“Naik-naik, jangan
segan-segan, buat macam rumah sendiri.” Ulas ayah selepas menyambut huluran
salam dari Arie.
“Terima kasih.” Ucap
Arie sambil tersenyum lega.
Dalam kereta tadi tak habis-habis suarakan rasa bimbang
kalau-kalau dia kena hambat dengan penyapu. Dia ingat mak ayah aku tu hidup
dari zaman jepun kot.. Dia tak tahu,
mak ayah aku tu memang ibu bapa yang paling sporting
di dunia.
“Rumah pakcik, kalau
masa-masa ni memang sunyi. Tinggai
makcik dengan pakcik ja.” Ayah dah
mula ajak berbual. Aku tak tau lah Arie ni boleh masuk atau tidak dengan cara
layanan ayah, harap-harap dia okey.
Kalau ayah dah buka cerita, rasanya sampai petang nanti tak habis lagi. Tapi
aku rasa Arie okey saja sebab dengan
aku pun semua topik dia jadikan bualan termasuklah tentang Obama nak datang
Malaysia pun dia sibuk. Macam Obama tu datang nak jumpa dia pulak.
“Kembar dua tu mana
mak?” Tanya ku sambil duduk di bangku kayu di ruang tamu tentang adik-adik aku
yang sekarang ni berada di tingkatan empat.
“Kalau masa ni, kat mana lagi, kalau tak kat sekolah” Jawab emak lalu berlalu melangkah ke dapur.
Aku mengangguk faham sebab baru ingat hari ni hari isnin. Aku turut ikut emak
ke dapur untuk siapkan minuman. Akukan tuan rumah, kenalah layan tetamu yang
datang. Lagipun sejak bertolak dari ipoh tadi, aku tak nampak dia teguk air
pun. Kasihan kat dia..
“Kenapa cari yang
lawa sangat?” Tiba-tiba mak aku tanya sambil meletakkan cerek di atas dapur.
Jarinya lincah memulas suiz dapur. Seketika kemudian menyala api berwarna biru.
“Apa yang lawanya
mak?” Aku buat-buat tak faham maksud soalan mak aku tadi. Tiga biji buah mangga
berkulit hijau dalam raga atas para aku capai lalu ku basuh bersih. Mesti pokok
kat belakang tu tengah berbuah sakan. Hmm..sedap
ni. Masa masuk depan laman tadi aku tengok pokok mempelam telur sedang lebat
berbuah. Melanjut-lanjut sampai ke tanah. Sah-sah Arie melangkah kanan. Dia tu
kaki menyicah.
“Buat-buat tanya pulak.! Yang kat depan tu la!” Tempelak
emak dengan wajah geram.
“Ala mak ni..kesitu pulak! Dia tu kawan jelah.. tak lebih pun. Orang dengan dia takde apa-apa pun..!”
“Elleh..! Kalau ada apa-apa pun, apa salahnya?" Emak masih dengan pendapatnya. Aku mengeluh sambil memotong
buah mangga madu dan seketika kemudian emak turut keluarkan beberapa biji buah
ciku dari bakul lalu dilunggukkan di depan aku.. Mesti emak ambil dekat
belakang rumah. Mm..ada canlah aku
panjat pokok -pokok tu nanti..
“Macam yang mak cakap
tadilah..lawa sangat.! Tak padan dengan orang. Mak tengoklah anak mak ni,
tengok pulak dia macam mana, tak padan kan?”
“Tak usah kira macam tu..
pikir dia baik, jujur, bertanggungjawab, dan beramal soleh, itu dah cukup.”
Hm..memang Arie
baik, bertanggungjawab. Sepanjang aku kenal dengan dia, tak pernah lagi aku
tengok dia tak solat. Di tempat kerja pun, kalau cukup waktu dia akan ke surau.
“Ya lah mak. Tapi
terus terang orang cakap, orang memang takde
apa-apa perasaan syok kat dia. Orang anggap dia tu macam teman
tapi mesra je. Mak janganlah salah
anggap pulak. Lagipun hari ni orang tak tau nak pergi mana, dia pulak sibuk
ajak orang keluar, orang ajak la dia mai
sini, lagipun esok orang cuti lagi, lusa masuk petang tapi dia masuk kerja
malam esok. Kiranya petang esok kami dah balik.”
“Ha lah..mak tau..!” Balas emak aku komplet dengan muncung dia sekali. Kecewalah tu. Aku ketawa kecil.
“Sabar la mak. Bukan
orang tak mau kawin. Orang muda lagi lah.. Nanti bila dah ada yang betul-betul
sesuai, orang bagi tau. Masa tu mak pergilah pinang cepat-cepat.!” Aku cuba
bergurau. Tapi gurauan aku tu tak kena tempat, padahnya mulut aku ditepuk oleh
emak. Walaupun lembut pedihnya tetap terasa.
“Orang cakap betul-betul dia main-main pulak.! Bertuah
sungguh budak ni.!” Gerutu emak dengan nada geram. Cawan seramik berwarna putih
berbunga biru disusun atas dulang. Cerek yang berbunyi nyaring menandakan air
sudah siap dimasak, cepat-cepat ditutup
apinya.
“Dia minum apa? Kopi
minum tak?” Tiba-tiba emak bertanya.
“Tak tau la..! Tak
pernah pulak tengok dia minum kopi. Biasanya nescafe je.” Tiba-tiba aku teringat pada sepeket nescafe yang aku beli
sebelum sampai kampung tadi.
“Takpelah mak, biar orang je yang buatkan air. Mak potong buah ni.
Selama ni dia bukan pernah rasa air yang orang bancuh, dia je yang selalu bancuh air kat
orang.” Melopong mata dan mulut mak aku dengar cerita aku.
“Betuah sungguh.!
Anak dara apa ni..? Anak teruna pulak yang buat air kat dia.!” Bentak emak sambil menampar kuat bahu aku.
Berkerut-kerut muka aku menahan pedih.
“Orang tak pernah
suruh pun..dia yang nak buat, orang okey
je.!” Balas ku sambil menggosok-gosok bahu. Hii..ni semua Arie punya fasal. Sebab dia, hari ni mulut dengan
bahu aku jadi mangsa geram emak.
Aku melangkah sopan
sambil membawa dulang yang berisi seteko nescafe. Nasib baik ayah dan emak tak
kisah minum nescafe, jadi tak perlulah aku bancuh dua jenis air. Emak turut
menbuntuti aku sambil membawa hirisan buah mangga dan ciku. Kuih seri muka yang
emak buat pagi tadi turut dihidangkan. Aku perasan Arie seakan terkejut dengan
kehadiran aku. Yelah, selama ni mana pernah aku melayan dia macam ni.
“Awak, jemput minum!
Sementara nak tunggu tengahari, jamah yang ni dululah ye!” Kata ku sambil melutut dan menuangkan air ke
dalam cawan untuknya dan ayah. Sopan sungguh aku waktu ni. Patutlah Arie macam
tergamam tengok aku.
“Ni pun dah cukup. Terima
kasih..!” Balas Arie sambil menyambut cawan berisi air nescafe panas.
“Lepas makan,
pergilah berehat.” Kata ayah pada Arie.
“Tirah, nanti tolong
kemaskan bilik along atau angah untuk Arie”
“Mm..yelah..!” Balas ku sambil menutup mulut kerana menguap. Arie
pandang muka aku sambil menggeleng-geleng kepala. Senyuman di bibirnya ditahan
agar tidak bertukar kepada tawa besar.
“Ishh.! Apa nak jadilah dengan anak dara sorang ni, perangai tak semenggah
langsung.!” Tempelak ayah.
“Mengantuklah ayah..!
Penat balik dari Genting semalam pun tak habis lagi. Ni semua Arie punya fasal,
sibuk sangat ajak orang keluar.” Aku mengadu dengan rengekan manja.
“Eh, saya pulak! Memanglah saya ajak awak keluar, tapi saya tak sangka
awak ajak saya balik kampung. Dah memang
menjadi angan saya sejak kenal dengan awak, kecik tapak tangan saya hulurkan.
Bila lagi saya boleh kenal dengan keluarga mertua saya kalau bukan sekarang.
Terima kasih banyak-banyak sebab sudi perkenalkan saya pada keluarga awak.
Lepas ni saya kenalkan awak pada umi dengan abi saya pulak.”
Melopong mata dan mulut aku dengar pengakuan Arie. Gila ke
apa dia ni. Sound diret saja depan
mak bapak aku.! Aku tengok mak dan ayah aku tersipu-sipu senyum penuh tersirat.
“Hah Tirah, tadi cakap kat
mak, kata kawan je!” Makin serba
salah aku dengar sindiran emak.
“Kawan tak
salah..tapi jangan lama-lama sangat, nanti mendatangkan fitnah. Pakcik tak
kisah kalau niat Arie nak berkawan dengan Tirah, janji Arie ikhlas.”
Makin luas mata aku dengar ayah cakap macam tu. Emak pulak
tak habis-habis tersengeh. Tengok muka Arie lagilah buat aku sakit hati. Apalah
yang dibualkan dengan ayah tadi sampai topik sensetif macam ni yang jadi bualan
sekarang.
“Apa ayah ni..kita
orang kawan biasa je lah.!” Mulut aku
dah muncung sedepa. Arie pulak macam sengaja biar ayah cakap macam tu.
Tersenyum-senyum, terangguk-angguk..
“Yelah ayah tahu
kawan biasa, tapi kalau Arie ikhlas, ayah tak menghalang.”
Berkerut-kerut muka aku dengar ayah aku cakap macam tu.
“Pakcik tahu niat Arie tu baik, tapi kalau boleh biarlah
beradat.”
Arie masih lagi mengangguk setuju dengan pendapat ayah. Kali
ni bibir dia tiada lagi senyuman cuma beriaksi serius tapi tenang. Aku pulak
yang tak senang.
Aku dah malas melayan.
Akhirnya aku melangkah masuk ke dalam bilik along untuk mengemas. Aku kena
siapkan cepat-cepat sebab mata aku dah mengantuk sangat. Siap mengemas aku
panggil Arie suruh dia masuk berehat. Sementara aku pulak terus melangkah ke
bilik aku yang berada sebelah dengan bilik ayah dam emak. Dapat saja merebahkan
badan atas katil disamping bantal peluk, aku dah tak sedar aku dah sampai mana.
Letih sangat..!
No comments:
Post a Comment